Photobucket

Wednesday, August 28, 2013

Biarkan Samudera..


—Sinopsis

          Konflik yang dihadapi oleh Mir sama seperti gelora samudera yang memusnahkan rumah di perkampungan nelayan dan menyebabkan kehidupan nelayan bermasalah. Mir merenung samudera, bercakap sendiri sambil mengaitkan hakikat samudera, kehidupan nelayan dan keseimbangan  ekosistem samudera. Hakimah hairan dengan sikap Mir. Mir teringatkan ayahnya yang berkata dia sayang akan laut seperti dia sayang akan Mir.
           Mir memikirkan di manakah mereka akan tinggal selepas ini. Mir bercakap bersendirian lagi tentang perahu ayahnya dan nasib nelayan. Hakimah semakin hairan apabila dia mengajak Mir balik ke kota, Mir hanya berkata dia mahu melihat laut. Hakimah mahu Mir mendapat rawatan. Mir ‘sakit’ setelah rumahnya di tepi pantai dirobohkan untuk membuat pusat peranginan dan Mir tidak berhak menuntut apa-apa kerana tanah itu bukan milik mutlak Mir. Hakimah semakin sedih dengan keadaan Mir dan dia ingin menyelamatkan Mir. Hakimah mahu memberikan kekuatan dan keyakinan kepada Mir.
         Hakimah dinasihatkan oleh ibunya agar tidak membiarkan jiwa Mir kosong dan sentiasa ajarkan Mir membaca al-Quran. Mir mengalami konflik jiwa yang hebat iaitu skizofrenia mudah. Mir perlu diselamatkan secepat mungkin. Mir tidak mendapat kasih sayang sesiapa kecuali ayahnya dan mungkin itulah sebabnya Mir menjadi pemurung. Ibu Hakimah menghulurkan sebungkus kain telekung dan berpesan agar Hakimah membawa Mir datang bertemunya.
 
Mir teringat akan ayahnya dan bagaimana ayahnya akur dengan rumah gantian yang diberikan. Ayahnya mahu Mir membina mahligai sendiri. Ayahnya berpesan agar Mir menjadi penerus dan pewaris samudera dan tidak akan membiarkan dada samudera sakit. Mir memberitahu Hakimah bahawa ayahnya meminta dia menjaga samudera dan jangan samudera dikhianati walaupun pembangunan pesat berlaku di pantai. Hakimah bersyukur, Mir semakin pulih. Mir memberitahu, hadiah ibu Hakimah dipakai 5 kali sehari dan dia berasa tenang dan damai. Mir berterima kasih kepada Hakimah.
 
 

TEMA HARI KEBANGSAAN 2013

MALAYSIAKU BERDAULAT : TANAH TUMPAHNYA DARAHKU

Friday, August 23, 2013

Kabus Di Perbukitan dan Tragedi Bas Terhumban Ke Dalam Gaung

Kaedah Mengingat Kronologi Cerita Kabus Di Perbukitan
Persamaan cerita dengan Tragedi Bas Terhumban di Genting Highlands
Faridah menaiki van dari Raub ke Bukit Fraser. Sampai di Bukit Fraser, dia mengambil pesanan dan menulis barang-barang yang hendak dibeli di Kuala Kubu Baharu. Dalam perjalanan menuruni Bukit Fraser ke Kuala Kubu Baharu, van yang dinaiki Faridah terhumban ke dalam gaung. Rupanya Iqbal berada bersama-sama Faridah di dalam van tersebut. Van yang dinaiki Faridah ditemui di dasar gaung tetapi Faridah tidak ditemui. Ada yang menyatakan Faridah dimakan binatang buas. Ada juga yang menyatakan Faridah disembunyikan orang bunian. Usaha mencari Faridah oleh pasukan penyelamat gagal. Selepas 2 minggu, pihak polis dan angkatan tentera serta pasukan penyelamat menghentikan gerakan mencari Faridah dan Iqbal. Mejar (B) Kamaruddin tetap meneruskan usaha mencari anaknya Faridah hingga ke Bukit Kutu. Akhirnya Faridah ditemui di rumah Tok Batin di sebuah perkampungan orang asli di Bukit Kutu.

Sunday, August 18, 2013

Kepentingan Memahami Maksud Peribahasa

Adik-adik calon PMR dan SPM sekalian...
Hafal sekurang-kurangnya 10 peribahasa umum untuk dimasukkan dalam setiap perenggan karangan anda.
Karangan yang menarik ialah karangan yang banyak menggunakan ungkapan menarik seperti peribahasa, slogan, dan kesantunan bahasa. Oleh itu, belajarlah menghafal peribahasa Melayu yang terdapat dalam buku teks dan dalam buku rujukan untuk memantapkan karangan anda. Antara peribahasa umum yang perlu diketahui maksudnya ialah:
1. melentur buluh biarlah dari rebungnya
maksudnya : mendidik anak-anak menjadi baik sejak kecil
2. belakang parang diasah lagikan tajam
maksudnya : usaha yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan berhasil
3. di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
maksudnya : orang yang berusaha akan berjaya
4. bak cendawan tumbuh selepas hujan 
maksudnya : sangat banyak
5. yang bulat tidak akan datang menggolek, yang pipih tidak akan datang melayang
maksudnya ; sesuatu kejayaan tidak akan datang dengan sendiri
6. hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri
maksudnya : walaupun tempat orang sangat menarik tetapi tetapi tempat sendiri lebih selesa
7. di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
maksudnya : mengikut adat resam atau budaya setempat
8. indah khabar dari rupa
maksudnya : perkhabaran yang lebih indah
9. pucuk di cita ulam mendatang @ orang mengantuk disorongkan bantal
maksudnya : mendapat sesuatu yang dihajati
10.seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing
maksudnya : orang yang mementingkan diri sendiri

Maksud Peribahasa dalam Buku Teks Tingkatan 5

1. lintah darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

2. bagai aur dengan tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

3. anak dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat

4. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

5. kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah

6. indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

7. hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

8. bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

9. kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

10. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

11. masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan


12. ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya..

13. memerah otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

14. kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

15. berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

16. yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

17. sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

18. bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

19. bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

20. yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

21. mencari jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

22. biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

23.sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

24. berbesar hati
Maksud : Gembira.

25. anak buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

26. tuan rumah
Maksud : tempat berlangsungnya sesuatu acara

27. yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

28. batu penghalang
Maksud : Halangan

29. untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

30. bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : 

a. Orang yang pulang ke tempat asal. 
b. Kehidupan yang senang.

Selamat Kembali Ke Sekolah

Selamat Hari Raya, Selamat Bercuti dan Selamat Kembali Ke Sekolah
Adik-adik yang akan menduduki UPSR, PMR dan SPM sudah bersedia?
Kalau belum bersedia, rajin-rajinlah menjenguk kerja rumah, buku teks dan buku rujukan.
Ingat, masa itu emas dan sangat berharga.
Gunalah masa dengan sebaik-baiknya.
Mulakan malam ini dengan menyusun jadual waktu, menggosok baju sekolah dan membaca buku sebelum tidur. Buat semua calon PMR SMK Mutiara, jangan lupa mulai esok 19 Ogos 2013 hingga 30 September 2013 Program Jambori Kecemerlangan PMR akan bermula. Selamat Maju Jaya untuk semua calon UPSR, PMR dan SPM 2013.