Photobucket

Wednesday, July 16, 2014

Ulangkaji Rumusan Karangan


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara menggalakkan amalan berjimat cermat dan masalah ibu bapa menguruskan kewangan keluarga. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Amalan berjimat cermat merupakan amalan yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuh nya oleh masyarakat apatah lagi dengan kenaikan harga barangan belakangan ini. Kebanyakan masyarakat Malaysia boros dalam berbelanja terutama menjelang musim perayaan. Bagi mengelakkan sikap tidak berhemah masyarakat Malaysia semasa berbelanja, beberapa langkah perlu diambil untuk menanam sikap berjimat cermat semasa berbelanja. Amalan menabung wajar diterapkan dalam jiwa anak-anak bagi memberi pendedahan seawal usia 6 tahun. Pepatah Melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya hendaklah menjadi asas penting untuk membentuk amalan berjimat cermat dalam kalangan anak-anak. Sebenarnya amalan berjimat cermat banyak bergantung kepada peranan dan sikap ibu bapa dalam mendisiplinkan anak-anak mereka.

Ibu bapa yang prihatin haruslah menyediakan belanjawan kewangan keluarga untuk mengawal perbelanjaan.  Malah ibu bapa perlu merancang kewangan untuk masa hadapan anak-anak mereka. Bagi keluarga yang suka makan di luar kerana kesibukan bekerja perlu mengurangkan tabiat tersebut. Memasak sendiri dan makan bersama keluarga di rumah dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga seterusnya dalam menanam sikap berjimat cermat. Seterusnya, membawa bekalan dari rumah ke pejabat atau ke sekolah dapat menjimatkan perbelanjaan anak-anak. Wang lebihan boleh disimpan dalam akaun kecemasan dan boleh digunakan apabila diperlukan.

Selain itu berkongsi kenderaan juga dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga. Masyarakat juga boleh menaiki pengangkutan awam untuk ke tempat kerja dan menggalakkan anak-anak menaiki bas ke sekolah. Selain menjimatkan kos, ia juga dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.  Apabila di rumah, ibu bapa perlu mendidik anak-anak agar menjimatkan penggunaan air, elektrik dan penyaman udara. Anak-anak juga perlu dilatih agar menutup semua peralatan elektrik yang tidak digunakan. Ketika membeli-belah pula anak-anak perlu diingatkan agar membuat senarai barang yang hendak dibeli terlebih dahulu. Kemudian barulah mereka membuat perbandingan harga barangan tersebut sebelum membelinya. Dalam situasi ekonomi yang merosot ini kita tidak perlu berkira tentang jenama sesuatu barangan yang hendak dibeli.

Jelaslah kepada kita bahawa amalan berjimat dapat melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunya kewangan yang mencukupi. Mahatma Gandhi berkata “berfikirlah untuk hari esok tapi bertindaklah hari ini.” Oleh itu semua pihak perlu memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa.

(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana “Generasi Muda Perlu Diterap Cara Berhemat Urus Kewangan.” Oleh Jamiah Shukri, Berita Harian 23 Mac 2010)

 

No comments:

Post a Comment