Soalan 5
Anda telah membaca sebuah novel yang menarik.
Buat ulasan novel tersebut.
Anda telah membaca sebuah novel yang menarik.
Buat ulasan novel tersebut.
Novel merupakan sebuah genre kesusasteraan yang mengandungi tema, persoalan, watak, plot, latar, nilai dan pengajaran. Sebuah novel yang telah saya baca baru-baru ini yang menarik perhatian ialah novel Kabus Di Perbukitan. Novel ini ditulis oleh Mohamad Kholid Bin Hamzah. Novel ini mengandungi 23 Bab dan 219 halaman. Novel ini memaparkan tema mengenai kegigihan seorang wanita yang kehilangan orang tersayang sehingga membawa dirinya terbuang di sebuah negara asing yang bernama New Zealand. Watak utama dalam novel ini ialah Faridah Binti Kamaruddin.
Persoalan yang menarik dalam novel ini ialah mengenai watak Faridah seorang aktivis masyarakat yang melakukan perkhemahan di Raub. Beliau dalam perjalanan ke Kuala Kubu Bahru. Dalam perjalanan barulah dia tersedar bahawa ada seorang kanak-kanak Down Syndrom dalam van yang dipandunya. Kanak-kanak bernama Iqbal. oleh kerana terlalu terkejut, Faridah hilang kawalan, lalu van yang dipandunya terjunam ke dalam gaung. Usaha mencari Faridah dan Iqbal selama 2 minggu tidak menampakkan hasil lalu pihak polis dan PGA telah enghentikan usaha mencari menyelamat. Apa yang menarik mengenai novel ini ialah Faridah yang hilang dalam kemalangan itu sebenarnya telah diselamatkan oleh Tok Batin Senik ketika sedang merayau-rayau dalam hutan di Bukit Kutu. Ketika itu Faridah hilang ingatan. Ketika Faridah dan Iqbal sedang mandi, dia terjatuh atas batu lalu koma selama 2 minggu sebelum dijumpai oleh bapanya Mejar (B) Kamaruddin. Ketika koma itulah Faridah berada dalam abad ke 19 di mana dia bertemu dengan Residen Inggeris ketika itu yang bernama Sir Cecil Ranking. Faridah melihat masyarakat pada zaman itu yang terdiri daripada pelombong bijih yang menjadikan candu sebagai pelepas penat mereka setelah bekerja seharian. Faridah juga berkomunikasi dengan Amah Siti, pembantu Sir Cecil Renking. Dalam pengembaraannya itulah Faridah bertemu dengan adik kembarnya Rahayu. Pengarang mematikan watak Rahayu apabila Faridah tersedar dari koma.
Plot novel Kabus Di Perbukitan dijalin dengan kemas dengan memasukkan unsur imbas kembali dan pemerian. Antara unsur imbas kembali ialah Mejar (B) Kamaruddin menyesali dia telah meninggalkan isterinya Salmah dan berkahwin dengan perempuan lain yang bernama Hamidah. Dia juga menyesali kerana telah memisahkan pasangan kembar Faridah dan Rahayu. Garapan plot imbas kembali seperti ini menghambat pembaca meramal apa yang akan berlaku seterusnya terhadap Faridah. Seterusnya latar yang menarik dalam novel ini seperti Kampung Haji Dorani di Sabak Bernam yang terkenal turut dijadikan latar kampung halaman Faridah. Bukit Kutu yang tidak diketahui kewujudannya juga telah diselitkan oleh pengarang sebagai tempat Faridah dijumpai. Latar peranginan tanah tinggi seperti Bukit Fraser dan Cameron Highlands membuatkan pembaca turut merasai kedinginan tanah tinggi yang sejuk dan nyaman. Begitu juga latar tempat di New Zealand melalui unsur pemerian yang diceritakan oleh pengarang turut membawa pembaca berada di negara yang terkenal dengan buah kiwi itu. Latar masa yang diambil oleh pengarang juga sangat lama iaitu 25 tahun. Faridah yang merupakan watak utama mengambil masa 25 tahun berada di negara orang sebelum mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air kerana hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri lebih baik di negeri sendiri. Semua faktor ini mendominasi usia Faridah yang berlalu tanpa disedari kerana memikirkan dia sudah tidak punya saudara mara lagi di Malaysia.
Selain itu, novel Kabus Di Perbukitan sangat menarik kerana ia kaya dan sarat dengan nilai kemanusiaan. Antaranya ialah menghormati orang yang lebih tua. Faridah yang terdidik dengan adat ketimuran telah mendidik anak-anak kembarnya Anne dan Mellina agar menghormati orang tua dalam membuat sebarang keputusan. Hasilnya, Mellina membawa Benny berjumpa dengan Faridah apabila Benny melahirkan hasrat untuk berkahwin dengannya. Setelah Soleh Johnsons, suami Faridah memberi izin, barulah Mellina bersetuju untuk berkahwin dengan Benny. Nilai yang paling utama ialah kasih sayang membawa ke mati. Azrul sangat mencintai Rahayu dan sanggup berkorban apa sahaja untuk memulihkan penyakit kanser Rahayu. Rahayu berpesan kepada Azrul, walaupun dia telah tiada, Azrul hendaklah berusaha menjadi petani moden selepas tamat pengajiannya. Hasilnya Azrul telah memenuhi amanat Rahayu sehingga dia menjadi usahawan tani yang berjaya dalam bidang ternakan kambing dan mendapat gelaran Datuk. Nilai yang tidak kurang pentingnya ialah tanggungjawab seorang ketua keluarga. Walaupun telah berpisah dengan isterinya, Mejar (B) Kamaruddin telah menjalankan tanggungjawabnya mencari Faridah hingga jumpa selepas pihak berkuasa menghentikan usaha mencari dan menyelamat. Sesungguhnya tiada ibu bapa yang tidak sayangkan anaknya kerana anak adalah harta ibu bapa yang tiada bandingannya.
Novel Kabus Di Perbukitan juga sarat dengan pengajaran yang boleh dijadikan iktibar dalam kehidupan seharian kita. Sebagai contoh, kita hendaklah memberikan kasih sayang yang sama rata terhadap anak-anak kita. Hal ini demikian kerana Faridah tidak pernah membezakan kasih sayang antara anak-anaknya Anne dan Mellina walaupun Mellina sudah berumahtangga. Pengajaran seterusnya ialah kita hendaklah mempelajari selok belok agama Islam dengan Ustaz atau pemimpin yang diiktiraf sahaja. Hal ini demikian kerana Benny tersalah memilih kawan-kawan dengan mengikuti ajaran Islam mengikut konsep yang salah yang dibawa oleh Mehmood dan rakan-rakannya hingga Benny terjebak dalam aktiviti pengganas untuk meletupkan sebuah hotel di Singapura. Kita juga hendaklah sentiasa mengamalkan di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung untuk mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak disenangi penduduk setempat. Sebagai contoh, Mellina sentiasa mengajak Khatijah untuk menemaninya dan mengajarnya tentang budaya dan adat orang Melayu apabila suaminya keluar daerah. Kita juga hendaklah sentiasa bertanggungjawab terhadap keluarga kita dengan menjaga dan memberi didikan agama yang secukupnya. Hal ini demikian kerana agama adalah benteng yang mencegah seseorang daripada melakukan kemungkaran. Sebagai contoh, Benny yang kurang ajaran agama sering mengunjungi kelab malam di New Zealand, tetapi apabila ingin mencari calon isteri dia tetap memilih wanita yang sama agama dengannya, iaitu Islam.
Intihanya, novel Kabus Di Perbukitan sangat menarik kerana ia memaparkan nilai-nilai murni dan latar yang menarik. Kata orang tak kenal maka tak cinta, maka para pembaca perlulah membaca novel ini untuk mencontohi nilai-nilai yang terkandung di dalamnya. Selain itu, novel ini juga dipenuhi dengan konflik dalaman watak utama apabila memikirkan tanah air yang telah lama ditinggalkannya. Ingatlah, setinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya hinggap di atas belakang kerbau juga.
No comments:
Post a Comment