Photobucket

Saturday, August 6, 2011

Motivasi Diri...

      Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, motivasi bermaksud keinginan yang keras atau semangat yang kuat dalam diri seseorang yang mendorongnya untuk berusaha atau melakukan sesuatu dengan tujuan untuk mencapai kejayaan. Diri pula bermaksud orang seorang atau seseorang individu. Justeru, frasa motivasi diri bermaksud keinginan yang tinggi dalam diri seseorang untuk mencapai apa yang dihajatinya dalam pelbagai aspek kehidupan ini. Oleh itu, sudah tentulah seseorang itu memerlukan sesuatu yang boleh mendorong mereka untuk mencapai sesuatu yang diidamkan. Sebagai contoh, jika seseorang itu ingin berjaya dalam bidang perniagaan, sudah tentulah dia memerlukan idola dalam hidupnya seperti tokoh usahawan telekomukasi yang terkenal Ananda Krisnan atau jenama Airasia, Tony Fernandez.
     Setiap individu memerlukan sesuatu dalam hidup mereka sebagai motivasi diri untuk meneruskan usaha mencapai kejayaan. Sebagai manusia yang normal, perlakuan kita ditentukan oleh "mood" kita setiap hari. Ada masa kita sedih, gembira, suka, duka dan pelbagai rencah kehidupan. Apabila "mood" mengganggu kehidupan kita, maka tugasan kita pun akan terbengkalai. Sehubungan itu, setiap manusia perlukan sesuatu yang segar setiap hari agar dapat menjana minda dengan berkesan. Minda yang berfungsi dengan baik akan menjamin kestabilan emosi kita. Kestabilan emosi sangat penting untuk memandu kita melakukan sesuatu yang positif untuk kebaikan diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Seharusnya, setiap hari kita mulakan dengan lafaz ALHAMDULILLAH sebaik saja terjaga dari tidur kerana Allah memanjangkan lagi usia kita dan diberikan kita kesihatan diri yang baik.
          Seterusnya, mulakan pagi hari dengan senyuman paling manis untuk diri sendiri. Selepas itu, lihatlah cermin dan berkatalah sesuatu mengenai kelebihan diri kita di hadapan cermin kerana pujian daripada diri sendiri terhadap diri kita adalah paling ikhlas. Sematkan kata-kata perangsang sebelum memulakan tugasan seperti "Cikgunie, lakukan yang terbaik untuk hari ini!" atau "Saya akan berjaya kerana saya sudah berusaha!" Selain itu, lupakan peristiwa pahit yang berlaku sebelum kita melangkah ke hari yang baru. Melupakan bukan beerti kita mengabaikan sebaliknya untuk mencari sesuatu yang baru. Ingatlah, yang lepas biarkan berlalu, yang akan datang perlu kita hadapi kerana air tetap mengalir ke muara.
         Sesungguhnya bukanlah sukar untuk meneruskan kehidupan yang kompleks ini. Semuanya terletak dalam diri kita sendiri. Jika kita lemah, maka tumbanglah kita. Jika kita kuat, insyaAllah semuanya dalam kawalan kita. Pepatah pujangga menyatakan untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Justeru, berusahalah kita memajukan diri dengan menjadikan apa-apa saja sebagai motivasi diri kita meneruskan kelansungan hidup agar kita tidak menjadi batang yang reput di atas pokok yang masih hidup sebaliknya jadilah kita tunggul  pokok kayu yang tidak reput-reput walaupun sudah bertahun-tahun ditebang. 

No comments:

Post a Comment