Photobucket

Saturday, February 25, 2012

CERITA CERITI CERITU~~

Alkisah seorang penghulu sebuah daerah yang dinamakan Daerah Pembuangan telah melakukan sebuah pembunuhan. Oleh kerana pembunuhan itu dilakukan dengan teliti, maka terlepaslah penghulu itu daripada disula. Maka pada suatu hari yang ceria, langit membiru, awan gemawan memutih di atas kayangan, berjalanlah penghulu itu diiringi hulubalang-hulubalangnya yang badan mereka mengalahkan balang-balang kuih melintasi sebuah kampung. Maka terserempaklah mereka dengan balu kepada mangsa yang dibunuh oleh mereka. Kecantikan balu itu mengalahkan semua gadis-gadis dan anak-anak dara seluruh isi negeri itu. 

Maka terpesonalahlah penghulu yang tidak sedarkan diri bahawa rumah kata pergi dan kubur kata mari itu. Dia pun menghantar segala bantuan kepada balu itu sehingga balu itu teramat malu adanya kerana menerima sumbangan demi sumbangan yang tidak pernah diminta walaupun diperlukan oleh balu itu. Maka pada suatu hari, penghulu itu meminta balasan daripada balu itu. Terkejutlah balu itu kerana tidak pernah sama sekali dia menyangka demikian buruknya niat penghulu itu terhadapnya. Penghulu itu tidak puas hati lalu dia mencuba pelbagai helah untuk menundukkan balu itu. Balu yang menyedari muslihat penghulu itu memasang strategi lalu menyuruh penghulu itu datang ke rumahnya pada waktu malam. Tepat masa yang dijanjikan, balu itu memadam pelita di dalam rumahnya lalu membunuh penghulu itu. Arakian, mayat penghulu itu dicampakkan di dalam sungai di belakang rumahnya. Maka tamatlah riwayat penghulu itu. 

Keesokan harinya gemparlah seluruh Daerah Pembuang dengan kematian penghulu yang mereka sayangi dan kasihi itu. Usaha menjejaki pembunuh itu pun dilaksanakan serta merta. Ganjaran yang menanti mereka yang berjaya menangkap pembunuh itu ialah sekarung dinar emas. Maka, berbondong-bondonglah rakyat jelata mengesan dan menjejaki pembunuh itu termasuklah balu yang telah mebunuh penghulu itu. Hampir sepurnama, tampillah balu itu menghadap Raja. Katanya beliau telah berjaya menangkap pembunuh penghulu itu dan pembunuh itu berada dalam genggamannya. Raja terkejut yang amat sangat lalu menyuruh Balu itu membuka genggaman tangannya. Apabila Balu itu membuka genggaman tangannya, terpancarlah wajah seekor lipas. Lipas itu pun terbang lalu hinggap di atas tapak tangan Raja. Raja pun terkejut lalu berlari ke sana sini sehingga terjatuh dari singgahsana lalu mati. Demikianlah adanya….

No comments:

Post a Comment