Photobucket

Monday, September 8, 2014

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPSR 2014

UPSR 9/9/2014-11/9/2014

Cikgunie mengucapkan semoga semua calon UPSR 2014 menjawab soalan Peperiksaan UPSR dengan tenang. Semoga Allah mempermudahkan semua anak-anak calon UPSR menghadapi semua kertas peperiksaan pada esok hari. Amin.

Thursday, September 4, 2014

Syahdunya Hati Ini

WARGA SMK KUALA NERANG PRIHATIN
Hari ini adalah hari paling sibuk bagi Cikgunie. Pagi-pagi lagi terpaksa bergegas ke hospital kerana anak murid Cikgunie terlibat dengan kemalangan dalam perjalanan ke sekolah. Apabila balik dari hospital, Cikgunie pun parking kereta di hadapan kantin kerana petang nanti Cikgunie ada mesyuarat di PPD. Jadi senang Cikgunie hendak keluar.
Entah terlupa atau suratan takdir Cikgunie terlupa menutup cermin sebelah penumpang hadapan kereta. Kebetulan pula tengahari tadi Cikgunie mengadakan 'spot check' kepada murid-murid perempuan Tingkatan 3 dan 4. Semasa menjalankan tugas, Cikgunie tidak pernah membawa telefon bimbit atau beg tangan. Cuaca pula mendung dan hujan boleh turun bila-bila masa. Guru-guru yang sedang makan di kantin pun berusaha menghubungi Cikgunie. Ada juga yang menghantar SMS dan ada yang hantar mesej melalui aplikasi 'Telegram' kepada Cikgunie. Namun semua itu tidak sampai kepada Cikgunie kerana telefon bimbit berada di pejabat. Akhirnya hujan pun turun dengan lebatnya pada jam 12.45 tengahari. Jam 1.00 petang selesai 'spot check' Cikgunie pun masuk pejabat.
Kerani memberitahu Cikgunie bahawa ramai guru menghubungi Cikgunie untuk memaklumkan cermin kereta Cikgunie yang tidak ditutup. Cikgunie pun bergegas ke kantin. Dalam hati Cikgunie membayangkan lencun kerusi sebelah pemandu fibadahi hujan.
Namun apabila sampai di tempat parking kereta, dua tiga orang guru lelaki dibasahi hujan. Rupa-rupanya mereka mengambil bendera-bendera yang berada di sekitar kantin untuk menutup cermin kereta Cikgunie. Alhamdulillah. Kusyen sebelah pemandu kereta Cikgunie cuma terkena tempias air dan tidak basah sedikit pun. Sesungguhnya Warga Guru SMK Kuala Nerang sangat prihatin. Terima kasih Cikgu Syukri, Cikgu Jamili dan Cikgu Chalar. 

Monday, September 1, 2014

Hobi Baru

Kadang- kadang kita terpaksa melepaskan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu.
Kadang- kadang kita terpaksa melupakan sesuatu untuk melestarikan sesuatu.
Kadang- kadang kita terpaksa melepaskan apa yang ada dalam genggaman untuk mengambil sesuatu yang baru yang menarik minat kita.
Kadang- kadang kita terpaksa melupakan masa lampau demi mengejar masa hadapan kita.
Kadang- kadang kita terpaksa menelan kepahitan demi mendapatkan setitis kemanisan dalam hidup.
Begitu juga Cikgunie.
Untuk mendapatkan kebahagiaan hakiki kita terpaksa menukar gaya dan haluan kita.

Sekarang Cikgunie mula berjinak- jinak dengan hobi baru. Hobi baru Cikgunie ialah menunggang motosikal berkuasa besar untuk meredakan dan melupakan segala permasalahan. Buat masa ini sesekali Cikgunie pinjam motosikal kawan- kawan kerana sedang menunggu kelulusan suami tersayang kerana syarat utama untuk mendapat hadiah motosikal berkuasa besar ialah Cikgunie mesti ada lesen. Cikgunie sedang belajar untuk mendapat lesen Kelas B (motosikal melebihi 500 cc). Cikgunie berpegang kepada moto DI MANA ADA KEMAHUAN DI SITU ADA JALAN. 

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Malaysia : Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

Wednesday, August 27, 2014

Kemalangan Jalan Raya

Malang tidak berbau. Setiap hari berlaku kemalangan jalan raya. Tengahari semalam 26/8/2014 berlaku kemalangan jalan raya di kilometer 20 Jalan Kuala Nerang - Alor Setar. Kemalangan berlaku apabila pemandu kereta waja berusia 70-an membuat pusingan U tanpa menyedari sebuah kereta Proton Kelisa mengekorinya dari belakang. Kereta Kelisa itu dipandu oleh seorang guru yang berusia 59 tahun. Guru tersebut tidak sempat mengelak lalu merempuh pintu sebelah kiri kereta Waja tersebut di laluan motosikal. Murid yang melalui lorong motosikal tidak sempat mengelak dan melanggar kedua-dua buah kereta tersebut. Kemalangan pun berlaku.

Tuesday, August 26, 2014

Tahniah Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek

Alhamdulillah. Akhirnya ada Menteri yang berani bersuara. Hidup mesti diteruskan walaupun berlaku tragedi MH17. Memori Chow Kit Road 2.0 tetap diteruskan walaupun Negara kehilangan pesawat MH17 pada 17/7/2014. Kita mesti meneruskan kehidupan seperti biasa kerana yang pergi tidak akan kembali. Ajal, maut, jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Siapa kita untuk menidakkan takdir Tuhan. Ingatlah setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Reda, tawakkal dan pasrah adalah sebaik-baik tindakan.

Sunday, August 24, 2014

Cinta Dunia dan Takut Mati

"Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka." Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dan hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'Wahan'," seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu, ya Rasulullah?" Nabi menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati." HR Abu Daud.