Photobucket

Saturday, October 8, 2011

BAB ENAM...


Pembedahan ke atas pesakit Bilik 3 Katil 4 memakan masa hampir sejam. Doktor Fadzreen terpaksa memanggil Dr. Danish untuk membantunya melakukan pembedahan. Ini adalah kes luar biasa yang pertama kali aku temui. Sebelum ini dalam sesuatu kes mengeluarkan bayi dari uterus atau rahim seseorang ibu, kami hanya mengambil masa paling lama 30 minit jika berlaku komplikasi. Selepas itu dalam masa 20 minit kami sudah siap menjahit uterus dan abdomen pesakit.
Hari  ini kami berhadapan dengan pesakit yang mengalami masalah placenta previa type IV sejak usia kandungannya 20 minggu lagi. Pesakit tersebut bukan saja mengalami masalah uri di bawah tetapi urinya sudah berakar dan melekat di uterusnya. Darah dari rahim pesakit tidak berhenti mengalir dan sebab itulah Dr. Danish dipanggil. Aku sudah menggantikan 4 pain darah ke dalam badan pesakit.
Kenapa Dr. Fadzreen?” Soal Dr. Danish sebaik tiba di dalam Dewan Bedah.
Placenta patient melekat kat uterus!”
Dr. Danish mengambil dan memakai sarung tangan getah. Kemudian  dia merapati pesakit. Tangannya membelek uterus pesakit tersebut.
Nurse sediakan peralatan. Dr. Fadzreen stand by. Kita buat major-operation.” Dr. Danish mengarah staff nurse dan Dr. Fadzreen menyediakan peralatan untuk melakukan pembedahan hesterektomi ke atas pesakit tersebut.
“Qis, U boleh belajar ilmu baru hari ni.” Dr. Danish memang selesa memangil namaku dengan panggilan Qis sahaja.  
Dr. Danish memulakan tugasnya melakukan pembedahan untuk membuang rahim pesakit tersebut. Rahim pesakit tersebut perlu dibuang kerana urinya melekat pada rahim dan tidak boleh ditanggalkan. Lagipun berlaku pendarahan yang berterusan. Setakat ini pesakit tersebut sudah kehilangan empat liter darahnya. Mengikut prosedur, suami pesakit perlu tanda tangan borang kebenaran untuk membuang rahim pesakit, tetapi dalam keadaan kecemasan seperti ini, Dr. Danish sendiri yang turunkan tandatangannya.
U pernah jumpa kes macam ni?” Dr. Danish menyoalku sambil tangannya mengeluarkan rahim dan uri yang melekat daripada perut ibu muda yang berusia 25 tahun itu.
“Belum. Ini kes luar biasa yang pertama kali saya lihat.” Jawabku ikhlas.
“Dalam bidang perbidanan, kes luar biasa lebih daripada ini pun U akan jumpa. Betul tak cakap saya Dr. Fadzreen?”
Dr. Fadzreen cuma mengangguk. Tangannya pantas menjahit semula abdomen ibu muda itu selepas Dr. Danish mengeluarkan uri dan uterusnya.
“Qis, tolong berikan plaster tu.” Arah Dr. Fadzreen kepadaku pula. Aku menyerahkan plaster yang berukuran yang panjangnya 6 inci kepada Dr. Fadzreen. Selepas membersihkan darah yang bersisa di bawah abdomen ibu muda itu, Dr. Fadzreen terus melekatkan plaster di bahagian yang telah dijahitnya tadi. Dr. Danish pula meletakkan uri yang masih melekat pada rahim ibu muda itu di atas dulang di tepi meja bedah.
“Qis, U tengok uterus patient ni. Di dalam perut ia tergantung sendirian tanpa melekat kat mana-mana organ dalaman yang lain. Fungsinya hanya untuk membenamkan benih yang telah disenyawakan dan seterusnya menampung tumbesaran benih yang disenyawakan tadi.”
“Maksud Doktor?” Aku memang tidak berapa faham penjelasan Dr. Danish sebentar tadi.
“Kalau kita pisahkan jantung daripada badan manusia, kita akan mati. Begitu juga kalau kita buang hati atau paru-paru kita, kita akan mati kerana fungsi organ dalaman kita saling berkait. Tapi uterus di dalam organ dalaman seseorang wanita, fungsinya hanyalah menyediakan ruang untuk bayi membesar setelah disenyawakan. Ada atau tiada uterus dalam diri seseorang wanita tidak menjejaskan mereka. Cuma mereka yang tiada uterus tak  boleh mengandung dan melahirkan anak!”
Sambil memberi penjelasan kepadaku Dr. Danish membuang sarung tangannya yang berlumuran darah ke dalam bekas yang disediakan. Begitu juga Dr. Fadzreen. Keadaan mereka seolah-olah baru lepas menyiang ikan.
Penjelasan Dr. Danish menunjukkan dia layak menjadi seorang Ketua Pakar Sakit Puan. Nampaknya banyak yang perlu aku pelajari. Memang wanita yang diciptakan Allah amat unik. Ia berbeza dengan lelaki. Sebagai seorang wanita, aku tidak pernah merasakan apa-apa yang istimewa sehinggalah aku mendengar penjelasan Dr. Danish. Beruntungnya menjadi seorang wanita. Saat ini baru aku menyedari sebagai wanita aku mempunyai banyak keistimewaan. Mungkin kerana itulah syurga seseorang anak terletak di bawah telapak kaki ibunya.
Aku merenung ibu muda yang dibawa keluar dari Dewan Bedah ke ICU itu. Usianya baru 25 tahun. Bayinya yang aku dan Dr. Fadzreen keluarkan dari rahimnya tadi adalah anak sulungnya. Kerana komplikasi uri melekat di rahimnya, Dr. Danish telah membuat pembedahan hesterektomi ke atasnya. Ibu muda itu tidak boleh mengandung lagi! Rahimnya telah dibuang. Oh, Tuhan! Hari ini aku melihat tanda-tanda KebesaranMu.
   “Hai, jauhnya melamun. Jom ke kafe. Kita makan sama-sama.” Satu suara lunak menerjah gegendang telingaku. Aku segera menoleh. Dr. Fadzreen rupanya.
“Jomlah. Saya pun dah lapar. 3 jam dalam Dewan Bedah rasa macam nak tercabut lutut ni!” Balasku sambil mengadu aku kepenatan.
“Qis, Doktor Pakar Neuron yang buat pembedahan memisahkan kembar siam lagi lama berada dalam Dewan Bedah. Mereka tak merungut pun.”
Ala, nama pun Doktor Pakar. Tentulah takde masalah. I ni Doktor biasa je. Tu yang masalahnya!”
“Tadi I nampak jauhnya lamunan U. Ingatkan buah hati ke?”
“Apalah Doktor ni. Asalkan nampak I melamun je pasti U kaitkan dengan buah hati.”
“Marah ke? Habis tu U fikir tentang I ke?” Terkedu aku mendengar gurauan Dr. Fadzreen. Adakah dia bersungguh-sungguh atau sekadar bergurau denganku? Diakah lelaki pertama aku? Aku tidak perlu memikirkan lagi tentang lelaki pertama aku. Empat orang calon yang tidak menunjukkan perkembangan positif. Lupakan saja. Ah, aku perlu berpijak di bumi nyata. Ada jurang antara kami. Lelaki pertama hanyalah lakonan dalam drama swasta kat televisyen saja. Dalam alam nyata jauh panggang dari api.
“Siapa lelaki bertuah tu?” Sekali lagi Dr. Fadzreen mengusik aku.
“Lelaki mana pulak ni?” Balasku.
“Yang dalam fikiran U sekarang ni.”
“Dr. Fadzreen, dalam fikiran I sekarang ni ialah nasib seorang kaum perempuan. Macam I ni. Banyak keistimewaan yang Allah berikan kepada kaum wanita tapi nasib kami ….” Sengaja aku mematikan bicaraku apabila Dr. Fadzreen mengerutkan dahinya. Aku tahu dia tidak faham dengan apa yang cuba aku sampaikan.
“Kenapa? U tak suka ke dilahirkan sebagai seorang perempuan?”
“Bukan tak suka. Tapi dilahirkan sebagai perempuan banyak fasa yang perlu dilalui.”
“Maksud U?”
I kena kahwin. Lepas tu fasa kedua kena mengandung. Fasa ketiga kena bersalin. Fasa keempat kena menjaga dan membesarkan anak. Fasa kelima kena sekolahkan anak-anak. Fasa keenam….”
“Cukup….cukup…. berdosa U menyalahkan takdir.”
No..No… I tak menyalahkan takdir. I hanya berfikir.”
“Samalah tu.”
“Tak sama. Selepas I berfikir I dapat buat satu kesimpulan. Rupa-rupanya seorang wanita itu lebih hebat dari lelaki!”
“Maksud U?”
“Wanita yang mengandung boleh melakukan tugas yang sama seperti lelaki selama 9 bulan 10 hari. Cuti bersalin hanya 60 hari saja. Selepas melalui proses bersalin sama ada normal atau pembedahan, mereka boleh mula bekerja sama seperti sebelum mereka mengandung. Menakjubkan! Lelaki tak boleh buat camtu kan? Kan? Kan?.....”
“Betullah pengalaman dapat menyedar dan menginsafkan kita.” Dr.Fadzreen mengiyakan kata-kataku selepas mendengar penjelasanku yang agak panjang sebentar tadi.
“Sekarang I percaya kata-kata pujangga bahawa Syurga Itu Terletak Di bawah Telapak Kaki Ibu.” Aku masih lagi dibuai emosi.
U rasa kesal tak pihak atasan tempatkan U di Wad Bersalin?”
“Tak. Malah I seronok sangat. 3 tahun lagi I nak ikut jejak U jadi Doktor Pakar O&G.
“Macam tulah. Baru ada wawasan. Lagipun nanti U boleh praktikkan kat diri sendiri.”
U mean?”
“Masa tu mungkin U dah kahwin. Mungkin U dah pregnant atau mungkin U dah ada anak ke?”
 Kata-kata Dr. Fadzreen membuat aku terfikir siapakah lelaki yang akan menjadi suamiku. Kalaulah Dr. Fadzreen yang menjadi suamiku, alangkah indahnya dunia. Jika bukan Dr. Fadzreen, sekurang-kurangnya Dr. Danish, lagi meriah hidup aku. Kalau bukan kedua-dua mereka, siapakah lagi yang mengenali diri aku di muka bumi ini? Ah, malangnya nasib anak dara pinggiran seperti aku. Hari-hari menyambut kelahiran bayi orang tapi bayi sendiri tahun bila pun aku tak pasti. Bukan apa calon bapanya belum ada. Hmm.. nasib badan nak buat macam mana. Lelaki pertama pun aku tak dapat cari, ini nak fikir fasal suami pula.
Sepanjang perjalanan ke kafe, aku mendiamkan diri. Rasa malu mula bercampur baur dengan pelbagai perasaan membuatkan aku tidak berselera untuk memesan makanan. Akhirnya Dr. Fadzreen memesan mihun sup untuk aku. Tanpa membantah, aku terpaksa menjamah mihun sup di depanku. Dr. Fadzreen tenang menghabiskan nasi di pinggannya sambil sesekali merenungku. Itulah pertama kali aku makan berduaan dengan seorang lelaki dalam hidupku. Rasa seperti aku dan Dr. Fadzreen adalah pasangan yang bercinta pula.
Betulkah wujud lelaki pertama dalam hidup seseorang wanita? Kalau betul, biar Dr. Fadzreen saja yang menjadi lelaki pertama aku. Seronoknya jika fantasiku menjadi realiti. Tapi memang pun aku menyintai Dr. Fadzreen setengah mati. Aku mengulum senyum sambil menahan gelodak di jiwa. Ya, walau apa pun aku perlu mengisytiharkan Dr. Fadzreen lelaki pertama aku. Biar aku berterus terang dengannya.
Aku rasa dunia tidak akan kiamat kalau aku meluahkan perasaan kepadanya. Aku mesti berani. Kali ini aku akan mencari peluang. Aku masih ingat pesan orang tua-tua, jodoh tak akan datang kalau tidak dicari.
U jaga badan ke?” Soalnya memecah suasana. Terbang semula keberanian yang baru bertandang. Aku memandang tepat ke dalam anak mata Dr. Fadzreen. Lembut anak matanya merenungnya. Aku jadi malu sendiri. Akhirnya aku dapat mengawal perasaan. Aku menerangkan kepada Dr. Fadzreen bahawa aku memang jenis tak kuat makan. Lagipun aku jarang makan pada waktu malam.
“Kalau macam tu, esok I belanja U makan kat restoran. Boleh?” Pelawaan Dr. Fadzreen ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Mana mungkin aku lepaskan peluang keemasan ini. Yes, aku menjerit dalam hati. Tapi betulkah apa yang sedang aku dengar? Kalaulah aku bukan sedang bermimpi, nampaknya akulah orang yang paling gembira di dunia ini. Sah, Dr. Fadzreen adalah lelaki pertama aku.
“Boleh ke?” Kali ini suara Dr. Fadzreen berkumandang lagi di cuping telingaku.
Yes! Sekali lagi aku menjerit di dalam hati. Aku bukan bermimpi. Juga aku bukan sedang berangan. Pelawaan Dr. Fadzreen tidak akan aku tolak walaupun aku ragu-ragu dia sudah dimiliki kerana aku yakin seyakinnya dia lelaki pertama aku. Namun aku perlu jual mahal. Biar harga diriku tinggi mencecah awan.
“Tengoklah.” Jawabku sepatah.
Aku meninggalkan Dr. Fadzreen yang terpinga-pinga. Biarlah aku berpura-pura tidak setuju. Kalau betul dia bersungguh, dia akan mengulangi lagi pelawaannya. Aku tersenyum dalam hati.  Nampaknya aku tidak perlu menjadi perigi mencari timba. Rezeki datang bergolek. Kata orang rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari. Semuanya berlaku jua dalam hidupku. Ah, hari yang mengggembirakan. Pantas aku menuju ke dalam wad bersalin. Pertama kali hatiku berbunga keriangan. Mimpi jadi kenyataan!
Di dalam Wad Bersalin aku lihat Dr. Danish sedang memeriksa pesakit. Tekun sungguh dia bekerja. Tadi dalam Dewan Bedah di bangunan sebelah, kini sudah ada dalam Wad Bersalin. Dia tersenyum sebaik melihat kelibat aku.
“Nasib baik U sampai. I baru nak call U.
“Kenapa Doktor?”
U handle kes ni. Patient ni kena buat emergency operation. Ketubannya dah pecah. Airnya dah kurang takut baby lemas.”
“Kenapa tak induce saja Doktor?”
The problem is tali pusat baby dah belit lehernya. U kena keluarkan baby before two hours, boleh?”
“Ok! Doktor nak ke mana?”
I ada kes kat Dewan Bedah.” Jawab Dr. Danish sambil berlalu meninggalkan aku bersama pesakit itu. Aku meneliti report list pesakit tersebut. Umurnya 38 tahun. Anak kedua. Due date memang hari ini.  Aku mengarahkan staff nurse dan JM memasang drip kepada pesakit tersebut.
Aku pula segera menghubungi Bilik Bedah supaya mereka bersedia sementara pesakit dibawa ke sana. Oleh kerana pesakit baru lepas makan, maka aku memasukkan tiub kecil melalui lubang hidungnya. Selepas menjoloknya hingga ke dalam perutnya, aku segera mengepam keluar makanan yang baru dimakannya. Pesakit tersebut hampir termuntah apabila aku memasukkan tiub melalui hidungnya.
Seorang lagi staff nurse menukar baju pesakit tersebut dengan baju putih yang bertali di belakangnya. Kepalanya ditutupi dengan pembalut kepala berwarna putih. Dalam masa 20 minit pesakit tersebut telah pun disorong ke dalam Bilik Bedah. Cepat juga aku melaksanakan arahan Dr. Danish. Dr. Danish telah mengingatkan aku agar mengeluarkan bayi dalam masa dua jam kerana takut tali pusat akan menjerut leher bayi pesakit.
Di dalam Bilik Bedah, Dr. Hasbul sedang menanti aku. Dalam masa tiga bulan ini banyak kali juga Dr. Hasbul membantu aku ketika di dalam Bilik Bedah.
“Berapa pain U bawa darah tadi?’ Tanya Dr. Hasbul.
“2 pain. Kenapa?’
“Cukuplah tu.”
“Ok, Qis. Hari ni U buat sendiri. I tengok je. Kalau ada komplikasi baru I tolong. Boleh?”
“Boleh.” Jawabku penuh yakin.
Dr. Hasbul kemudian menyuruh aku menyuntik ubat bius di tulang belakang pesakit. Tanpa berlengah aku terus mengambil jarum yang telah diisi dengan ubat bius. Ubat bius itu sebenarnya telah ditentukan dosnya oleh Pakar Bius sebelum aku masuk tadi.  Inilah kali pertama aku melakukan pembedahan kepada pesakit sendirian dengan dibantu oleh staff nurse Bilik Bedah. Dr. Hasbul hanya memerhati saja tugas yang aku jalankan.
Apabila bayi berjaya dikeluarkan, aku menunjukkan bayi tersebut kepada ibunya. Ibunya hanya tersenyum. Aku kemudian menjahit semula abdomen pesakit.  Staff nurse menolong aku membersihkan bahagian yang telah dijahit. Aku kemudian melekatkan plaster sepanjang 6 inci di atas bahagian yang telah dijahit. Pesakit tersebut kemudian mula merasa kesakitan selepas ubat bius mula tidak berfungsi.
“Puan rasa sakit ke?”
“Ya.” Pesakit itu menjawab lemah.
Nurse, tolong bagi sebiji ubat tahan sakit pada patient ni.” Arahku.
Pesakit tersebut terus tertidur sebaik menelan ubat tahan sakit yang diberikan oleh jururawat. Aku pula segera masuk ke bilikku. Pagi ini saja aku mengendalikan dua pembedahan. Rasa penat yang amat sangat. Sememangnya bertugas di Wad Bersalin bagi mana-mana hospital kerajaan amatlah memenatkan. Setiap hari ada saja kes baru. Setiap hari juga pasti ada ibu yang akan bersalin. Kalau bersalin normal, tugasku tidaklah penat sangat, tapi kalau bersalin melalui pembedahan, kerja bertambah sikit.
Apa yang menyeronokkan bekerja di Wad Bersalin ialah melihat wajah bayi yang baru dilahirkan. Mendengar tangisan pertama setiap bayi yang baru keluar dari rahim ibu mereka ibarat mendengar nyanyian dari syurga. Wajah bayi-bayi yang baru dilahirkan pula sebersih kapas dan seputih kain yang belum ternoda. Menatap wajah mereka ibarat menatap wajah bidadari dari syurga. Tidak puas memandang tanpa mencuit pipi mongel mereka. Alangkah seronoknya kalau aku juga dapat menjadi ibu seperti mereka.
Namun semua itu hanyalah anganku belaka. Tiada sesiapa yang sudi mencurahkan perasaan kepadaku. Aku pun terlalu sukar untuk mencari jodohku walaupun lelaki pertama yang aku inginkan sentiasa berada di sampingku. Pelawaaan Dr. Fadzreen hanyalah pada hari itu saja dan dia tidak pernah mengulanginya selepas itu. Semua calon lelaki pertama aku digugurkan daripada senarai. Tiada langsung perkembangan positif. Biarlah sesiapapun selepas ini boleh menjadi lelaki pertama aku.

No comments:

Post a Comment