Photobucket

Wednesday, July 13, 2011

KESALAHAN UMUM CALON SPM MENJAWAB KERTAS 1 BAHAGIAN A

  • Calon memulakan pendahuluan dengan ayat..."Pada pendapat saya...."
  • Calon memulakan perenggan pendahuluan dengan ayat ..."Petikan membincangkan...."
  • Calon menghuraikan gambar yang terdapat dalam soalan.
  • Calon tidak menjawab tugasan dengan lengkap.
  • Calon tidak menulis pendahuluan sebaliknya terus kepada isi atau tema.
  • Calon tidak menggunakan penanda wacana.
  • Ayat calon tidak gramatis dan bahasa tidak bervariasi.
  • Contoh karangan bahagian A.

BAHAGIAN A
[30 markah]

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faktor-faktor pencemaran sungai di negara kita. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 220 hingga 250 perkataan.



TEMA
PENCEMARAN SUNGAI
TUGASAN
FAKTOR PENCEMARAN  SUNGAI
ISI
1. PEMBUANGAN SAMPAH SARAP KE DALAM SUNGAI
2. PENEBANGAN DAN PEMBUANGAN SISA BALAK KE DALAM SUNGAI
3. PENEROKAAN TANAH TINGGI TANPA KAWALAN
4. PEMBUANGAN SISA TOKSIK KE DALAM SUNGAI
KESIMPULAN
AKTIVITI INI PERLU DIKAWAL UNTUK KEBAIKAN GENERASI AKAN DATANG


CONTOH JAWAPAN
JAWAPAN
      Dalam era langit terbuka ini, Malaysia semakin gah menempa nama di persada dunia. Negara kita sudah setaraf dengan negara-negara maju dalam semua aspek ibarat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi . Hal ini demikian kerana pelbagai transformasi dilaksanakan oleh kerajaan untuk memajukan negara kita. Namun, kemajuan yang diimpikan kerajaan  hanya akan tinggal omong kosong apabila hasrat kerajaan dipandang enteng oleh rakyat. Salah satu daripada usaha kerajaan untuk memperkasa bumi Malaysia ialah dengan menjaga kebersihan sungai. Slogan “Cintailah Sungai Kita” terpampang di mana-mana sahaja sama ada di jalan raya, lebuh raya mahu pun di stesen-stesen televisyen.  Hal ini menunjukkan bahawa sungai-sungai yang terdapat di negara kita sudah tercemar dan tidak dapat digunakan untuk keperluan harian. Justeru, usaha kerajaan untuk mengindahkan sungai menjadi agenda negara untuk kepentingan semua pihak.
      Faktor perdana berlakunya pencemaran di negara kita ialah pembuangan sampah sarap ke dalam sungai. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata bahawa “Malaysia mempunyai kemudahan kelas pertama tetapi rakyat Malaysia memiliki minda kelas ketiga.” Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia suka membuang sampah sarap merata-rata termasuk ke dalam sungai. Apabila sampah sarap dibuang ke dalam sungai maka berlakulah pencemaran sungai. Sampah sarap yang dibuang ini akan dihanyutkan oleh air yang mengalir dan akan terapung-apung di atas permukaan air sehingga menyebabkan bau yang busuk. Antara sampah sarap yang selalu dibuang ke dalam sungai ialah bangkai binatang, bekas makanan dan minuman, palstik sampah dan sebagainya. Justeru, pembuangan sampah sarap menjana pencemaran sungai di negara kita.
     Selain itu, penebangan dan pembuangan sisa-sisa balak ke dalam sungai juga akan menyebabkan berlakunya pencemaran sungai. Sisa-sisa balak yang ditebang akan dibuang ke dalam sungai sesuka hati  oleh pembalak-pembalak yang tidak bertanggungjawab akan menyebabkan aliran sungai tersekat. Apabila aliran sungai tersekat, air sungai akan melimpah ke tebing semasa hujan lebat. Hal ini akan menyebabkan berlakunya banjir di kawasan yang berhampiran sungai. Penebangan balak di kawasan yang berhampiran tanah tinggi akan mengundang hakisan apabila hujan lebat. Air sungai juga akan berwarna kekuning-kuningan dan tidak dapat digunakan oleh masyarakat yang tinggal berhampiran sungai. Oleh itu, pencemaran sungai akan mengundang masalah kepada orang yang tinggal berhampiran sungai.
       Seterusnya, penerokaan tanah tinggi tanpa kawalan juga merupakan salah satu punca pencemaran sungai. Hal ini demikian kerana apabila tanah tinggi diteroka, bukit-bukit akan menjadi gondol. Penggondolan bukit bukau akan menyebabkan tanah kehilangan pencengkam bumi. Keadaan menjadi semakin parah apabila hujan lebat turun melebihi 24 jam. Hujan yang lebat akan membawa bersama tanah tanih yang berlumpur ke dalam sungai. Hal ini seterusnya menyebabkan berlakunya pencemaran air. Air yang bercampur tanah tanih ini akan berwarna kekuning-kuningan dan sangat kotor. Para pengguna air sungai tidak dapat menggunakan air tersebut seperti untuk mencuci pakaian dan sebagainya. Justeru, penerokaan tanah tinggi akan menyebabkan pencemaran air sungai.
      Pembuangan sisa toksik ke dalam sungai merupakan punca pencemaran sungai yang paling kronik. Hal ini demikian kerana tumbuhan dan hidupan akuatik dalam air akan mati. Ikan, udang dan tumbuhan dalam air akan pupus seterusnya menyebabkan nelayan kehilangan mata pencarian mereka. Lebih malang lagi, binatang-binatang yang minum air sungai juga akan mendapat penyakit. Semua pengguna air sungai juga akan mendapat penyakit kulit. Sehubungan itu, pembuangan sisa toksik ke dalam sungai akan menyebabkan pencemaran air yang memberi kesan kepada manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Oleh itu, sikap tidak bertanggungjawab ini perlu dikikis daripada menjadi duri dalam daging kepada masyarakat.


No comments:

Post a Comment