Photobucket

Saturday, June 11, 2011

CUTI-CUTI MALAYSIA


Cuti sekolah merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh semua murid di Malaysia. Minggu ini merupakan minggu terakhir cuti persekolahan bagi Semester I.  Justeru, ibu bapa dan murid-murid telah pun merancang percutian bagi keluarga masing-masing. Percutian bersama keluarga adalah saat yang paling indah kerana ia mencatat memori paling manis bagi setiap keluarga. Ibu bapa yang bekerja memang tidak mempunyai masa untuk membawa anak-anak berjalan-jalan makan angin. Oleh itu, cuti sekolah merupakan saat yang dinantikan oleh anak-anak kerana pada masa inilah mereka dapat menghilangkan kerinduan bersama ibu bapa masing-masing lebih-lebih  lagi bagi murid-murid yang tinggal di asrama.
Terdapat banyak tempat menarik yang boleh dilawati di negara kita. Kita tidak perlu membazir wang ringgit untuk melancong ke negara luar kerana apa yang ada di luar negara juga boleh didapati dengan mudah di negara kita. Barangan berjenama, tempat percutian tepi pantai, kawasan peranginan tanah tinggi dan tempat tinggalan sejarah memang banyak di negara kita. Oleh itu, sama-samalah kita menjimatkan duit kerana membeli-belah dalam negara dapat mengurangkan pengaliran keluar wang ke luar negara.
Walau pun demikian, bagi yang berkemampuan tidak ada salahnya melancong ke luar negara kerana jauh perjalanan luas pemandangan. Melalui pengalaman, kita dapat menilai apa yang baik di negara kita dan apa yang menarik di negara orang. Negara kita tidak mempunyai musim sejuk, musim bunga, musim luruh dan musim dingin. Negara kita beriklim khatulistiwa yang panas dan lembap sepanjang tahun. Justeru, perubahan iklim dan cuaca dapat memberikan kelainan dalam percutian kita seterusnya dapat merubah paradigm pemikiran seseorang individu.
Percutian yang bermakna ialah bersama keluarga menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan sama ada dalam atau luar negara. Melalui percutian, hubungan kekeluargaan akan lebih erat dan tali silaturahim akan lebih kukuh lagi. Percutian juga dapat mengurangkan tekanan di sekolah bagi murid-murid dan mengurangkan tekanan di tempat kerja bagi ibu bapa. Apabila pulang daripada percutian, murid-murid akan mendapat semangat baru. Ibu bapa juga mendapat semangat baru. Pemikiran menjadi segar semula dan kita dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dan penuh keceriaan.
Namun perlu diingat, rancanglah percutian dengan berhemat. Jangan membeli barangan yang tidak perlu atau barangan yang sudah dimiliki. Belilah barangan yang benar-benar perlu sahaja. Seboleh-bolehnya setiap keluarga menginap di hotel-hotel sederhana murah untuk mengelakkan pebaziran semasa bercuti. Semasa bercuti, elakkan makan di hotel kecuali sarapan pagi kerana terdapat pelbagi jenis makanan yang enak dijual di warung-warung atau restoran-restoran yang bterdapat di sekitar tempat percutian kita. Seboleh mungkin, cubalah beli cendera kenangan untuk sanak saudara terdekat kita semasa kita pergi melancong. Ingatlah, pelancongan dapat menjana pendapatan negara. SELAMAT BERCUTI!!!!

No comments:

Post a Comment