Photobucket

Sunday, September 21, 2014

Latihan Rumusan Karangan

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menghalang pembangunan sukan negara dan kesan-kesanya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

           Kegagalan atlet negara dalam Sukan Olimpik Glassgow 2014 menimbulkan pelbagai persoalan tentang mutu pembangunan sukan negara di arena antarabangsa. Mutu sukan negara sepatutnya terus berkembang dan mencapai banyak kejayaan seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara. Tetapi,mutu sukan negara terus merosot dari semasa ke semasa sedangkan pada masa yang sama kerajaan telah menyediakan dan membelanjakan peruntukan yang besar untuk memajukan sukan tanah air supaya mencapai taraf dunia.

Sebenarnya kemelut dalam dunia sukan negara boleh berpunca daripada banyak pihak. Paling ketara ialah sikap tidak profesional pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam menentukan pemilihan pemain. Mereka lebih banyak menjadikan persatuan sukan sebagai tempat mencari keuntungan peribadi daripada memberi perhatian khusus untuk memajukan sukan bertaraf dunia. Mereka sering menuding jari kepada pihak lain daripada mengakui kelemahan sendiri apabila punca kemerosotan atlet dikenali pasti. Mereka seharusnya sedar bahawa kegagalan atlet sering dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran persatuan sukan. Hal ini disebabkan, mereka sebagai perancang pembangunan sukan tidak mempunyai hasrat atau visi yang cukup tinggi untuk membantu meningkatkan mutu sukan.

Pengkritik sukan berpendapat banyak faktor yang menyebabkan mutu sukan negara tidak mencapai kemajuan atau bertaraf dunia. Mereka berpendapat sistem pendidikan yang lebih mementingkan kecemerlangan akademik dan sikap masyarakat atau ibu bapa yang mementingkan kecemerlangan akademik membataskan murid-murid sekolah daripada mendekati sukan. Fenomena ini menjadikan sekolah kini bukan lagi gelanggang untuk melahirkan dan mencungkil bakat pelajar-pelajar sekolah yang boleh digilap sebagai atlet negara sehingga mencapai taraf dunia.

Bagaimanapun adalah tidak adil kita hanya menyalahkan pihak tertentu tanpa meninjau dilema atlet. Secara umumnya moral atlet kita berada di tahap yang rendah dan mudah mengaku kalah apabila menghadapi lawan yang bertaraf dunia. Hal ini mungkin kerana mereka kurang keyakinan di samping kurang pendedahan dan pengetahuan. Atlet kita juga dikatakan tidak bersikap matang dalam usaha untuk menigkatkan prestasi diri. Mereka tidak menjiwai watak sebagai ahli sukan tulen yang sanggup untuk meningkatkan prestasi dan kemahiran sendiri. Sesetengah atlet tidak berdisiplin dan menjadi keras kepala kerana menyedari khidmat mereka amat diperlukan kerana tidak ada atlet lain yang akan mewakili negara. Sikap atlet yang manja dan sukar ditegur ini menjadi masalah kepada jurulatih untuk menggilap atlet negara menjadi ahli sukan bertaraf dunia. Permasalahan ini bukan sahaja memerlukan atlet mengubah sikap tetapi juga semua pihak yang terlibat demi mewujudkan sukan sebagai suatu budaya kehidupan.

Mutu sukan negara boleh ditingkatkan dengan komitmen semua pihak termasuk Kementerian. Justeru sikap menyalahkan satu pihak dan menudingkan jari kepada pihak satu lagi apabila gagal meraih sasaran pingat dalam sesuatu temasya sukan perlu dihentikan. Bersepakat membawa berkat perlu diterapkan dalam diri setiap masyarakat agar dapat menyumbang idea dan tenaga bagi membantu meningkatkan mutu sukan negara.


No comments:

Post a Comment