Photobucket

Friday, December 27, 2013

TAUBAT SEORANG HAMBA

Kuakui kelemahan diri
Kuinsafi kejahilan ini....



PAGI JUMAAT YANG SYAHDU

Apabila Kebenaran Menjelma,,,,,

Syukur Alhamdulillah. Akhirnya kebenaran terserlah. Terbukti bahawa tohmahan dan tuduhan yang tidak berasas terhadap diriku hanyalah palsu belaka. Aku memanjatkan rasa kesyukuran kepadaMu Ya Allah. Panggilan Puan Jijah Mohamad Suhai di pagi Jumaat yang barakah ini telah merungkai segalanya. Tahun 2013 adalah tahun kesedihan dan tahun paling malang buat diriku. Akhirnya Allah makbulkan jua doa-doaku lewat solat-solatku selama ini. Membawa beban fitnah selama hampir setahun ibarat memikul gunung di kedua-dua belah pundakku. Logikkah aku yang tidak pernah percaya perkara khurafat atau bomoh-bomoh atau sebarang ilmu hitam dituduh mengamalkan ilmu hitam dan sihir? Hebat sangatkah ilmu yang aku miliki hingga mempunyai ilmu seumpama itu? Aku dituduh mengenakan sihir kepada ketua jabatan atau pengetua aku. Aku juga dituduh mengenakan ilmu hitam kepada paderi di tempat aku bertugas. Aku dituduh mengenakan ilmu hitam kepada mantan pengetua aku. Begitu juga dengan beberapa orang guru di tempat aku bertugas. 

Walaupun tiada bukti, tetapi berdasarkan penyakit misteri yamg mereka alami dan setelah mereka berubat dengan bomoh-bomoh, maka mereka mengatakan bahawa orang yang menyihir mereka ialah aku. Tidak semua orang percaya tetapi ramai yang percaya. Sindiran dan kata-kata sinis sering kedengaran di mana sahaja aku berada. Akhirnya aku memencilkan diri. Aku hanya menghadiri mesyuarat dan kursus yang betul-betul perlu sahaja. Aku kehilangan kawan baik kerana kawan-kawan dan orang-orang di sekeliling mula meragui aku. Aku tidak mahu mempertahankan diriku. Aku tahu berani kerana benar. Aku tahu Allah Maha Mengetahui. 

Akhirnya, setelah aku gagal mengawal keadaan dan aku terlalu kecewa dengan apa yang berlaku,  aku mengambil keputusan berpindah dari daerah ini. Aku sanggup berpisah beribu batu dengan insan-insan yang aku sayangi asalkan aku tidak mengalami tekanan yang berterusan. Bumi Tuhan ini luas. Aku percaya rezeki ada di mana-mana.

Andainya benar aku mempunyai dan mengamalkan ilmu hitam, aku boleh buat orang yang aku suka menyukai diriku. Aku boleh buat orang yang benci aku menyukai diriku. Aku juga boleh buat orang yang aku sayang menyayangi diriku. Tetapi aku tidak memiliki keistimewaan luar biasa itu. Malangnya tiada siapapun yang percaya kecuali jiran-jiran dan suamiku sahaja. 

Meniti hari-hari yang berlalu pada tahun 2013 ibarat menyeberangi lautan api. Aku tiada siapa-siapa pun untuk meluah perasaan. Hanya suami aku menjadi pendengar setia. Kawan baik aku juga memutuskan silaturahim dengan aku. Aku tiada siapa-siapa pun. Akhirnya suami aku menyarankan agar aku berpindah dari daerah ini. Permohonan aku mendapat perhatian pihak negeri kelahiranku. 

Namun takdir Tuhan tiada siapa tahu. Dalam suasana kekecewaan hendak membawa hati yang sangat kecewa, Puan Jijah kawan baik aku suatu ketika dahulu menghubungi aku. Walaupun dia antara insan yang tidak percaya aku mengamalkan ilmu sihir tetapi beliau juga terpengaruh dengan dakwaan aku mengenakan ilmu hitam kepada pengetua aku. Sungguh aku tidak tahu tujuan dia menghubungi aku di pagi yang mulia ini...27 Disember 2013...Namun aku terkedu saat dia berbicara....

“Nie, aku faham perasaanmu. Aku juga mengetahui bahawa dirimu menjadi mangsa keadaan. Aku minta maaf banyak-banyak. Aku tahu terlalu sukar bagimu melalui situasi sepanjang tahun ini. Tapi aku benar-benar salute dengan dirimu. Tanpa bantuan sesiapa, kau berusaha menyembunyikan segala kesakitan yang kau alami. Kau buat setakat yang kau mampu. Mentalmu begitu kuat. Aku tidak pernah jumpa orang sepertimu. Kalau aku, sudah lama aku gila dan masuk wad gila. Sekarang baru aku sedar bahawa menjaga hati dan perasaan kawan-kawan sangat penting dalam menjaga hubungan sesama manusia. Kalau kau tak kisah, kami menjemput kau untuk meraikan perpindahan kau ke semenanjung.  Aku nak ajak Adnan sekali. Kami tahu kau tidak bersalah.....”

Aku tersentap dengan ayat-ayat Puan Jijah di pagi yang hening ini.
Namun aku menolak dengan ikhlas.

“Puan. Jijah, cukuplah saya menjaga hubungan saya dengan suami saya, keluarga saya dan ipar duai saya. Saya dah lupa siapakah nama-nama yang Puan. Jijah sebutkan kerana saya rasa saya tak mempunyai kawan-kawan seperti itu. Saya memang tak baik. Mulut saya tiada insurans. Saya tegur apa yang saya rasa tak betul. Saya jenis out spoken. Sebab itu semua orang melabelkan saya ada ilmu hitam. Black magic. Biarlah saya dengan kehidupan saya. Saya ada atau tiada di sini tiada orang yang perasankan saya. Ya, saya mengaku, saya tiada siapa-siapa pun untuk mendengar luahan hati dan perasaan saya. Saya tiada siapa-siapa pun untuk membantu saya di kala saya kesusahan. Yang saya ada ialah Puan Hajah Siti Zahara. Dialah kakak saya, emak saya dan segala-galanya bagi saya....”

Puan Jijah tetap merayu,,,,

“Nie, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Aku sedar sekarang......”
Namun sebelum sempat Puan Jijah meneruskan ayat-ayatnya,,,,

“Puan Jijah, maafkan saya. Saya ada hal. Lain kali kalau ada masa saya call Puan Jijah. Assalamualaikum.”


Apa yang ingin aku sampaikan di sini, kadang kala kita kehilangan kawan-kawan kerana fitnah yang dilemparkan terhadap kita. Kadang kala kita kehilangan kawan kerana kita terlalu “out spoken” menegur tanpa berlapik. Kadang kala kita kehilangan kawan kerana kita meluahkan kebenaran. Sebenarnya walau apa pun alasannya, kawan sejati tetap akan menerima dan memaafkan kesilapan dan kesalahan kita kerana tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Aku tetap mendoakan kesejahteraan kawan-kawanku walau apa pun yang telah mereka lakukan terhadapku. Aku juga pernah melakukan kesilapan. Laut mana yang tidak bergelora, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Semoga Puan Jijah yang rakan-rakan sejawatan aku di daerah ini sentiasa sihat sejahtera dan maju dalam bidang masing-masing. Aku pergi bukan kerana mengalah, tetapi aku pergi demi hidup yang lebih sempurna.

Thursday, December 26, 2013

PERTANIAN ITU PERNIAGAAN


Buah-buahan tempatan seperti durian, manggis, langsat, rambutan, pisang dan sebagainya menjadi pilihan orang ramai. Buah-buahan tempatan terutamanya yang tidak bermusim senang didapati. Buah-buahan bukan sahaja dijual di tepi-tepi jalan, tetapi juga terdapat di pasar-pasar raya.

             
Walau bagaimanapun, buah-buahan import menjadi saingan kepada buah-buahan tempatan ini. Namun, kerajaan berusaha untuk memajukan industri buah-buahan tempatan kerana bidang ini turut menyumbang pendapatan kepada negara.

Kerajaan berusaha membuka ladang-ladang atau kebun-kebun baru untuk ditanami dengan buah-buahan tempatan. Di samping itu, pelbagai pihak terbabit sering membuat penyelidikan untuk mendapatkan baka baru supaya buah-buahan yang dihasilkan bermutu tinggi dan berjaya menembusi pasaran luar.

Dari segi pasaran, FAMA berusaha dengan gigih untuk menjaga kepentingan pengusaha buah-buahan tempatan. Kesukaran menjual buah-buahan, terutama pada musim kemuncak mendatangkan masalah besar kepada pekebun. Kerajaan juga melancarkan kempen untuk memastikan buah-buahan tempatan tidak terpinggir. Di samping itu,setiap tahun diadakan pesta buah-buahan tempatan supaya buah-buahan tempatan mendapat perhatian dan tempat yang sewajarnya.

Kerajaan juga menggalakkan para pekebun mengusahakan tanah terbiar dengan menanam buah-buahan tempatan. Bidang ini berpotensi tinggi dan akan mendatangkan pulangan yang lumayan.

Namun, bidang pertanian seperti penanaman getah, kelapa sawit, kopi, koko, kelapa dan lain-lain turut menyumbang kepada pendapatan negara. Oleh itu, kerajaan telah memberi bantuan kepada pekebun-pekebun kecil seperti Cikgunie. Alhamdulillah, rezeki tetap ada bagi orang-orang yang rajin berusaha.

                                                                                           

PERSIAPAN ASRAMA ANAK-ANAK SEBELUM BUKA SEKOLAH 2014

KEPERLUAN ASRAMA ANAK LELAKI



KEPERLUAN ASRAMA 
ANAK PEREMPUAN






KITAB-KITAB UNTUK MURID TINGKATAN 1 DI SEKOLAH AGAMA WILAYAH PERSEKUTUAN

Kitab-kitab yang perlu dibaca, dihafal dan dihayati oleh anak Cikgunie yang bakal menjejakkan kaki ke Tingkatan 1 di Sek. Men. MAIWP.....










Surah Al-Mulk Untuk Tenangkan Hati

PERCUBAAN PERTAMA BUAT VIDEO SENDIRI, RAKAM SENDIRI, SUARA SENDIRI.....
BANYAK KELEMAHAN YANG PERLU DIPERBAIKI DAN DIBETULKAN....
USAHA LAGI KERANA DI MANA ADA KEMAHUAN DI SITU ADA JALAN.

Tuesday, December 24, 2013

ALIRAN TINGKATAN 4

Cikgunie mengucapkan tahniah kepada adik-adik yang baru mendapat keputusan PMR. Walau berapa A atau walau tiada A langsung dalam keputusan yang diperoleh, Cikgunie mengucapkan tahniah kerana adik-adik tetap akan melanjutkan pelajaran ke tingkatan 4. Semua sekolah menawarkan beberapa aliran untuk adik-adik pilih berdasarkan keputusan PMR adik-adik. 
Antara kursus yang boleh adik-adik pilih ialah;


Mata Pelajaran Wajib
Bahasa Melayu
Bahasa Inggeris / GCE O Level English
Pendidikan Islam - Untuk pelajar beragama Islam
Pendidikan Moral - Untuk pelajar bukan Islam
Sejarah
Mathematics / Matematik
Science / Sains - Untuk Aliran Sastera, Perdagangan dan Kesenian sahaja.

SUBJEK TAMBAHAN
Aliran Sains Tulen
Additional Mathematics / Matematik Tambahan
Physics / Fizik
Chemistry / Kimia
Biology / Biologi
English for Science and Technology

Aliran Sains Tulen Agama
Additional Mathematics / Matematik Tambahan
Physics / Fizik
Chemistry / Kimia
Biology / Biologi
English for Science and Technology
Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah
Pendidikan Syariah Islamiah
Tasawwur Islam (Gambaran Islam)
Bahasa Arab Tinggi

Aliran Sains Kemanusiaan
Additional Maths / Matematik tambahan
Physics / Fizik
Chemistry / Kimia
Biology / Biologi
English for Science and Technology
Prinsip Perakaunan
Ekonomi Asas
Perdagangan
Geografi

Aliran Iktisas
Additional Mathematics / Matematik Tambahan
Science / Sains
Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah
Pendidikan Syariah Islamiah
Tasawwur Islam (Gambaran Islam)
Prinsip Perakaunan
Ekonomi Asas
Perdagangan
Bahasa Arab Tinggi

Aliran Perdagangan
Additional Mathematics / Matematik Tambahan
Additional Science / Sains Tambahan
Prinsip Perakaunan
Ekonomi Asas
Perdagangan

Aliran Kesusasteraan dan Kesenian
Additional Science / Sains Tambahan
Geografi
Kesusasteraan Melayu
Literature in English
Kesusasteraan Cina
Kesusasteraan Tamil
Pendidikan Seni Visual
Ekonomi Rumah Tangga
Pendidikan Muzik

Mata Pelajaran Tambahan
Bahasa Cina
Bahasa Tamil
Bahasa Arab Komunikasi
Bahasa Punjabi
Bahasa Perancis
Bahasa Iban
Pengetahuan Sains Sukan
Sains Pertanian
Mata pelajaran Teknikal
Reka Cipta
Teknologi Maklumat