Photobucket

Tuesday, December 24, 2013

SISTEM GRED DAN MARKAH SEMUA MATA PELAJARAN SPM

MARKAH
GRED
CATATAN
0
TH
TIDAK HADIR
1-39
G
GAGAL
40-44
E
LULUS BAWAH
45-49
D
LULUS ATAS
50-59
C
KEPUJIAN BAWAH
60-64
C+
KEPUJIAN ATAS
65-69
B
BAIK BAWAH
70-74
B+
BAIK ATAS
75-79
A-
CEMERLANG BAWAH
80-89
A
CEMERLANG
90-100
A+
CEMERLANG ATAS

MEMBURU RINDU

Terasakan langkahmu makin laju
Melangkah batas rindu
Dan aku pun memburu
Mentari yang jauh....

Monday, December 23, 2013

DENDAM, DOSA DAN DOA

Sekadar Renungan,,,,

Hati ialah lubuk perasaan. Segala-galanya bermula dari hati. Jika hati gembira, riak wajah kita akan diselimuti dengan senyuman sepanjang masa. Jika hati dilukai, riak wajah yang muram akan menghilangkan kecantikan diri. Namun jika hati disakiti, wajah akan menampakkan reaksi yang pelbagai. Rasa sakit hati akan dilampiaskan melalui emosi, fizikal dan rohani. Semua perbuatan menjadi serba tidak kena sehinggalah muncul bisikan-bisikan untuk membalas dendam. Hal ini demikian kerana dalam kehidupan kita di dunia yang fana ini saban waktu kita menerima ujian dan dugaan daripada Yang Maha Esa. Ada masa kita dizalimi, disakiti, difitnah, dan pelbagai bentuk ujian lagi. Hati kita disakiti oleh orang yang kita percayai yang sanggup memalukan kita kerana wasangka yang keterlaluan terhadap kita. Dugaan pula datangnya daripada orang yang tidak senang melihat kebahagiaan, kelebihan dan kesenangan yang kita miliki. Mereka yang berhati busuk, iri hati dan penuh hasad ini akan menabur fitnah, memalukan kita dengan pelbagai cara dan membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.

         Sebagai manusia biasa, kadang kala kita akan mengambil jalan singkat untuk menangani keadaan ini. Membalas dendam adalah pilihan utama. Hal ini berlaku kerana kita  kurang nilai kesabaran lantas memikirkan usaha untuk membalas dendam. Dalam melaksanakan misi membalas dendam, kita lupa dosa dan pahala. Kita sanggup berbuat apa sahaja hatta menggadaikan maruah asalkan dendam kita tertunai walaupun mengambil masa yang lama. Akhirnya, apa yang kita dapat selepas kita membalas dendam terhadap orang yang menyebabkan kita dimalukan dan dizalimi? Tidak lain dan tidak bukan hanyalah dosa. Dosa yang terpalit tidak mungkin hilang dalam sekelip mata. Dari satu dosa akan timbul lagi dosa yang lain akibat dendam. Perbuatan membalas dendam adalah dosa yang boleh mengheret kita ke neraka. Sepatutnya apabila kita dilanda musibah seperti dimalukan atau dizalimi kerana sifat kita yang terlalu naïf, kita kena banyakkan bersabar dan bersyukur menerimanya sebagai ujian. Ingatlah, Allah sentiasa bersama-sama dengan orang yang dizalimi.

Berdoa dan menyerahkan segala ketentuan takdir kepada Allah SWT adalah sebaik-baik perbuatan. Apabila kita dizalimi, disakiti, dimalukan dan sebagainya,   kita hendaklah perbanyakkan doa kepada Allah SWT agar memberi hidayah kepada orang yang menzalimi kita. Doa-doa orang yang dizalimi akan cepat dimakbulkan Tuhan. Jika hari ini kita dizalimi, hari esok Allah akan membalas perbuatan orang tersebut dengan lebih dahsyat lagi. Tetapi semua itu boleh berlaku apabila kita memanjatkkan rasa syukur atas ujian yang menimpa kita dan kita sentiasa berdoa agar Allah memberikan balasan atau hidayah kepada orang tersebut. Kita perlu ingat, bukan tugas kita memberi hukuman kepada orang yang menzalimi kita, sebaliknya ada yang lebih berkuasa daripada kita, iaitu Allah SWT. Apabila kita mengambil wuduk, solat dan mengangkat kedua-dua belah tangan kita ke atas seusai solat, berdoalah dan mintalah apa sahaja yang kita ingini daripada Allah Yang Maha Esa kerana Dialah tempat kita meminta.

Dendam akan mewujudkan dosa. Dosa pula akan menjadi titik hitam di dalam hati. Untuk mengelakkan kita diburu dosa-dosa kerana dendam, tingkatkan kesabaran dalam diri dan berdoalah banyak-banyak agar Allah memberi taufik dan hidayah serta balasan kepada orang yang menzalimi dan menganiaya kita. Ingat, janji Allah itu pasti! Cuma cepat dan lambat sahaja Allah memakbulkannya. 

Sunday, December 22, 2013

CONTOH KARANGAN PERBINCANGAN

Penculikan dan pembunuhan kanak-kanak sering dikaitkan dengan kelalaian ibu bapa. Apakah punca dan langkah mengatasinya? Bincangkan.

Pertubuhan Buruh Antarangsa (ILO) menganggarkan RM48 billion setahun diperoleh daripada sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak yang menjadikan jenayah penyeludupan manusia adalah yang ketiga terbesar di dunia selepas penyeludupan dadah dan senjata api. Secara purata, sebanyak 3.5 kes kanak-kanak hilang dilaporkan dalam sehari dan hampir 80 peratus kes tersebut membabitkan kanak-kanak perempuan. Ada kanak-kanak yang hilang ini ditemui sama ada dalam keadaan selamat ataupun telah meninggal dunia. Amat memilukan apabila kanak-kanak yang hilang itu ditemui mati dibunuh selepas dirogol.

Mengapa mesti kanak-kanak? Kanak-kanak ialah makhluk Tuhan yang unik. Tidak pernah kita melihat kanak-kanak yang tidak boleh tidur malam kerana memikirkan masalah hutang dua ringgit kepada kawannya. Tidak pernah juga kita melihat kanak-kanak yang tidak lalu makan apabila surat cinta yang diletakkan di bawah meja budak perempuan kelas sebelah, tidak berbalas. Kanak-kanak, lebih-lebih lagi dari kategori 7 tahun ke bawah adalah golongan yang paling tidak stress di atas muka bumi ini. Dunia mereka seakan-akan bebas dari sebarang masalah.Keadaan fizikal dan pemikiran yang belum matang menyebabkan kanak-kanak lebih mudah diculik atau dilarikan berbanding lelaki dan wanita dewasa.

Undang-undang Dunia (International Laws) mendefinisikan kanak-kanak sebagai mereka yang berumur bawah 18 tahun. Sama ada bayi sehingga yang berumur 18 tahun, kanak-kanak boleh menjadi mangsa aktiviti jenayah pemerdagangan manusia yang bergantung kepada bentuk ekploitasi yang dikehendaki. Contohnya, remaja kebiasaannya digunakan untuk pelacuran atau ekploitasi seks, kanak-kanak bawah 10 tahun digunakan untuk meminta sedekah, manakala bayi dijual terutama kepada keluarga yang tidak mempunyai anak

Terkedu dan terhenti degupan jantung melihat senarai nama mangsa kanak-kanak yang diculik dan tragisnya cara mereka meninggalkan dunia yang fana ini. Bukan salah ibu mengandung tetapi salah siapa jika acuan tidak menjadi seperti yang diingini. Tergamak seorang insan meragut nyawa anak-anak kecil ini dengan cara paling kejam dan tidak bertamadun. Di mana silapnya kanak-kanak yang tidak berdosa ini diperlakukan sesuka hati manusia yang bertopengkan syaitan. Menilik nama mangsa remaja dan kanak-kanak yang menjadi mangsa penculikan tidak berperikemanusiaan ini membuat hati kita tertanya-tanya. Tidak mengira kaum dan bangsa mahupun umur dan usia. Mengapa perlu berlaku keadaan sedemikian sedangkan negara kita telah diisytiharkan sebagai negara ke-19 paling aman di dunia. Di manakah nilai dan intergriti masyarakat madani yang berjiwa luhur di negara kecil ini? Sudah terang lagi bersuluh, punca jenayah penculikan ini dilakukan oleh individu yang bermasalah jiwa dan mental serta tidak boleh dikenal pasti kerana individu ini kelihatan normal dan hidup bebas dalam masyarakat. Paling sadis kehilangan kanak-kanak dan remaja yang diculik ini adalah akibat kecuaian dan kealpaan ibu bapa mereka sendiri.

Setiap kali berita mengenai kanak-kanak hilang dilaporkan, perkara pertama yang ditanya ialah ‘bagaimana  anak kecil itu boleh hilang?’.
Jika mangsa hilang semasa bermain seorang diri di taman, atau semasa ke kedai seperti diarahkan ibu bapa, tidakkah ia menggambarkan kecuaian ibu bapa? Kehidupan kanak-kanak yang sentiasa riang gembira boleh bertukar tragedi apabila ibu bapa mengabaikan aspek keselamatan anak-anak mereka. Kanak-kanak tidak seharusnya dibiarkan keluar bersendirian tanpa ditemani ahli keluarga. Jangan sudah terhantuk baru terngadah kerana kesilapan yang sedetik ini akan menyebabkan penderitaan sepanjang hayat.


Ironinya,  ibu bapa yang sering meninggalkan anak-anak bermain sendirian di taman permainan atau di rumah tanpa pengawasan orang yang lebih dewasa mudah terdedah kepada jenayah penculikan. Penculik, biasanya sudah mengamati mangsa culik dua atau tiga minggu sebelum menculik kanak-kanak terbabit. Oleh itu, penculik sudah tahu pada waktu bila kanak-kanak itu akan dibiarkan bersendirian. Saat itu, penculik akan mendekati kanak-kanak terbabit dengan menghulurkan sekotak coklat atau ais krim untuk menjerat mangsa. Sangat senang untuk menculik kanak-kanak yang dibiarkan atau ditinggalkan bersendirian di rumah atau di padang permainan kerana mereka sangat mempercayai orang yang baru dikenali. Sebagai contoh, taman permainan kanak-kanak pada waktu ketika dahulu dikatakan tempat yang selamat untuk kanak-kanak bermain tetapi air yang tenang, jangan disangka tiada buaya kerana kini, taman permainan kanak-kanak menjadi sasaran utama penculik. Umum mengetahui, millineum baru ini pasti sahaja sarat dengan muatan cabaran reformasi dan kita haruslah berhati-hati dalam setiap langkah. Oleh itu, kecuaian yang melibatkan ibu bapa tidak harus dipandang enteng oleh semua lapisan masyarakat.

Ibu bapa yang sering menyuruh kanak-kanak pergi ke kedai membeli barang atau keperluan kecil juga mendedahkan anak-anak mereka kepada jenayah penculikan kanak-kanak. Kanak-kanak yang mempunyai hati yang suci dan bersih tidak akan bersikap buruk sangka terhadap orang-orang yang baru dikenali. Mereka mudah mengikut orang yang tidak dikenali untuk menumpangkan mereka ke kedai atau ke pasar malam. Sikap kanak-kanak seperti inilah yang menyenangkan urusan penculik untuk menculik kanak-kanak bukan sahaja untuk dibuat tebusan tetapi juga untuk dijual bagi mendapatkan keuntungan segera. Kebanyakkan kes hilang membabitkan mangsa keluar bersendiri tanpa pengawasan orang dewasa. 

Sifat kanak-kanak ialah mudah terpesona dan berpuas hati dengan benda-benda kecil dari semut di lantai, cicak di siling, sehinggalah kapal terbang di awanan. Mereka mudah terpesona dengan semua benda-benda yang dipandang remeh oleh orang dewasa. Mereka jarang cerewet dan jarang merungut dengan apa yang diberikan oleh ayah atau ibu mereka. Kanak-kanak juga mudah mempercayai orang lain kerana sifat naif mereka. Nurul Nadirah Abdullah adalah contoh  mangsa dalam kes kehilangan kanak-kanak yang keluar membeli barang (maggi) di kedai berhampiran rumahnya. Kisah Nurul Nadirah adalah kesinambungan kes kehilangan kanak-kanak berumur di bawah sepuluh tahun. Kanak-kanak lain yang hilang kerana keluar bersendirian ialah Adam Shah, Sharlinie, R. Dass, Lee Xin Ru, Muhamad Asmawi dan Nurul Afifah Syawani Sahran. Kesemua mereka masih belum ditemui hingga ke hari ini.

Zaman muasir ini, kita mengetahui sikap masyarakat hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mengenal jiran sebelah-menyebelah adalah salah satu punca penculikan kanak-kanak. Nilai-nilai material yang semakin memberkas dan bercambah dalam masyarakat bak cendawan tumbuh selepas hujan telah menghakis nilai-nilai murni. Sebagai contoh, sikap jiran yang tidak mementingkan anak jiran di sebelah ketika ibu bapanya keluar bekerja jelas ditonjolkan. Hal ini sekali gus menyebabkan kanak-kanak bermain tanpa pengawasan orang dewasa. 

Umum mengetahui, kanak-kanak diibaratkan seperti akar sebuah pokok yang memiliki jiwa yang dipenuhi keseronokan dan tidak memiliki pemikiran yang matang. Dalam fragmen ini, masyarakat yang lalai dibuai instrumen kebendaan menyebabkan mereka tidak mengambil tahu akan hal yang berlaku di sekeliling mereka. Seperti “enau di dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing menjelaskan lagi integrity dan mentality masyarakat Malaysia pada masa ini. Lorong-lorong dan ruang-ruang jenayah penculikan terbuka luas seperti gerbang langit ke tujuh apabila masyarakat pada masa ini leka mengejar material dan bersikap induavidualistik. Jelas di sini bahawa masyarakat yang tidak bertanggungjawab juga mendorong permasalahan ini. Benarlah kata-kata tokoh yang bijaksana Albert Einstein, “Sungguh sedikit mereka yang melihat dengan mata mereka sendiri dan merasakan dengan hati mereka sendiri.”

Punca lain yang menyebabkan kehilangan kanak-kanak berlaku ialah masalah institusi kekeluargaan. Pada masa ini, banyak kes perceraian berlaku sehingga menyebabkan anak-anak terabai. Ibu bapa yang hanya mementingkan diri sendiri mula mengabaikan tanggungjawab dan hanya melepaskan batuk di tangga. Anak-anak yang kurang kasih sayang ini hanya diberikan wang dan diberikan kebebasan. Oleh itu, anak-anak khususnya yang berumur 15 tahun ke bawah yang masih belum matang berpotensi untuk ditipu dan diculik. Sekiranya masalah ini berlaku, ibu bapa yang patut dipersalahkan kerana mereka yang menjadi punca anak-anak menjadi mangsa penculikan, rogol dan pembunuhan. 

Ketandusan masyarakat penyayang juga menyebabkan punca kepada tragedi kehilangan kanak-kanak. Kemerosotan nilai agama, kenanaran budi bahasa menyebabkan ramai masyarakat yang menjadi pemburu hendonisme atau melakukan segala kejahatan sehingga sanggup seseorang menculik kanak-kanak yang tidak berdosa. Kanak-kanak dijadikan lubuk emas atau sasaran penculik dan dijual kepada sindiket tertentu di negara jiran untuk dijadikan peminta sedekah dan buruh paksaan. Sikap pihak yang tidak berperikemanusiaan ini amat membimbangkan negara, lebih-lebih lagi ibu bapa. Hal ini demikian kerana, bukan sahaja ibu bapa berasa kehilangan terhadap anak tercinta, malah negara juga akan kehilangan aset yang amat berharga.

Latar belakang penculik juga menggambarkan betapa tahap pendidikan yang rendah adalah punca jenayah culik meningkat. Penculik yang tidak mempunyai pekerjaan tetap tetapi sering mengimpikan kehidupan mewah akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang untuk mendapatkan kekayaan dengan cara yang paling mudah. Sebagai contoh, pada perbicaraan kes tiga lelaki yang didakwa menculik Nayati di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, Brickfields di sini, kira-kira pukul 7.30 pagi pada 27 April, 2012. Tiga tertuduh tersebut Chong Tat Siong, 24, yang bekerja sendiri dan dua rakannya, Foong Khar Fai, 20, seorang jurujual telefon bimbit, Lee Phak Seng, 34, seorang penggangur dan seorang lagi yang masih bebas didakwa mengikut Seksyen 3, Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidupserta sebatan, jika disabit kesalahan. 

Keciciran dalam pendidikan akan menyebabkan seseorang individu itu membesar dalam lingkaran jenayah jalanan.  Apa yang mampu mereka lakukan untuk menjadi kaya dengan jalan yang mudah ialah menculik kanak-kanak untuk dijadikan tebusan atau dijual kepada sindiket pelacuran atau sindiket pemerdagangan orang. Selagi nafsu beraja di mata dan bersultan di hati, selagi itulah jenayah penculikan ke atas kanak-kanak akan bermaharaja lela dan membarahi masyarakat di negara kita.

Berbeza dengan dekad 80-an dan awal 90-an, kanak-kanak diculik untuk diminta wang tebusan. Selepas mendapat wang tebusan itu, penculik akan membebaskan mangsa culik dalam keadaan selamat dan masih bernyawa. Berbanding dengan kes penculikan di era langit terbuka ini, penculik seakan tidak mempunyai agenda ketika menculik kanak-kanak tersebut. Selepas menculik kanak-kanak malang itu, barulah penculik itu akan bertindak di luar batas kemanusiaan terhadap mangsa culik.   Di samping itu, masalah psikologi atau mental turut menjadi salah satu punca kejadian kehilangan kanak-kanak yang berlaku. Perkara ini demikian kerana mengikut statistik, kebanyakan kes kehilangan kanak-kanak berkaitan dengan kes rogol dan bunuh.

Keadaan ini boleh berlaku kerana terdapat segelintir individu yang memandang kanak-kanak seperti seseorang wanita yang pernah menolak cintanya. Hal ini terjadi berikutan dengan individu tersebut yang menyimpan perasaan dendam, sedih dan takut yang tidak terkawal ataupun mengalami penyakit jiwa. Oleh itu, pesakit ini berpotensi untuk membayangkan seseorang yang dilihatnya seperti seorang yang sentiasa berada dalam fikirannya. Kes seperti inilah yang akan menyebabkan kanak-kanak akan diculik, dirogol dan terus dibunuh sebagai mangsa keadaan. Hal ini sekali gus mencerminkan generasi yang muflis dan tercabut akar tradisinya sehingga nilai perikemanusiaan bertukar menjadi nilai yang nanar dan babar. Demi mendepani realiti dunia baru yang pantas dan berkembang, kita haruslah membongkar kepincangan untuk mengenal pasti langkah-langkah yang dominan untuk membendung tragedi ini kerana jangan sampai ”nasi sudah menjadi bubur’’.

Langkah-langkah yang dominan lagi efektif telah dilakukan bagi mengekang jenayah penculikan dalam kalangan kanak-kanak di negara kita. Antaranya ialah penguatkuasaan undang-undang. Mengikut  Seksyen 3, Akta Culik 1961 membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika disabit kesalahan. Sebagai contoh, pada 5 April 2013, Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadap penculik ibu dan anaknya yang berusia 6 tahun pada 2008 yang menuntut wang tebusan sebanyak RM2.03 juta. Penculik bernasib baik kerana 2 lelaki itu terlepas hukuman mati atau penjara seumur hidup.  

   Sementelahan itu, penguatkuasaan undang-undang merupakan alternatif yang ampuh untuk membanteras gejala tersebut. Hal ini demikian kerana hukuman yang ketat berupaya memperingatkan orang ramai supaya tidak menganiaya kanak-kanak kita. Mereka yang mencabuli, memperkosa, menculik dan mendera kank-kanak perlu dijatuhi hukuman yang berat, seperti hukuman penjara mandatori, human sebat malar-malar hukuman gantung sampai hati. Hukuman yang maksimum dapat menyebabkan golongan yang sering mendampingi syaitan itu berasa serik untuk melakukan kesalahan tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak polis juga perlu membuat siasat dengan cepat dan segera. Sindiket perdagangan manusia harus dibendung dengan segera. Alangkah malangnya, terdapat kanak-kanak yang diculik ke negeri Thai dan Indonesia telah dicacatkan untuk menjadi pengemis . Oleh itu, pihak penguat kuasa perlu melaksanakan tugas mereka dengan komitmen supaya nyawa anak yang comel tidak diragut oleh manusia yang tidak waras.

            Polis Pulau Pinang telah melancarkan Ops Sayang III pada 27 Februarui 2013, bagi mengesan beberapa lagi sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak yang aktif di sekitar negeri ini. Peranan pihak polis amat berkait rapat dalam isu kehilangan bayi dan kanak-kanak. Selain itu, pelbagai langkah yang proaktif lagi praktikal perlu diambil dengan meningkatkan kawalan keselamatan. Pihak penguat kuasa seperti pihak polis perlu membuat rondaan di kawasan-kawasan hitam atau lebih dikenali sebagai kawasan yang sering berlakunya jenayah seperti di lorong-lorong kedai atau di jalan-jalan yang sunyi. Dengan cara yang lebih moden, pihak kerajaan seharusnya memasang kamera litar tertutup (cctv) di kawasan-kawasan tersebut agar dapat merakamkan sebarang jenayah yang berlaku, seperti penculikan kanak-kanak. Hal ini dapat memastikan kes kehilangan kanak-kanak dapat diatasi dan dikurangkan.

         Langkah seterusnya untuk mengurangkan kejadian kehilangan kanak-kanak adalah dengan mengadakan kempen kesedaran. Antara kempen yang boleh dianjurkan oleh pihak kerajaan atau mana-mana badan NGO ialah kempen ”Sayangilah Anak Anda”. Melalui kempen ini, banyak nilai murni yang boleh diterapkan, bukan sahaja kepada ibu bapa, malahan kepada setiap mesyarakat sekeliling. Antara budaya yang boleh diterapkan dalam setiap diri masyarakat ialah budaya “anak orang, anak kita”. Slogan ini bermaksud, walaupun kanak-kanak yang dilihat berseorangan tanpa arah tujuan, bukanlah anak kita, seharusnya sebagai anggota masyarakat, kita sepatutnya melindungi kanak-kanak tersebut daripada sebarang bahaya.

Rentetan daripada beberapa kes kejadian culik kanak-kanak yang berlaku sejak akhir-akhir ini, Polis Pahang sisipkan beberapa tips-tips bagi mengelakkan anak anda daripada menjadi mangsa kejadian culik . Antaranya “Katakan TIDAK!!” kepada orang yang tidak dikenali. Kebiasaannya, orang yang tidak dikenali akan mengambil kesempatan dengan menghulurkan gula-gula dan hadiah atau mereka-reka cerita untuk menarik perhatian kanak-kanak. Nasihatkan anak anda untuk katakan tidak atau tolong jangan ganggu saya dan tinggalkan tempat itu secepat mungkin. Jangan mengambil apa-apa daripada orang yang tidak dikenali tanpa kebenaran ibu bapa. Selain itu, pastikan anak anda menghafal nombor-nombor penting seperti nombor telefon rumah atau nombor telefon bimbit anda. Hal ini dapat membantu sekiranya anak ini hilang atau terpisah daripada keluarga.

Pakai Pakaian Berwarna Cerah ketika keluar membeli-belah bersama keluarga. Pakai pakaian yang berwarna cerah atau yang senang dikenali oleh ibu bapa. Ini akan memudahkan anda mencari mereka ketika berada di tengah-tengah kelompok orang ramai terutamanya di pusat membeli belah. Warna yang dicadangkan adalah warna terang seperti oren, merah, kuning dan sebagainya. Ajarlah anak-anak kita menjerit Untuk Minta Bantuan. Ajar anak anda sekiranya ada orang menariknya menaiki kereta atau memasuki bangunan secara paksa, jeritlah sekuat hati; “tolong! Saya tidak kenal orang ini!” penculik tidak dapat bertindak sekiranya ramai orang yang memerhati. Luangkanlah masa dan Sentiasa menemani anak-anak. Keselamatan anak-anak akan lebih terjamin sekiranya mereka didampingi teman atau sekumpulan rakan-rakan. Orang yang tidak dikenali suka menghampiri kanak-kanak yang berseorangan. Jadi, jangan biarkan anak anda tanpa ditemani sesiapa. Ibu bapa, kakak, abang atau kawan-kawan boleh dijadikan teman (buddy).
    
    Untuk menangani masalah ini daripada terus menjalar, ibu bapa memainkan peranan yang signifikan untuk menyelamatkan cahaya mata yang dianugerahkan oleh Tuhan. Dalam konteks ini, ibu bapa harus sentiasa memastikan bahawa anak mereka tidak lari daripada perhatian mereka ketika berada di tempat awam, terutamanya di pasar malam, pasar raya dan pusat beli belah. Kebanyakan kes kehilangan anak adalah berada di lokasi yang penuh dengan orang ramai, terutama ketika jualan murah diadakan kerana ibu bapa sibuk membeli belah. Ibu bapa perlu mengajar anak mereka serba sedikit pendidikan seks, iaitu bahagian aurat badan mereka yang tidak boleh disentuh oleh orang lain. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka supaya menolak ajakan atau pujukan orang yang tidak dikenali walaupun terdapat gula-gula yang enak. Dalam masa yang sama, ibu bapa bertanggungjawab untuk memastikan anak mereka tidak berseorangan sama ada di rumah atau di luar rumah. Contohnya adik Nurin Jazlin membeli sesuatu di pasar malam sehingga tidak pulang untuk selama-lamanya. Tegasnya ibu bapa perlu memikul tanggungjawab untuk menjaga keselamatan anak kecil mereka.

    Selain itu, media massa perlu mendukung kewajipan untuk mencelikkan masyarakat kita supaya peka terhadap isu ini. Media massa terutamanya media elektronik mempunyai pengaruh yang kuat sekali terhadap masyarakat kita. Dalam situasi ini, pihak televisyen dan akhbar perlu menyiarkan rencana atau rancangan yang berkaitan supaya masyarakat kita, khasnya pengusaha tabika dan ibu bapa mengambil tindakan yang drastik untuk mengelakkan anak buah mereka daripada menjadi mangsa kepada manusia yang berjiwa binatang buas. Siaran daripada media massa dapat segera memancing perhatian dan kerjasama daripada masyrakat untuk menghulurkan bantuan bersama-sama demi menyelamatkan budak yang hilang atau kena culik. Dalam masa yang sama, media elektronik patut menyekat rancangan ganas yang dapat mempengaruhi orang ramai sehingga menbangkitkan nafsu yang dikutuk oleh Tuhan. Bahan lucah yang berkaitan dengan seksual kanak-kanak harus dilarang sama sekali sama ada dalam cakare padat digital cetak rompak ataupun dalam internet. Adegan keganasan akan terserap ke dalam jiwa yang kedangkalan keimanan. Senarionya, unsur keganasan akan diterjemahkan terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa. Natijahnya, semua media perlu menghalang rancangan yang berunsur ganas dan berusaha menginsafkan masyarakat kita untuk menyelamatkan kanak-kanak kita daripada menjadi mangsa.

        Kesimpulannya, masalah kehilangan kanak-kanak di negara ini perlulah dikurangkan dengan adanya kerjasama antara semua pihak. Hal ini demikian kerana anak-anak ialah harapan nengara yang paling berharga pada masa depan bak mutiara kata pemuda tiang agama, pemudi tiang negara. Tanpa aset yang berharga ini, negara akan menanggung kerugian yang besar. Oleh itu, ibu bapa khususnya berperanan penting untuk memastikan anak-anak hidup bahagia, selamat dan terjamin keselamatannya. Umpama pintu rumah yang dikunci berbanding pintu rumah terbuka luas. Yang mana lebih mudah dimasuki pencuri? Tepuk dada tanya selera kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

WANITA DAN PERHIASAN

Tema hari ini lari sedikit daripada persoalan tentang bahasa. Namun masih lagi membicarakan sesuatu tentang kehidupan manusia. Lumrah manusia yang diciptakan Tuhan terdiri daripada lelaki dan perempuan. Naluri seorang lelaki an seorang perempuan amat berbeza ibarat langit dengan bumi namun mereka saling memerlukan. Lelaki memerlukan wanita begitu juga wanaita amat memerlukan lelaki sebagai pasangan mereka. Naluri wanita lebih kepada kecantikan, penampilan dan kesempurnaan manakala lelaki pula lebih mementingkan keegoan, kesombongan dan kemegahan. Oleh itu, setiap wanita tertarik dengan semua bentuk perhiasan sama ada perhiasan diri, rumah tangga dan anak-anak. Maka emas dan wanita tidak dapat dipisahkan.

Emas merupakan salah satu barang kemas yang menjadi idaman setiap wanita. Memiliki barang kemas seperti emas sangat menggembirakan hati seorang wanita. Hal ini demikian kerana emas aalah lambang kesempurnaan dan keunggulan seorang wanita. Seorang suami yang baik hati akan sering menghadiahkan barang kemas seperti emas kepada isteri mereka. Bagi suami yang kurang mampu pula, berusaha menghadiahkan isteri mereka sebentuk cincin atau seutas gelang 2-3 tahun sekali akan menambahkan kesetiaan isteri mereka. (Betul ke?)...hehehe

Di sini, para isteri tidak perlu menyusahkan para suami menghadiahkan gelang, cincin atau rantai emas setaahun sekali kepada kita. Kita boleh berusaha sendiri untuk mendapatkannya. Melalui bisnes emas online seperti http://www.powergold.biz.com kita bolehe menjana pendapatan melalui perniagaan emas di samping kita dapat melaram. Barang kemas dan semua bentuk perhiasan seperti berlian, emas dan batu-batu permata dapat menambahkan keyakinan seseorang wanita di samping dapat menonjolkan penampilan yang menawan.

Oleh itu, jom sertai para usahawan emas yang semakin mendapat tempat di negara kita. Ingat, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Emas adalah pelaburan masa hadapan. Emas juga dapat digunakan semasa kesusahan. Emas sangat berharga ibarat masa itu emas, janganlah kita berlengah melakukan sesuatu yang orang anggap mustahil kerana tiada sesuatu yang mustahil di dunia ini.

Saturday, December 21, 2013

PERSIAPAN PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK 2014

Alhamdulillah....
KELENGKAPAN SEKOLAH AGAMA MAIWP

BELUM LENGKAP PAKAIAN ANAK PEREMPUAN DAN 2 LAGI ADIKNYA 

KELENGKAPAN YANG BELUM LENGKAP 4 ORANG ANAK CIKGUNIE

Tahun 2013 akan sampai ke penghujungnya pada minggu hadapan.
Pejam celik pejam celik tahun 2013 akan berakhir tidak lama lagi. Para ibu bapa dan anak-anak yang akan memasuki sesi persekolahan pada tahun 2014 tentu sedang sibuk membuat persiapan sejak awal Disember lagi. Begitu juga Cikgunie. 
Tahun 2014, 3 orang anak Cikgunie berada di sekolah menengah. Alhamdulillah, anak ketiga Cikgunie walaupun tidak mendapat 5A dalam UPSR tetapi beliau cemerlang dalam UPSRA dan mendapat 7A. Oleh itu, beliau ditawarkan ke sekolah berasrama penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan untuk sesi 2014. Cikgunie menerimanya dengan syukur yang tidak terhingga kepada Yang Maha Esa kerana walaupun Cikgunie pernah buat kesilapan dalam hidup Cikgunie tetapi Allah masih menyayangi Cikgunie dengan tidak menimpakan musibah kepada anak-anak Cikgunie. Maka, sepanjang cuti ini Cikgunie sibuk menguruskan persiapan untuk persekolahan anak-anak Cikgunie untuk sesi 2014. Rupanya anak ketiga Cikgunie paling cepat tumbesarnnya sehingga sudah sama tinggi dan sama besar dengan suami Cikgunie. Jadi, keperluan asrama dan kelengkapan persekolahannya mengikut saiz suami Cikgunie. Alhamdulillah, syukur kepadaMu Tuhan yang telah mempermudahkan urusan hambaMu ini.

Thursday, December 19, 2013

CORAT CORET KEPUTUSAN PMR

Hari Ini Dalam Sejarah

Seorang anak murid Cikgunie calon PMR 2013, sebak dan tidak dapat menahan tangisan apabila melihat keputusan PMR yang diterima jam 10 pgi tadi. Calon ini sentiasa berusaha keras dan tidak pernah ponteng sekolah. Beliau juga tidak pernah membuang masa dengan sia-sia. Masanya diisi dengan belajar dan menelaah mata pelajaran sepanjang hari. Jarang sekali meninggalkan solat dan sentiasa menunaikan solat pada awal waktu. 

Jadi apabila melihat keputusan PMR 5B dan 3C tentulah sesuatu yang amat mengecewakan. Beliau tahu bukanlah itu harapannya setelah bertungkus lumus belajar selama 3 tahun ini. Cikgunie juga pernah menjadi pelajar. Jadi, Cikgunie amat memahami perasaan beliau. Rasa kecewa dan marah menguasai diri. Kenapa dan mengapa? Hanya satu sahaja jawapan kepada persoalan beliau. Itulah takdir Tuhan. Sebenarnya Allah mempunyai perancangan yang lebih baik untuk kita. 

Tangisan Nur Syafikah Anuar Shah dalam pelukan Cikgunie selama 30 minit masih lagi terasa hingga saat ini. Panas air mata yang membasahi bahu Cikgunie masih terasa.Dalam sedu sedan tangisannya, Nur Syafikah melepaskan apa yng terbuku di sudut hatinya. Nasihat Cikgunie, selepas ini Cikgunie akan memohon untuk menyemak semula keputusan 5 mata pelajaran Nur Syafikah dengan Lembaga Peperiksaan. Natijahnya itulah kenapa kerajaan mahu menghapuskan PMR dan menggantikan dengan PBSMR agar anak-anak dan ibu bapa tidak tertekan setiap kali menjelang pengumuman keputusan peperiksaan. 

Ibu bapa yang anak-anak mereka termasuk dalam golongan 30,988 mendapat semua A, Cikgunie ucapkan tahniah, manakala calon atau anak-anak yang termasuk dalam golongan 428,000 lebih tu, Cikgunie ucapkan tahniah juga. Tidak mendapat semua A bukan beerti kita tidak pandai. Mendapat semua A pula bukan menunjukkan mereka terlalu pandai. Sebenarnya itulah ketentuan Allah dalam memberikan rezeki kepada setiap hambaNya. Maka kita perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang kita miliki.