Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat
kejiranan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan keutuhan
hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam
masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semangat
kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan
setempat yang aman dan harmoni.
Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita.
Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh
jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling mudah memberikan pertolongan
pada saat kita ditimpa bencana. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan
pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau
sanak-saudara. Jiran yang berbeza latar belakang pekerjaan, pendidikan, agama
dan budaya akan memberikan manfaat yang besar kepada kita. Hal ini kerana
mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama.
Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin
keselamatan setempat daripada sebarang ancaman seperti kecurian,
penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.
Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat
dicegah dengan semangat kerjasama dan keprihatinan sesama jiran. Gejala sosial
seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah dapat dibendung jika
jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak
berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli
keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi
sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran
yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain
sudah semestinya dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada
masyarakat setempat. Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan
persefahaman yang mantap sesama jiran.
Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa
perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak
lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan
melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya
memupuk semangat tolenrasi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian
pintar sesama mereka. Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan
tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan
perpecahan.
Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran
dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara
yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan
yang lebih gemilang pada masa akan datang.
(Dipetik
dan diubahsuaikan daripada Kejiranan, Cara
Kekalkan
Hubungan Baik, oleh Ahmad Tarmizi Zakaria,
Utusan
Malaysia, Jun 2003)
No comments:
Post a Comment