Semasa menulis perenggan ini, Cikgunie teringatkan secebis kisah Cikgunie yang berlaku akhir-akhir ini. Pada waktu itu kayuhan roda kehidupan Cikgunie berada di bawah dan hampir tumbang. Turun naik roda kehidupan dalam hidup kita disebabkan oleh sikap kita juga. Pada ketika itulah Cikgunie diilhamkan Allah S.W.T untuk menyelongkar isi al-Quran. Sebelum itu al-Quran bukan Cikgunie tak pernah baca tetapi tidaklah serius sangat untuk mendalami isinya atau paling tidak pun membaca terjemahannya.
Justeru, benarlah apa yang dikatakan bahawa al-Quran adalah mukjizat. Al-Quran mampu dibaca dan hati kita akan menjadi rindu untuk terus membacanya walaupun kita tidak memahaminya. Kita akan terus membaca dan membaca berkali-kali walaupun kita tidak memahami apa yang sedang kita baca. Manisnya membaca al-Quran ialah kita akan mendapat pahala walaupun kita tidak memahami apa yang kita baca.
Apa yang ingin Cikgunie kongsi di sini ialah Allah memberikan ujian kepada kita TTETAPI kita harus ingat Allah juga menyediakan ganjaran kepada hamba-Nya yang lulus cemerlang. Sebenarnya kita adalah hamba-hamba pilihan Allah yang dipilih untuk menyertai pertandingan melalui ujian kehidupan bagi merebut hadiah dan ganjaran yang ditawarkan Allah. Hayatilah terjemahan ayat ini.
" Berlumbalah kamu mendapatkan ampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Itulah kurniaan Allah yang diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar. ( Al-Hadid 57:21)"
Sesungguhnya dunia ini adalah medan ujian. Oleh itu semua umat manusia akan terus diuji dengan segala macam bentuk ujian seperti kewangan, perceraian, anak-anak, hubungan sesama manusia, dan lain-lain lagi. Oleh itu, kita perlu berusaha mencapai kesempurnaan iman untuk melepasi setiap ujian yang melanda kita. Bukanlah sukar untuk mendapatkan iman yang sempurna.
"Ada tiga perkara yang sesiapa dapat mengumpulkan ketiga-tiga hal itu dalam dirinya, maka dia dapat mengumpulkan keimanan secara sempurna. Iaitu memperlakukan orang lain sebagaimana engkau suka diperlakukan oleh orang lain, memberi salam terhadap setiap orang (yang dikenali mahupun yang tidak dikenali), dan mengeluarkan infak di jalan Allah, meskipun hanya sedikit." (Riwayat Bukhari)
Syarat utama untuk menghadapi setiap ujian Allah ialah kita hendaklah sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Jangan sesekali mengeluh apa yang kita kurang. Terlalu banyak mengeluh boleh menjadikan seseorang itu kufur nikmat. Allah telah berjanji kepada kepada orang-orang yang bersyukur sebagaimana firman-Nya yang bermaksud;
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memaklumkan "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka pasti azab-Ku sangat berat." ( Ibrahim 14:7)
Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berdoa agar dapat melepasi ujian yang diturunkan Allah kepada kita. Tanpa doa, kita tidak akan mendapat apa yang kita inginkan. Setiap orang daripada kita tidak mahu berterusan ditimpa ujian yang berat dalam hidup kita. Seyogia berdoa adalah ubat paling mustajab untuk menghadapi ujian dalam hidup kita. Apabila berjaya melepasi ujian, kita akan menerima ganjaran seperti yang dijanjikan Allah. Ujian paling besar ialah mengawal nafsu. Justeru, sentiasalah berdoa agar kita terhindar daripada ujian sebegitu.
Dalam sahih Muslim terdapat riwayat daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;
Allah SWT turun ke langit dunia pada setiap malam ketika berlalu sepertiga malam pertama. Maka Dia berkata: "Aku adalah Sang Raja. Aku adalah Sang Raja, siapa sahaja yang memohon kepadaKu, maka Aku akan mengabulkannya. Sesiapa sahaja yang meminda kepadaKu, maka Aku akan memberinya, Siapa sahaja yang memohon ampunan kepadaKu, maka Aku akan mengampuninya." Dia tetap seperti itu sehingga muncul cahaya fajar.
No comments:
Post a Comment