Photobucket

Thursday, March 7, 2013

JOM ULANGKAJI LATIHAN TATABAHASA


Tatabahasa Soalan 3 (e) Peribahasa
Soalan peribahasa dalam tatabahasa biasanya terdiri daripada beberapa bentuk soalan. 

A. Membina ayat daripada peribahasa:
1. bagai menatang minyak yang penuh
Ibu bapa selalunya menyayangi dan menjaga anak-anak mereka bagai menatang minyak yang penuh sehinggalah mereka dewasa.

2. seperti katak di bawah tempurung
Sikap Ng Khai Liang yang sukar menerima perubahan yang berlaku menyebabkan dia berfikiran tertutup seperti katak di bawah tempurung.

3. seperti paku dengan penukul
Pelajar yang malas dan bersikap seperti paku dengan penukul tidak mungkin dapat meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.

4. ketam mengajar anaknya berjalan lurus
Masih ramai ibu bapa yang malas membaca tetapi mahu anak mereka rajin mengulang kaji pelajaran samalah seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

B. Mengemukakan peribahasa yang sesuai berdasarkan situasi yang diberi:
Contoh: Beri tiga peribahasa yang sesuai dengan cerita yang diberi.

1. Encik Azhar terkejut besar apabila anak yang dipelihara dengan penuh kasih sayang sanggup melakukan perkara yang terkutuk itu. Dia tidak menyangka bahawa anaknya itu terlibat dalam kes ragut yang telah memalukannya. Tindakan anaknya yang telah membunuh mangsa itu tidak dapat diselamatkan kerana anaknya akan menerima hukuman yang setimpal.
i. bagai menatang minyak yang penuh (memelihara dengan penuh kasih sayang)
ii. bagai menyonteng arang ke muka (memalukan)
iii. anak emas (anak kesayangan)
iv. air muka (diri, peribadi)

2. Pasangan pengantin di atas pelamin itu amat sepadan. Pasangan itu bakal melayari hidup sebagai suami isteri. Setiap pasangan perlu bersabar dan jika ada perselisihan pendapat, mereka perlu bertolak ansur serta saling memaafkan. Tanpa sikap tolak ansur sesebuah keluarga tidak akan dapat bertahan lama dan perasaan kasih sayang akhirnya akan lenyap. Hal ini boleh menyebabkan perceraian berlaku.
i. bagai pinang dibelah dua.
ii. sedangkan lidah lagi tergigit.
iii. bagai embun di hujung rumput.

C. Mengemukakan peribahasa berdasarkan ayat yang diberi:

1. Setelah berjaya melepaskan dirinya daripada digigit anjing liar, gadis itu terpaksa pula bergelut dengan seorang lelaki yang hendak meragut beg tangannya.
* keluar mulut harimau, masuk ke mulut buaya.

2. Walaupun telah lama tinggal di luar negara namun akhirnya Romzy pulang semula ke kampung halamannya kerana berasakan kampung halamannya lebih tenteram.
* hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

3. Apabila Encik Santos meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua tahun yang lalu, keluarganya menjadi kucar-kacir dan saling berbalah.
* bagaikan anak ayam kehilangan ibu.

D. Mengisi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai

1. Tok Penghulu kesal akan sikap penduduk kampung yang hanya membisu ketika mesyuarat dijalankan, tetapi mula bersuara apabila projek sudah dijalankan.
Ada-ada sahaja yang tidak kena. Mereka bersikap umpama …………(i)…………… Mereka sepatutnya tidak mengemukakan pendapat sesuka hati dan tidak mengeluarkan kata-kata yang dapat menyinggung perasaan orang lain. Hal ini demikian kerana ……(ii)…….. Walau bagaimanapun, sebagai ketua tok penghulu akan berusaha untuk menyelesaikan masalah …………(iii)………..nya itu supaya dapat memuaskan hati semua pihak.

i. rumah siap pahat berbunyi
ii. mulut manusia lebih tajam daripada mata pedang / terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
iii. anak buah


Latihan 1:
Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.

1. bagaikan kera mendapat bunga
2. kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit
3. burung terbang dipipiskan lada
4. menegakkan benang yang basah
5. bagaikan telur dihujung tanduk
6. ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
7. bagaikan tikus jatuh di kepuk
8. matinya semut kerana gula
9. air dicincang tidak akan putus
10. bagaikan embun di hujung rumput

Latihan 2:
Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.

1. seperti mendukung biawak hidup
2. sudah jatuh ditimpa tangga
3. kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan
4. ditelan mati emak, dibuang mati bapak
5. kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah
6. bagaikan anjing dengan bayang-bayang
7. sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina
8. genggam bara api biar sampai menjadi arang
9. bagai mencurah air ke daun keladi
10. kuman di seberang laut Nampak, gajah di depan mata tak Nampak

Latihan 3:
Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.

1. Bagaikan lalat mengharung najis/ tahi
2. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan
3. sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain
4. seperti pelanduk dua serupa
5. melentur buluh biarlah dari rebungnya
6. seperti ular kena palu
7. mati semut kerana gula
8. bagai mendapat durian runtuh
9. umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain
10. mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan

Latihan 4:
Beri peribahasa yang sesuai dengan ayat yang dinyatakan tersebut.

1. Kata-kata dan janji manis yang diberi oleh calon yang bertanding dalam pilihanraya itu tidak disukai oleh penduduk di kawasan itu kerana janji yang ditabur tersebut mempunyai maksud yang tertentu.

2. Selepas pertandingan memilih calon wakil rakyat itu berakhir, semua pihak yang bermusuhan telah berbaik-baik semula seperti sediakala.

3. Walaupun sudah sepuluh tahun berhijrah ke luar negara untuk mencari rezeki, namun kehidupan Encik Hamid masih juga susah apabila dia pulang ke kampung halamannya.

4. Walaupun berbadan besar dan kelihatan garang namun sebenarnya Encik Farid seorang yang baik hari dan lemah lembut.

5. Walaupun cuba keluarga Encik Abdullah cuba menyembunyikan kisah anaknya terlibat dalam rasuah, namun akhirnya rahsia tersebut tersebar juga kepada orang ramai.

6. Hanya Hardy seorang sahaja yang nakal di kelas itu tetapi semua pelajar di sekolah itu menganggap pelajar kelas tersebut sebagai kelas pelajar-pelajar nakal.

7. Walaupun asalnya How Huai Lam seorang pelajar yang lembam namun setelah diajar dengan bersungguh-sungguh oleh guru-gurunya, akhirnya dia berjaya dalam peperiksaan itu dengan cemerlang.

8. Azman seorang pelajar yang tidak tahu bermain badminton tetapi cuba mengambil bahagian dalam pertandingan badminton peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

9. Setelah merantau di India lebih tujuh tahun, akhirnya Cik Saraswathy pulang dan menetap semula di kampungnya yang terletak di Negeri Sembilan.

10. Perbuatan Azizah yang menasihati kekasihnya bernama Zamri itu supaya berhenti merokok sia-sia sahaja kerana tidak diendahkan sama sekali oleh Zamri.


Latihan 5:
Beri peribahasa yang sesuai dengan ayat yang dinyatakan tersebut.

1. Encik Surinder meminta pelajarnya membaiki komputernya tetapi akhirnya komputer itu semakin rosak teruk dan tidak dapat digunakan sama sekali.

2. Perbuatan Mahendran itu sungguh melampau kerana dia menggunakan Rajendran untuk memikat hati adik perempuan Rajendran yang cantik itu.

3. Pada waktu hampir senja baharu pelajar tingkatan satu dan tingkatan peralihan berduyun-duyun pulang ke rumah masing-masing.

4. Oleh sebab terlalu mengikut rasa marah setelah dirotan oleh guru disiplinnya akibat berambut panjang, Randy menyepak tiang gol itu sehingga menyebabkan kakinya patah.

5. Walaupun berani dan bijak dengan selok-belok di hutan itu tetapi Muhaimin tidak menunjuk-nunjuk kemampuannya itu kepada peserta perkhemahan tersebut.

6. Sejak pengurus itu bersara bersara, Lennon Tan yang memangku jawatannya semakin sombong dan bersifat kejam kepada pekerja-pekerja bawahannya.

7. Sebagai rakyat negara asing yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki, pendatang asing mestilah menghormati undang-undang  Malaysia.

8. Tidak ada apa-apa yang lebih dipercayai dan bermakna oleh seseorang itu kecuali janji-janji yang telah diucapkannya kepada mereka.

9. Walaupun hanya memenangi pertandingan membaca berita peringkat sekolah namun berita kemenangan Muhammad Azam itu tersebar ke seluruh Wilayah Persekutuan Labuan.

10. Walaupun berbadan kecil dan kurus namun semua pelajar takut akan Azita yang garang dan pandai bersilat itu.
Latihan 6:
Bagi setiap satu petikan yang diberi di bawah, kemukakan 3 peribahasa yang sesuai dengan cerita dan situasi tersebut.

1. Perbuatan Mohd Azam memang tidak dapat dimaafkan. Ayahnya, Encik Zambrose benar-benar kecewa akan tindakan anak kesayangannya. Encik Zambrose sentiasa memenuhi kehendak Mohd Azam dan menjaganya dengan penuh kasih sayang. Tindakan Mohd Azam menjual kereta Mercedes milik Encik Zambrose tanpa pengetahuannya sangat melampau. Hancur luluh hati isteri Encik Zambrose yang turut menyayangi anak tunggalnya itu. Dia tidak menyangka kebaikan yang telah diberi kepada Mohd Azam selama itu dibalas dengan perbuatan yang tidak baik tersebut. Encik Zambrose berjanji akan menghukum anaknya yang tidak tahu mengenang budi dan jasa keluarganya itu. Perbuatan Mohd Azam itu sungguh tidak bertanggungjawab.

2. Penduduk Taman  Sea View tidak mempercayai kata-kata pegawai itu kerana bagi mereka, kata-katanya mempunyai maksud tertentu. Mereka sudah serik dengan janji manis yang ditaburkan oleh pegawai itu dahulu. Sebenarnya pegawai itu pandai berkata-kata dengan menabur janji palsu bahawa penduduk taman itu akan menjadi jutawan sekiranya menjual tanah mereka untuk projek yang bakal dijalankan. Walau bagaimanapun, penduduk di taman itu kecewa kerana pegawai itu tidak dapat menyelesaikan tugas yang diamanahkan dan melakukan kerja itu separuh jalan. Sebelum itu penduduk berharap agar tugas yang dilakukan oleh pegawai itu dapat disempurnakannya.

3. Sikap Noradilah yang selalu ponteng kerja tidak disenangi oleh majikannya. Rakan-rakannya telah menasihatinya agar tidak mengulangi perbuatan buruk itu tetapi nasihat mereka sia-sia belaka. Malahan Noradilah mula berani tidur ketika majikannya tiada di pejabat. Pada satu hari, perbuatan buruk Noradilah tidak dapat disembunyikan lagi. Dia telah dimarahi oleh majikannya. Pada bila-bila masa sahaja dia boleh dibuang kerja. Nasibnya kini bergantung kepada budi bicara majikannya.

Latihan 7:
Bagi setiap satu petikan yang diberi di bawah, kemukakan 3 peribahasa yang sesuai dengan cerita dan situasi tersebut.

1. Dalam keadaan sedih bercampur gembira, Siti Aminah akan menempuh alam perkahwinan mendahului kakaknya yang sulung. Bakal suaminya pula bukanlah sebangsa atau rakyat Malaysia tetapi berasal dari negara barat iaitu seorang rakyat Polland. Selepas berkahwin, bakal suaminya akan membawanya bercuti selama dua minggu ke Eropah.

2. Setelah meninggalkan kampung halamannya lebih daripada 20 tahun, tiba-tiba Intan Salwati mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi menabur khidmat baktinya sebagai guru. Kata beliau, walaupun dia beroleh pelbagai kesenangan ketika bertugas di bandar, namun keseronokan yang diperolehnya di kampung tidak sama dengan keseronokan ketika bertugas di bandar. Setelah kepulangannya ke kampung itu, beliau telah menjadi tajuk perbualan masyarakat kerana beliau merupakan seorang guru yang berdedikasi.

3. Sikap Mohd Adib yang malas amat dibenci oleh ibu bapanya terutama dalam aspek pelajaran. Sekali suruh barulah dia mahu memegang buku. Jika tidak disuruh, dia sentiasa tidur. Cikgunya, iaitu Encik Nazari sering menasihatinya bahawa semua pelajar boleh mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Walaupun seseorang itu sangat lemah dalam pelajaran, namun jika mereka berusaha, mereka pasti akan berjaya. Perkara yang penting ialah seseorang itu mesti mempunyai kemahuan. Jika kita tidak mempunyai kemahuan atau keinginan, sudah tentulah kita tidak akan berjaya.

No comments:

Post a Comment