Pengalaman Cikgunie berpuasa dan menjalani ibadah terawih pada bulan Ramadhan di rantau orang bermula seawal usia Cikgunie 20 tahun. Bersahur dan berbuka di Kolej Mahsuri (KOlej 4) UPM sangat-sangat melucukan. Sayur timun dan masak asam ikan cencaru. Bazar Ramadan di Taman seri Serdang, seri Kembangan dan Bangi adalah destinasi kami mencari juadah yang selera dengan anak tekak untuk berbuka. Banyak juadah tidak terkira. Biasanya ayam percik menjadi pilihan utama. Namun akalu kita membeli 5 biji kuih, peniaga tidak pernah melebihkan kuih sebagai sedekah kepada pembeli.
Selepas itu, sebelum memasuki era pekerjaan pada awal usia 24 Cikgunie menjalani latihan praktikal di Slim River telah mengubah selera Cikgunie hingga ke hari ini. Masak tempoyak ikan patin sangat popular di Perak. Sejak itu teman serumah mengajar Cikgunie ilmu memasak ikan patin. Setiap kali singgah di Bazar Ramadan, pasti tidak lupa Cikgunie membeli tempoyak atau masak tempoyak ikan patin. namun peniaga tidak pernah melebihkan kuantiti ikan pati yang Cikgunie beli.
Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, Cikgu ni ditempatkan di SMK Tapah, Perak pada bulan Jun 1993. Bermulalah kehidupan Cikgunie dengan budaya dan amalan pemakanan mengikut citarasa orang Perak. Keadaan di tapah pun sama. Peniaga tidak pernah melebihkan kuih yang dibeli kepada pembeli sebagai sedekah. Selepas berkahwin (suami Cikgunie orang Perak) lagilah menu utama ialah ikan patin masak tempoyak. Cikgunie mengikut suami bertukar ke Labuan pada 1996 dan suasana di bazar Ramadan Labuan tidak sama dengan di Semenanjung. Selera dan citarasa orang Labuan tidak masuk dengan tekak Cikgunie. Sejak itu Cikgunie bel;ajar buat sendiri menu yang akan Cikgunie hidangkan untuk keluarga.
Pada 2002, Cikgunie berpindah ikut suami balik ke Perak tapi di Seri Iskandar. Keadaan di bazar Ramadan pada tahun-tahun 2002-2006 di Seri Iskandar sangat daif. Tiada banyak pilihan dan status Seri Iskandar ketika itu tidak ubah seperti pekan mati. Cikgunie terpaksa ke Batu Gajah atau Bota atau Parit untuk mencari juadah berbuka. Namun sikap semua peniaga di bazar Ramadan tetap sama. Tiada istilah sedekah untuk pembeli.
Kini selepas hampir 25 tahun mengembara di rantau orang demi mengikut orang tersayang, Cikgunie kembali ke tempat asal di Kuala Nerang. Cikgunie merasai suasana terawih dan berbuka puasa di tempat kelahiran sendiri. Apa yang ingin Cikgunie kongsi bersama pembaca ialah keadaan di pekan Kuala Nerang semasa bulan Ramadan. Pada bulan penuh keberkatan ini, bank-bank berlumba-lumba memberi zakat kepada murid-murid miskin di sekolah Cikgunie. NGO dan tokoh korporat dan orang perseorangan berebut-rebut memberi zakat pakaian, duit, telekung dan al-Quran kepada sekolah-sekolah. Begitu juga para guru. Lupakan pasal sedekah oleh tokoh korporat.
Apa yang menyebabkan Cikgunie rasa terpanggil ialah sikap peniaga di Kuala Nerang pada bulan Ramadan ini. Peiaga-peniaga di bazar Ramadan tidak lokek memberi sebiji atau tiga empat biji kuih sebagai sedekah kepeda pembeli tanpa mengira status mereka. Sikap peniaga di pekan sehari pada hari Sabtu dan Selalu juga sangat menakjubkan. Apabila membeli ikan, peiaga itu memberi 7 kilo ikan untuk dibuat moreh. Peniaga itu tak kenal Cikgunie dan Cikgunie pun tak kenal peiaga itu. Tetapi peniaga itu memilih Cikgunie untuk memanjangkan sedekahnya kepada orang lain. Hebatnya warga Kuala Nerang. walaupun tak kaya tetapi mereka rajin bersedekah. Alhamdulillah. Syukur kerana Cikgunie dilahirkan sebagai warga Kuala Nerang.
No comments:
Post a Comment