CUTI DAN PERSEKOLAHAN
Setiap tahun ibu bapa sibuk menguruskan persekolahan anak-anak. Masa berlalu terlalu pantas hinggakan kita tidak sedar kita sudah berada di penghujung tahun. Pada setiap awal tahun ibu bapa terpaksa memikirkan persekolahan anak-anak. Ada anak-anak yang memasuki tadika, Tahun 1, Tingkatan 1 dan kolej-kolej serta Institusi Pendidikan Awam dan Swasta. Sebagai ibu bapa, awal tahun adalah rutin yang paling memenatkan manakala hujung tahun pula terpaksa menghitung bajet untuk keperluan persekolahan anak-anak. Selain itu, hujung tahun sering dikaitkan dengan musim cuti yang panjang.
Justeru, hujung tahun adalah masa yang tepat untuk membawa anak-anak bercuti kerana sepanjang tahun ibu bapa sibuk bekerja dan anak-anak penat berada di sekolah. Cuti sering dikaitkan dengan persekolahan kerana lazimnya pada hujung tahun, kerja ibu bapa semakin berkurang dan anak-anak pula dapat berehat daripada memikirkan hari persekolahan, ujian dan peperiksaan. Di kesempatan ini, Cikgunie mengucapkan SELAMAT BERCUTI kepada semua pelajar yang telah tamat Peperiksaan SPM dan kepada adik-adik yang akan memasuki Tingkatan 4 pada 2013, sudi-sudilah menjenguk blog cikgunie.blogspot.com untuk mendapatkan maklumat tentang mata pelajaran Bahasa Melayu Menengah Atas. Pelajarilah Bahasa Kebangsaan Kita kerana Bahasa Jiwa Bangsa.
No comments:
Post a Comment