Photobucket

Saturday, September 14, 2013

AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

Ulangkaji Karangan Bahagian A (Bahan Ransangan)

.Gaya hidup sihat ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarga dan masyarakat. Sudah pasti dalam kehidupan masa kini banyak tekanan yang dialami oleh setiap individu. Amalan gaya hidup sihat dapat menjamin kesejahteraan hidup setiap individu.
.
.........
Mengamalkan pemakanan yang seimbang dan menjauhi amalan buruk seperti merokok atau meminum arak dapat menjamin kehidupan yang bahagia. Makanan segera, minuman bergas dan makanan ringan hendaklah dikurangkan. Mengambil lebih banyak sayuran dan buah-buahan serta serat dapat menghindarkan penyakit kencing manis dan darah tinggi. Makanan yang bergoreng dan berlemak pula mengandungi banyak kolestrol yang boleh menyebabkan penyakit jantung.

..........
Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menyihatkan dan mencergaskan badan seseorang. Kita boleh melakukan aktiviti seperti bersukan, berekreasi atau berjoging bersama keluarga ketika hujung minggu. Pakar perubatan percaya aktiviti senaman mampu melancarkan sistem peredaran darah manusia serta menjadikan sistem imunisasi lebih kebal. Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang yang jarang bersukan.
.
..........
Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dalam kehidupan agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar.
.
..........
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama  rakan atau jiran tetangga..Pada masa yang sama sentiasa bersikap positif adalah penting untuk menangani tekanan. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya. Individu  yang menghadapi tekanan pula boleh mendapatkan bantuan daripada pakar psikologi di Klinik Psikologi Hospital Kerajaan. Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.
.
..........
Kesimpulannya, mengamalkan gaya hidup sihat akan menghindarkan seseorang individu itu daripada penyakit mental dan fizikal. Seseorang yang inginkan kehidupan yang normal perlu menjaga kesihatan, kebersihan persekitaran dan berfikiran positif pada setiap masa. Oleh itu, jagalah kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat tanpa dadah, arak dan rokok. Sesungguhnya mencegah lebih baik daripada mengubati.


No comments:

Post a Comment