Photobucket

Wednesday, April 10, 2013

RUMUSAN KARANGAN : KESAN NEGATIF TABIAT MEROKOK DALAM KALANGAN WANITA


Soalan 1  :  Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kesan negatif  tabiat merokok dalam kalangan wanita dan punca remaja di negara ini merokok. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

                Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan kerana mereka amat mementingkan penampilan. Wanita sanggup melakukan apa sahaja untuk kelihatan cantik, langsing dan menawan. Terbaharu, Kementerian Kesihatan mendedahkan terdapat peningkatan jumlah perokok dalam kalangan wanita. Peningkatan jumlah perokok wanita berpunca daripada kepercayaan bahawa merokok mampu menurunkan berat badan. Hal ini merupakan kepercayaan songsang yang bakal mendedahkan wanita kepada satu lagi pakej risiko. Wanita yang merokok akan  menghidap barah paru-paru, kerongkong, strok dan penyakit pada sistem pernafasan.

                Wanita hamil yang merokok akan mendedahkan risiko bayi kepada kecacatan dan menjejaskan perkembangan janin di dalam kandungan. Selain itu, merokok juga menyebabkan nafas berbau dan bibir bertukar  menjadi lebam. Merokok turut menjejaskan keterampilan diri seseorang individu dalam pergaulan mereka seharian. Pada masa yang sama, psikologi dan persepsi masyarakat kepada perokok wanita adalah negatif walaupun masih terdapat masyarakat yang bersikap terbuka. Kini, adalah menjadi satu fenomena wanita terpelajar dan yang menjawat jawatan penting menjadikan rokok sebagai peneman mereka.

                Sebenarnya, peningkatan jumlah perokok wanita akan mendedahkan mereka kepada ancaman penyakit kronik. Ada yang beranggapan merokok adalah satu trend yang melambangkan status seseorang wanita.  Wanita yang merokok beranggapan merokok dapat melengkapkan penampilan mereka di khalayak ramai. Seterusnya merokok menjadi punca pelbagai gejala negatif dalam kalangan masyarakat. Selain itu, tabiat merokok dalam kalangan wanita akan menyebabkan jumlah penagih dadah di negara kita akan bertambah. Oleh hal yang demikian, trend wanita menjadi perokok harus disekat kerana tiada jalan mudah untuk seseorang wanita menjadi kurus.

                Sehubungan itu, langkah menyekat tabiat merokok harus dipertingkat untuk mengekang gejala tidak sihat ini. Kerajaan telah mewartakan lebih banyak kawasan larangan merokok terutama di premis perniagaan dan di tempat-tempat awam. Kempen-kempen kesedaran telah dilaksanakan dengan memaparkan lebih banyak iklan tentang keburukan merokok. Langkah paling proaktif yang dilakukan oleh kerajaan ialah mempamerkan gambar-gambar  kesan merokok di setiap kotak rokok yang dijual di negara ini. Oleh itu, kaum wanita perlu mengamalkan pemakanan yang sihat dan mengambil diet yang seimbang  untuk  menurunkan berat badan mereka.

(Dipetik dan diubahsuai daripada “Mekanisme Sekat Tabiat Merokok Mesti Dipertingkatkan”, Berita Harian, 8 April 2010.)


No comments:

Post a Comment