Photobucket

Sunday, August 24, 2014

NILAI KEMATIAN PENUMPANG MH17


Dalam kejadian pada 17/7/2014 yang lalu, Pesawat Malaysia Airlines MH 17 Boeing 777-200 dikemudi oleh Kapten Wan Amran Bin Wan Hussin, Kapten Choo Jin Leong Eugene bersama 13 anak kapal diketuai oleh Ketua Pramugara Mohd Ghafar Bin Abu Bakar yang dibantu oleh Muhamad Firdaus Bin Abdul Rahim, Ahmad Hakimi Bin Hanafi, Dora Shahila Bin Kassim, Azrina Binti Yakob, Lee Hui Pin, Mastura Binti Mustapa, Chong Yee Pheng, Shaikh Mohd Noor Bin Mahmood, Sanjid Singh Sandhu, Hamfazlin Sham, Nur Shazana binti Mohamed Salleh dan Angeline Premila Rajandaran. Malangnya pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur itu telah ditembak jatuh dan terhempas di Timur Ukraine dalam wilayah Donetsk. Seramai 298 orang penumpang termasuk anak kapal terbunuh dalam nahas yang ‘disengajakan’ itu.

 
Kematian tidak dapat dielakkan dalam hidup seseorang manusia. Setiap orang daripada kita akan merasai mati. Cuma cara dan masa kematian sahaja yang tidak sama. Ada orang mati kerana terlibat dalam nahas jalan raya, ada yang mati kerana sakit kronik seperti barah, serangan jantung atau kencing manis, ada juga yang mati kerana dibunuh, lemas, bunuh diri dan sebagainya. Setiap orang yang mati pula ada yang beritanya dipaparkan di dada akhbar, ada yang disampaikan melaui laman sosial dan ada yang kematiannya tidak diketahui oleh orang langsung. Kematian itu kadang kala disensasikan dan kadangkala tidak mendapat liputan media pun kerana bergantung kepada siapa yang mati itu. Jika orang yang mati itu orang kenamaan atau selebriti maka ia akan mendapat liputan yang meluas. Tetapi jika orang yang mati itu warga tua, mat rempit, pendatang asing atau orang kampung yang tiada kepentingan, kematian mereka dianggap satu lumrah. Jika murid sekolah, warga guru atau anak-anak guru yang meninggal kerana kecuaian, kematian mereka akan juga disensasikan dan seluruh negara akan tahu. Begitu juga dengan kematian para penumpang MH17 yang terhempas pada 17/7/2014 yang lalu. Seluruh dunia bersedih dan semua rakyat Malaysia meratapi tragedi tersebut. Tahun ini juga dianggap tahun dukacita kerana Malaysia baru sahaja kehilangan pesawat MH370 pada Mac 2014 yang lalu. Kita memang bersedih tetapi ajal dan maut tiada siapa yang dapat menghalang.

 
Persoalannya, perlukah negara berkabung, meratapi dan berulang-ulang mendapat pengiktirafan atau yang berlebihan daripada kerajaan? Pampasan diterima waris ratusan ribu ringgit, penghormatan dan perkabungan yang diisytiharkan oleh kerajaan dianggap keterlaluan. Adakah mereka para pejuang yang syahid kerana mempertahankan kedaulatan negara? Atau adakah mereka barisan hadapan negara yang bermatian memperjuangkan kemerdekaan negara kita sehingga penghormatan yang diberikan kepada mereka melampai penghormatan yang diberikan kepada anggota polis dan tentera yang berjuang di Lahad Datu pada Mac 2013? Kematian para pejuang di Lahad Datu itu sangat mengerikan. Ada yang mayatnya ditoreh, dikelar dan dikerat oleh puak Suluk. Sedangkan para penumpang dan krew MH17 ditembak jatuh oleh siapa pun kita belum kenal pasti lagi kerana belum ada pihak yang mengaku. Rundingan yang dibuat oleh PM kita dengan Alexander Bodorai ketua puak pemisah Ukraine telah membenarkan 282 mayat yang ditemui dibawa ke Amsterdam Belanda sebelum diterbangkan ke negara asal penumpang pesawat berkenaan. Dalam kes ini, PM adalah orang yang layak diberi penghormatan kerana Barrack Obama pun belum tentu dapat berunding dengan puak pemisah di Ukraine.

 
Semua pihak telah dan redha dengan tragedi tersebut. Mati itu pasti dan semua orang akan merasai mati. Setiap yang hidup akan mati juga suatu hari nanti. Tidak salah kita memberi penghormatan kepada mereka kerana mereka tidak bersalah tetapi memberi pengiktirafan dan penghormatan yang melampau akan mengguris hati banyak pihak terutama pihak pejuang negara yang tidak pernah seorang pun mengiktiraf mereka sedemikan rupa. Cikgunie tidak menghalang orang yang hendak berkabung dan bersedih tetapi janganlah sampai kita menganggap para penumpang yang terbunuh dalam nahas MH17 ini dianggap syahid dan mati kerana memperjuangkan kedaulatan negara. Tepuk dada tanya diri betulkah apa yang sedang kita lakukan ini kerana penghormatan hanya diberikan kepada orang yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Adakah negara-negara lain yang rakyatnya terbunuh dalam nahas MH17 juga memberi penghormatan seperti apa yang kita buat sekarang?
 
Semoga semua penumpang dan anak kapal MH17 beragama Islam yang terbunuh dalam nahas pada 17/7/2014 ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
 
 

No comments:

Post a Comment