Photobucket

Tuesday, July 24, 2012

TEKNIK MENJAWAB KERTAS 2 PMR



BAHAGIAN C    KARANGAN UMUM
1.    Dalam Bahagian C kertas 2 Bahasa Melayu PMR, calon  diberi 5 pilihan. Bacalah semua soalan dengan teliti.
2.    Selepas itu, barulah anda membuat keputusan untuk memilih soalan yang dirasakan sesuai dengan pengetahuan anda.
3.    Mulai tahun 2005, markah yang diberi ialah 40 markah. Karangan akan disemak secara impression dan mementingkan aspek bahasa. Oleh itu, pelajar mesti berhati-hati, dan sentiasa menyemak karangan bagi mengurangkan kesilapan tatabahasa. Penilaian karangan adalah berdasarkan penggunaan bahasa, idea dan isi serta pengolahan karangan.
4.    Soalan yang sesuai dengan pemahaman, pengetahuan, dan keupayaan anda akan memudahkan anda mengembangkannya. Selepas itu, sediakan rangka karangan seringkas yang mungkin. Unsur keindahan bahasa perlu dimasukkan dalam karangan ( kosa kata/peribahasa). Frasa menarik juga dapat membantu meningkatkan markah.
5.    Sebelum menulis rangka karangan, fahamilah kata kunci soalan karangan, tema soalan dan jenis karangan tersebut.
6.    Untuk Kertas 02/2 PMR Bahasa Melayu, calon digalakkan menulis:
       Pendahuluan    (lebih kurang 40 patah kata)
Tiga  isi penting    (40 x 3 isi = lebih kurang 120 patah kata)
 Penutup    ( lebih kurang 30 patah kata)
Jumlah perkataan        = 190 patah kata
Jumlah yang dikehendaki = 180 patah kata

TAJUK:
     Setiap orang mempunyai impian dan cita-cita. Nyatakan usaha yang boleh anda lakukan untuk mencapai cita-cita anda.

CONTOH KARANGAN

                        Setiap orang mempunyai impian masing-masing. Begitu juga dengan saya. Saya bercita-cita ingin menjadi seorang juru terbang yang berjaya apabila dewasa kelak. Kerjaya sebagai juru terbang mempunyai cabaran dan risiko yang amat tinggi. Kerjaya ini menjanjikan gaji yang cukup lumayan serta ditambah dengan pelbagai insentif lain. 

            Antara usaha yang saya lakukan adalah dengan belajar bersunggu-sungguh supaya mendapat ilmu yang berguna bak kata pepatah” ilmu pelita hidup”. Saya berasa amat bersyukur kerana saya ditempatkan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang menyediakan subjek aliran sains yang amat diperlukan dalam kerjaya ini terutamanya subjek Fizik. Subjek teras seperti Sains dan Matematik perlulah cemerlang di peringkat SPM supaya saya dapat melepasi separuh syarat kelayakan dengan hati yang tenang. Oleh itu, saya sering menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajaran yang diajar oleh guru di dalam kelas.

            Selain itu, saya juga merupakan seorang individu yang mementingkan disiplin. Saya sering menjaga pemakanan supaya dapat mengekalkan berat yang diperlukan untuk melepasi syarat kelayakan. Pemakanan yang sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran amat penting untuk badan terutamanya karot yang dapat menjaga kesihatan mata dan muka. Mata yang mempunyai penglihatan yang bagus 6/6 amat penting untuk seorang juru terbang. Saya juga sangat mementingkan pengurusan masa. Hal ini akan mempengaruhi saya apabila dewasa kelak supaya sentiasa menepati masa. Apabila saya berjaya menjadi seorang juruterbang, saya perlu bersedia lebih awal supaya boleh menyemak pelan penerbangan sebelum berlepas. Oleh itu, saya perlu mendisiplinkan diri mulai sekarang bak kata mutiara “sediakan payung sebelum hujan”.

            Di samping itu, saya juga bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum. Saya mengikuti unit beruniform Pasukan Kadet Bersatu Malaysia Laut (PKBML). Walaupun saya menyertai unit beruniform PKBML, saya tetap dapat belajar untuk menempuhi cabaran di laut. Saya menganggap laut dan udara merupakan dua benda yang sama. Saya mengambil kesempatan menyertai PKBML untuk melatih diri supaya dapat berdepan dengan segala cabaran dan risiko yang amat tinggi bak kata pepatah “sambil menyelam minum air”. Sikap keberanian dan tidak gentar ini amat penting  untuk mengelak daripada rasa takut apabila berada di tempat yang tinggi dan di dalam air. Juru terbang juga mempunyai risiko yang tinggi kerana mereka terpaksa manjaga nyawa dan keselamatan penumpang di dalam pesawat. Oleh sebab itu, saya perlu lebih melatih diri untuk menjadi lebih berani dalam menghadapi cabaran.

            Kesimpulannya, impian dan cita-cita tidak akan datang tanpa adanya usaha. Oleh itu, kita perlu berusaha untuk merealisasikan cita-cita kita kerana yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang.



No comments:

Post a Comment