Penulisan : Rumusan
Soalan 1 : Rumusan [ 30 markah ] Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang sebab-sebab masyarakat kurang menderma organ dan peranan kerajaan mengatasi masalah ini. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan. Masyarakat kita tidak terdedah kepada perlunya menderma organ untuk orang lain yang amat memerlukannya. Oleh itu, keinginan untuk menderma organ tidak berputik dalam diri kita kerana kita tidak pernah dididik untuk menderma anggota bahagian tubuh badan kita untuk orang lain. Justeru, apabila meninggal dunia, kita dianggap mencederakan tubuh badan walaupun nyawa kita sudah tiada. Ketabahan hati remaja yang berusia 14 tahun semasa mengharungi keperitan sebagai pesakit jantung sangat menyentap perasaan. Tee Hui Yee terpaksa menunggu penderma untuk menggantikan jantungnya yang tidak berfungsi. Melalui media massa, Tee Hui Yee menerima berita gembira apabila seorang ibu remaja Melayu dari Sitiawan, Perak sanggup mendermakan jantung anaknya yang meninggal dunia supaya Tee Hui Yee dapat meneruskan hidup. Namun, badan Tee Hui Yee menolak jantung tersebut dan dalam masa 24 jam Tee Hui Yee terpaksa menjalani pembedahan kali kedua. Tee Hui Yee bernasib baik kerana dalam tempoh itu, ada insan dari Johor Bahru yang budiman sanggup mendermakan jantung anaknya berusia 20 tahun yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Kisah Tee Hui Yee adalah cebisan kisah gembira di sebalik lautan duka bagi pesakit yang menunggu ihsan penderma organ. Menteri Kesihatan turut melahirkan rasa kesal kerana walaupun banyak rakyat Malaysia yang maut dalam kemalangan jalan raya setiap tahun, jumlah organ yang diselamatkan untuk didermakan terlalu sedikit kerana bantahan keluarga yang merasakan bahawa menderma organ bertentangan dengan agama. Sememangnya membicarakan mengenai pendermaan organ bukanlah suatu perkara yang mudah di negara ini. Hal ini demikian kerana kesedaran dan kefahaman masyarakat berkaitan pendermaan organ masih lagi rendah. Masyarakat menganggap seseorang yang menderma organ adalah bertentangan dengan cara hidup di Malaysia. Apabila seseorang ingin menderma organ, individu itu sentiasa memikirkan tentang kematian dirinya setiap masa. Hal ini akan menjejaskan kualiti hidup seseorang individu itu. Ada juga masyarakat yang menganggap bahawa mayat akan terseksa dan tidak lengkap untuk kembali menghadap Tuhan jika organnya diambil. Keadaan ini tidak seharusnya berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia hari ini. Salah faham mengenai pendermaan organ ini wujud berikutan orang ramai bimbang doktor akan melakukan rawatan sambil lewa untuk menyelamatkan nyawa mereka kerana para doktor lebih berminat untuk mengambil organ mereka. Hakikatnya, proses pendermaan organ tidak berlaku dengan mudah. Sebenarnya menderma organ masih lagi asing dalam masyarakat kita. Ramai yang tidak mahu menderma kerana merasakan takut mati cepat akibat terkena sumpahan. Semua ini kepercayaan yang karut. Kita akui, masyarakat tidak boleh dipaksa untuk menderma organ, namun kesedaran mungkin dapat mengubah mentaliti masyarakat yang seakan-akan terlalu takut menerima konsep ini. Kita berharap kes Tee Hui Yee menjadi titik permulaan untuk pendermaan organ terus subur di negara ini. Kerajaan terutama Kementerian Kesihatan perlu mempergiatkan lagi kempen promosi dan kesedaran mengenai kepentingan pendermaan organ. Bagi pihak yang menjaga hal ehwal agama Islam sama ada agensi kerajaan mahu pun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu tampil dengan lebih agresif memberi pendidikan kepada umat Islam bahawa pendermaan organ tidak melanggar syariat Islam sebaliknya harus dilakukan seperti yang digalakkan sendiri dalam agama supaya kita melakukan kebajikan demi kesejahteraan manusia. (Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Ubah Mentaliti Takut Derma Organ” oleh Sazarina Shahrim, dalam Berita Harian, 8 Oktober 2007)
|
No comments:
Post a Comment