Photobucket

Monday, July 14, 2014

Contoh Karangan Bahagian A : Kepentingan Amalan Berjimat Cermat


            Kenaikan harga barang belakangan ini semakin membebankan kehidupan rakyat. Isu ini semakin mendapat tempat dan menjadi polemik di dada-dada akhbar. Keadaan ini  diumpamakan seperti sudah jatuh ditimpa tangga kerana penguna bukan sahaja berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia, malah terpaksa menghadapi kenaikan harga barangan. Tambahan pula kejatuhan harga getah telah menjejaskan pendapatan penoreh getah di seluruh negara. Oleh itu, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan melancarkan kempen berjimat cermat yang sudah semestinya banyak memberikan manfaat kepada negara secara umumnya dan kebaikan kepada rakyat secara khususnya.

            Kepentingan yang paling jelas dengan mengamalkan amalan berjimat ialah kita boleh menggunakan wang yang kita simpan sebagai persiapan ketika berada dalam kesusahan. Sebenarnya,kita tidak dapat menduga perkara yang akan berlaku pada masa akan datang. Justeru, konsep sediakan payung sebelum hujan sewajarnya kita sematkan dalam diri  sebagai persiapan awal untuk kegunaan pada masa akan datang. Jangan sesekali kita mengamalkan falsafah di sebalik peribahasa mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan kerana  hal seperti ini ini akan menyusahkan hidup kita pada kemudian hari. Oleh itu, jelaslah dengan amalan berjimat cermat kita dapat menggunakan wang yang disimpan pada waktu kecemasan untuk perbelanjaan pada masa kesusahan.

           Amalan berjimat cermat boleh dilakukan semasa kita merancang untuk berbelanja pada setiap bulan. Pengguna yang bijak akan membandingkan harga barangan sebelum membelinya. Pengguna  yang mengamalkan amalan berjimat cermat akan merancang dan membuat perbandingan harga dengan barangan yang hendak dibeli. Dengan kebijaksanaan ketika berbelanja pengguna dapat mengelakkan diri daripada tertipu oleh peniaga yang tidak berhati perut . Hal ini secara tidak langsung melahirkan pengguna yang berbelanja dengan berpandukan konsep mengukur baju di badan sendiri.

            Seterusnya, amalan berjimat cermat dapat mengelakkan diri kita daripada amalan membazir. Berbelanja secara berlebihan akan menyebabkan seseorang membeli barangan atau produk yang tidak perlu dalam kehidupan sehari-hari. Kesannya,barangan yang dibeli akan dibuang atau hanya disimpan di dalam almari tanpa digunakan. Lebih jelas, misalnya kebanyakan anggota masyarakat gemar membeli makanan yang banyak ketika berbelanja di pasar malam atau di bazar Ramadan. Nafsu yang besar ketika berbelanja itu akhirnya menyebabkan makanan yang di beli secara berlebihan itu dibuang begitu sahaja.

            Intihanya, semua pihak harus ganding bahu untuk melaksanakan amalan berjimat cermat dalam kalangan masyarakat di negara ini. Hal ini penting bagi mewujudkan kesedaran secara total baik dalam kalangan rakyat mahupun kepada pengusaha syarikat dan pemimpin negara. Akhirulkalam , pengguna yang berhemat dapat menjamin ekonomi keluarga dan sudah tentunya memberikan impak yang positif kepada ekonomi negara. Sesungguhnya bersederhana dalam segala hal dapat menjamin kesejahteraan dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment