Karangan Berpandu Bahagian A
KEBURUKAN AMALAN MEROKOK DALAM KALANGAN PELAJAR |
Tabiat merokok dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat seiiring dengan kenaikan harga rokok. Masyarakat Malaysia seolah-olah gembira melihat gambar janin yang tidak lengkap di kotak-kotak rokok dan pelbagai gambar ngeri yang terpamer di kotak rokok. Bahkan amalan merokok dalam kalangan rakyat Malaysi sudah berjangkit kepada golongan wanita. Para pelajar apatah lagi. Semua premis perniagaan ada meletakkan tanda amaran menjual rokok kepada remaja bawah umur 18 tahun namun ia diibaratkan seperti melepaskan batuk di tangga. Tiada tindakan tegas yang diambil terhadap peniaga yang menjual hasil tembakau kepada remaja bawah umur 18 tahun. Hal ini merupakan pemangkin kepada meningkatnya jumlah perokok di negara kita. Walaupun kerajaan berusaha untuk menghapuskan amalan merokok dengan menaikkan harga rokok, jumlah perokok tegar tetap bertambah. Di manakah silapnya kempen-kempen yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok tegar di negara kita? Tepuk dada tanya selera kerana setiap yang dilarang ada kesan buruknya. Begitu juga dengan amalan merokok.
Amalan merokok dalam kalangan pelajar amat membimbangkan. Hal ini adalah kerana golongan ini belum bekerja dan masih berada di bangku sekolah. Jika mereka masih berada di bangku sekolah, bagaimana mereka menguruskan kewangan untuk membeli rokok yang semakin meningkat harganya? Kesan merokok kepada golongan pelajar amat berbahaya. Para pelajar yang merokok akan mengalami ketagihan kerana mereka masih muda dan rokok mengandungi nikotin yang boleh merosakkan sistem saraf dan otak mereka. Hal ini demikian kerana otak para pelajar ini masih dalam proses pembesaran. Sekiranya hal ini berlarutan, akan berlaku pembekuan darah dalam saraf otak pelajar ini. Apabila hal ini berlaku, para pelajar yang merokok ini akan mengalami koma seterusnya boleh menyebabkan kematian. Justeru, ibu bapa dinasihatkan memantau kegiatan anak-anak agar tidak terjebak dalam gejala merokok ini kerana sekali mencuba mereka tidak akan berpatah balik.
Selain itu, amalan merokok ini akan menyebabkan kerosakan organ dalaman seperti paru-paru. Para pelajar yang merokok akan menyebabkan paru-paru mereka menjadi kehitaman. Hal ini demikian kerana, asap rokok yang mengandungi tar dan nikotin akan terperangkap dalam paru-paru. Apabila keadaan ini berlarutan, paru-paru seseorang pelajar itu akan menjadi kehitaman. Paru-paru yang berwarna kehitaman ini adalah tidak elok dan lama-kelamaan paru-paru seseorang perokok akan rosak. Kerosakan paru-paru akan menyebabkan seseorang itu sukar bernafas, sering batuk-batuk dan akhirnya mendapat kanser paru-paru. Akhirnya ia akan membawa maut kepada perokok tersebut. WHO mengeluarkan statistik, 8 juta orang maut di seluruh dunia setiap hari kerana merokok. Mahukah ini berlaku kepada kita, anak-anak kita atau anak-anak murid kita?
Seterusnya, keburukan amalan merokok dalam kalangan pelajar ialah bertambahnya gejala sosial. Hal ini demikian kerana, para pelajar yang merokok ini akan ponteng sekolah, mencuba benda yang lebih mengkhayalkan daripada rokok sepertu syabu dan ganja seterusnya melibatkan diri dalam kegiatan ragut. Masalah sosial dalam kalangan pelajar adalah kerana tabiat merokok yang berlebihan menyebabkan seseorang pelajar itu merasakan dirinya cukup dewasa untuk melakukan aktiviti orang dewasa. Rata-rata pelajar yang merokok akan tercicir daripada alam persekolahan kerana hukuman mandatori terhadap seseorang pelajar yang didapati merokok ialah buang sekolah. Jika setiap bulan pelajar itu dibuang sekolah, di manakah mereka akan belajar? Jawapannya mereka akan mencipta aktiviti baru yang tiada faedah seperti melepak, melakukan vandalisme dan yang paling ditakuti mereka melibatkan diri dalam jenayah. Oleh itu, amalan merokok mendatang pelbagai impak dalam diri seseorang pelajar.
Intihanya, setiap sesuatu yang diciptakan itu mempunyai kebaikan dan keburukan. Sesungguhnya merokok tidak memberikan sebarang impak maksima dalam kehidupan seseorang individu malahan ia memberikan pelbagai kesan negatif. Pisau di tangan kita, mentimun pun di tangan kita. Justeru, gunakanlah akal yang bijaksana untuk memotong atau tidak mentimun yang berada dalam tangan kita. Tiada ubat yang lebih baik untuk mengubati penyakit selain mencegahnya. Oleh itu, jauhilah amalan merokok kerana merokok mengundang bahaya kepada kesihatan kita.
No comments:
Post a Comment