Photobucket

Monday, February 25, 2013

Menulis Karangan Respons Terbuka Dimensi Keluarga


Soalan SPM 2010 (Dimensi Keluarga)
Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu. 

Situasi seperti di atas seharusnya tidak berlaku dalam sesebuah masyarakat. 
Jelaskan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.

Isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat menjadi bual bicara semua peringkat rakyat Malaysia sama ada dalam bilik berhawa dingin atau di warung-warung kopi di tepi jalan. Ia bukanlah sesuatu yang tabu untuk dibicarakan di khalayak terutama dalam media arus perdana tidak kira berstatus quo atau tidak. Walaupun berbagai-bagai prakarsa telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengekalkan keharmonian keluarga, namun hal ini seolah-olah tiada nokhtahnya. Adakah peranan yang dimainkan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak cukup bersepadu untuk membawa paradigma baru ke dalam institusi kekeluargaan? Adakah peranan yang digerakkan oleh institusi keluarga dalam memacu keluarga mereka di bawah payung keharmonian gagal. Hal ini mungkin berpunca daripada kegagalan ibu bapa mendidik anak-anak menjadi insan yang bertanggungjawab kerana kesibukan mengejar duniawi semata-mata. Mutiara kata ada menyebut hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Oleh itu prakarsa mendidik anak-anak menjadi insan yang bertanggungjawab hendaklah dimulakan dari sekarang kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan.

Kegagalan ibu bapa mendidik anak-anak akan melahirkan anak-anak yang tidak bertanggungjawab terhadap agama, bangsa, negara dan keluarga itu sendiri. Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi role model kepada anak-anak agar anak-anak menjadi insan yang berguna pada masa hadapan. Apabila anak-anak menjadi insan yang berguna, maka anak-anak dapat membahagiakan ibu bapa mereka  dengan memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepada ibu bapa mereka. Saban tahun setiap kali keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan pasti ada yang berduka dan bergembira. Insan yang bergelar ibu bapa pasti akan mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat keputusan cemerlang yang diraih oleh anak-anak mereka. Sudah pastinya terselit seribu kepuasan dalam diri ibu bapa kerana keperitan dan penderitaan mendidik dan membesarkan anak-anak telah terbalas dengan kejayaan anak-anak mereka. Oleh itu, anak-anak hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan membesar mengikut acuan yang telah dibentuk oleh ibu bapa mereka. Mutiara kata ada menyebut usaha tangga kejayaan. Jadi usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa akan membuahkan kejayaan yang manis untuk dikecapi bersama keluarga. Kegigihan anak-anak belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan akan dapat direalisasikan sekiranya mereka berjaya menangkis segala ancaman yang masuk ke tingkap globalisasi kehidupan mereka. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran merupakan tanggungjawab anak-anak untuk memberikan kebahagiaan berganda kepada ibu bapa.

Anak-anak yang dilahirkan ibarat sehelai kain putih. Maka terpulanglah kepada setiap ibu bapa untuk mencorakkannya. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Oleh itu didikan ibu bapa akan melahirkan anak-anak yang mengikut corak didikan ibu bapanya. Jika cantik coraknya, maka baiklah akhlak anak-anak. Anak-anak yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia akan memberikan kebahagiaan kepada orang tua mereka apabila mereka dewasa kelak. Mutiara kata yang berbunyi Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara adalah contoh anak-anak yang berbakti kepada ibu bapa akan menggalas tanggungjawab menjaga keamanan negara akan memacu ke arah kebahagiaan keluarga. Selama bertahun-tahun anak-anak dididik dengan kebanyakan ibu bapa yang mengamalkan konsep melentur buluh biarlah dari rebungnya akan menyejukkan hati ibu bapa apabila dewasa nanti anak-anak yang dipelihara mereka mempunyai keperibadian yang unggul. Oleh itu, anak-anak seharusnya berusaha menjaga akhlak dan budi pekerti mereka walau di man mereka berada kerana menjaga imej dan maruah keluarga adalah tanggungjawab anak-anak.

Mutiara kata pepatah Melayu lama menyebut Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing sering berlegar-legar dan bermain-main di segenap minda kehidupan harian rakyat Malaysia. Jadi, dalam mempraktikkan hal ini, anak-anak hendaklah mengaplikasikan sikap ringan tulang dengan membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah. Perkara ini bukan sahaja memudahkan urusan ibu bapa mereka malah dapat mengeratkan hubungan ukhwah kekeluargaan yang tersimpul rapi. Dalam menyingkap hal ini, konsep muafakat membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu bapa dan anak-anak dengan saling membantu ibu bapa di rumah. Bermula daripada aktiviti melakukan kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja cantik malah dapat menghindari diri daripada segala wabak penyakit akibat tidak mengutamakan kebersihan persekitaran. Ibarat bulan sangkap empat belas, beban yang digalas oleh ibu bapa akan menjadi ringan malah mampu melestarikan warna-warni kebahagiaan dan keharmonian keluarga tersebut. Senario ini sekali gus mengurangkan jurang perpecahan sesebuah institusi keluarga seperti statistik sahih yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008 yang menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai setiap hari. Tuntasnya, memang benarlah bahawa peranan anak-anak dalam membantu meringankan beban ibu bapa mereka menguruskan kerja-kerja rumah amat signifikan untuk mewujudkan kebahagiaan dalam sesebuah keluarga terutamanya anak-anak yang meningkat dewasa.

Prakarsa lain yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa adalah mendengar nasihat mereka. Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang dapat menyaksikan bahawa hampir saban hari ada sahaja kes-kes yang membabitkan ibu bapa dan anak-anak menghiasi muka depan akhbar arus perdana di Malaysia sama ada kes mencederakan ibu bapa atau pergaduhan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa mereka serta paling tragis menempatkan ibu bapa yang tua dan uzur di rumah-rumah kebajikan. Cuba kita renungkan kembali peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 2010 di akhbar Harian Metro bertajuk, ‘Trajedi pilu 9 anak membuang ibu mereka yang sudah tua’. Wajarkah 9 orang anak bertindak sedemikian rupa? Pastinya peristiwa dan tragedi hitam ini tidak akan berlaku jika seorang anak tidak mengamalkan peribahasa seperti kacang lupakan kulit dan mendengar nasihat. Anak-anak yang mendengar nasihat sudah pasti akan menjaga kebajikan ibu bapa mereka terutama ketika umur senja mereka. Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu bapa mereka umpama mencurah air ke daun keladi kerana segala nasihat itu tidak lebih untuk kebahagiaan anak-anak itu juga. Deduksinya, memang izharlah bahawa jika seseorang anak mendengar nasihat ibu bapa maka perkara inilah yang menjadi kunci kebahagiaan kepada ibu bapa mereka.

Mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat dari dua perspektif yang berbeza. Perspektif pertama, mendoakan kesejahteraan ibu bapa ketika mereka masih hidup dan yang keduanya, mendoakan kesejahteraan mereka setelah mereka meninggal dunia. Oleh hal yang demikian, seseorang anak hendaklah menjadikan doa sebagai budaya yang sinonim dengan diri mereka. Bagi merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa hendaklah dilakukan sebagai aktiviti rutin selepas solat kerana alah bisa tegal biasa. Tidak mustahil rasanya langkah ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, anak-anak hendaklah mendoakan kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan kemurahan rezeki untuk pihak ibu bapa mereka. Hal ini bukan sahaja bakal memudahkan urusan ibu bapa mereka di akhirat kelak malah akan membawa kebahagiaan di dunia lagi. Bagi merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya berasa bahagia dan tenang apabila berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang soleh. Konklusinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa doa merupakan senjata yang penting dan utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Tuntasnya, benih yang baik jika dicampak ke langit menjadi kejora, jika dicampak ke laut menjadi pulau, jika dicampak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke dasar laut menjadi mutiara.  Anak-anak yang dididik dengan ilmu agama dan dilentur sejak kecil akan membesar menjadi insan yang bisa membahagiakan ibu bapa di dunia dan di akhirat. Seterusnya, anak-anak akan menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan bersama-sama berganding bahu, melangkah sederap dengan pihak kerajaan dalam menjalankan tranformasi besar-besaran untuk memastikan keluarga sakinah dapat dilahirkan. Tepuk dada tanya selera kerana tanggungjawab menjaga ibu bapa bermula seawal usia kanak-kanak itu dilahirkan kerana cara didikan akan membentuk peribadi seseorang individu.

                                     

6 comments:

  1. saya suka karangan ni . banyak perkataan perkataan bagi saaya yag menarik dan jarang digunakan pelajar . frasa-frasa menarik dan simpulan bahasa juga banyak diselitkan dalam setiap perenggan :)

    ReplyDelete
  2. Nur Ain, terima kasih atas maklumbalas. Sebenarnya kebanyakan karangan yang ditulis oleh calon SPM adalah menarik, cuma ungkapan menarik tidak dimasukkan untuk menjadikan bahasa itu lebih santun, anggun dan bervariasi. Ingat, bukan sahaja wajah kita perlukan sentuhan solekan, tetapi karangan juga perlukan 'solekan' jiwa yang mesra untuk menarik perhatian pemeriksa kertas jawapan kita kelak. Selamat mencuba Nur Ain....

    ReplyDelete
  3. tajuknya positif. sepatutnya karangan bermula dengan benda yang positif . hanya sekadar pandangan :)

    ReplyDelete
  4. Betul tu Nasuha,,,kadang-kadang kita sering menyembunyikan kesedihan untuk menunjukkan kegembiraan sedangkan hati kita disiat-siat saat kita tersenyum...
    begitu juga realiti kehidupan, kadangkala kita perlu menyuarakan kebenaran...
    Wallahualam....

    ReplyDelete
  5. Saya baru masuk form 4. Jadi saya tidak tahu macammana hendak menulis karangan mengikut SPM. Adakah ianya akan mengambil markah bonus jika memasukkan mutiara kata di setiap karangan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. sila emel cikgu untuk dapatkan contoh dan tips menulis karangan tingkatan 4 di rusni.ahmad@ymail.com

      Delete