Photobucket

Thursday, September 15, 2011

Novel terbaru dalam proses~~

BAB TIGA

Pagi-pagi lagi aku sudah bangun. Selamat datang hari yang akan mencatat sejarah buatku. Aku melihat kalender. 1 Jun. Tarikh ini akan aku ingat selamanya. Hari ini aku pasti bertemu jejaka idaman. Lelaki pertama yang menegurku hari ini adalah lelaki pertama yang akan menerima cinta pertama aku. Siapakah jejaka bertuah itu? Biar siapa pun dia, aku akan pastikan dia menjadi milikku. Minta-minta janganlah tempang atau cacat orangnya. Hitam putih kacak hodoh bukan lagi ukuran.
 Aku mengenakan sepasang baju kebaya berwarna maroon dengan bunga-bunga kecil berwarna oren. Rambut paras bahu aku biarkan lepas bebas. Aku melihat wajahku di depan cermin. Mukaku yang bujur sirih tampak sedikit ceria selepas disapu bedak dan dikenakan make-up yang ringkas. Sekadar sedikit pemerah pipi dan lipstick nipis aku rasakan sudah terlebih pula make-up ku hari ini. Maklumlah aku akan bertemu jejaka yang akan menjadi pasangan hidup aku hari ini. Harapan aku menggunung tingginya. Aku tersenyum sendirian.
Selalunya aku tak pernah kenakan sebarang make-up ketika ke hospital. Siapakah yang mahu melihat kecantikanku? Bekerja di dalam wad bersalin tidak memungkinkan aku bergaya seperti model. Tetapi hari ini aku terpaksa bergaya. Minta-minta aku berjumpa Mr. Perfect atau Prince Charming.
Aku menghadiahkan sebuah senyuman paling manis untuk diriku sendiri di hadapan cermin. Hmm…manis juga aku rupanya. Sengaja aku memberi motivasi untuk diri sendiri sebelum memulakan langkah keluar rumah. Ketika mengenakan kasut, bunyi telefon bimbit berdering dari dalam rumah. Ah, hampir aku terlupa. Tertinggal pula telefon bimbit di atas meja ruang tamu.
Aku bergegas masuk semula ke dalam rumah. Pantas aku mencapai telefon comel itu. Aku melihat skrin telefon. Danny. Ah, panggilannya macam penting. Selepas menjawab panggilannya, dia mengucapkan selamat pagi buatku. Aku sedikit teruja. Maklumlah sebagai motivasi untuk aku menjayakan misiku hari ini. Seronoknya berangan sambil memandu kereta. Suara deejay yang menghiburkan semakin menceriakan hariku. Lagu-lagu yang berkumandang dari corong radio cukup menghiburkan. Bibirku tidak lekang mengukir senyuman. Hari yang indah ini pasti mencipta sejarah buatku. Sejarah bahagia aku.
Tanpa sedar keretaku sudah memasuki perkarangan hospital. Selepas parking kereta, aku menunggu lif untuk ke tingkat 5. Aku berdiri membelakangkan lif. Hatiku berbunga keriangan. Aku senyum sendirian memikirkan misiku yang mungkin menjadi kenyataan hari ini. Bunyi pintu lif terbuka mengejutkan aku. Segera aku berpaling untuk masuk ke dalam lif. Malangnya aku terlanggar seseorang. Beg tanganku terjatuh.
“Buta ke? Mata letak kat mana?”
Aku mengangkat muka. Pandanganku terpaku pada seorang jejaka yang berada di hadapanku. Matanya yang agak sepet memandang tajam ke arahku. Wajahnya bujur sirih. Rambut di atas dahinya diangkat ke atas dengan tangan kirinya. Terserlah plaster di atas dahinya. Mungkin dia datang untuk membuka jahitan di atas dahinya. Aku mengagak sendirian. Mungkin sebab itu dia memakai jaket kulit dan seluar jeans lusuh. Semua kemungkinan bermain di minda fikirku.
“Kenapa? Dah tak larat nak kutip barang yang jatuh ke?” Kali ini  alam fantasiku berterbangan seiring herdikan lelaki yang aku kira mengalahkan mafia di Itali. Matanya melirik ke arah beg tangan aku di atas lantai. Belum sempat aku mengambilnya, tangannya terlebih dahulu mencapai beg tangan aku lantas disandangkannya di atas bahu aku.
“Lain kali mata letak kat atas, bukan kat lutut.” Katanya sambil beredar. Aku terpaku di depan lif. Kejadian yang tidak seronok untuk dikenang. Misiku pasti menemui kegagalan. Aku ditegur oleh seorang lelaki samseng. Bukan ini yang aku harapkan berlaku pada hari yang bakal mencatat sejarah aku.
Mengapa aku berjumpa dengan samseng pula hari ini? Tapi aku perlu ingat akan misi aku. Takkanlah samseng itu pula yang mesti menjadi lelaki pertama aku. Ah, dia hanya pengganggu saja. Hatiku berbisik. Aku  menaiki lif dan menuju ke tingkat 5. Aku tidak bertemu seorang lelaki pun dalam perjalanan ke bilik Doktor Pakar Sakit Puan. Hatiku berdebar-debar. Bagaimanakah rupa Doktor Danish Ong? Adakah setegap dan segagah ayahnya? Masih muda atau sudah 40 tahun umurnya? Semuanya menjadi teka-teki. Akhirnya kakiku sampai juga ke hujung koridor. Perlahan aku mengetuk pintu.
Come in!” Jelas kedengaran suara dari dalam menyuruh aku masuk. Perlahan aku membuka pintu dan masuk ke dalam bilik Ketua Pakar Sakit Puan. Seorang lelaki keturunan Cina berada di dalamnya. Masih muda lagi orangnya. Aku ingatkan Ketua Pakar Sakit Puan sudah berusia orangnya. Rupanya masih muda lagi. Mungkin dalam pertengahan 30-an umurnya.
 Dia tersenyum memandangku. Aku mengamati rupa parasnya. Kacak dan bergaya orangnya walaupun dia memakai baju doktor di luar kemejanya. Rambutnya disisir rapi dan kemas. Kaca mata yang dipakainya tidak tebal seperti kebanyakan doktor pakar yang selalu aku temui. Matanya agak sepet tetapi tidak terlalu bundar. Hidungnya mancung. Kemas dan bergaya. Penampilannya pula menarik. Orangnya memang kacak sekacak Kingone dalam drama Taiwan Why Why Love. Sekali pandang aku menyukainya. Aku melihat tanda nama di kemejanya. Danish Ong. Sahlah beliau ialah Ketua tempat bertugas aku di sini.
Have a sit! U Miss Qistina Batrisya?”
Thanks. Saya Qistina Batrisya.” Gugup dan gementar ketika aku memperkenalkan diri kepadanya. Renungan matanya yang agak sepet seolah cuba mengenali diriku dengan lebih lanjut. Aku mula berasa tidak selesa. Takkanlah bos aku menjadi lelaki pertama yang menegurku paling sopan hari ini. Mana mungkin aku meluahkan perasaan kepadanya. Harapnya ada jejaka lain yang akan menegurku paling sopan selain dia.
Harapanku berbunga apabila kedengaran pintu diketuk dari luar. Aku berasa lega kerana mungkin ada jejaka atau doktor lain yang masuk ke biliknya lantas menegur aku. Maka tercapailah misi aku. Aku mula menguntum senyuman. Dengan agak kuat Doktor Danish Ong menyuruh tetamu yang mengetuk pintu masuk. Mataku turut melirik ke arah pintu. Seorang lelaki memakai kemeja berwarna biru laut dan tali leher bercorak petak-petak kecil berwarna kuning melangkah masuk lalu berdiri di sebelahku.
Nah, nasib aku akan berubah hari ini. Hampir pitam aku. Berkali-kali aku melihat jejaka yang berada di sebelahku sambil menggosok mata. Dr. Danish kehairanan melihat tingkah aku. Huh, lelaki idaman aku. Bagaimana mungkin dia boleh berada di sini? Aku sangat gembira. Terujanya aku kerana lelaki pertama yang akan menegurku hari ini ialah jejaka idamanku. Kenapa jejaka idaman aku ke sini? Dan kenapakah hari ini aku baru perasan jejaka idamanku terlalu kacak? Terlalu kacak orangnya tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. Alis matanya yang lebat, kumisnya yang nipis, bibirnya yang kemerahan, hidungnya yang mancung dan lesung pipit yang menghiasi kedua belah pipinya menjadikan dia jejaka yang cukup sempurna di mataku.
Morning! Saya Doktor Fadzreen Nushi Irsyaduddin.” Sapanya sambil menghulurkan tangan ke arahku. Mimpikah aku. Takkanlah dia jodohku. Pipiku mula panas menahan malu sendiri saat aku bersalaman dengannya. Terujanya aku. Gembiranya aku. Memori hari ini akan aku pahat dalam diari hidupku.
Rupanya jejaka idamanku seorang doktor. Selama lima tahun aku menaruh harapan dalam diam kepadanya, baru hari ini aku tahu namanya. Sedap pula tu namanya. Suaranya pula terlalu mesra pada pendengaranku. Aku sangat terpesona  mendengar bicaranya yang sungguh lembut ketika dia memperkenalkan dirinya.
Morning. Have a sit. She’s Doktor Qistina Batrisya. Juga Doktor baru di Klinik Obsetektrik dan Ginekologi ini.” Doktor Danish Ong memperkenalkan aku kepada jejaka tampan lagi kacak itu.
“Dr. Qis, actually Dr. Fadzreen Nushi baru hari ini memulakan tugasnya sebagai Doktor Pakar O&G di hospital ini. U pun boleh jadi Doktor Pakar satu hari nanti. So, I letakkan U di bawah seliaan Dr. Fadzreen.”
Penjelasan Doktor Danish Ong telah membuatkan hatiku menjerit keriangan. Mana tidaknya aku akan bekerja dan sentiasa menemani jejaka idamanku di mana-mana saja dalam kawasan hospital ini. Mungkin juga kami akan sama-sama menghadiri seminar di luar daerah bersama-sama. Tidak sia-sia misi aku aku hari ini.
 Aku tahu kini. Aku ada jodoh dengan jejaka idaman aku. Siapa pernah menduga dia akan bertemu jejaka idaman dan bekerja di bawah satu bumbung? Bukan, ini adalah bonus dalam hidup aku. Seronok hatiku tidak terkata. Sebolehnya aku cuba mengawal perasaan yang semakin tidak keruan. Bahagianya aku. Bangganya aku. Aku masih tidak percaya aku telah berjumpa Prince Charming dalam hidup aku. Orangnya kacak lagi menawan. Bertuahnya aku bekerja dengan jejaka kacak di Malaya ni.
“Dr. Qis, U boleh bekerja di bawah seliaan Dr. Fadzreen di fist class Wad Bersalin.” Doktor Danish Ong memberi arahan kepadaku. Aku hanya menganggukkan kepala tanda bersetuju. Bodohlah kalau aku menggelengkan kepala. Menggelengkan kepala beerti aku melepaskan peluang yang hanya datang sekali seumur hidup aku. Bagaimanalah nanti keadaan aku apabila bekerja dengan orang yang kita minati dalam diam. Mampukan aku berlagak professional sedangkan hati aku sentiasa mengingati dirinya siang dan malam? Segalanya berkemungkinan.
Bulan lepas aku pernah nampak Dr Fadzreen bergandingan tangan keluar dari sebuah pusat beli belah di Rawang. Walaupun dia belum berkahwin, pastilah gadis itu istimewa dalam hidupnya. Sejak itu aku cuba menghindarkan diri daripada menaruh harapan terhadapnya lagi. Kini peluang muncul di depan mata. Perlukah aku melepaskannya? Jawapannya memang tidak.
Mindaku sarat dengan berbagai-bagai persoalan. Bagaimana aku hendak bekerja di bawah orang yang aku minati? Adakah Dr. Fadzreen Nushi mengenaliku? Mengapa sebelum ini aku tidak pernah tahu tentang pekerjaannya? Bagaimana pula dengan janjiku hari ini?
Misi aku hari ini ialah meluahkan perasaan kepada jejaka pertama yang menegur aku. Keberanian tidak ada dalam diriku untuk melaksanakan misi aku. Aku tidak berani memberitahu Dr. Fadzreen bahawa aku cinta kepadanya. Aku juga tidak berani memberitahu isi hatiku kepada jejaka pertama yang menegurku hari ini kerana orang itu ialah Dr. Fadzreen.
Betulkah Dr. Fadzreen dikira jejaka pertama yang menegurku hari ini? Walaupun Dr. Danish terlebih dahulu menegurku tapi dia adalah ketua aku. Jadi  Dr. Fadzreen  patut diisytiharkan jejaka pertama yang menegurku hari ini. Aku tersenyum dalam hati. Hmm….susahnya aku hendak membuat pilihan.
“Dr. Qis, boleh kita pergi sekarang?” Suara yang penuh kelembutan itu mengejutkan lamunanku. Aku hanya mampu mengangguk. Tuhan, benarkah apa yang sedang berlaku ke atas aku sekarang? Badanku terasa di awang-awangan apabila menyedari aku sedang berjalan beriringan dengan jejaka idamanku.
Dalam perjalanan menuju ke Wad Bersalin banyak juga soalan yang ditanya oleh Dr. Fadzreen. Indahnya dunia apabila dapat berjalan beriringan dan berbicara dari dekat dengan orang yang kita minati dan cintai. Namun kegembiraanku tidak lama apabila satu soalan yang terpacul dari bibir Dr. Fadzreen menunjukkan langsung dia tidak pernah terperasan akan aku selama ini.
“Dr. Qis asal dari mana?” Nah, soalan itu menunjukkan beliau langsung tidak pernah mengenali aku. Rupanya selama lima tahun dia menyewa di depan rumahku di Rawang, sekalipun dia tidak pernah menoleh ke arahku. Akulah yang selama ini tergila-gila kepadanya. Aku dapat menghafal jenis keretanya, nombor plat keretanya dan berapa kali dia menukar keretanya! Semuanya aku ingat dengan jelas sekali. Tapi aku? Langsung dia tidak pernah perasan aku adalah anak jiran di depan rumah sewanya selama lima tahun! Hatiku sedih tidak terkira. Masihkah aku perlu menaruh harapan kepadanya bahawa dialah lelaki pertama yang akan mengisi carta hatiku ini? Perlahan-lahan aku merasakan misi aku hari ini tidak mungkin akan menjadi kenyataan. Berbezanya realiti dan impian hidup yang kita lalui. Aku mengeluh dalam hati.
“Hai, takkan kena fikir lama sangat nak ingat nama tempat kelahiran sendiri?” Dr. Fadzreen mematikan lamunanku.
“Qis asal dari KL.” Biarlah aku berbohong untuk meredakan rasa pedih di dada..
“KL ni luas.” Tingkahnya lagi.
“Cheras. Dr. Fadzreen pula dari mana?”
“Saya dari Perak. Pantai Remis.”
“Sebelum ni bertugas di mana?”
“Hospital Daerah Rawang.”
“Oh!” Aku mengangguk perlahan.
“Pernah pergi ke Rawang?” Aku hampir terlopong mendengar soalannya.
“Pernah!” Jawabku ringkas.
“Saya menyewa di Taman Selasih. Sekarang saya berulang-alik dari Taman Selasih ke sini.” Jelas Dr. Fadzreen tanpa dipinta.
Penjelasan jejaka itu sebenarnya adalah rakaman semula cerita yang telah aku hafal keseluruhan isinya. Manakan tidak. Taman Selasih adalah tempat tinggal aku. Rumahnya di depan rumahku. Aku boleh sebut satu persatu tentang rumahnya. Warna rumahnya lain dari yang lain. Rumahnya dicat warna oren lantern. Pagarnya berwarna kuning. Langsirnya sejak lima tahun dulu berwarna ungu lembut. Cuma coraknya yang bertukar setiap tahun.
“Hmmm.. kita dah sampai. Biarlah kita berkenalan dulu dengan jururawat di wad ini sebelum memulakan tugas hari ini.” Sekali lagi suara Dr. Fadzreen mengeluarkan aku dari alam fantasi.
Mataku memerhatikan Wad Bersalin Kelas Satu. Ada lima bilik semuanya. Dua bilik untuk seorang pesakit atau dikenali sebagai wad VIP. Dua bilik lagi menempatkan dua orang setiap bilik. 3 bilik lagi menempatkan empat orang untuk setiap bilik. Dr. Fadzreen menuju ke arah kaunter di depan Wad Bersalin Kelas Satu.
Morning Doktor!” Staff Nurse di kaunter pendaftaran mengucapkan salam kepada kami.
Morning.” Jawab kami serentak.
“Boleh I tengok patient list?” Dr. Fadzreen meminta senarai pesakit daripada jururawat bertugas.
“Ini listnya Doktor!”
Thanks.”
Kemudian Dr. Fadzreen mengajak aku mengikutnya untuk melihat keadaan pesakit. Akhirnya kami sampai ke bilik 3. Wad ini menempatkan empat orang sebilik. Dr. Fadzreen merapati katil nombor 3.
“Bagaimana keadaan Puan hari ni?” Tanya Dr. Fadzreen kepada seorang pesakit sambil dia meneliti fail di hujung kaki pesakit tersebut.
“Makin sihat Doktor.”
Aku sempat mengerling nama pesakit tersebut. Nur Amirah. 30 tahun. Kandungan kelima. Terkejutnya aku. Umur baru 30 tahun tahun tapi anaknya masuk kelima. Aku yang dah masuk 28 tahun ini belum lagi mempunyai seorang anak pun.
“Puan masih rasa sakit di bawah abdomen?”
“Dah kurang.”
“Masih bleeding?”
“Hari ni dah tiada pendarahan.”
“Bagus. Puan dah makan ubat?”
“Dah.”
“Lepas ni Puan kena banyak berehat. Puan tak boleh buat kerja berat. Nanti bleeding lagi.” Lembut saja suara Dr. Fadzreen menasihati pesakit yang bernama Nur Amirah itu. Aku sangat terpesona. Kalau Dr. Fadzreen boleh melayan pesakitnya seperti itu, aku bayangkan dengan keluarganya tentu lebih lembut daripada itu. Apakah mungkin aku menjadi sebahagian daripada keluarganya satu hari nanti? Ya, semuanya berkemungkinan. Aku perlu yakin dengan diri sendiri. Peluang masih ada selagi kita mempunyai harapan.
Kami meronda keseluruhan Wad Kelas Satu. Sebenarnya pada hari ini hanya 12 orang saja pesakit yang masih dirawat di dalam wad tersebut. Tepat jam 9.30 pagi Dr. Fadzreen mengajak aku ke Klinik Pakar O&G.
“Kenapa saya kena ikut Dr. ke sana?” Aku bertanya kerana aku bukan doktor pakar. Di Klinik Pakar O&G hanya doktor-doktor pakar saja yang akan merawat pesakit luar.
I nak U belajar tentang hal-hal orang perempuan. Lepas ni U boleh jadi doktor pakar dalam bidang O&G.” Lembut saja kata-katanya menjawab soalanku. Lemah longlai lutut aku tatkala dia memandang tepat ke dalam anak mataku. Hatiku tidak syak lagi dialah lelaki pertama aku kerana renungan matanya bisa mendebarkan dadaku.
Belum sempat aku membantu Dr. Fadzreen, telefon bimbit aku berdering. Tanpa melihat nombor tertera, pantas aku menekan punat menjawab panggilan. Panggilan dari Wad Bersalin. Aku dikehendaki segera ke Wad Bersalin kerana ada pesakit yang mengalami pendarahan. Bergegas aku ke Wad Bersalin. Di hadapan pintu lif, aku terlanggar seseorang yang baru keluar dari pintu lif. Seperti nangka busuk jatuh ke tanah, orang itu jatuh berdebuk. Aku cuba menghulurkan pertolongan. Tanganku ditepis dengan kasar.
“Kenapa awak ni selalu letak mata kat atas lutut?”
Aku tidak menghiraukan kata-kata lelaki itu. Sekali lagi aku menghulurkan tangan untuk membangunkan lelaki itu. Kali ini tanganku disambut dan tanpa diduga aku berjaya membantu lelaki itu berdiri semula.
“Terima kasih.” Katanya sepatah.
Aku mendongak melihat wajah lelaki itu. Pandangan kami bertaut. Matanya yang sepet dan plaster yang melekat di atas dahinya seakan-akan…. Ah, baru aku ingat. Samseng pagi tadi. Hampir pitam aku kerana lelaki itu ialah samseng yang aku tidak sengaja melanggarnya di hadapan pintu lif ini pagi tadi. Hari ini saja sudah dua kali aku terlanggar orang yang sama. Kali ini sangat dahsyat sampai orang itu terjatuh. Pandangannya sangat tajam. Hati aku berdebar dengan kencangnya. Aku takut. Aku menarik nafas cuba mengawal debaran di dada.
“Maafkan saya. Saya nak cepat. Ada patient bleeding kat atas.” Aku berbahasa seadanya.
“Kali ni saja saya maaafkan awak. Hah, cepatlah pergi. Mengapa tercegat lagi?”
“Betul, Encik tak apa-apa?” Aku risau jika samseng itu terseliuh atau apa-apa telah berlaku kepadanya akibat terjatuh sebentar tadi.
“Saya ok. Awak jangan risau. Tapi lain kali mata tu letak kat atas.” Suaranya makin kendur tapi kata-katanya masih berbisa. Pun dengan pandangan yang tajam dia merenung aku. Getaran di dada aku makin kencang. Takutnya aku. Tapi akhirnya dia menghantarkan pandangannya kea rah pintu lif. Aku mengerti isyarat menyuruh aku berlalu.
Aku meminta diri untuk beredar dan belum sempat aku melangkah ke dalam pintu lif aku terdengar bunyi benda terjatuh. Aku menoleh dan aku melihat samseng itu jatuh semula di atas lantai.
“Encik, ada masalah?”
Tanpa menjawab samseng itu mengangguk. Kakinya memang terseliuh dan dia tidak boleh berjalan. Mukanya berkerut menahan sakit. Aku menghubungi semula Wad Bersalin dan memberitahu keadaan aku. Aku cuba memapah samseng itu dan mendudukkan beliau di atas sebuah bangku yang berhampiran. Pantas aku mendapatkan bantuan dengan memanggil attendan hospital yang kebetulan lalu di situ. Di tangan attendan hospital itu ada sebuah kerusi roda. Attendan hospital itu cuba berkata sesuatu tetapi samseng itu meletakkan jari di bibirnya sebagai isyarat mendiamkan diri.
“Perlu saya ikut Encik ke Klinik Pesakit Luar?”
Samseng itu menggeleng.
“Terima kasih.” Sepatah perkataan itu jua yang keluar dari bibirnya.
Aku memandang tepat ke dalam anak matanya. Ada sesuatu yang tersembunyi di sana. Dia melarikan pandangannya ke arah attendan hospital sambil mengarah membawanya keluar dari situ. Mataku  menghantar samseng itu hingga hujung koridor. Tanpa berlengah aku bergegas ke Wad Bersalin. Pesakit yang mengalami pendarahan tadi sudah dihantar ke Dewan Bedah. Pembedahan major  kerana rahimnya terpaksa dibuang. Aku mengeluh. Hari pertama yang penuh kejutan.  

No comments:

Post a Comment