Photobucket

Thursday, August 29, 2013

Malaysiaku Berdaulat : Tanah Tumpahnya Darahku

Saban hari masyarakat kita disajikan oleh media dengan pelbagai berita yang
berunsur ancaman terhadap keharmonian negara dan keutuhan bangsa. Berita-berita tersebut kebanyakannya berhubung kait dengan kegiatan salah laku golongan muda, umpamanya pembuangan bayi, vandalisme, buli, ponteng sekolah, samseng jalanan, sumbang mahram, berzina, politik wang dan segala macam perlakuan lain yang merujuk kepada keruntuhan akhlak.
Sekali imbas, senario ini hanya berlegar dalam ruang lingkup permasalahan atau cabaran dunia golongan muda, namun jika diteluskan dengan lebih tuntas, situasi tersebut amatlah membimbangkan memandangkan golongan mudalah yang sepatutnya menjadi tiang negara serta pewaris kepada kepimpinan negara yang seterusnya. Sepertimana ungkapan Prof. Dr. Yusof Al Qaradhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor dan disegani dalam artikel Nor Hartini Saari (2008), “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur, tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”.
Amat mudah untuk menjangkakan implikasi yang bakal berlaku apabila giliran generasi yang bermasalah mula mendominasi dan mengendalikan negara daripada peringkat bawahan hinggalah ke peringkat eksekutif. Apa yang pasti, kedaulatan dan keutuhan negara bukanlah menjadi prioriti dalam mencorakkan hala tuju negara melainkan mengikut justifikasi kepentingan peribadi pihak-pihak tertentu. Lantaran itu, akan menular dan berkembangnya
elemen-elemen yang membawa ke arah kehancuran konsep negara bangsa seperti amalan rasuah, dan penyalahgunaan kuasa secara berleluasa sebagaimana yang berlaku di Vietnam Selatan sehingga mencetuskan Perang Vietnam dan Greece yang mengalami kelumpuhan ekonomi. Dalam konteks ini, sesebuah negara memerlukan suatu mekanisme seperti sebuah perisai untuk melindungi dan memapankan rakyat daripada dipengaruhi gejala-gejala tersebut. Justeru itu, elemen pendidikan patriotisme merupakan antara perisai utama berdasarkan atas beberapa aspek.
Istilah “pendidikan‟ menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) adalah merujuk kepada perihal mendidik, manakala istilah `patriotisme‟ pula bermaksud perasaan bangga dan cinta kepada negara serta kesediaan untuk berkorban apa saja demi kepentingan negara (Berns, 1997). Oleh yang demikian, “pendidikan patriotisme‟ adalah merujuk kepada pendidikan ke arah membangkitkan semangat patriotisme sama ada dijalankan secara formal mahupun tidak formal. Dalam konteks ini, Easton dan Hess (1962) melalui kajian mereka di Amerika Syarikat, mendapati individu berusia tiga tahun telah didedahkan dengan pendidikan patriotisme melalui subjek politik di sekolah dan pengetahuan mereka menjadi mantap apabila
mencapai usia tujuh tahun. Tahap awal pembelajaran politik mencakupi hal ehwal persekitaran mereka seperti “keterikatan pada sekolah‟ dan “pengenalan bahawa mereka tinggal di bahagian tertentu dalam sesebuah negara‟. Kemudian diikuti pula dengan pengenalan terhadap simbol-simbol yang dapat dilihat daripada autoriti-autoriti umum seperti polis, presiden dan bendera negara. Apabila usia kanak-kanak ini mencecah sembilan hingga sepuluh tahun, mereka telah didedahkan dengan konsep-konsep lain yang lebih abstrak dan kompleks seperti hak bersuara, sistem demokrasi, kebebasan sivil dan peranan warganegara dalam sistem politik. Pembelajaran politik peringkat awal ini akhirnya berupayamelahirkan kesedaran patriotisme dalam kalangan kanak-kanak di Amerika Syarikat. Kajian tersebut menggambarkan bahawa semakin tinggi tahap pendidikan seseorang itu, maka sikap mereka semakin prihatin untuk memikirkan hal ehwal negara.

            Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan serta seluruh barisan kabinet dan pemerintah tertinggi negara khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan Pendidikan Patriotisme bermula di sekolah-sekolah rendah untuk melahirkan semangat kecintaan yang mendalam terhadap negara Malaysia yang tercinta ini. Sambutan kemerdekaan ke-56 pada tahun ini adalah menunjukkan kematangan sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat dari segi kepimpinanan dan kemajuan yang dikecapinya. Tanpa usaha yang gigih, kemerdekaan yang dikecapi selama 56 tahun ini akan lebur sekelip mata jika tiada langkah-langkah mengekalkan keamanan dan kemakmurannya. Jangan kerana dek terlalu menjaga kedudukan dan status, para pemimpin terlupa menjenguk keperluan generasi pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan. Segala kepincangan dan kehendak generasi pelapis ini perlu disediakan dan dibetulkan sejak awal lagi agar nasi tidak menjadi bubur di kemudian hari. 

No comments:

Post a Comment