Photobucket

Wednesday, May 23, 2012

Bahasa Melayu PMR Kertas 2 (Bahagian A)


RINGKASAN KARANGAN

Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan  tentang faktor-faktor yang menyebabkan pertambahan pekerja asing di Malaysia. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah kata. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Belakangan ini jumlah pekerja asing yang datang mencari rezeki di negara kita semakin bertambah. Peningkatan ini disebabkan oleh kepesatan pembangunan yang semakin rancak dan pesat berkembang. Kebanyakan pekerja asing ini terlibat dalam sektor perladangan, pembinaan, dan perkilangan. Ada juga yang menjadi pembantu  rumah dan pembantu restoran.

Sebenarnya terdapat beberapa punca kemasukan pekerja asing secara mendadak ke negara ini. Antaranya ialah sikap penduduk setempat yang terlalu memilih pekerjaan. Mereka tidak mahu membanting tulang di tengah panas atau bergelumang dengan selut lumpur di tengah sawah ladang. Sehubungan itu, para majikan lebih suka mengupah  dan membawa masuk pekerja asing untuk menampung kekurangan pekerja setempat. Sikap sedemikian telah memberi keuntungan kepada pekerja asing.

Bagi pekerja asing pula, mereka tidak mempunyai pilihan. Mereka tidak mempunyai pendidikan yang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik. Walaupun kadar upah yang diterima oleh mereka lebih rendah daripada yang dibayar kepada pekerja tempatan tetapi kadar upah itu lebih lumayan jika dibandingkan dengan kadar upah di negara mereka sendiri. Oleh hal demikian, mereka tidak teragak-agak meninggalkan negara mereka untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan di negara ini.

Sementara itu, terdapat juga pihak majikan terutama pengusaha ladang dan kontraktor yang lebih cenderung mengambil pekerja asing. Hal ini demikian kerana gaji yang dibayar kepada pekerja asing itu adalah lebih rendah daripada pekerja setempat. Di samping itu majikan tidak perlu mengekluarkan wang insuran dan caruman pekerja kepada Kumpulan wang simpanan Pekerja (KWSP). Secara tidak l;angsung keadaan ini dapat mengurangkan kos tenanga buruh kepada majikan.

Sebagai kesimpulan, kemasukan pekerja asing ini banyak memberikan keuntungan kepada pihak majikan. Walaubagaimanapun kemasukan mereka haruslah dikawal bagi mengelakkan pengangguran dalam kalangan rakyat setempat. Selain itu kelonggaran dasar kerajaan terhadap pekerja asing dapat menyebabkan kadar upah pekerja setempat menjadi rendah seterusnya menjejaskan taraf hidup penduduk setempat.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Kebanjiran Pekerja Asing Menggugat Peluang Pekerjaan Penduduk Setempat, dewan Masyarakat, Mei 2008)

No comments:

Post a Comment