Monday, November 28, 2011

Sunday, November 13, 2011

INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA

Usaha-usaha Meningkatkan Industri Kecil dan Sederhana



Industri Kecil dan Sederhana merupakan  industri kecil-kecilan yang diusahakan  dan di kampung-kampung  dan di desa-desa di kawasan pedalaman. Biasanya  IKS diusahakan oleh pengusaha-pengusaha IKS yang menggunakan modal yang kecil, iaitu dibawah RM100,000.00. Produk yang dihasilkan oleh pengusaha IKS ialah kuih tradisional, barangan kraf tangan , cenderahati, dan produk pelancongan.  Hal ini demikian kerana produk IKS tidak memerlukan kos yang tinggi ya tidak memerlukan pejabat yang luas kerana pengeluarannya sedikit sekadar menampung permintaan bagi kawasan setempat sahaja. Justru terdapat beberapa usaha untuk meningkatkan produktiviti IKS.

Usaha perdana yang boleh yang dilakukan untuk  menggalakkan suri rumah menceburi IKS ialah mengeluarkan1 KAMPUNG 1 PRODUK.  Sebagai contoh,  setiap kampung perlu yang menghasilkan  barangan yang tertentu sebagai jenama bagi kampung  tersebut.
Hal ini demikian kerana kampung-kampung melalui produk yang dihasilkan dapat mempromosikan kampung tersebut di mata masyarakat. Sebagai contoh, Kampung Batu Arang dikenali dengan penghasilan ikan bilis bermutu tinggi yang  terkenal di Labuan. Oleh itu pembeli atau orang ramai yang ingin  mendapatkan ikan bilis  boleh pergi ke Kampung Batu Arang bagi tujuan mendapatlkan ikan bilis sebagai bekalan.  Justeru apabila setiap kampong di seluruh negara mengeluarkan produk masing –masing, orang ramai atau pembeli mempunyai banyak pilihan .
Seterusnya, usaha untuk meningkatkan produk IKS ialah memberi penjenamaan semula pengeluaran barangan IKS yang dihasilkan.  Hal ini demikian kerana penjenamaan setiap produk akan mendapat memikat hati pembeli untuk membeli produk IKS seterusnya meningkatkan pengeluaran IKS.  Sebagai contoh kuih-muih tradisional diberi nama baru yang dihasilkan dengan kaedah moden seperti kuih bahulu diberi nama baru “Bahulu Berperisa Pandan”, kuih bangkit diberi nama “Bangkit Ayu” dan lain-lain pasti akan memikat selera pembeli. Justeru apabila permintaan IKS meningkat maka produk dan pengeluaran IKS juga akan bertambah bertambah kerana sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Usaha lain yang boleh dilakukan ialah pihak kerajaan melalui Bank Pertanian dan Bank Pembangunan boleh memberikan kemudahan  kredit kepada pengusaha-pengusaha IKS untuk menambahkan modal mereka. Masalah utama pengusaha IKS ialah kekurangan  modal  dan hal ini  sedikit sebanyak dapat membantu pengusaha-pengusaha IKS untuk meningkatkan produktiviti mereka kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Apabila kerajaan memberikan kemudahan pinjaman melalui Bank Pertanian dan Bank Pembangunan tanpa cagaran kepada pengusaha-pengusaha IKS, maka secara tidak langsung mereka dapat menambahkan pengeluaran seterusnya menjana pendapatan mereka. Oleh itu, dengan usaha dan sokongan pihak kerajaan, pengusaha-pengusaha IKS dapat mengembangkan lagi sayap perniagaan mereka seterusnya dapat bersaing dalam dunia perniagaan kerana yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang.

Intihanya, Industri Kecil dan Sederhana memainkan peranan  penting dalam mempromosikan pengeluaran desa supaya dikenali di seluruh negara. Justeru usaha–usaha proaktif lagi pragmatis perlu di gembeleng oleh semua pihak agar dapat  merealisasikan hasrat kerajaan mewujudkan 1 KAMPUNG 1 PRODUK. Oleh itu para pengusaha IKS perlu melakukan transformasi dalam produktiviti mereka supaya dapat meningkatkan  ekonomi dan mengubah tanggapan  terhadap pengeluaran IKS hanya untuk penduduk kampung tetapi  IKS merupakan perniagaan yang mampu bersaing dalam dunia globalsasi .

Saturday, November 12, 2011

Target Karangan Respon Terbuka...

Soalan 5
Anda telah membaca sebuah novel yang menarik.
Buat ulasan novel tersebut.

Novel merupakan sebuah genre kesusasteraan yang mengandungi tema, persoalan, watak, plot, latar, nilai dan pengajaran. Sebuah novel yang telah saya baca baru-baru ini yang menarik perhatian ialah novel Kabus Di Perbukitan. Novel ini ditulis oleh Mohamad Kholid Bin Hamzah. Novel ini mengandungi 23 Bab dan 219 halaman. Novel ini memaparkan tema mengenai kegigihan seorang wanita yang kehilangan orang tersayang sehingga membawa dirinya terbuang di sebuah negara asing yang bernama New Zealand. Watak utama dalam novel ini ialah Faridah Binti Kamaruddin.

Persoalan yang menarik dalam novel ini ialah mengenai watak Faridah seorang aktivis masyarakat yang melakukan perkhemahan di Raub. Beliau dalam perjalanan ke Kuala Kubu Bahru. Dalam perjalanan barulah dia tersedar bahawa ada seorang kanak-kanak Down Syndrom dalam van yang dipandunya. Kanak-kanak bernama Iqbal. oleh kerana terlalu terkejut, Faridah hilang kawalan, lalu van yang dipandunya terjunam ke dalam gaung. Usaha mencari Faridah dan Iqbal selama 2 minggu tidak menampakkan hasil lalu pihak polis dan PGA telah enghentikan usaha mencari menyelamat. Apa yang menarik mengenai novel ini ialah Faridah yang hilang dalam kemalangan itu sebenarnya telah diselamatkan oleh Tok Batin Senik ketika sedang merayau-rayau dalam hutan di Bukit Kutu. Ketika itu Faridah hilang ingatan. Ketika Faridah dan Iqbal sedang mandi, dia terjatuh atas batu lalu koma selama 2 minggu sebelum dijumpai oleh bapanya Mejar (B) Kamaruddin. Ketika koma itulah Faridah berada dalam abad ke 19 di mana dia bertemu dengan Residen Inggeris ketika itu yang bernama Sir Cecil Ranking. Faridah melihat masyarakat pada zaman itu yang terdiri daripada pelombong bijih yang menjadikan candu sebagai pelepas penat mereka setelah bekerja seharian. Faridah juga berkomunikasi dengan Amah Siti, pembantu Sir Cecil Renking. Dalam pengembaraannya itulah Faridah bertemu dengan adik kembarnya Rahayu. Pengarang mematikan watak Rahayu apabila Faridah tersedar dari koma.

Plot novel Kabus Di Perbukitan dijalin dengan kemas dengan memasukkan unsur imbas kembali dan pemerian. Antara unsur imbas kembali ialah Mejar (B) Kamaruddin menyesali dia telah meninggalkan isterinya Salmah dan berkahwin dengan perempuan lain yang bernama Hamidah. Dia juga menyesali kerana telah memisahkan pasangan kembar Faridah dan Rahayu. Garapan plot imbas kembali seperti ini menghambat pembaca meramal apa yang akan berlaku seterusnya terhadap Faridah. Seterusnya latar yang menarik dalam novel ini seperti Kampung Haji Dorani di Sabak Bernam yang terkenal turut dijadikan latar kampung halaman Faridah. Bukit Kutu yang tidak diketahui kewujudannya juga telah diselitkan oleh pengarang sebagai tempat Faridah dijumpai. Latar peranginan tanah tinggi seperti Bukit Fraser dan Cameron Highlands membuatkan pembaca turut merasai kedinginan tanah tinggi yang sejuk dan nyaman. Begitu juga latar tempat di New Zealand melalui unsur pemerian yang diceritakan oleh pengarang turut membawa pembaca berada di negara yang terkenal dengan buah kiwi itu. Latar masa yang diambil oleh pengarang juga sangat lama iaitu 25 tahun. Faridah yang merupakan watak utama mengambil masa 25 tahun berada di negara orang sebelum mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air kerana hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri lebih baik di negeri sendiri. Semua faktor ini mendominasi usia Faridah yang berlalu tanpa disedari kerana memikirkan dia sudah tidak punya saudara mara lagi di Malaysia.

Selain itu, novel Kabus Di Perbukitan sangat menarik kerana ia kaya dan sarat dengan nilai kemanusiaan. Antaranya ialah menghormati orang yang lebih tua. Faridah yang terdidik dengan adat ketimuran telah mendidik anak-anak kembarnya Anne dan Mellina agar menghormati orang tua dalam membuat sebarang keputusan. Hasilnya, Mellina membawa Benny berjumpa dengan Faridah apabila Benny melahirkan hasrat untuk berkahwin dengannya. Setelah Soleh Johnsons, suami Faridah memberi izin, barulah Mellina bersetuju untuk berkahwin dengan Benny. Nilai yang paling utama ialah kasih sayang membawa ke mati. Azrul sangat mencintai Rahayu dan sanggup berkorban apa sahaja untuk memulihkan penyakit kanser Rahayu. Rahayu berpesan kepada Azrul, walaupun dia telah tiada, Azrul hendaklah berusaha menjadi petani moden selepas tamat pengajiannya. Hasilnya Azrul telah memenuhi amanat Rahayu sehingga dia menjadi usahawan tani yang berjaya dalam bidang ternakan kambing dan mendapat gelaran Datuk. Nilai yang tidak kurang pentingnya ialah tanggungjawab seorang ketua keluarga. Walaupun telah berpisah dengan isterinya, Mejar (B) Kamaruddin telah menjalankan tanggungjawabnya mencari Faridah hingga jumpa selepas pihak berkuasa menghentikan usaha mencari dan menyelamat. Sesungguhnya tiada ibu bapa yang tidak sayangkan anaknya kerana anak adalah harta ibu bapa yang tiada bandingannya.

Novel Kabus Di Perbukitan juga sarat dengan pengajaran yang boleh dijadikan iktibar dalam kehidupan seharian kita. Sebagai contoh, kita hendaklah memberikan kasih sayang yang sama rata terhadap anak-anak kita. Hal ini demikian kerana Faridah tidak pernah membezakan kasih sayang antara anak-anaknya Anne dan Mellina walaupun Mellina sudah berumahtangga. Pengajaran seterusnya ialah kita hendaklah mempelajari selok belok agama Islam dengan Ustaz atau pemimpin yang diiktiraf sahaja. Hal ini demikian kerana Benny tersalah memilih kawan-kawan dengan mengikuti ajaran Islam mengikut konsep yang salah yang dibawa oleh Mehmood dan rakan-rakannya hingga Benny terjebak dalam aktiviti pengganas untuk meletupkan sebuah hotel di Singapura. Kita juga hendaklah sentiasa mengamalkan di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung  untuk mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak disenangi penduduk setempat. Sebagai contoh, Mellina sentiasa mengajak Khatijah untuk menemaninya dan mengajarnya tentang budaya dan adat orang Melayu apabila suaminya keluar daerah. Kita juga hendaklah sentiasa bertanggungjawab terhadap keluarga kita dengan menjaga dan memberi didikan agama yang secukupnya. Hal ini demikian kerana agama adalah benteng yang mencegah seseorang daripada melakukan kemungkaran. Sebagai contoh, Benny yang kurang ajaran agama sering mengunjungi kelab malam di New Zealand, tetapi apabila ingin mencari calon isteri dia tetap memilih wanita yang sama agama dengannya, iaitu Islam.

Intihanya, novel Kabus Di Perbukitan sangat menarik kerana ia memaparkan nilai-nilai murni dan latar yang menarik. Kata orang tak kenal maka tak cinta, maka para pembaca perlulah membaca novel ini untuk mencontohi nilai-nilai yang terkandung di dalamnya. Selain itu, novel ini juga dipenuhi dengan konflik dalaman watak utama apabila memikirkan tanah air yang telah lama ditinggalkannya. Ingatlah, setinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya hinggap di atas belakang kerbau juga.

Friday, November 11, 2011

TARGET SOALAN KARANGAN BAHAGIAN A


KEPENTINGAN  MEMBACA MAJALAH ILMIAH

Memaparkan isu-isu terkini
Bahasa yang digunakan bahasa Melayu standard
Terdapat pelbagai bidang ilmu yang dimuatkan
Pengetahuan Tanpa Sempadan
Sebagai suber rujukan dalam penulisan esei
Melahirkan penulis kreatif














CONTOH JAWAPAN.....
Budaya membaca sering dikaitkan dengan frasa Membaca Jambatan Ilmu. Ungkapan Membaca Jambatan Ilmu membawa pengertian bahawa orang yang banyak membaca akan dapat menambah ilmu pengetahuan yang dapat digunakan dalam kehidupan seharian.Sehubungan itu, terdapat pelbagai bahan bacaan yang dijual di pasaran. Antaranya buku, novel, majalah dan komik. Buku-buku yang dijual pula terdiri daripada buku ilmiah dan bukan ilmiah. Begitu juga dengan majalah. Terdapat majalah ilmiah dan majalah hiburan. Umumnya remaja dan golongan pelajar lebih suka membaca majalah hiburan berbanding majalah ilmiah. Hal ini demikian kerana remaja dan pelajar tidak mengetahui kepentingan membaca majalah ilmiah. Oleh itu, terdapat beberapa kepentingan membaca majalah ilmiah selaras dengan merealisasikan budaya membaca di negara kita.

Kepentingan perdana membaca majalah ilmiah ialah kita dapat mengetahui isu-isu semasa yang berlaku di dalam dan di luar negara. Sebagai contoh, kita dapat mengetahui krisis ekonomi yang melanda dunia, banjir besar yang berlaku di Thailand, pergolakan politik yang berlaku di negara-negara Islam, kekejaman Israel terhadap orang Palestin dan lain-lain lagi. Selain itu, apabila membaca majalah ilmiah, seseorang pelajar juga dapat mengambil iktibar tentang sesuatu isu yang dibaca seterusnya dapat diaplikasikan dalam kehidupan. Majalah ilmiah seperti Dewan Siswa, Dewan Masyarakat dan Pelita Bahasa banyak memaparkan isu yang berkaitan gejala sosial yang semakin membarahi masyarakat hari ini. Sebagai contoh, isu-isu gejala pembuangan bayi, lumba haram, buli, gengsterisme dan lain-lain lagi dapat mendidik remaja agar menjaga maruah dan lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, membaca majalah ilmiah dapat membendung gejala sosial yang kian meruncing belakangan ini.

Kepentingan membaca majalah ilmiah yang seterusnya ialah kandungan majalah ilmiah memaparkan pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan mempunyai pelbagai bidang seperti bidang ekonomi, pertanian, keusahawan, sukan, dan lain-lain. Bidang ilmu yang pelbagai ini dapat menjana dan mengasah minda para pembaca untuk merealisasikan hasrat kerajaan mencapai Wawasan 2020 kelak kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Selain itu, kandungan dalam majalah ilmiah dapat membina keupayaan menulis para pelajar kerana terdapat esei-esei dan rencana-rencana yang boleh dijadikan panduan oleh pelajar. Sebagai contoh, pelajar boleh menggunakan penulisan jenis rencana dengan merujuk rencana yang terdapat dalam majalah ilmiah. Sebagai contoh, majalah Dewan Siswa banyak menyiarkan rencana tentang kepupusan haiwan dan habitat akibat penerokaan manusia yang tidak bertanggungjawab. Kemusnahan floran dan fauna akibat kerakusan nafsu manusia yang tiada batasan juga banyak disiarkan dalam majalah ilmiah. Justeru, majalah ilmiah sememangnya membantu pelajar dalam penulisan esei mereka dengan lebih mantap lagi kerana usaha tangga kejayaan.

Intihanya, para pelajar dan semua masyarakat perlu membaca majalah ilmiah kerana majalah ilmiah bukan sahaja memaparkan isu-isu semasa yang terkini tetapi juga mereka dapat memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu dengan betul. Hal ini demikian kerana majalah-majalah hiburan yang terdapat di negara kita lebih banyak menggunakan bahasa slanga dan bahasa ringkas. Gejala ini akan merosakkan mutu bahasa Melayu itu sendiri seperti Bahasa Jiwa Bangsa. Oleh itu, membaca majalah ilmu dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam pertuturan dan penulisan.


Saturday, November 5, 2011

Ramalan Sejarah....


CONTOH SOALAN SEJARAH BAB 2 ( PENINGKATAN TAMADUN)
Apakah bidang yang diberi tumpuan dalam bidang pendidikan di Athens dan India?
Athens
v  Melahirkan manusia yang seimbang dari segi rohani dan jasmani.
v  Bagi orang Athens, manusia yang cemerlang ialah manusia yang dapat memenuhi tuntutan mental dan fizikal.
v  Hanya manusia yang cemerlang dapat memberikan sumbangan kepada kesejahteraan kehidupan manusia.
v  Oleh itu ,pendidikan sukan, muzik, kesusasteraan, seni berpidato, membaca, menghafal dan menulis amat dititikberatkan di Athens.
India
v  Peningkatan dalam bidang pendidikan bermula pada Zaman Vedik.
v  Masyarakat India mementingkan pendidikan yang berteraskan agama Hindu dan pendidikan pada zaman ini dimonopoli oleh kaum lelaki. Kaum wanita tidak dibenarkan menerima pendidikan.
v  Pendidikan memberi penekanan kepada Kitab-kitab Veda dan bahasa Sanskrit.
v  Kaedah yang digunakan ialah kaedah hafalan kitab-kitab Veda yang ditulis dalam bahasa Sanskrit.
v  Tujuan diadakan pendidikan keagamaan berkaitan Kitab Veda adalah untuk menyediakan manusia menghadapi hari selepas mati.
v  Pendidikan awal bermula di istana dan di rumah.
v  Pendidikan tinggi boleh dipelajari di Kolej Brahman bermula selepas tahun 100 S.M
v  Pada abad ke 4 Masihi, telah ditubuhkan Universiti Agama Buddha, iaitu Nalanda di India.
v  Untuk mencapai taraf Brahmin, setiap penganut agama Hindu perlu menghafal kitab Veda yang mengandungi peraturan ritual, mantera dan lagu-lagu agama.
v  Mereka juga perlu mempelajari karya saintifik dan falsafah.
v  Oleh itu, pendidikan di India adalah untuk meningkatkan ilmu sains.



Tuesday, October 25, 2011

Belajar Membuat Video

Salam semua,
Sepanjang dua minggu ini Cikgunie belajar membuat video P&P Sejarah. Biasalah bila mula belajar pasti akan ada banyak kesilapan. Cikgunie mengharapkan pengunjung blog Cikgunie akan memberi komen yang membina agar Cikgunie dapat melakukan penambahbaikan.

Sejarah T5 Bab 2.avi

Tuesday, October 18, 2011

PANDUAN MENGHASILKAN PENULISAN KREATIF


v  Membina AYAT TOPIK dan AYAT HURAIAN untuk membina perenggan yang kohesi.
v  Menyusun isi dan menggunakan penanda wacana untuk menghasilkan pemerengganan yang koheren.
v  Mengedit dan memurnikan sesuatu karya yang telah dihasilkan.
APAKAH PERENGGAN?
v  Perenggan merupakan satu kumpulan ayat mengenai isi atau idea yang sama.
v  Dalam penulisan, pembinaan perenggan adalah penting untuk membahagikan isi yang ingin disampaikan.
v  Setiap kali perubahan sesuatu isi atau focus berlaku, kita perlu memulakan perenggan baharu.
APAKAH AYAT TOPIK?
v  Ayat topik menyatakan isi utama yang ingin disampaikan dalam sesuatu perenggan.
v  Ayat topik mempunyai perkara pokok dan satu aspek yang ingin dinyatakan mengenai perkara pokok tersebut.
v  Biasanya pernyataan sesuatu aspek itu akan dapat memberikan focus kepada penulis dan pembaca.
v  Ayat topik bertindak sebagai alat kawalan dalam penulisan isi (isi sokongan) dalam sesuatu penulisan.
APAKAH AYAT HURAIAN?
v  Ayat topik perlu disokong oleh ayat huraian yang terdiri daripada isi sokongan.
v  Isi sokongan pula boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti fakta, pendapat, peristiwa, sebab dan akibat, statistik dan contoh.
v  Biasanya isi sokongan dapat memberikan bukti, menghuraikan idea atau menjawab soalan yang dikemukakan oleh isi utama dalam ayat topik dan isi tersebut mestilah berkait  antara satu sama lain.
v  Dalam penghasilan isi dan penulisan ayat huraian, isi kawalan dalam ayat topik menjadi dasar utama atau kerangka dalam sesebuah perenggan.
v  Calon boleh mengemukakan slogan, peribahasa, kata-kata hikmat dan simpulan bahasa dalam ayat huraian untuk memantapkan lagi gaya penulisan.
APAKAH AYAT PENYIMPUL?
Terdapat 3 jenis ayat penyimpul;
v  Ayat yang menyatakan semula ayat topik.
v  Ayat yang menyimpul keseluruhan isi dalam perenggan.
v  Ayat menyimpul yang menggabungkan perenggan.


CONTOH SOALAN KARANGAN
CARA-CARA MENJALANI KEHIDUPAN YANG SIHAT
AYAT TOPIK
v  Menjalani pemeriksaan kesihatan
v  Tidur dan rehat yang cukup.
v  Bersenam dan bersukan.
v  Mengamalkan pemakanan seimbang.
AYAT HURAIAN
Menjalani pemeriksaan kesihatan (AYAT TOPIK)
Terdapat pelbagai kaedah untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan kita. Rakyat Sihat Negara Maju adalah slogan yang menjadi mainan bibir dari ruang pejabat berhawa dingin hingga ke warung kopi di tepi jalan.Media massa juga sering menguar-uarkan mengenai penjagaan kesihatan sepanjang hayat. Bagi menjamin kesihatan sepanjang hayat, kita perlu melakukan pemeriksaan kesihatan. Pemeriksaan kesihatan amat penting dilakukan oleh individu yang berusia 40-an ke atas sekurang-kurangnya 2 tahun sekali. Hal ini adalah kerana sistem pertahanan badan seseorang semakin berkurangan. Apabila usia meningkat, hormon di dalam badan kita akan berkurangan. Kekurangan hormon akan menyebabkan badan kita mudah dijangkiti penyakit. Pemeriksaan kesihatan yang dilakukan secara berkala dapat mengesan penyakit dari awal. Penyakit yang dikesan pada peringkat awal mempunyai harapan yang tinggi untuk dipulihkan bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada mengubati. Antara penyakit yang boleh dikesan melalui pemeriksaan kesihatan ialah kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan kanser.
AYAT PENYIMPUL
Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin terhadap tubuh badan mereka, sewajarnya kita menjalani pemeriksaan kesihatan untuk memastikan badan kita sihat sepanjang masa.

Sunday, October 16, 2011

Tips Menulis Karangan Yang Mantap...

Semua calon SPM 2011....
Sedihnya kerana masih ada lagi calon-calon Cikgunie yang belum mahir menulis karangan yang mantap. Kenapa susah sangat hendak melontarkan idea-idea yang menggelegak dalam fikiran anda semua. Luahkan semua idea-idea dengan merangsang minda anda agar dapat menjana transformasi dalam olahan ayat-ayat agar dapat merentap perasaan pemeriksa kertas BM 1103/1 anda nanti. Bagaimana caranya???
Ikut formula Cikgunie....
1. Ayat pertama dalam setiap perenggan ialah pernyataan fakta tau isi karangan anda.
2. Ayat kedua pula ialah huraian kepada pernyataan dalam ayat yang pertama.
3. Ayat ketiga dalam perenggan pula ialah huraian berdasarkan data atau statistik yang diperoleh dari sumber bercetak atau visual.
4. Ayat keempat pula ialah ayat-ayat sokongan kepada huraian anda tadi.
5. Ayat kelima pula ialah contoh-contoh kepada huraian anda dalam ayat keempat.
6. Ayat keenam pula dalam sesebuah perenggan ialah ayat penyimpul untuk menutup gagasan idea anda dalam perenggan.

CONTOH : Peranan Ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak menabung.
Peribahasa sedikit sedikit lama-lama menjadi bukit sering meniti dari bibir ke bibir generasi Melayu lama. Hal ini menunjukkan bahawa apabila kita menyimpan sedikit demi sedikit hasil yang kita peroleh, lama kelamaan ia akan menjadi banyak. Sehubungan itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha mendidik anak-anak menabung sejak kecil. Menabung sangat penting kerana kita dapat menggunakan tabungan semasa kecemasan atau ketika kita sangat memerlukan kewangan. Sebagai tamsilan, kita boleh menggunakan wang yang disimpan untuk membiayai perubatan anak-anak, membiayai pengajian anak-anak atau membeli harta seperti rumah dan sebagainya. Justeru, menabung sangat signifiken dengan menyimpan wang yang berlebihan atau tidak digunakan di dalam bank agar anak-anak akan terdidik dengan budaya menabung sejak kecil.

Thursday, October 13, 2011

KEMBOJA DI PUSARA~~


Secebis kenangan berguguran di kelopak ingatan
Berderai satu persatu di halaman sengsara
Dalam keterpaksaan
Aku kutip segala derita jiwa
Aku himpunkan di perdu nestapa
Awan pilu mengundang lara
Mendung sayu pun berarak hiba
Langit lazuardi bertukar kehitaman
Sabung menyabung halilintar di dada kecewa
Lalu hujan tangisan pun bergema
Mengalunkan irama sendu
Mengiringi sebuah pemergian
Kematian sebuah perasaan
Penuh luka menjerat rasa
Bersemadi di pusara sepi
Bertemankan pepohon kemboja..


Di sini berdiri aku
Di hadapan pusara tanpa nesan
Terbiar sepi di keheningan pagi
Memutih kelopak kemboja memayungi pusara
Lantas aku sirami air mata kasih
Bersama sedu sedan
Aku menyedut wangian bebunga kemboja
Membuai perasaan membelai rawan
Sebening hatiku yang berkocak
Merelakan sebuah perpisahan abadi
Pemergian perasaan yang tiada nama
Ke alam yang tiada ruang....

Saat senja melabuhkan tirai
Aku mengusung luka yang semakin sarat
Pusara sepi aku tinggalkan
Kemboja memutih aku tinggalkan
Pesananku kepada kemboja putih
Payungilah pusara sepi ini
Sehingga aku kembali
Pada musim-musim rindu
Yang mendatang...
Tinggallah pusara sepi...
Tinggallah kemboja putih
Aku pergi untuk kembali....

ilusirasa : rouusenie ar 114813102011....


Saturday, October 8, 2011

BELAJAR MENERIMA KEGAGALAN


Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini mempunyai pengalaman yang berbeza. Ada yang mempunyai pengalaman manis dan pahit sepanjang sejarah hidup mereka. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan laut mana yang tidak pernah bergelora. Setiap manusia pasti mengalami kekecewaan dalam hidup mereka. Ada yang kecewa kerana cinta, ada yang kecewa kerana gagal mendapat pekerjaan, ada yang kecewa kerana gagal mempertahankan rumah tangga dan ada yang kecewa dalam pelajaran. Kekecewaan yang dialami oleh setiap orang berbeza-beza. Ada yang kecewa sekali, kecewa dua kali malah ada yang kecewa berkali-kali. Justeru, bagaimana hendak menangani perasaan kecewa agar kita tidak melakukan perkara yang di luar dugaan?
terima kenyataan
                Setiap sesuatu yang berlaku adalah qada dan qadar Tuhan. Oleh itu, anggaplah perasaan gagal mendapatkan sesuatu sebagai ujian dalam hidup kita. Tidak semua orang bernasib baik mendapat apa yang diimpikannya. Pasrah dengan ketentuan Yang Maha Kuasa dengan belajar menerima kenyataan bahawa ia bukan milik kita. Maka biarkanlah ia pergi kepada hak yang sepatutnya.
berfikiran positif
                Sesuatu yang berlaku perlu diteliti dan diperhalusi. Cuba kenang kembali kebahagiaan yang telah kita miliki sebelum kita dilanda kegagalan. Pujuklah hati kita agar kita tidak menyalahkan diri sendiri atas kegagalan yang kita alami. Senaraikan pro dan kontra tentang kegagalan itu. Jangan biarkan kekecewaan menguasai diri kerana kita akan bertambah kecewa. Sentiasa berfikiran positif apabila mengalami kegagalan akan membantu kita melupakan kekecewaan yang dialami. Buatlah post mortem kenapa kita gagal mencapai sesuatu yang kita idamkan. Selepas itu baiki kesilapan agar kita tidak mengalami kegagalan yang seterusnya dalam hidup kita.
luahkan perasaan
                Memendam perasaan adalah satu tindakan yang akan memakan diri. Kita boleh mengalami kemurungan atau stress jika kita memendam perasaan. Oleh itu, kita perlu meluahkan perasaan kecewa yanag kita alami kepada orang yang rapat dengan kita. Sebenarnya rakan adalah individu yang paling rapat dengan kita kerana rakan ialah tempat kita mengadu masalah dan menyelesaikan masalah. Dengan meluahkan masalah kepada rakan, kita akan rasa tekanan akan berkurangan. Apabila tekanan berkurangan, kita akan dapat melupakan perasaan kecewa yang melanda diri.
biarkan ia berlalu
                Sesuatu yang berlaku lama kelamaan akan berlalu jua. Ibarat angin yang bertiup, walau sekencang mana pun ia akan reda juga. Begitu juga dengan perasaan kecewa yang kita alami. Biarkan ia berlalu dari hidup kita kerana hidup ibarat roda, sekejap di atas dan sekejap di bawah. Oleh itu, sentiasa ingatlah bahawa walau cantik bintang di dada langit, ingatlah rumput yang sedang kita pijak kerana bintang akan menghilang sebaik terbit fajar sedangkan rumput kekal di tapak kaki kita.
fokus kepada tugasan harian
                Tumpuan amat penting untuk memacu kejayaan dalam kehidupan. Apabila kita focus dalam setiap pekerjaan, kita tidak akan memikirkan lagi hal-hal yang meneyebabkan kita mengalami kegagalan. Justeru, setiap individu perlu member tumpuan tentang matlamat dalam hidup kita yang amat singkat ini.

BAB TUJUH...


Perasaan hampa kembali bertamu di sudut hatiku. Dr. Fadzreen langsung tidak lagi menyebut tentang pelawaannya mengajak aku makan di restoran. Aku ingatkan tindakan aku jual mahal akan menguntungkan diriku tapi rupanya aku mengalami kerugian yang amat besar. Dr. Fadzreen sejak akhir-akhir ini jarang bergurau denganku. Aku amat sunyi sekali. Dr. Danish pula sentiasa sibuk 24 jam.
Aku semakin rindu dengan Danny. Dua minggu dia tidak menelefon atau menghantar sms kepada aku. Apakah dia sakit atau ditimpa kemalangan? Apakah aku sudah mula jatuh cinta dengan jejaka keturunan Cina itu? Hatiku sebenarnya sangat gembira apabila menerima panggilan daripada Danny. Ada nada lelucon lewat bicaranya. Dia tidak pernah bercakap formal denganku. Dia lebih suka mengusik dan bergurau. Namun dia tidak pernah mahu bertemu denganku. Alasannya sibuk.
Aku bercadang mahu menghubunginya sebaik saja sampai di rumah. Namun takdir telah mengubah segalanya.
“Hai, Honey! Rindulah lama tak dengar suara awak!” Suara yang dua minggu tidak kudengar tiba-tiba menghubungiku. Terkedu aku tidak terkata.
“Apa khabar awak, Danny?” Aku terus menyoalnya.
“Lain macam je suara awak?” Awak sakit ke?” Soalanku dibalas soalan pula.
“Mana awak menghilang?” Tanpa menjawab soalannya aku juga terus mengasaknya dengan soalanku.
“Cari rumah awak!” Usiknya nakal.
“Buat apa?”
“Nak pinang awak!”
“Serius le sikit, awak. Kita tak sukalah hal-hal personal jadi bahan gurauan.”
“Okeylah..awak sihat ke Honey?”
“Tak.”
“Sakit apa?”
“Sakit sebab tak jumpa awak.”
“Mustahillah. Tapi kita tak boleh jumpa awak.”
“ Kita nak jumpa awak juga. Awak… bila boleh  kita  jumpa awak?”
“Honey..sorrylah.. Kita betul-betul tak boleh sekarang ni. Harap awak faham!”
“Ye lah. Awak tu milik orang sebab tu tak nak jumpa kita!” Lega rasanya aku dapat melontarkan persoalan yang bermain dibenakku. Hanya lelaki yang telah berkeluarga saja yang akan mengelak dari bertemu perempuan yang baru dikenali. Persoalan itu sebenarnya telah lama terbuku di hatiku. Cuma hari ini saja baru aku ada keberanian. Biarlah apa jawapannya akan aku terima. Aku pasrah.
 “Awak jangan tuduh sembarangan. Kita milik Mummy dan Daddy kita saja tau. Bukan milik siapa-siapa!”
Huh, leganya aku mendengar jawapan ikhlas dari mulut Danny walaupun aku meraguinya 100 peratus. Aku perlu menduga untuk mencari kebenaran. Aku tidak mahu tertipu. Seandainya Danny sudah berkeluarga, gugurlah lagi seorang calon lelaki pertama aku. Yang tinggal mungkin samseng yang bernama Daniel Hisyam itu. Entah kenapa kehadirannya seperti ombak memukul pantai yang meninggalkan buih putih di gigi pantai.
“Honey, awak masih di talian?” Kidung Danny melantunkan khayalanku ke alam nyata.
“Ya. Kita masih di sini. Kenapa awak selalu cari alasan tak nak jumpa kita?”
“Kita takut awak nak ikut kita balik pulak. Ye lah takut kita dikebas orang! Kan awak kata wajah kita mirip pelakon drama Taiwan tu. Apa namanya? Ha, awak kata rupa kita macam Mike He kan?”
“Mengadalah awak ni. Dah lah awak. Kita dah nak balik ni. Lain kali call kita tau!”
“Baiklah Tuan Puteri. I Miss U!”
Miss U too!”
Kenapalah aku boleh terpikat dengan kepetahan Danny? Ah, aku tidak perlu percaya 100 peratus apa yang dibicarakan oleh Danny. Mustahil orang sekacak beliau tidak dimiliki oleh sesiapapun. Dr. Danish yang ada iras-iras Danny pun sudah ada seseorang dalam hidupnya. Itu Dr. Danish yang bekerja dari pagi hingga ke malam di hospital. Tambahan Danny yang bekerja di luar sana. Tentu hari-hari boleh jumpa gadis yang cantik-cantik.
Aku melihat jam di tangan. Hampir pukul 6.00 petang. Cepat-cepat aku mencapai kunci kereta. Pantas aku menuju ke tempat parking. Terperanjatnya aku melihat tayar depan sebelah kanan pancit. Macam manalah tayar aku boleh pancit. Mungkin terkena paku. Aku mengagak sendiri.
Apa aku nak buat sekarang? Dr. Fadzreen sudah balik sejam lalu. Dr. Hasbul on-call hari ni. Dr. Izlynn pula tunangnya yang hantar pagi tadi. Jadi, pasti tunangnya yang akan jemput beliau petang ni. Satu-satunya harapanku ialah Dr. Danish.
Dari bangunan Wad Bersalin kelihatan dia berjalan ke arah parking lot. Aku melambai ke arahnya.
“Hai Qis! Apa masalah U?” Sapanya sebaik beliau menghampiriku.
“Tayar kereta I pancit.”
So, U nak suruh I buka tayar dan gantikan dengan tayar spare?”
“Taklah. I tau Doktor penat. I cuma nak tumpang balik je. Nanti I panggil mekanik datang.”
“Ok. No problem. Tapi bagi kunci kereta U kat I. Nanti I panggil mekanik.”
“Susahkan Doktor je.”
“Tak susah. U tumpang I ni tak de orang jealous ke?”
Aku menggeleng.
“Betul?”
Aku mengangguk tanpa jawapan.
“Orang yang langgar U tu tak marah ke?” Kali ini nadanya berbau cemburu. Aku malas melayan soalan Dr. Danish. Bukan dapat apa pun walaupun aku tahu dia maksudkan Danny. Langkah Dr. Danish makin laju. Aku mengekori Dr. Danish dari belakang. Dr. Danish menghampiri sebuah kereta Proton Wira. Terperanjat aku.
Ketua Pakar Sakit Puan pakai kereta Wira! Aku mengamati kereta Proton Wira yang berwarna Perawan Yellow itu. Seperti pernah ku lihat. Nah, kereta yang aku langgar beberapa bulan dulu. Langsung aku tidak perasankan kereta bos aku selama ini.
Jadi Dr. Danish adalah Danny? Soalan yang menerjah benakku tiba-tiba membuat aku malu. Memang ada persamaan pada wajah mereka kerana mata mereka yang sepet. Aku cuba mengingat wajah Danny dengan sejelasnya. Namun aku rasakan seperti ada perbezaan. Entahlah mungkin daya ingatan aku yang semakin lemah.
“Masuklah.” Dr. Danish mengarahkan aku masuk ke dalam keretanya sambil tangannya membuka pintu kereta untukku. Tanpa bicara aku melangkah masuk ke dalam kereta. Kepalaku sarat dengan soalan yang memerlukan jawapan segera. Bagaimana aku hendak memulakannya. Aku perlu bertindak. Sebaik kereta meluncur di jalan raya, aku mengeluarkan telefon bimbit. Aku mendail nombor telefon bimbit Danny. Aku sangat berharap telefon Dr. Danish yang berbunyi. Namun hampa. Langsung tiada deringan dari telefon bimbit Dr. Danish sedangkan di hujung talian, deringan berlarutan tanpa diangkat. Ke mana pula Danny pergi jika dia bukan Dr. Danish?
Mengapa jadi begini? Bukankah Danny adalah orang yang aku langgar keretanya. Kereta yang sedang aku tumpang inilah kereta yang aku langgar dulu. Aku ingat dengan jelas nombor plat keretanya. Sesekali Dr. Danish menjeling ke arahku. Aku masih lagi tidak tahu bagaimana harus memulakan bicara tentang keretanya yang aku langgar dulu. Aku perlukan kepastian. Siapakah Danny? Betulkah Dr. Danish.
 “Qis nampak I ni macam suami orang ke?” Soalan Dr. Danish melunyaikan persoalan yang bermain di benakku. Kenapa tiba-tiba bertanya soalan yang bukan-bukan.
“Entah.”
“Kenapa Qis ragu-ragu saya ni suami orang atau bukan?”
Bila pulak aku menganggap Dr. Danish suami orang. Dengan Danny betullah. Aku selalu menganggap Danny suami orang kerana dia enggan berjumpa aku. Pelik pula sikap Dr. Danish hari ini. Namun aku perlu memberi komen untuk menjaga hati bos aku walaupun sikapnya memang pelik hari ini.
“Manusia ni macam-macam Doktor. Ada yang dah kahwin, ngaku bujang. Ada pulak yang bujang tapi ngaku dah kahwin. Yang seronoknya ada yang dah bercerai tapi masih kata tinggal sebumbung.”
“Tapi, Qis rasa I ni dah kahwin ke? Jawab dengan ikhlas.”
“Entah.”Jawabku sepatah.
“Bila Qis nak kahwin?”
“Hujung tahun.”
“Dengan siapa?”
“Jangan bimbang, bakal suami I baik orangnya.”
“Ye, ke. Siapa tu?”
“Adalah. Somebody. So, bila doktor nak kahwin?”
Coming soon!” Jawabnya sambil tersenyum memandangku.
Coming soon lagi!”
U jangan bimbang. U orang pertama yang akan tahu bila I nak kahwin!” Kali ini tiada nada gurauan lewat bicaranya. Aku kehilangan bicara saat mendengar ungkapan yang lahir dari bibirnya. Sebenarnya setiap kali berbual dengan Doktor Danish, banyak yang aku tidak faham. Banyak yang tersurat dan tersirat. Tapi adakah dia Danny? Mustahil. Tadi dia tidak menjawab panggilan aku. Aku lemas dalam teka-teki yang tiada jawapan.
“Doktor tinggal kat mana?” Aku cuba mencari topik perbualan. Maklumlah menumpang kereta bos walaupun keretanya murah daripada kereta Honda Accord aku.
Taman Pelangi. U pulak nak suruh I hantar kat mana?”
Taman Sentosa!”
“Nasib baik kita ikut laluan yang sama. Kalau tak nanti tak sempat I nak rush.”
“Doktor ada hal ke?”
I nak jumpa somebody. Janji pukul 7.30 malam.”
“Takpelah. I turun kat sini saja. Lepas ni I ambik teksi.”
“Tak payah. I hantar U sampai kat depan rumah. Warga KL sekarang ni bukan boleh percaya sangat. Hari-hari ada kes bunuh. Yang jadi mangsa anak dara macam awak, Qis.”
“Tapi anak dara tak laku macam saya dia orang tak pandang Doktor. Dia orang pilih yang cantik-cantik, yang solid-solid. Yang sekeping macam saya ni pandang pun dia orang tak sudi.”
Tidak tahu mengapa aku meluahkan kekecewaanku terhadap Dr. Danish. Mungkin kerana aku masih terasa dengan sikap Dr. Fadzreen tempohari. Sanggup dia melayani panggilan seseorang dan membiarkan aku menunggu di dalam kereta.
“Hish.. takkanlah awak ni anak dara tak laku Qis? U tahu Qis, awak ni cantik orangnya tau.”
Pandai pula Dr. Danish mengambil hati aku. Tapi kalau semua orang pandai mengambil hati aku seperti Dr. Danish, maka sudah lama aku jadi milik orang. Namun sampai hari ini tiada seorang pun yang sudi datang melamarku. Aku tidak tahu kenapa aku berbual yang bukan-bukan dengan Dr. Danish. Sebenarnya aku ingin mencari topik yang sesuai untuk bertanya betulkah Dr. Danish adalah Danny.
“Saya tak bergurau Doktor. Memang takde orang yang hendakkan saya. Kalau tak takkan dalam usia 28 tahun ni saya masih solo lagi?”
“Takkanlah gadis secantik Qis masih solo lagi?”
Aku menggeleng. Manalah tahu Dr. Danish boleh menjadi lelaki pertama aku.
“Qis, boleh I bagi kritikan? Maksud I kenapa U kata diri U anak dara tak laku”
“Apa dia? Saya tak kisah. Selama ni pun saya tak pernah ambil peduli hal orang.” Balasku tidak sabar.
Aku tahu sahabat sejati adalah cerminan peribadi kita. Kita tidak boleh melihat kekurangan diri sendiri tetapi orang yang rapat dengan kita dapat melihatnya dengan jelas. Jadi aku amat menghargai andai Dr. Danish dapat melontarkan pandangan peribadinya tentang kelemahan aku.
“Pertama rupa paras Qis buat orang keliru. Ada iras-iras Chinese. Dah tu Qis tak bertudung. Kedua nama Qis. Agak kebaratan walaupun maknanya memang agak islamik. Ketiga Qis tak pernah bergaul dengan orang di luar lingkungan hidup Qis. Dan keempat Qis jarang tersenyum kecuali dengan pesakit. Cubalah hadiahkan senyuman kepada setiap orang yang Qis temui. Barulah mereka akan perasan kewujudan Qis di sisi mereka.”
Rupanya terlalu banyak kekurangan dibandingkan kelebihan aku. Penjelasan Dr. Danish sebentar tadi seolah-olah mengejutkan aku daripada lena yang amat panjang. Itukah diriku? Salahkah diriku tidak bertudung? Bekerja di dalam Wad Bersalin terasa rimasnya kalau bertudung.
Tidak bergaul dengan masyarakat? Salahkah aku yang kekurangan waktu untuk bertegur sapa dengan jiran tetangga? Memang aku tidak mempunyai kawan karib. Tidak pernah senyum dengan orang yang tidak kukenali? Memang aku malu untuk melemparkan senyuman kepada orang yang tidak dikenali. Kenapa Dr. Danish boleh menelah sikapku padahal kami jarang berkomunikasi seperti ini? Tapi semua yang diperkatakan oleh Dr. Danish memang sikapku 100 peratus.
Bagi aku Dr. Danish pakar dalam bab memberi nasihat. Kalau tidak masakan dia menegurku tentang calon pilihanku.
“Bagi I, Qis tak boleh terus terima calon yang dicadangkan oleh parents U.” Dia meluahkan kata-katanya apabila aku memberitahunya aku akan menerima siapa saja pilihan Mama dan Papa tentang  calon suamiku.
“Kenapa? Dr. Danish dah jumpa calon yang sesuai untuk saya ke?” Sengaja aku cuba mengenakan Dr. Danish. Manalah tahu dia akan menawarkan dirinya pula sebagai calon suamiku. Atau pun dia akan mengaku dirinya adalah Danny yang selalu menelefon aku sesuka hatinya itu. Kalau tidak kenapa asyik jawab coming soon saja nak kahwin. Kenapa tidak dinyatakan tarikhnya dengan jelas?
“Maksud saya, Qis kena selidik latar belakang calon suami Qis. Tak boleh terima saja sesiapa yang datang pinang Qis.”
“Masalahnya sekarang Qis dah 28 tahun. Ini bukan masanya nak pilih siapa calon suami Qis. Kalau macam tu tunggu kucing bertanduk baru jumpa jodoh Qis.”
“Qis, I dah 36 tahun. Tapi I tak runsing nak kahwin macam U. Kenapa? U terdesak sangat nak kahwin ke?”
U lelaki Dr. Danish. Memang la U tak runsing sebab U yang akan pinang orang. I ni perempuan. I kena tunggu orang pinang I. Lagipun adik lelaki I nak kahwin. Mana boleh dia langkah bendul.” Akhirnya aku meluahkan segala yang terbuku di hatiku. Biarlah Dr. Danish tahu segalanya tentang aku. Lagipun dia adalah bos aku. Aku juga amat pasti Dr. Danish bukan Danny walaupun aku tidak rabun lagi tentang nombor plat keretanya. Barangkali Danny sudah menjual keretanya kepada Dr. Danish. Kesimpulan yang paling simple.


BAB ENAM...


Pembedahan ke atas pesakit Bilik 3 Katil 4 memakan masa hampir sejam. Doktor Fadzreen terpaksa memanggil Dr. Danish untuk membantunya melakukan pembedahan. Ini adalah kes luar biasa yang pertama kali aku temui. Sebelum ini dalam sesuatu kes mengeluarkan bayi dari uterus atau rahim seseorang ibu, kami hanya mengambil masa paling lama 30 minit jika berlaku komplikasi. Selepas itu dalam masa 20 minit kami sudah siap menjahit uterus dan abdomen pesakit.
Hari  ini kami berhadapan dengan pesakit yang mengalami masalah placenta previa type IV sejak usia kandungannya 20 minggu lagi. Pesakit tersebut bukan saja mengalami masalah uri di bawah tetapi urinya sudah berakar dan melekat di uterusnya. Darah dari rahim pesakit tidak berhenti mengalir dan sebab itulah Dr. Danish dipanggil. Aku sudah menggantikan 4 pain darah ke dalam badan pesakit.
Kenapa Dr. Fadzreen?” Soal Dr. Danish sebaik tiba di dalam Dewan Bedah.
Placenta patient melekat kat uterus!”
Dr. Danish mengambil dan memakai sarung tangan getah. Kemudian  dia merapati pesakit. Tangannya membelek uterus pesakit tersebut.
Nurse sediakan peralatan. Dr. Fadzreen stand by. Kita buat major-operation.” Dr. Danish mengarah staff nurse dan Dr. Fadzreen menyediakan peralatan untuk melakukan pembedahan hesterektomi ke atas pesakit tersebut.
“Qis, U boleh belajar ilmu baru hari ni.” Dr. Danish memang selesa memangil namaku dengan panggilan Qis sahaja.  
Dr. Danish memulakan tugasnya melakukan pembedahan untuk membuang rahim pesakit tersebut. Rahim pesakit tersebut perlu dibuang kerana urinya melekat pada rahim dan tidak boleh ditanggalkan. Lagipun berlaku pendarahan yang berterusan. Setakat ini pesakit tersebut sudah kehilangan empat liter darahnya. Mengikut prosedur, suami pesakit perlu tanda tangan borang kebenaran untuk membuang rahim pesakit, tetapi dalam keadaan kecemasan seperti ini, Dr. Danish sendiri yang turunkan tandatangannya.
U pernah jumpa kes macam ni?” Dr. Danish menyoalku sambil tangannya mengeluarkan rahim dan uri yang melekat daripada perut ibu muda yang berusia 25 tahun itu.
“Belum. Ini kes luar biasa yang pertama kali saya lihat.” Jawabku ikhlas.
“Dalam bidang perbidanan, kes luar biasa lebih daripada ini pun U akan jumpa. Betul tak cakap saya Dr. Fadzreen?”
Dr. Fadzreen cuma mengangguk. Tangannya pantas menjahit semula abdomen ibu muda itu selepas Dr. Danish mengeluarkan uri dan uterusnya.
“Qis, tolong berikan plaster tu.” Arah Dr. Fadzreen kepadaku pula. Aku menyerahkan plaster yang berukuran yang panjangnya 6 inci kepada Dr. Fadzreen. Selepas membersihkan darah yang bersisa di bawah abdomen ibu muda itu, Dr. Fadzreen terus melekatkan plaster di bahagian yang telah dijahitnya tadi. Dr. Danish pula meletakkan uri yang masih melekat pada rahim ibu muda itu di atas dulang di tepi meja bedah.
“Qis, U tengok uterus patient ni. Di dalam perut ia tergantung sendirian tanpa melekat kat mana-mana organ dalaman yang lain. Fungsinya hanya untuk membenamkan benih yang telah disenyawakan dan seterusnya menampung tumbesaran benih yang disenyawakan tadi.”
“Maksud Doktor?” Aku memang tidak berapa faham penjelasan Dr. Danish sebentar tadi.
“Kalau kita pisahkan jantung daripada badan manusia, kita akan mati. Begitu juga kalau kita buang hati atau paru-paru kita, kita akan mati kerana fungsi organ dalaman kita saling berkait. Tapi uterus di dalam organ dalaman seseorang wanita, fungsinya hanyalah menyediakan ruang untuk bayi membesar setelah disenyawakan. Ada atau tiada uterus dalam diri seseorang wanita tidak menjejaskan mereka. Cuma mereka yang tiada uterus tak  boleh mengandung dan melahirkan anak!”
Sambil memberi penjelasan kepadaku Dr. Danish membuang sarung tangannya yang berlumuran darah ke dalam bekas yang disediakan. Begitu juga Dr. Fadzreen. Keadaan mereka seolah-olah baru lepas menyiang ikan.
Penjelasan Dr. Danish menunjukkan dia layak menjadi seorang Ketua Pakar Sakit Puan. Nampaknya banyak yang perlu aku pelajari. Memang wanita yang diciptakan Allah amat unik. Ia berbeza dengan lelaki. Sebagai seorang wanita, aku tidak pernah merasakan apa-apa yang istimewa sehinggalah aku mendengar penjelasan Dr. Danish. Beruntungnya menjadi seorang wanita. Saat ini baru aku menyedari sebagai wanita aku mempunyai banyak keistimewaan. Mungkin kerana itulah syurga seseorang anak terletak di bawah telapak kaki ibunya.
Aku merenung ibu muda yang dibawa keluar dari Dewan Bedah ke ICU itu. Usianya baru 25 tahun. Bayinya yang aku dan Dr. Fadzreen keluarkan dari rahimnya tadi adalah anak sulungnya. Kerana komplikasi uri melekat di rahimnya, Dr. Danish telah membuat pembedahan hesterektomi ke atasnya. Ibu muda itu tidak boleh mengandung lagi! Rahimnya telah dibuang. Oh, Tuhan! Hari ini aku melihat tanda-tanda KebesaranMu.
   “Hai, jauhnya melamun. Jom ke kafe. Kita makan sama-sama.” Satu suara lunak menerjah gegendang telingaku. Aku segera menoleh. Dr. Fadzreen rupanya.
“Jomlah. Saya pun dah lapar. 3 jam dalam Dewan Bedah rasa macam nak tercabut lutut ni!” Balasku sambil mengadu aku kepenatan.
“Qis, Doktor Pakar Neuron yang buat pembedahan memisahkan kembar siam lagi lama berada dalam Dewan Bedah. Mereka tak merungut pun.”
Ala, nama pun Doktor Pakar. Tentulah takde masalah. I ni Doktor biasa je. Tu yang masalahnya!”
“Tadi I nampak jauhnya lamunan U. Ingatkan buah hati ke?”
“Apalah Doktor ni. Asalkan nampak I melamun je pasti U kaitkan dengan buah hati.”
“Marah ke? Habis tu U fikir tentang I ke?” Terkedu aku mendengar gurauan Dr. Fadzreen. Adakah dia bersungguh-sungguh atau sekadar bergurau denganku? Diakah lelaki pertama aku? Aku tidak perlu memikirkan lagi tentang lelaki pertama aku. Empat orang calon yang tidak menunjukkan perkembangan positif. Lupakan saja. Ah, aku perlu berpijak di bumi nyata. Ada jurang antara kami. Lelaki pertama hanyalah lakonan dalam drama swasta kat televisyen saja. Dalam alam nyata jauh panggang dari api.
“Siapa lelaki bertuah tu?” Sekali lagi Dr. Fadzreen mengusik aku.
“Lelaki mana pulak ni?” Balasku.
“Yang dalam fikiran U sekarang ni.”
“Dr. Fadzreen, dalam fikiran I sekarang ni ialah nasib seorang kaum perempuan. Macam I ni. Banyak keistimewaan yang Allah berikan kepada kaum wanita tapi nasib kami ….” Sengaja aku mematikan bicaraku apabila Dr. Fadzreen mengerutkan dahinya. Aku tahu dia tidak faham dengan apa yang cuba aku sampaikan.
“Kenapa? U tak suka ke dilahirkan sebagai seorang perempuan?”
“Bukan tak suka. Tapi dilahirkan sebagai perempuan banyak fasa yang perlu dilalui.”
“Maksud U?”
I kena kahwin. Lepas tu fasa kedua kena mengandung. Fasa ketiga kena bersalin. Fasa keempat kena menjaga dan membesarkan anak. Fasa kelima kena sekolahkan anak-anak. Fasa keenam….”
“Cukup….cukup…. berdosa U menyalahkan takdir.”
No..No… I tak menyalahkan takdir. I hanya berfikir.”
“Samalah tu.”
“Tak sama. Selepas I berfikir I dapat buat satu kesimpulan. Rupa-rupanya seorang wanita itu lebih hebat dari lelaki!”
“Maksud U?”
“Wanita yang mengandung boleh melakukan tugas yang sama seperti lelaki selama 9 bulan 10 hari. Cuti bersalin hanya 60 hari saja. Selepas melalui proses bersalin sama ada normal atau pembedahan, mereka boleh mula bekerja sama seperti sebelum mereka mengandung. Menakjubkan! Lelaki tak boleh buat camtu kan? Kan? Kan?.....”
“Betullah pengalaman dapat menyedar dan menginsafkan kita.” Dr.Fadzreen mengiyakan kata-kataku selepas mendengar penjelasanku yang agak panjang sebentar tadi.
“Sekarang I percaya kata-kata pujangga bahawa Syurga Itu Terletak Di bawah Telapak Kaki Ibu.” Aku masih lagi dibuai emosi.
U rasa kesal tak pihak atasan tempatkan U di Wad Bersalin?”
“Tak. Malah I seronok sangat. 3 tahun lagi I nak ikut jejak U jadi Doktor Pakar O&G.
“Macam tulah. Baru ada wawasan. Lagipun nanti U boleh praktikkan kat diri sendiri.”
U mean?”
“Masa tu mungkin U dah kahwin. Mungkin U dah pregnant atau mungkin U dah ada anak ke?”
 Kata-kata Dr. Fadzreen membuat aku terfikir siapakah lelaki yang akan menjadi suamiku. Kalaulah Dr. Fadzreen yang menjadi suamiku, alangkah indahnya dunia. Jika bukan Dr. Fadzreen, sekurang-kurangnya Dr. Danish, lagi meriah hidup aku. Kalau bukan kedua-dua mereka, siapakah lagi yang mengenali diri aku di muka bumi ini? Ah, malangnya nasib anak dara pinggiran seperti aku. Hari-hari menyambut kelahiran bayi orang tapi bayi sendiri tahun bila pun aku tak pasti. Bukan apa calon bapanya belum ada. Hmm.. nasib badan nak buat macam mana. Lelaki pertama pun aku tak dapat cari, ini nak fikir fasal suami pula.
Sepanjang perjalanan ke kafe, aku mendiamkan diri. Rasa malu mula bercampur baur dengan pelbagai perasaan membuatkan aku tidak berselera untuk memesan makanan. Akhirnya Dr. Fadzreen memesan mihun sup untuk aku. Tanpa membantah, aku terpaksa menjamah mihun sup di depanku. Dr. Fadzreen tenang menghabiskan nasi di pinggannya sambil sesekali merenungku. Itulah pertama kali aku makan berduaan dengan seorang lelaki dalam hidupku. Rasa seperti aku dan Dr. Fadzreen adalah pasangan yang bercinta pula.
Betulkah wujud lelaki pertama dalam hidup seseorang wanita? Kalau betul, biar Dr. Fadzreen saja yang menjadi lelaki pertama aku. Seronoknya jika fantasiku menjadi realiti. Tapi memang pun aku menyintai Dr. Fadzreen setengah mati. Aku mengulum senyum sambil menahan gelodak di jiwa. Ya, walau apa pun aku perlu mengisytiharkan Dr. Fadzreen lelaki pertama aku. Biar aku berterus terang dengannya.
Aku rasa dunia tidak akan kiamat kalau aku meluahkan perasaan kepadanya. Aku mesti berani. Kali ini aku akan mencari peluang. Aku masih ingat pesan orang tua-tua, jodoh tak akan datang kalau tidak dicari.
U jaga badan ke?” Soalnya memecah suasana. Terbang semula keberanian yang baru bertandang. Aku memandang tepat ke dalam anak mata Dr. Fadzreen. Lembut anak matanya merenungnya. Aku jadi malu sendiri. Akhirnya aku dapat mengawal perasaan. Aku menerangkan kepada Dr. Fadzreen bahawa aku memang jenis tak kuat makan. Lagipun aku jarang makan pada waktu malam.
“Kalau macam tu, esok I belanja U makan kat restoran. Boleh?” Pelawaan Dr. Fadzreen ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Mana mungkin aku lepaskan peluang keemasan ini. Yes, aku menjerit dalam hati. Tapi betulkah apa yang sedang aku dengar? Kalaulah aku bukan sedang bermimpi, nampaknya akulah orang yang paling gembira di dunia ini. Sah, Dr. Fadzreen adalah lelaki pertama aku.
“Boleh ke?” Kali ini suara Dr. Fadzreen berkumandang lagi di cuping telingaku.
Yes! Sekali lagi aku menjerit di dalam hati. Aku bukan bermimpi. Juga aku bukan sedang berangan. Pelawaan Dr. Fadzreen tidak akan aku tolak walaupun aku ragu-ragu dia sudah dimiliki kerana aku yakin seyakinnya dia lelaki pertama aku. Namun aku perlu jual mahal. Biar harga diriku tinggi mencecah awan.
“Tengoklah.” Jawabku sepatah.
Aku meninggalkan Dr. Fadzreen yang terpinga-pinga. Biarlah aku berpura-pura tidak setuju. Kalau betul dia bersungguh, dia akan mengulangi lagi pelawaannya. Aku tersenyum dalam hati.  Nampaknya aku tidak perlu menjadi perigi mencari timba. Rezeki datang bergolek. Kata orang rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari. Semuanya berlaku jua dalam hidupku. Ah, hari yang mengggembirakan. Pantas aku menuju ke dalam wad bersalin. Pertama kali hatiku berbunga keriangan. Mimpi jadi kenyataan!
Di dalam Wad Bersalin aku lihat Dr. Danish sedang memeriksa pesakit. Tekun sungguh dia bekerja. Tadi dalam Dewan Bedah di bangunan sebelah, kini sudah ada dalam Wad Bersalin. Dia tersenyum sebaik melihat kelibat aku.
“Nasib baik U sampai. I baru nak call U.
“Kenapa Doktor?”
U handle kes ni. Patient ni kena buat emergency operation. Ketubannya dah pecah. Airnya dah kurang takut baby lemas.”
“Kenapa tak induce saja Doktor?”
The problem is tali pusat baby dah belit lehernya. U kena keluarkan baby before two hours, boleh?”
“Ok! Doktor nak ke mana?”
I ada kes kat Dewan Bedah.” Jawab Dr. Danish sambil berlalu meninggalkan aku bersama pesakit itu. Aku meneliti report list pesakit tersebut. Umurnya 38 tahun. Anak kedua. Due date memang hari ini.  Aku mengarahkan staff nurse dan JM memasang drip kepada pesakit tersebut.
Aku pula segera menghubungi Bilik Bedah supaya mereka bersedia sementara pesakit dibawa ke sana. Oleh kerana pesakit baru lepas makan, maka aku memasukkan tiub kecil melalui lubang hidungnya. Selepas menjoloknya hingga ke dalam perutnya, aku segera mengepam keluar makanan yang baru dimakannya. Pesakit tersebut hampir termuntah apabila aku memasukkan tiub melalui hidungnya.
Seorang lagi staff nurse menukar baju pesakit tersebut dengan baju putih yang bertali di belakangnya. Kepalanya ditutupi dengan pembalut kepala berwarna putih. Dalam masa 20 minit pesakit tersebut telah pun disorong ke dalam Bilik Bedah. Cepat juga aku melaksanakan arahan Dr. Danish. Dr. Danish telah mengingatkan aku agar mengeluarkan bayi dalam masa dua jam kerana takut tali pusat akan menjerut leher bayi pesakit.
Di dalam Bilik Bedah, Dr. Hasbul sedang menanti aku. Dalam masa tiga bulan ini banyak kali juga Dr. Hasbul membantu aku ketika di dalam Bilik Bedah.
“Berapa pain U bawa darah tadi?’ Tanya Dr. Hasbul.
“2 pain. Kenapa?’
“Cukuplah tu.”
“Ok, Qis. Hari ni U buat sendiri. I tengok je. Kalau ada komplikasi baru I tolong. Boleh?”
“Boleh.” Jawabku penuh yakin.
Dr. Hasbul kemudian menyuruh aku menyuntik ubat bius di tulang belakang pesakit. Tanpa berlengah aku terus mengambil jarum yang telah diisi dengan ubat bius. Ubat bius itu sebenarnya telah ditentukan dosnya oleh Pakar Bius sebelum aku masuk tadi.  Inilah kali pertama aku melakukan pembedahan kepada pesakit sendirian dengan dibantu oleh staff nurse Bilik Bedah. Dr. Hasbul hanya memerhati saja tugas yang aku jalankan.
Apabila bayi berjaya dikeluarkan, aku menunjukkan bayi tersebut kepada ibunya. Ibunya hanya tersenyum. Aku kemudian menjahit semula abdomen pesakit.  Staff nurse menolong aku membersihkan bahagian yang telah dijahit. Aku kemudian melekatkan plaster sepanjang 6 inci di atas bahagian yang telah dijahit. Pesakit tersebut kemudian mula merasa kesakitan selepas ubat bius mula tidak berfungsi.
“Puan rasa sakit ke?”
“Ya.” Pesakit itu menjawab lemah.
Nurse, tolong bagi sebiji ubat tahan sakit pada patient ni.” Arahku.
Pesakit tersebut terus tertidur sebaik menelan ubat tahan sakit yang diberikan oleh jururawat. Aku pula segera masuk ke bilikku. Pagi ini saja aku mengendalikan dua pembedahan. Rasa penat yang amat sangat. Sememangnya bertugas di Wad Bersalin bagi mana-mana hospital kerajaan amatlah memenatkan. Setiap hari ada saja kes baru. Setiap hari juga pasti ada ibu yang akan bersalin. Kalau bersalin normal, tugasku tidaklah penat sangat, tapi kalau bersalin melalui pembedahan, kerja bertambah sikit.
Apa yang menyeronokkan bekerja di Wad Bersalin ialah melihat wajah bayi yang baru dilahirkan. Mendengar tangisan pertama setiap bayi yang baru keluar dari rahim ibu mereka ibarat mendengar nyanyian dari syurga. Wajah bayi-bayi yang baru dilahirkan pula sebersih kapas dan seputih kain yang belum ternoda. Menatap wajah mereka ibarat menatap wajah bidadari dari syurga. Tidak puas memandang tanpa mencuit pipi mongel mereka. Alangkah seronoknya kalau aku juga dapat menjadi ibu seperti mereka.
Namun semua itu hanyalah anganku belaka. Tiada sesiapa yang sudi mencurahkan perasaan kepadaku. Aku pun terlalu sukar untuk mencari jodohku walaupun lelaki pertama yang aku inginkan sentiasa berada di sampingku. Pelawaaan Dr. Fadzreen hanyalah pada hari itu saja dan dia tidak pernah mengulanginya selepas itu. Semua calon lelaki pertama aku digugurkan daripada senarai. Tiada langsung perkembangan positif. Biarlah sesiapapun selepas ini boleh menjadi lelaki pertama aku.