Photobucket

Friday, November 11, 2011

TARGET SOALAN KARANGAN BAHAGIAN A


KEPENTINGAN  MEMBACA MAJALAH ILMIAH

Memaparkan isu-isu terkini
Bahasa yang digunakan bahasa Melayu standard
Terdapat pelbagai bidang ilmu yang dimuatkan
Pengetahuan Tanpa Sempadan
Sebagai suber rujukan dalam penulisan esei
Melahirkan penulis kreatif














CONTOH JAWAPAN.....
Budaya membaca sering dikaitkan dengan frasa Membaca Jambatan Ilmu. Ungkapan Membaca Jambatan Ilmu membawa pengertian bahawa orang yang banyak membaca akan dapat menambah ilmu pengetahuan yang dapat digunakan dalam kehidupan seharian.Sehubungan itu, terdapat pelbagai bahan bacaan yang dijual di pasaran. Antaranya buku, novel, majalah dan komik. Buku-buku yang dijual pula terdiri daripada buku ilmiah dan bukan ilmiah. Begitu juga dengan majalah. Terdapat majalah ilmiah dan majalah hiburan. Umumnya remaja dan golongan pelajar lebih suka membaca majalah hiburan berbanding majalah ilmiah. Hal ini demikian kerana remaja dan pelajar tidak mengetahui kepentingan membaca majalah ilmiah. Oleh itu, terdapat beberapa kepentingan membaca majalah ilmiah selaras dengan merealisasikan budaya membaca di negara kita.

Kepentingan perdana membaca majalah ilmiah ialah kita dapat mengetahui isu-isu semasa yang berlaku di dalam dan di luar negara. Sebagai contoh, kita dapat mengetahui krisis ekonomi yang melanda dunia, banjir besar yang berlaku di Thailand, pergolakan politik yang berlaku di negara-negara Islam, kekejaman Israel terhadap orang Palestin dan lain-lain lagi. Selain itu, apabila membaca majalah ilmiah, seseorang pelajar juga dapat mengambil iktibar tentang sesuatu isu yang dibaca seterusnya dapat diaplikasikan dalam kehidupan. Majalah ilmiah seperti Dewan Siswa, Dewan Masyarakat dan Pelita Bahasa banyak memaparkan isu yang berkaitan gejala sosial yang semakin membarahi masyarakat hari ini. Sebagai contoh, isu-isu gejala pembuangan bayi, lumba haram, buli, gengsterisme dan lain-lain lagi dapat mendidik remaja agar menjaga maruah dan lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, membaca majalah ilmiah dapat membendung gejala sosial yang kian meruncing belakangan ini.

Kepentingan membaca majalah ilmiah yang seterusnya ialah kandungan majalah ilmiah memaparkan pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan mempunyai pelbagai bidang seperti bidang ekonomi, pertanian, keusahawan, sukan, dan lain-lain. Bidang ilmu yang pelbagai ini dapat menjana dan mengasah minda para pembaca untuk merealisasikan hasrat kerajaan mencapai Wawasan 2020 kelak kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Selain itu, kandungan dalam majalah ilmiah dapat membina keupayaan menulis para pelajar kerana terdapat esei-esei dan rencana-rencana yang boleh dijadikan panduan oleh pelajar. Sebagai contoh, pelajar boleh menggunakan penulisan jenis rencana dengan merujuk rencana yang terdapat dalam majalah ilmiah. Sebagai contoh, majalah Dewan Siswa banyak menyiarkan rencana tentang kepupusan haiwan dan habitat akibat penerokaan manusia yang tidak bertanggungjawab. Kemusnahan floran dan fauna akibat kerakusan nafsu manusia yang tiada batasan juga banyak disiarkan dalam majalah ilmiah. Justeru, majalah ilmiah sememangnya membantu pelajar dalam penulisan esei mereka dengan lebih mantap lagi kerana usaha tangga kejayaan.

Intihanya, para pelajar dan semua masyarakat perlu membaca majalah ilmiah kerana majalah ilmiah bukan sahaja memaparkan isu-isu semasa yang terkini tetapi juga mereka dapat memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu dengan betul. Hal ini demikian kerana majalah-majalah hiburan yang terdapat di negara kita lebih banyak menggunakan bahasa slanga dan bahasa ringkas. Gejala ini akan merosakkan mutu bahasa Melayu itu sendiri seperti Bahasa Jiwa Bangsa. Oleh itu, membaca majalah ilmu dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam pertuturan dan penulisan.


No comments:

Post a Comment