Masa berlalu bagaikan angin yang bertiup. Tidak nampak tetapi tetap terasa dinginnya menyapa seluruh tubuh. Sesekali sejuknya mencengkam hingga ke tulang sum sum. Masa memang tidak menunggu apalagi mempedulikan kelewatan kita, walaupun kita menyedari kehadirannya.
Untuk memulakan sesuatu sebenarnya tidak ada istilah terlewat. Kita selalu mendengar ungkapan jangan tunggu hingga hari esok. Juga ungkapan Masa Itu Emas dan Masa Ibarat Mata Pedang Yang Memancung Leher. Kalau mahu, kita boleh mengubah diri kita sekarang. Kita tidak perlu ternanti-nanti atau mencari masa yang sesuai sehingga bertahun-tahun lamanya untuk mengubah diri. Sebenarnya setiap masa dan setiap saat ialah masa yang sesuai untuk kita mengubah prinsip hidup atau mengubah cara hidup kita yang salah atau yang tersasar sebelum ini.
Selagi kita mengamalkan sikap suka bertangguh atau suka menunggu, selagi itulah kita tidak dapat menyelesaikan masalah dan mengubah diri menjadi apa yang sepatutnya kita jadi dan bukan menjadi apa yang tidak kita ingini. Kita harus berpesan kepada diri dan menetapkan dalam hati bahawa biarlah keadaan hari ini lebih baik daripada hari semalam dan keadaan hari esok lebih baik daripada hari-hari yang berlalu.
Sesungguhnya kita tidak akan berubah sekiranya kita hanya tunggu dan lihat takdir kita tanpa berbuat apa-apa. Apabila sedar masa tidak menunggu kita dan tidak ada tangan lain yang boleh mengubah nasib kita, kita perlu mengorak langkah walaupun perlahan tetapi biarlah teratur dan tersusun agar kita dapat mendaki puncak kejayaan seperti orang lain. Jika kita masih menunggu dengan pelbagai alasan, kita tetap akan menjadi penunggu sampai bila-bila. Hasilnya kita tidak akan mendapat apa-apa pun.
Manusia yang berubah ialah orang yang berani membuat keputusan. Biarlah keputusan itu tidak memihak kepada kita tetapi dengan keputusan yang ada kita dapat berubah. Tiada manusia yang sempurna kerana setiap kejadian Allah Taala saling berkait antara satu sama lain. Gunakan masa yang ada untuk berfikir sebelum membuat keputusan. Walaupun pahit dan perit kita perlu menerima hakikat bahawa dunia tidak akan kiamat dengan keputusan yang kita buat. Selagi kita bertangguh untuk membuat keputusan selagi itu masalah tidak selesai. Masalah yang tidak selesai akan melewatkan kita untuk mengorak langkah ke hadapan. Sekali kita terlewat peluang untuk mengecap nikmat kejayaan dan kebahagiaan juga mungkin lewat daripada orang lain.
"Dan hari-hari kejayaan itu dikurniakan kepada umat manusia dengan bergiliran." (Surah Ali'Imran : 140)
Fikirkan dan renungkan.
P/S : Sekadar luahan Cikgunie di bulan Syawal ini.
No comments:
Post a Comment