Photobucket

Monday, July 18, 2011

Antologi Seuntai Kasih Secebis Harapan

Maka kata Indera Nata, “Wah, ayahanda, janganlah ayahanda menyatakan salah yang demikian itu kerana pekerjaan itu ayahanda tiada tahukan halnya kerana pada bicara patik, adapun kita manusia hidup di dalam dunia ini lupa dan lalai melainkan yang tiada lupa dan lalai hanya Tuhan kita juga Yang Maha Kuasa dan Maha Tinggi itulah adapun kita manusia ini ingat dan lupa barang sesuatu pekerjaan hendaklah diperiksakan dengan sehabis-habis periksanya dengan fikir dan jikalau kita perbuat barang sesuatu yang tiada periksa maka kemudiannya nanti menyesal juga. Maka itulah kita manusia baiklah menyesal dahulu daripada kemudian.”
(dipetik daripada Hikayat Indera Nata, Antologi Seuntai kasih Secebis Harapan)

Maka tuan Puteri  itu pun singgahlah di sana lalu baginda naik ke darat. Sebermula maka dilihatnya suatu pun tiada kayu yang lain melainkan hanyalah kayu rumbnia juga yang ada.buahnya pun sedang masak belaka. Maka segala dayang-dayang itu pun mengambil buah rambnia itu lalu dimakannya. Maka bijinya itu pun dilemparkan ke tanah. Maka dilihatnya tumbuh pula kembalidan jadi besar pohonnya dan lalu berbuah pula. Dapat dimakannya buah itu dengan seketika itu juga. Syahadan maka tuan puteri dan segala dayang-dayang itu pun hairanlah melihat hal buah kayu rumbnia itu seraya fikir di dalam hati baginda, “Sebab buah rumbnia inilah gerangan maka saudaraku tiada kembali lagi.” Maka air mata tuan puteri itu pun bercucuranlah tiada terasa lagi cucur sebab terkenangkan saudara baginda itu. Maka tuan puteri itu pun bertitah kepada segala isi bahtera itu, “Kosongkan suatu petak dan muatkan olehmu tanah pulau ini.” Maka segala orang isi bahtera itu pun bermohonlah bermuatlah tanah pulau itu sambil berkata-kata, “ Inilah susahnya kita belayar dengan  orang perempuan ini dan orang yang lain bermuat segala dagangan, akan kita ini bermuat segala tanah; hendak berkebun rupanya nakhoda kita ini di dalam bahtera ini.”

(dipetik daripada Hikayat Nakhoda Muda dalam Antologi Seuntai Kasih Secebis Harapan)


TEKS PROSA TRADISIONAL DALAM ANTOLOGI SEUNTAI KASIH SECEBIS HARAPAN

  1. HIKAYAT INDERA NATA 
  2. HIKAYAT CENDAWAN PUTIH
  3. HIKAYAT PUTERA JAYAPATI
  4. HIKAYAT SERI KELANTAN
  5. HIKAYAT NAKHODA MUDA
  6. HIKAYAT CAYA LANGKARA

Antologi Seuntai Kasih Secebis Harapan

PANTUN BUDI

Akar keladi melilit selasih,
    Selasih tumbuh di hujung taman,
Kalungan budi junjungan kasih,
    Mesra kenangan sepanjang zaman.

Ambil galah jolok ramunia,
    Kait  mari sampai berdiri,
Kita hidup di atas dunia,
    Buat baik taburkan budi.

Ambilkan saya buah delima,
    Masak sebiji di balik daun,
Budi tuan saya terima,
    Jadi kenangan bertahun-tahun.

Anak dara berkain cukin,
    Dari Daik bulan puasa,
Tidak kira kaya miskin,
    Asalkan baik budi bahasa.

Baju bercorak tiada benia,
    Pakaian anak Panglima Garang,
Emas dan perak pengaruh dunia,
    Budi yang baik dijunjung orang.

Antologi Seuntai Kasih Secebis Harapan


GURINDAM DUA BELAS - FASAL KESEBELAS

Hendaklah berjasa,
Kepada yang sebangsa.

Hendaklah jadi kepala,
Buang perangai yang cela.

Hendaklah memegang amanat,
Buanglah khianat.

Hendak marah,
Dahulukan hujah.

Hendak dimalui,
Jangan melalui.

Hendak ramai,
Murahkan perangai.

UJIAN LISAN BAHASA MELAYU

CONTOH PERSEMBAHAN BERKUMPULAN (FORUM)

TAJUK: MELESTARIKAN ALAM SEKITAR

Dewasa  ini, arus modenisasi dan globalisasi telah memesatkan pembangunan negara. Pelbagai projek sosioekonomi dijalankan dengan begitu rancak namun secara tidak sedar alam sekitar kita sudah terjejas. Hal ini merupakan kemelut yang terpaksa dihadapi oleh negara kita. Kita sebenarnya tersepit antara keinginan menjadi sebuah negara maju dengan alam sekitar yang perlu dipelihara, bak kata peribahasa “ditelan mati emak, diluah mati bapa”. Untuk mengupas isu ini dengan lebih jelas, satu perbincangan ilmiah telah dianjurkan oleh Persatuan Pencinta Alam Sekolah Menengah St. Anthony dengan menjemput pelajar Tingkatan 5 Adhara sebagai ahli panel.

Lennon: Salam sejahtera kepada Cikgu Rusni dan rakan sekalian. Pada pagi ini kami akan menyampaikan forum yang bertajuk Melestarikan Alam Sekitar. Sebelum membincangkan tajuk forum ini, saya Tony Tan mewakili kumpulan saya  mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Rusni kerana beliau telah memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada kami untuk melaksanakan  ujian lisan ini. Sempena kempen “Sayangi Bumi Kita” yang sedang berlangsung di seluruh negara, Persatuan Pencinta Alam Sekolah Menengah st. Anthony mengambil kesempatan untuk bersama-sama membantu kerajaan memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan alam ini kepada kita. Hal ini amat mengerikan kerana selama ini kita semua hidup dalam sebiji “belon” yang terlalu kotor.
Oleh itu, bagi membincangkan fenomena ini dengan lebih lanjut lagi bermaklumat, saya telah menngundang empat orang tokoh yang terlibat dalam pelestarian alam sekitar secara langsung, iaitu di sebelah kanan saya Saudara Kenji Yap.  Di sebelah kiri saya pula Saudara Goh Boon Ong seterusnya Saudara Melvin Tan dan yang terakhir Saudara Ng Yu Haw.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
Semua yang berlaku mesti ada permulaannya. Setiap isu ada pokok pangkalnya, begitu juga dengan masalah pencemaran ini. Terlalu banyak pendapat yang diutarakan tentang pencemaran air, udara dan bunyi. Oleh itu,  kita dengar pendapat saudara Yap tentang persoalan ini.  Silakan Saudara Yap.

Yap: Terima kasih Pengerusi. Sebelum saya membincangkan punca-puncanya,  saya rasa lebih baik diterangkan terlebih dahulu maksud pencemaran. Pencemaran alam sekitar membawa maksud perbuatan mencemarkan alam sekitar dengan unsur-unsur yang kotor. Maka, sesuatu yang pada asalnya bersih dan dapat digunakan dengan baik dan selamat telah menjadi kotor dan mendatangkan kemudaratan apabila digunakan.
Punca-punca yang diwartakan  sebagai penyebab pencemaran terbahagi kepada dua jenis.  Pertama,  pencemaran yang disebabkan oleh faktor semula jadi dan kedua, pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia.
Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semula jadi ialah pencemaran yang berlaku dengan sendirinya setelah berlakunya bencana alam seperti letusan gunung berapi, dilanda ribut taufan, gempa bumi, dan sebagainya.  Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia pula ialah pencemaran yang dilakukan oleh manusia sama ada sengaja atau tidak sengaja. Antaranya ialah pencemaran udara;  contohnya   gas-gas beracun dan zarah-zarah yang terperangkap hasil daripada asap kenderaan, jerebu daripada kesan pembakaran secara terbuka, dan sebagainya. Pencemaran air pula disebabkan oleh pembuangan air kumbahan, sisa-sisa kimia, haba, pembuangan sampah dan sebagainya.  Pencemaran tanah pula berpunca daripada pemusnahan hutan akibat pembalakan, pembuangan sisa-sisa kimia, dan sisa-sisa pepejal .
Saya rujuk pencemaran akibat aktiviti manusia yang dipetik dari laman web sebagai perbincangan. Di Malaysia, hampir 90 -95% kawasan pedalaman telah mempunyai sistem jalan raya. Hal ini bermakna, jumlah kenderaan bermotor di negara kita telah meningkat secara keseluruhannya. Namun begitu, kenderaan bermotor merupakan penyumbang terbesar pencemaran udara di negara kita. Rujukan saya seterusnya ialah pencemaran laut.  Lebih 90% daripada punca pencemaran laut disebabkan oleh aktiviti manusia dan baki 10% berpunca daripada sektor perkapalan. Dapatan ini berdasarkan kajian Persatuan Pencinta Alam, bertajuk “Tumpahan Minyak Yang Meracuni Perairan Malaysia”, yang disiarkan dalam majalah Dewan Kosmik (Mac), DBP, Kuala Lumpur, 1995, m.s.:53-55) 
Bagi pencemaran tanah pula, saya rujuk pada penerokaan hutan. Hutan memang mempunyai nilai komersial dalam ekonomi negara. Hutan didapati membekalkan kayu balak dan kertas yang merupakan sumber penting bagi pendapatan mata wang asing . Di kawasan tropika, rotan dianggarkan menyumbangkan nilai tahunan sebanyak RM 1200 juta setahun dalam perdagangan dunia. Akan tetapi, pengeksploitasian hutan yang melampau untuk tujuan pembalakan, pertanian, perternakan, dan sebagainya telah mengakibatkan pencemaran alam yang sangat dahsyat .
Oleh itu, jelaslah pencemaran alam sekitar banyak dilakukan oleh tangan-tangan manusia berbanding dengan kejadian pencemaran semula jadi seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, dan ribut taufan. Setakat ini sahaja pendapat saya tentang punca-punca pencemaran, Saudara Pengerusi Lennon.

Lennon: Terima kasih Saudara Yap kerana memberikan pandangan yang bernas. Jika teliti, memang benar pencemaran banyak dicetuskan oleh manusia sendiri. Apabila keuntungan yang tergambar di hadapan mata, nilai-nilai murni tidak lagi menjadi pegangan. Yang menyedihkan ialah semua penduduk dunia merasai kesan negatifnya sedangkan yang melakukan kerosakan hanyalah segelintir manusia. Bagi melihat sejauh mana fenomena buruk pencemaran ini, kita tujukan permasalahan ini kepada Saudara Melvin.  Silakan Saudara Melvin.

Melvin: Terima kasih Saudara Lennon. Tentang kesan buruk pencemaran ini, saya berpendapat bahawa sekalian umat manusia atau semua rakyat Malaysia telah mengetahui dan menontonnya di televisyen atau melayari Internet. Kesan yang amat dirasai sekarang gara-gara pencemaran udara ialah pemanasan global yang semakin meningkat dari hari ke hari. Pemanasan global telah mengubah cuaca dan sistem iklim dunia. Ribut taufan, misalnya, berlaku dengan amat kerap.  Selain itu, berlakunya pencemaran serius secara global seperti kesan rumah hijau, pemusnahan ozon dan hujan asid. Sementara itu, pengeluaran gas monoksida, iaitu sejenis gas beracun yang boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan yang tertutup. Sejenis unsur lagi yang boleh terhasil melalui penggunaan kenderaan bermotor ialah plumbum, iaitu sejenis bahan kimia yang sangat beracun dan boleh menyebabkan kerosakan otak, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak .
Seterusnya, kita lihat pula kesan pencemaran air.  Saya ambil bukti yang dipetik dari laman web semasa berlaku di Jepun iaitu Teluk Minamata, Jepun. Pencemaran toksik terdapat dalam air menyebabkan simptom kebas-kebas, sakit kepala, kabur penglihatan dan penuturan yang tidak betul. Sesetengahnya berakhir dengan kelumpuhan dan ada yang menemui maut. Simptom yang disebabkan oleh keracunan raksa ini telah membabitkan beratus-ratus keluarga nelayan. Penyakit ini seterusnya dikenali sebagai penyakit Minamata.
Kesan pencemaran bukan sahaja dialami oleh manusia bahkan turut memberikan kesan kepada hidupan yang lain. Antara kesan pencemaran yang banyak membunuh hidupan akuatik di perairan cetek ialah kesan tumpahan minyak ke laut. Apabila tumpahan minyak berlaku dengan banyak berhampiran dengan persisiran pantai, lapisan minyak yang mengancam hidupan laut serta burung terbentuk. Tumpuhan tersebut juga turut menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton yang boleh mengurangkan pembiakan makanan laut dalam jangka panjang akan mengancam sumber pendapatan ataupun periuk nasi nelayan.

Goh:  (angkat tangan)

Lennon: Ya, saudara Goh.

Goh: Minta maaf, saya ingin membuat tambahan atas informasi daripada Saudara Melvin. Antara kesan yang dianggap kronik ialah anomalia, iaitu pembesaran tubuh dan tingkah laku yang tidak normal serta kurang daya ketahanan badan kesan penggunaan sumber air yang tersebut. Demikianlah sedikit banyak pendapat saya Saudara Pengerusi.

Lennon: Terima kasih Saudara Goh dan Melvin. Nampaknya, dampak atau pun impak pencemaran ini bukanlah sekadar berlaku di negara kita yang tidak diselia rapi .Oleh itu, beberapa langkah perlu dikenal pasti untuk mengatasi isu yang serius ini. Saya mempersilakan Saudara Goh memperkatakan langkah-langkah yang telah, sedang dan akan diambil oleh kerajaan.

Goh: Terima kasih dan salam sejahtera semua. Apabila disebut pencemaran yang teruk itu, tentu terfikir di benak kita tiadakah cara untuk mengatasi permasalahan ini. Antara langkah yang telah dilaksanakan ialah menggalakkan orang ramai menggunakan petrol tanpa plumbum bagi kenderaan bermotor. Selain itu, mencari alternatif selain minyak juga adalah penting bagi tujuan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar. Dua bahan alternatif yang dicadangkan ialah gas asli (natural gas) dan propana.
Dewasa ini, kajian bagi menghasilkan minyak enjin biomassa daripada tumbuh-tumbuhan sedang giat dijalankan. Contohnya di negara kita, ahli sains telah pun menemukan sejenis minyak daripada kelapa sawit yang boleh mengurangkan pencemaran udara tanpa menjejaskan kecekapan enjin. Sungguhpun penemuan ini masih terlalu baru untuk dipastikan sama ada minyak ini praktikal ataupun tidak,  alternatif  ini patut dijadikan satu titik permulaan bagi meningkatkan usaha kita ke arah mencapai konsep pembangunan berterusan yang prihatin terhadap persekitaran.

Ng: Bukan sahaja di dalam negara kita, di peringkat antarabangsa, Malaysia dan Indonesia melalui ASEAN telah menyalurkan pandangan mereka mengenai isu-isu Selat Melaka. Satu rancangan yang dikenali sebagai Rancangan Kontigensi Kebangsaan Mengawal Tumpahan Minyak telah diadakan di Jabatan Alam Sekitar. Objektif  kerjasama serantau ini ialah bagi merealisasikan kerjasama serantau untuk membolehkan satu tindakan serta-merta dijalankan bagi mengawal tumpahan minyak yang tumpah di perairan Malaysia . saya rasa itu sahaja  antara langkah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kita bagi menangani isu ini.

Lennon: Hadirin sekalian, demikianlah pandangan ahli panel forum kita pada hari ini. Semoga, segala maklumat yang diperoleh dalam perbincangan ilmu ini memberikan kesedaran kepada kita untuk menjaga alam sekitar. Apa yang nyata ialah pencemaran sebenarnya berlaku kerana hasil kerja tangan-tangan rakus sebahagian daripada kita.  Sewajarnya kita sedar bahawa bumi ini sahajalah tempat tinggal kita. Oleh itu, sama-samalah kita memulihara dan memelihara keindahan alam sekitar kita. Sekian, terima kasih.







Sunday, July 17, 2011

UJIAN BULAN JULAI...

SEMUA PELAJAR SM ST ANTHONY,
SELAMAT MENDUDUKI UJIAN BULAN JULAI 2011 ESOK.

LUPA ATAU PELUPA...

PENGALAMAN 17072011

Setiap manusia dikurniakan akal oleh Allah s.w.t. Maka dengan akal manusia berfikir untuk membezakan baik dan buruk setiap perbuatan mereka. Namun, kadang-kadang akal berfikir di luar jangkauan pemikiran dan kadangkala akal tidak dapat berfungsi dengan baik. Justeru, berlaku masalah pelupa dalam hidup seorang insan yang bernama manusia. Di sini, Cikgunie ingin berkongsi pengalaman yang berlaku pada 17072011. Hari ini merupakan hari yang amat bermakna bagi Cikgunie.
Anak perempuan tunggal Cikgunie telah mewarisi bakat Cikgunie dalam bidang masakan. Oleh itu, beliau telah dipilih oleh guru sekolahnya menyertai pertandingan memasak anjuran MAGGI dan NESTLE. Selalunya sesuatu yang tidak disangka akan berlaku apabila suami Cikgunie berkursus atau tiada di sisi Cikgunie. Hari ini Cikgunie suami Cikgunie berkursus dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Jadi Cikgunie terpaksa menghantar dua orang anak lelaki ke latihan taekwando dan selepas itu terpaksa bergegas ke Sekolah Mmenengah St. Anne tempat pertandingan memasak. Nasib baik jarak antara sekolah anak Cikgunie SK Pekan satu dengan Sekolah Menengah St. Anne tidak jauh. Lagipun SM St. Anne sebelah sekolah Cikgunie sahaja. Dalam mengejar masa pada awal pagi, Cikgunie terambil kunci kereta suami Cikgunie. Oleh sebab malas mahu masuk semula ke dalam rumah, Cikgunie pun terpaksa memandu kereta suami Cikgunie yang sememangnya manual. Terkial-kial jugalah Cikgunie memandu kereta secara manual tetapi mujurlah Cikgunie sampai ke sekolah anak Cikgunie dengan selamatnya.

Cerita seterusnya ialah semasa berpatah balik ke SM St. Anne, ada pemeriksaan polis. Cikgunie terkial-kial memberhentikan kereta. Namun enjin kereta Cikgunie mati tiba-tiba kerana silap masuk gear. Polis trafik itu pun menghampiri Cikgunie lalu meminta lesen memandu dan kad pengenalan. Selamba sahaja Cikgunie memberikan lesen memandu dan kad pengenalan kepada polis trafik itu. Ikuti perbualan Cikgunie dengan polis trafik itu.

“Puan, bila tarikh lesen memandu tamat tempoh?”

“15 Julai.”

“Jadi, lesen Puan dah matilah!”

“Belum.”

“Kat lesen ni tamat tempoh 15 Julai 2011.”

“Memanglah tamat tempoh 15 Julai 2011. Tapi sekarang belum tamat lagi.”

“Puan, hari ni 17 Julai 2011.”

“Haah...biar betul? Hari ni 17 Julai?”

“Ya, Puan! Hari ini 17 Julai 2011.”

“Eh, bukan ke hari ni 12 Julai?”

“12 Julai hari Selasa, Puan!”

“Laaaa...kenapa saya tak perasan haribulan ni?”

“Itu maknanya Puan lupa tarikh. Puan ingat tak harijadi Puan?”

“Ya, lah...saya lupa. Hurrmmm...macam mana ni? Habis saya nak kena saman ke?”

“Tak apalah Puan. Baru dua hari. Tapi puan kena ingat tarikh hari ni sampai bila-bila.”

“Sebab apa pula?”

“Sebab saya tak saman Puan.”

Moral cerita ini ialah sebagai guru zaman globalisasi ini kita tidak pernah menulis tarikh di papan tulis sebagaimana pada zaman persekolahan kita dahulu. Cikgunie ingat lagi, guru-guru Cikgunie dulu-dulu akan menulis hari di sebelah kiri atas sekali di papan tulis dan tarikh di sebelah kanan papan tulis. Selepas itu barulah ditulis tajuk yang akan dipelajari pada hari itu. Oleh itu, murid-murid pada zaman Cikgunie bersekolah dahulu akan ingat dengan jelas tarikh dan hari-hari penting dalam hidup mereka. Lagi satu mengapa Cikgunie lupa ialah faktor usia dan kesihatan. Semakin meningkat usia kita semakin berkurang ingatan kita. Lagi pun Cikgunie telah menjalani empat kali pembedahan semasa melahirkan anak menyebabkan banyak ubat bius telah masuk ke dalam badan Cikgunie. Penggunaan ubat bius juga boleh menyebabkan kita menjadi lupa. Walau apa pun, setiap sesuatu yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Mungkin selepas ini anak Cikgunie boleh jadi Chef yang terkenal? Siapa tahu kerana segalanya berkemungkinan.

Friday, July 15, 2011


ABJAD KEHIDUPAN
            Aku berdiri di sini
            Bukan semata menagih kasih
            Cuma mengharap secebis harapan
            Dunia bukan semata milik insan bercinta
            Esok kita belum ketentuan
            Fana mungkin datang menimpa
            Gulana mungkin datang melanda
            Hancur semuanya
            Itulah takdir yang menetukan
            Jangan ditaburi bumi ini dengan air mata andai
            Kasih kita berakhir
            Lantaran debu-debu yang
            Mencari tempat persinggahan untuk dikotori
            Namun hatiku tetap cekal
            Onak dan duri akan ku rempuh
            Pulau bahagia akan aku teroka
            Quo-vadis bukanlah dasar hidup kita
            Restu ibunda sudah  kau warisi
            Sayang hatimu bukan milikku
            Tuhan merestui cinta murnimu
            Usahalah kau hapuskan kedengkian dunia kerna
            Visa telah kau punya
            Walaupun kau bukan pengembara
            Xenophobia bukanlah dasar hidup kita
            Yakinlah pada diri sendiri
            Zaman ini penuh pancaroba




             ilusirasa : roussenie a.r