Kemalangan boleh berlaku bila-bila masa dan di mana sahaja. Biasanya kemalangan yang berlaku membabitkan motosikal dan lazimnya motosikal ditunggang oleh remaja yang masih bersekolah. Semasa dalam perjalanan balik dari sekolah tadi Cikgunie menyaksikan kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan sebuah motosikal di sebuah persimpangan lampu isyarat.
Motosikal dinaiki oleh dua orang murid sekolah di mana penunggang murid Tingkatan 5 manakala pembonceng murid Tingkatan 3 telah melanggar lampu isyarat lalu bertembung dengan sebuah kereta yang keluar simpang. Penunggang memakai topi keledar dan pembonceng hanya menumpang kawannya dan sudah pastilah tidak memakai topi keledar.
Semasa kejadian pembonceng terpelanting dan terjatuh dalam keadaan tertiarap manakala penunggang dihempap motosikal. Keadaan penunggang selepas dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kuala Nerang baru sedarkan diri manakala keadaan pembonceng masih kritikal dan telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Sebagai peringatan kepada ibu bapa, kita mestilah sentiasa memantau anak-anak pergi dan balik dari sekolah. Pastikan mereka mempunyai lesen memandu dan sentiasa menasihati anak-anak kita mematuhi undang-undang jalan raya. Ingatlah, anak-anak kita tidak ramai. Jangan pula kita mengurangkan bilangan mereka dengan membiarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen dan tanpa memakai topi keledar. Nyawa hak Allah. Sentiasalah kita mensyukuri nikmat Allah yang satu ini.
No comments:
Post a Comment