Photobucket

Thursday, July 3, 2014

Oh Ibu, Oh Bapa !


Profesion perguruan merupakan badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk melahirkan generasi masa hadapan yang  canggih sebagai jentera penggerak negara. Tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana generasi masa hadapan yang hendak dilahirkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan semata-matanya, tetapi perlu juga diseimbangkan dengan nilai sosial yang baik dalam segi moral dan etika yang murni.

Malangnya ketika kita bersungguh-sungguh menyahut cabaran masa kini untuk merealisasikan aspirasi negara, timbul pula bantahan ibu bapa terhadap hukuman guru-guru ke atas pelajar dan berita berkenaan dengan ibu bapa atau pelajar menyerang atau mencederakan guru. Maka timbullah persoalan sama ada patutkah institusi pendidikan khususnya guru-guru sekolah terlibat dalam soal mendisiplinkan pelajar dan apakah kaedah yang patut dilaksanakan bagi menjatuhkan hukuman disiplin terhadap pelajar?

Apabila  membicarakan masalah guru memukul pelajar, banyak tafsiran yang berbeza mengenai guru yang jahat. Kalau seorang murid sekolah rendah, pasti katanya guru yang jahat akan memberi latihan atau kerja rumah yang banyak. Jelas di sini keikhlasan guru yang memberi latihan atau kerja rumah utuk meningkatkan kemahiran murid, disalah tafsirkan sebagai jahat. Tetapi mereka lupa, bahawa guru itu lebih banyak menghabiskan masanya untuk menyemak latihan atau kerja rumah murid-muridnya. Dalam hal ini, ibu bapa yang kurang faham akan beranggapan guru memberi kerja rumah yang banyak sebagai mendera anak mereka.

Murid-murid sekolah menengah, pasti mengatakan guru yang jahat akan selalu menghalang atau mengawal mereka dari segi kesalahan. Sekali lagi keikhlasan guru yang cuba mendisiplinkan mereka disalah tafsirkan sebagai jahat. Tetapi mereka lupa, bahawa guru melakukan semua itu cuma untuk kebaikan mereka juga. Bagi sesetengah pihak ibu bapa yang sibuk dengan pekerjaan, pasti mereka kurang bersama anak-anak dalam kehidupan seharian. Mereka pasti tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh anak mereka. Apabila guru cuba memperbetulkan tingkah laku anak murid mereka, ibu bapa akan cepat melenting. Mereka beranggapan bahawa guru itu mendera anak mereka sahaja.

Ibu bapa seharusnya sedar, naluri seseorang kanak-kanak dan remaja sememangnya nakal dan setiasa mempunyai perasaan yang suka memberontak. Proses mendisiplin pula amat rumit dan berhadapan dengan pemberontakan jiwa anak-anak. Proses mendisiplinkan di tahap remaja atau buluh lebih menyukarkan dan sebab itu ibu bapa mengelak utnuk mendisiplinkan anak mereka sama ada melalui perang psikologi mahupun rotan. Mereka takut untuk berhadapan dengan sikap pemberontakan anak-anak mereka ini. Ibu bapa bimbang anak-anak mereka akan lari dari rumah atau melakukan perbuatan yang negatif seperti menagih dadah dan sebagainya.

Institusi sekolah yang bersedia memainkan peranan itu, menggariskan beberapa garis panduan dan disiplin yang semata-mata mahu mendidik dan mengawal tingkah laku pelajar yang pada peringkat usia sebegini mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dan persekitaran.
Alangkah baiknya pihak ibu bapa pula menghormati dan berterima kasih kepada para guru dan pihak sekolah kerana secara tidak langsung mengambil alih tugas mereka bagi mendisiplinkan dan memberi ilmu pengetahuan kepada anak-anak mereka. Semua tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada guru untuk mendisiplinkan murid-murid, dengan niat untuk membentuk dan mendidik mereka supaya menjadi ahli masyarakat yang berguna suatu hari nanti.

Jika diamati, pelajar hari ini yang terdiri daripada remaja sering dibabitkan dengan pelbagai jenayah dan salah laku. Pergaduhan dan gengsterisme, merokok, menagih dadah, seks bebas, memusnahkan harta benda awam (vandalisme), merompak dan ada yang mengupah orang untuk memukul guru. Perlakuan sebegini tidak disedari oleh ibu bapa kerana kejadian tidak berlaku di hadapan mata mereka. Mereka akan cepat marah sekiranya anak mereka menunjukkan lebam dan mengadu dipukul guru. Lazimnya, mereka terlupa untuk bertanya mengapa anak mereka dipukul.

Pengalaman Cikgunie pada hari ini menunjukkan betapa ibu bapa hanya menyedari kesalahan guru merotan dan mendenda anak-anak mereka dan bukannya kesalahan anak-anak mereka. Murid yang ponteng kelas, datang lewat, merokok, tidak berpuasa dan tidak menyiapkan kerja rumah adalah sebahagian daripada kesalahan murid-murid di sekolah.

Pada petang yang mulia di bulan Ramadan ini Cikgunie diserang oleh sepasang suami isteri yang merupakan waris kepada murid di sekolah Cikgunie. Kesalahan murid tersebut ialah DENGAN SENGAJA MASUK KE KAWASAN SEKOLAH PADA JAM 8.20 PAGI iaitu selepas semua murid habis baca Yaasin. Sebagai dendaan kepada mereka Cikgunie mengambil kunci motosikal mereka dan menyerahkan kepada mereka sejam selepas pelajar lain pulang. Jam 2.30 petang ibu bapa murid tersebut datang ke pejabat dan tanpa usul periksa terus memaki hamun Cikgunie yang kononnya tidak bertimbang rasa mendenda anak mereka sedemikan rupa. Alasannya naluri keibuan ibu tersebut menyatakan sesuatu yang buruk berlaku kepada anak mereka semasa dalam perjalanan pulang dari sekolah. Itu memang bagus tetapi kerisauan yang berlebihan boleh memudaratkan mereka.

Sambil tersenyum Cikgunie mempelawa pasangan tersebut masuk ke bilik Cikgunie. Suasana penghawa dingin yang sejuk serta data-data yang Cikgunie tunjukkan sebagai evidens kepada mereka telah menyebabkan si ibu menangis sambil memeluk Cikgunie. Ungkapan maaf bertubi-tubi keluar dari bibir ibu tersebut terhadap Cikgunie. Cikgunie tak buat apa-apa pun cuma menunjukkan rekod salah laku anak mereka serta gambar-gambar yang Cikgunie rakamkan sejak Februari hingga semalam. Tidak lebih dan tidak kurang pun. Kesalahan Cikgunie ialah tidak memaklumkan ibu bapa yang anaknya didenda balik lewat. Itu sahaja dan Cikgunie pun meminta maaf daripada ibu tersebut.

Akhirnya barulah si ibu mengaku yang anaknya selalu pulang awal dan dia tahu anaknya ponteng kelas masa akhir kerana tidak mahu solat di sekolah. Ibu tersebut juga mengaku anaknya tidak pernah buat kerja sekolah di rumah. Ibu tersebut juga mengaku anaknya selalu keluar rumah sebelum jam 7.00 pagi dan jarak antara rumahnya dengan sekolah tidak sampai 10 kilometer. Jadi, di mana anaknya sebelum jam 8.00 pagi? Hanya guru-guru disiplin dan guru yang bertugas sahaja tahu di mana remaja seperti itu berada. Akan tetapi jika diambil tindakan, semua itu menjadi kesalahan pula. Jika demikan, apakah aspirasi kerajaan untuk melahirkan insan berminda kelas pertama dapat direalisasikan pada 2020 nanti? Tepuk dada tanya selera kerana di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Pokok tidak akan bergoyang kalau tidak ada angin kerana pokok pangkalnya terletak pada hati. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Oleh itu, tanyalah hati di manakah letaknya keimanan kita.


No comments:

Post a Comment