SINOPSIS DRAMA 1400
Drama ini mengisahkan seorang lelaki OKU yang bernama Dolah dilahirkan dalam keadaan kakinya cacat tetapi tidaklah serius. Justeru berlaku satu peristiwa yang menyebabkan kakinya menjadi capik. Oleh itu dia digelar Dolah Capik. Drama ini bermula dengan nyanyian memperkenalkan watak Dolah Capik yang dikenali juga dengan nama Abang Dolah Tukang Ukir hilang di lautan. Kehilangan Abang Dolah Tukang Ukir dinanti oleh Intan Siti Rahimah dengan penuh kesetiaan. Pengarang menggambarkan Intan Siti Rahimah menghidap penyakit kusta. Oleh sebab itu, dia sentiasa memakai kerudung untuk menutup wajahnya.
Kisah Dolah Capik bermula apabila dia sering dihina dan ditindas kerana kejujuran dan kecacatannya. Orang kampong langsung tidak pernah mengenang jasanya. Setiap pinangannya terhadap anak dara ditolak mentah-mentah. Oleh itu, Dolah mula tidak mempercayai qada dan takdir Tuhan. Dolah Capik sering mengabaikan cakap Soud agar dia melakukan solat seperti yang disuruh dalam agama Islam. Bagi Dolah Capik, dia boleh berjaya dengan usahanya sendiri tanpa bantuan orang lain. Maulana, seorang penceramah di masjid sering menasihati Dolah Capik agar kembali mengEsakan Allah tetapi Dolah Capik tetap dengan pendiriannya. Akhirnya Dolah Capik telah kematian ibunya. Dolah mengambil tangkal azimat yang terikat di pinggang ibunya. Dolah pun membawa azimat itu kepada seorang bomoh. Bomoh itu pun menyeru roh nenek moyang agar mengkabulkan hajat Dolah Capik yang ingin menjadi kaya. Akhirnya dengan bantuan Jin Tanah, Dolah Capik Berjaya mendapatkan harta karun. Harta karun itu diperolehi setelah mayat ibunya ditanam di bawah rumahnya. Selepas itu dolah Capik menjadi kaya. Dia dikenali sebagai Orang Kaya Pak Tuan Dolah. Dia mempunyai seorang kekasih yang bernama Doli. Dolah menyuruh pembantunya meminang anak Menteri, anak wakil rakyat dan anak Penghulu. Malangnya semua pinangan dolah ditolak. Dolah mula mengandam wajahnya. Kakinya sudah memakai kaki palsu dan kini Dolah boleh berjalan seperti orang lain. Dia juga memakai kot dan memiliki 12 buah kereta. Dolah akhirnya berkahwin dengan Intan Siti Rahimah.
Dengan bantuan Abu Lahab, Dolah membeli kesemua tanah orang kampung. Dia memelihara kuda dan membina banyak ladang kuda di kampungnya. Akhirnya air sungai tercemar dengan najis kuda. Anak-anak orang kampong dilahirkan cacat, hodoh dan dungu belaka kerana memakan hasil sungai yang tercemar seperti udang galah dan ikan. Dolah tidak peduli. Apabila isterinya mengandung, dia melarang Intan Siti Rahimah mengunjungi rumah orang-orang kampong dan melarang isterinya memakan makanan hasil pemberian orang kampung kerana Dolah tahu makanan itu tercemar. Tetapi dalam diam isterinya teringin memakan udang galah, lalu Mak Som pembantunya mendapatkan udang galah daripada penduduk kampung. Semasa Intan Siti Rahimah melahirkan seorang bayi , Mak Som terkejut kerana bayi itu seakan-akan binatang yang menyondol Dolah semasa berburu di dalam hutan dahulu. Telinga bayi itu panjang, matanya kecil dan badannya dipenuhi bulu. Dolah membuang bayi malang itu dan menghalau Siti Rahimah dari rumah pada waktu tengah malam dalam keadaan hujan yang menggila.
Akhirnya, Dolah tersedar apabila roh ibunya tiba-tiba muncul di hadapannya. Ibunya meminta agar mayatnya ditanam di kubur agar mayatnya dapat reput. Di bawah rumah itu mayat ibunya tidak dapat reput kerana tanah itu bercampur dengan najis. Doli pula dating meminta agar mereka mengorek harta karun dari bawah mayat ibunya. Selepas mendapatkan periuk harta karun yang dipenuhi batu berlian, barulah Dolah sedar akan kesilapannya. Dia pun membawa mayat ibunya dan ditanam di kubur. Selepas membaca surah Al-Falaq, Dolah menangis teresak-esak. Dolah telah insaf. Dia memohon keampunan daripada Allah. Selepas itu, tukang jahit kotnya, doktor yang merawat kakinya dan orang berurusan jual beli dengan Dolah datang memulangkan ceknya yang semuanya palsu. Dolah menjadi miskin semula.
Keesokannya apabila terjaga dari tidur Dolah mendapati dirinya tidak capik lagi. Dia pun meneruskan pengembaraannya keluar dari kampung itu. Akhirnya Dolah sampai ke sebuah kampung dan dia menetap di situ. Dia mengambil upah mengukir dinding dan tingkap rumah dengan anyaman mengkuang. Ukirannya sangat halus. Dia kemudian berkenalan dengan Siti Rahimah. Pada suatu hari, semasa Dolah ingin ke seberang membuat ukiran, perahunya dilanda ombak dan Dolah hilang di tengah lautan. Tinggallah Siti Rahimah seorang diri menunggu kepulangan Dolah yang entah hidup entahkan mati. Namun kesetiaan Siti Rahimah kekal hingga sekarang walaupun Abang Dolah Tukang Ukir tidak pernah kembali.
Apa kaitan nilai 1400 dengan drama ni?
ReplyDelete