Photobucket

Wednesday, October 3, 2012


EQ DALAM BUDAYA MELAYU

Dalam melihat EQ Melayu, kajian menggunakan peribahasa, pantun, bidalan dan pepatah serta perumpamaan Melayu sebagai korpus (badan / jasmani) kajian. Kepentingan hasil budaya Melayu ini dengan kepentingan emosi Melayu dikaitkan dengan kepentingan penggunaan unsur-unsur budaya ini sebagai bahasa yang penuh kata-kata simbolik, tersirat, indah dan sopan yang digunakan dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu dari zaman tradisi hinggalah ke hari ini.

KEPINTARAN PERSONAL  DALAM MASYARAKAT MELAYU
Orang Melayu menyedari setiap manusia memiliki kebolehan dan kepintaran yang tersendiri. Ini dibayangkan dalam peribahasa Melayu yang berbunyi:
Kuat burung kerana sayap, kuat ketam kerana sepit
( Setiap orang mempunyai kekuatan sendiri)

Dalam pantun Melayu juga ada menyatakan:
                                    Anak Melayu belayar pagi,
                                    Nampak angin menentang pelangi,
                                    Bunga layu jangan dikeji,
                                    Sungguh layu baunya wangi. 

Bagaimana pun di samping segala kelebihan dan keistimewaan, manusia juga mempunyai kelemahan dan kekurangan:
                                    Tiada gading yang tidak retak
                                    (Tidak ada yang sempurna)

Penyedaran segala sifat kelebihan dan kekurangan ini berkait rapat dengan kebolehan emosi dalam berhadapan dengan cabaran dalam kehidupannya. Ada kalanya kita bahagia kerana mendapat apa yang diinginkan, adakalanya kita kecewa, sedih dan marah kerana gagal dalam mengejar apa yang dingini. Namun begitu kita menginsafi bahawa di dunia ini ada masa menang ada masa kalah.
Ibarat mudik menyongsong arus, hilir menyongsong pasang
                                    (Menghadapi banyak rintangan tetapi terus berusaha)

PENGENDALIAN EMOSI DALAM BUDAYA MELAYU
Dalam Bidalan Melayu ada memparkan sikap orang Melayu yang positif seperti mementingkan sifat SABAR DAN BERTOLAK ANSUR:
                                    Kerana mata, buta; kerana hati, mati.
                                    (Apabila ikut hawa nafsu, akhirnya binasa atau ditimpa kesusahan)

                                    Padi muda jangan dilurut,
kalau dilurut patah batangnya,
Hati muda jangan diturut,
kalau diturut susah datangnya,

Perasaan marah, benci dan dendam adalah emosi yang lebih bersifat negatif dan jika tidak dapat dikawal membawa akibat yang  buruk. Oleh itu masyarakat Melayu sering diingatkan supaya tidak terlalu cepat marah dan sakit hati kerana perbuatan itu satu perbuatan yang buruk dan keji.
Besok hari Khamis,
Lusa hari Jumaat,
Kalau hati kita bengis-membengis,
Hidup kita tidak selamat.
Keladi muda, muda buahnya; menurut hati muda, berkelahi sudahnya.
(Orang muda mudah marah)

Seperti pasir di tepi pantai, tatkala air timpas bolehlah
( Jangan dibantahi orang yang sedang marah, tunggu sampai reda)

Sungguhpun begitu sifat sabar dalam masyarakat Melayu ini ada batasannya. Sifat sabar tidak ada pada semua tempat dan ketika. Apabila berlaku kemungkaran seperti kezaliman, masyarakat Melayu tidak lagi boleh bersabar. Mereka bertindak mencegahnya. Hal ini ditegaskan dalam peribahasa berikut:
                                    Hutang darah dibayar darah
                                    Hutang nyawa, nyawa padahnya
Berani kerana benar, takut kerana salah

Peribahasa ini memiliki nilai yang tinggi untuk membangkitkan semangat pejuang atau orang yang sedang bersedih kerana kehilangan orang yang tersayang.
                                    Sayang Pak Koming  turun ke bendang,
                                    Sampai ke bendang menuai padi,
Hati runsing jangan dikenang,
Kalau dikenang rosaklah hati.

Dalam peribahasa Melayu ada memgingatkan pentingnya menjaga perasaan atau emosi apabila berada dalam keadaan tertentu.
                                    Air yang dingin juga dapat memadamkan api.
                                    (Kata-kata lembut dapat meredakan marah)



                                    Lunak disudu, keras ditakik
(Berlembut kepada yang patuh atau baik, berkeras atau tegas kepada yang menentang atau jahat)

                                    Mulut manis mematahkan tulang
(Kata-kata  yang lembut dapat melemahkan hati yang keras)

Mengendalikan emosi juga menjadikan kita bersedia menerima hakikat hidup:
Asal kapas menjadi benang,
Sudah benang menjadi kain,
Barang yang lepas jangan dikenang,
Sudah jadi orang lain.

Sikap pantang menyerah dan sanggup berusaha sehabis daya dipaparkan dalam peribahasa berikut:
                                    Pegang bara api biar sampai jadi abu
                                    (Bekerja dengan bersungguh-sungguh hingga selesai)

MOTIVASI – Orang Melayu menggunakan segala kata-kata dalam pantun, peribahasa. Perumpamaan dan kias ibarat ini sebagai motivasi bagi menjadikannya seorang yang tabah, rajin berusaha dan tidak kenal erti putus asa.
                                   
Alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan
                                    (Melakukan sesuatu pekerjaan biarlah sampai selesai)

SIMPATI -  Contoh :
Melihat riak air, saya sudah tahu pendayungnya.
( Cepat memahami maksud seseorang)

PEMURAH atau BERBUDI -  Contoh :
Hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa mati
(Wang tidak dapat membayar budi)

BERBUDI BAHASA – Contoh :            
Perigi dikatakan telaga
                                                Tempat budak berulang mandi
                                                Emas merah ada harga
                                                Budi bahasa bernilai abadi.

BUDI PEKERTI – Contoh :
 Benih yang baik tidak memilih tanah
(Apabila baik, ke mana pergi, tetap baik)