Sunday, November 17, 2013

KEINDAHAN BAHASA KETULUSAN BUDI

Pengalaman ini berlaku dalam hidup Cikgunie semasa menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Labuan pada petang hari Rabu 13 November 2013. 

Fizikal Cikgunie memang rendah berbanding adik beradik Cikgunie yang lain walaupun ayah Cikgunie keturunan India-Siam-Banjar. Oleh kerana Cikgunie rendah, maka Cikgunie tidak sampai tangan hendak meletakkan bagasi ke dalam ruang penyimpanan di atas tempat duduk Cikgunie.

Pramugari dan pramugara pula sibuk melayan penumpang-penumpang yang mempunyai anak kecil dan kanak-kanak. Terkial-kial Cikgunie hendak meletakkan bagasi tersebut. Orang Melayu dan orang tempatan yang sepaptutnya duduk di sebelah Cikgunie hanya memandang saja tanpa rasa ahu menghulurkan pertolongan. Pada masa itu Cikgunie mengambil keputusan untuk memanggil pramugara yang bertugas sahaja. 

Namun bila Cikgunie hendak memanggil salah seorang pramugara, tiba-tiba seorang pemuda Mat Salleh dalam lingkungan usia 20-an bangun dari tempat duduknya di belakang sekali berjalan menghampiri Cikgunie. 
Dengan ayat yang sopan, dia bertanya Cikgunie : 
"Excuse me. Can I help you?" 
Spontan Cikgunie menjawab : 
"Sure,,,Sure,,,Sure!!!! berkali-kali. 
Terkedu Cikgunie. Seorang warga asing yang keturunannya pernah menjajah negara kita sanggup datang dari tempat duduk paling belakang ke tempat Cikgunie (tengah) semata-mata meminta izin untuk menghulurkan bantuan. Pada hal seorang warganegara Malaysia yang bercakap dalam Bahasa Melayu yang lebih kurang sebaya Cikgunie yang duduk hampir bersebelahan Cikgunie hanya memandang saja Cikgunie yang terkial-kial hendak meletakkan bagasi di atas tempat penyimpanan barang.

Peristiwa itu membuat Cikgunie terfikir kita tidak boleh menyalahkan keturunan seseorang kerana kesalahan yang dilakukan oleh keturunannya terhadap kita. Bukan Cikgunie tidak patriotik tapi Cikgunie memandang dari nilai kemanusiaan. Kadang kala Cikgunie terfikir, ke manakah hilangnya nilai kemanusiaan dalam masyarakat di negara kita?

INDAH BUDI INDAH BAHASA

KEPINTARAN PERSONAL  
MENGAWAL EMOSI DALAM MASYARAKAT MELAYU
 
Orang Melayu menyedari setiap manusia memiliki kebolehan dan kepintaran yang tersendiri. Hal ini dibayangkan dalam peribahasa Melayu yang berbunyi: 
 
Kuat burung kerana sayap, kuat ketam kerana sepit
( Setiap orang mempunyai kekuatan sendiri)

Dalam pantun Melayu juga ada menyatakan:
                          Anak Melayu belayar pagi,
                          Nampak angin menentang pelangi,
                          Bunga layu jangan dikeji,
                          Sungguh layu baunya wangi. 

Bagaimana pun di samping segala kelebihan dan keistimewaan, manusia juga mempunyai kelemahan dan kekurangan:
                           Tiada gading yang tidak retak
                           (Tidak ada yang sempurna)

Penyedaran segala sifat kelebihan dan kekurangan ini berkait rapat dengan kebolehan emosi dalam berhadapan dengan cabaran dalam kehidupannya. Ada kalanya kita bahagia kerana mendapat apa yang diinginkan, adakalanya kita kecewa, sedih dan marah kerana gagal dalam mengejar apa yang dingini. Namun begitu, kita PERLU menginsafi bahawa di dunia ini ada masa menang ada masa kalah.
 
Ibarat mudik menyongsong arus, hilir menyongsong pasang       (Menghadapi banyak rintangan tetapi terus berusaha)

Friday, November 15, 2013

Thursday, November 14, 2013

HOMESTAY DI SERI ISKANDAR, PERAK DARUL RIDZUAN

LOKASI HOMESTAY

NO 4, JALAN U 24,
BANDAR UNIVERSITI SERI ISKANDAR,
32610 SERI ISKANDAR,
PERAK DARUL RIDZUAN.


PAGAR HADAPAN RUMAH @ HOMESTAY
VIEW POCH HADAPAN RUMAH
VIEW HADAPAN RUMAH @ HOMESTAY















KEMUDAHAN ROSE HOMESTAY

RUANG TAMU DI TINGKAT BAWAH
TANGGA

MASTER BEDROOM

AIRCOND DI DALAM MASTER BEDROOM
BILIK TIDUR KEDUA

BILIK TIDUR KETIGA


SEKIRANYA PEMBACA BLOG CIKGUNIE INGIN MENGHADIRI EVENT ATAU KONVOKESYEN DI UNIVERSITI TEKNOLOGI PETRONAS (UTP) ATAU UITM SERI ISKANDAR, 

HUBUNGI CIKGUNIE DI TALIAN 
013-5136223 ATAU 013-3375223 

KADAR BAYARAN:
 
SATU RUMAH RM200 SEHARI SEMALAM

BILIK SAHAJA, MASTER BEDROOM RM100 SEMALAM

BILIK KEDUA DAN KETIGA RM80 SEMALAM.

DAPUR DAN PERALATAN MEMASAK JUGA DISEDIAKAN.

Wednesday, November 6, 2013

AkU GuRu BaHaSa MeLaYu

Hari ini paling gembira buat Cikgunie.
Cikgunie hanyalah seorang guru Bahasa Melayu yang biasa-biasa.
Cikgunie bukan Guru Cemerlang Bahasa Melayu.
Cikgunie bukan seorang Jurulatih Utama mata pelajaran Bahasa Melayu.
Cikgunie juga bukan penggubal soalan Bahasa Melayu.
Namun naluri Cikgunie sebagai seorang guru Bahasa Melayu dapat menerka karektor soalan-soalan Bahasa Melayu.
Walaupun bukan 100% tepat seperti soalan sebenar, namun sipi-sipi atau 90% tepat amat membanggakan Cikgunie
3 karangan ramalan yang Cikgunie tulis dalam blog Cikgunie keluar dalam soalan SPM hari ini.
  • Kepentingan menjaga tempat bersejarah bahagian A naik dalam karangan ransangan yang berbunyi 
  • KEPENTINGAN MENJAGA DAN MEMULIHARA BANGUNAN BERSEJARAH.
  • Contoh karangan jenis rencana KESAN BURUK PENGAMBILAN MAKANAN SEGERA (lihat post pada 17 Oktober 2013) naik dalam karangan bahagian B soalan nombor 2 yang berbunyi USAHA IBU BAPA MENGURANGKAN PENGAMBILAN MAKANAN SEGERA DALAM KALANGAN ANAK-ANAK.
  • Contoh karangan tentang usaha menerapkan nilai murni dalam kalangan pelajar naik dalam karangan bahagian B soalan nombor 1 yang berbunyi USAHA MELAHIRKAN AKHLAK TERPUJI DALAM KALANGAN PELAJAR.
Hal ini berlaku kerana  
AkU GuRu BaHaSa MeLaYu

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM 2013

Hari ini 6 NOVEMBER 2013 ialah hari bersejarah kepada semua calon yang akan menduduki peperiksaan SPM. B.Melayu Kertas 1 akan bermula jam 8.10 pagi ini.

Cikgunie mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua calon SPM 2013. Bahan yang disediakan di blog ini diharap dapat membantu calon menguasai kemahiran menulis. 

Soalan ramalan sekadar mengasah bakat membaca dan menulis calon SPM sahaja. Tips dan teknik menulis telah cikgunie beri dengan ikhlas hati agar dapat membantu semua calon SPM yang mengunjungi blog cikgunie menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang. 

Akhir kata SELAMAT BERJUANG di dalam Dewan Peperiksaan.

Monday, November 4, 2013

SALAM MAAL HIJRAH 1435 HIJRIE

DOA AWAL TAHUN
Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam 1 Muharram 1434H (Hari Rabu malam Khamis).
Barang siapa membaca doa ini sebanyak 3 kali selepas solat rowatib ba’diyyah Maghrib pada malam tanggal 1 Muharram, Allah akan memerintahkan 2 malaikat untuk melindunginya daripada fitnah dan tipu daya syaitan selama setahun yang mendatang.































Maksudnya:
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.
Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

SALAM MAAL HIJRAH 1435 HIJRIE

DOA AKHIR TAHUN
































Maksudnya:
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.
Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

SOALAN RAMALAN KERTAS 1 B.MELAYU SPM 2013

AMALAN NILAI MURNI

GURINDAM TONGGAK DUA BELAS

Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.
Masa yang ada hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya dan jangan membazirkan masa.


Ketekunan akan membawa kejayaan,
Kegigihan bekerja dengan keupayaan.
Kejayaan akan dikecapi jika kita berusaha dengan tekun dan gigih.


Wajah ceria keseronokan bekerja,
Usah berduka bermuram durja.
Apabila kita seronok bekerja, hidup kita akan lebih gembira.


Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
Bertindak dengan penuh kebijaksanaan.
Kesederhanaan dituntut dalam kehidupan dan semua tindakan perlu dilakukan dengan bijaksana.


Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.
Peribadi unggul dan kejujuran hati.perlu diterapkan dalam kehidupan .


Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbang rasa dan bersimpati.
Sifat baik hati, bertimbang rasa dan bersimpati jadikan amalan.


Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
Baik buruk jadikan sempadan.
Pemimpin yang baik menjadi ikutan.


Menjadi kewajipan menjalan tugas,
Walaupun sederhana tetapi tegas.
Tanggungjawab yang diamanahkan perlu dilaksanakan dengan sempurna.


Kebijaksanaan berhemat perlu diutama,
Tidak membazir teliti saksama.
Pembaziran perlu dielakkan dalam melaksanakan sesuatu kerja.


Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.
Kesabaran dan ketenangan fikiran perlu dalam menghadapi sebarang situasi.


Peningkatan bakat diberi sokongan,
Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.
Kebolehan diri yang ada perlu ditonjolkan sebagai motivasi.


Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.
Pemikiran kreatif dapat menjana idea yang lebih inovatif.
 CARA MEMUPUK NILAI MURNI DALAM KALANGAN PELAJAR

Penerapan nilai mendefinisikan nilai sebagai peraturan perlakuan standard yang menjadi pegangan ahli masyarakat, ditentukan oleh masyarakat mengikut budaya masyarakat tersebut . Tujuan penerapan nilai adalah untuk mempengaruhi diri individu dengan nilai tertentu yang berbentuk universal dan mutlak, yang difikirkan baik dan sesuai.Nilai murni boleh ditakrifkan sebagai amalan yang baik dalam kehidupan, umpamanya hormat-menghormati, tolong-menolong, prihatin, bersimpati, berperikemanusian dan lain-lain lagi.  Namun, pada era dunia tanpa sempadan ini, amalan murni ini semakin lenyap ditelan zaman.  Persoalan yang menjadi percaturan minda adalah apakah prakarsa istiqamah yang boleh dijana untuk menjamin amalan suci ini terus diamalkan?
Dalam sesebuah masyarakat, nilai murni amat perlu diterapkan bagi mewujudkan suasana yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Usaha penerapan nilai murni ini perlu dilakukan pada peringkat awal proses sosialisasi, iaitu semasa individu itu berada pada peringkat persekolahan, selain penerapan nilai yang diterapkan oleh ibu bapa di rumah. Obligasi untuk memupuk nilai-nilai murni ini tidak harus dipandang enteng oleh setiap ibu bapa dan haruslah dijulang sampai ke langit.  Ibu bapa harus mendidik amalan ini sejak anak-anak dalam kandungan lagi, bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya.  Hal ini kerana secara analoginya, kanak-kanak diibaratkan kain putih dan ibu bapa yang akan mencorakkan warna warni kehidupan anak-anak mereka.  Misalnya, ibu bapa harus menerapkan ajaran agama yang mantap dalam atma anak-anak dengan membawa mereka untuk mendekati Tuhan seperti dengan bersembahyang dan mengikut anutan agama masing-masing.  Selain itu, mereka haruslah mengajar anak-anak untuk menghormati orang tua dan menyayangi haiwan.  Mereka mestilah  memberi amaran kepada kanak-kanak supaya tidak bersikap biadab terhadap sesiapa sahaja apatah lagi ahli keluarga sendiri.  Malah, mereka harus mendidik kanak-kanak secara ti9dak formal di rumah tentang cara bercakap dengan orang tua dan tingkah laku semasa berada di rumah orang.  Apabila selalu terdedah kepada pengajaran sedemikian, kanak-kanak boleh membezakan antara intan dengan kaca dan antara batu dengan permata. Dalam konteks ini, ibu bapa juga haruslah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak dengan bersikap sopan santun kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Peranan pihak sekolah pula ialah memberi pendidikan secara formal kepada anak-anak yang mula membesar.  Di sekolah, sejak di tadika hingga ke peringkat menengah atas, setiap anak-anak akan diasuh dan diterapkan nilai-nilai murni dalam setiap kandungan mata pelajaran. Pengajaran dan pembelajaran di dalam kel;as akan mengaitkan anak-anak dengan amalan nilai-nilai murni. Nilai murni seperti tolak ansur dan kerjasam sangat penting dipupuk semasa aktiviti sukan dan permainan dalam aktiviti kokurikulum. Sementelahan itu, peranan pendidikan formal dalam memupuk nilai-nilai murni dalam sukma kanak-kanak tidak harus kita pinggirkan.  Amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan misalnya nilai bertanggungjawab, rasional, kepercayaan kepada Tuhan, amanah, toleransi, berhemah tinggi, kesederhanaan, kasih sayang, menyayangi dan menghargai alam sektiar, hidup bersama secara aman, mematuhi peraturan dan undang-undang wajar diterapkan dalam subjek Pendidikan Moral,  Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan, serta Pendidikan Agama Islam.  Kendatipun, untuk mencapai misi yang komprehensif dan konkrit, nilai-nilai murni haruslah diamalkan secara berkesan.  Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah boleh menganjurkan Hari Kokurikulum dan memberi anugerah Pelajar Sahsiah Unggul kepada pelajar yang bersikap sopan santun, menghormati guru-guru dan berhemah tinggi sepanjang  program supaya boleh menjadi suri teladan kepada pelajar lain.  Tambahan pula, para pendidik  harus mementingkan amalan nilai murni dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan mengajar murid-murid terutama pelajar sekolah rendah tentang adab sopan ketika berada di dalam kelas, adab sopan ketika berkomunikasi dengan guru dan rakan.  Hal ini demikian kerana misi pendidikan negara kita bukan sahaja untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum, malah juga untuk melahirkan modal insan yang mengamalkan nilai-nilai murni, bermoral dan bertatasusila, sejajar dengan prinsip kelima Rukun Negara, yakni Kesopanan dan Kesusilaan.  Deduksinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pendidikan merupakan senjata yang dominan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak sejak di bangku sekolah. 

Peranan kerajaan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar bukanlah tugas mudah. Sehubungan itu, kerajaan sewajarnya memandang serius masalah yang berkaitan sahsiah kanak-kanak bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.  Pihak kerajaan sepatutnya bersendel bahu dengan pihak media massa dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Astro, Persatuan Karyawan Malaysia dan lain-lain lagi untuk menggerakkan kempen Budi Bahasa Budaya kita secara menyeluruh di tanah air kita kerana bersatu teguh bercerai roboh. Barangkali, kempen yang dianjurkan oleh kerajaan tidak berkesan kerana tidak disokong oleh banyak pihak, termasuklah syarikat-syarikat swasta yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Buktinya, kempen Kami Prihatin gagal mengurangkan “kemelut sosial” yang semakin berleluasa dalam masyarakat kita, iaitu isu pembuangan bayi.  Justeru itu, kempen Budi Bahasa Budaya Kita hanya akan berjaya sekiranya semua pihak melibatkan diri dalam pelaksanaannya. Dalam pada itu, kempen ini perlu disempurnakan di peringkat awal persekolahan, iaitu di peringkat tadika untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.  Ceramah, pertandingan menulis esei, melukis poster, pertandingan syarahan, pertandingan kuiz dan sebagainya boleh dilaksanakan sempena kempen ini.  Oleh itu, kerajaan perlu menggmbleng tenaga mengerah semua pihak bergerak sederap bagi menjamin nilai-nilai murni ini diterapkan dalam kalangan pelajar untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera.

Di samping itu, peranan media massa, sama ada media cetak dan media elektronik amat dominan dalam usaha memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa kanak-kanak.  Berdasarkan penyelidikan, dipercayai bahawa kecanggihan teknologi media seperti televisyen, radio dan internet serta akhbar arus perdana mampu mempengaruhi akhlak kanak-kanak kerana kanak-kanak pada era moden ini sememangnya sudah celik teknologi maklumat.  Mereka akan  tergila-gila kepada media baharu.  Oleh hal yang demikian, pihak media massa bolehlah mengambil kesempatan ini untuk menyiarkan iklan, dokumentari, drama dan paling penting, siaran kartun yang semestinya menjadi kegemaran kanak-kanak. Misalnya, iklan tentang seorang kanak-kanak yang memberi tempat duduk kepada orang tua di dalam komuter yang kerap disiarkan di TV3 dan iklan kanak-kanak membantu seorang wanita tua mengangkat barang amat berkesan kepada penonton.  Malahan, drama-drama seperti “Precious Babies”, “Three Pads”, “One Mom”, “Hwang Jin Yi”, “Next Stop, Happiness” dan lain-lain lagi mengandungi  babak-babak yang menonjolkan kepentingan nilai-nilai murni yang boleh dipelajari dan seterusnya diamalkan oleh kanak-kanak dalam kehidupan seharian. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, bahawa media massa merupakan wadah yang paling sesuai untuk memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari kanak-kanak. 

Akhirulkalam, yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Tanpa usaha ibu bapa mendidik dan mengasuh anak-anak dengan nilai-nilai murni sejak kecil, pihak sekolah akan menghadapi kesukaran untuk membentuk peribadi yang unggul dalam jiwa anak-anak. Apatah lagi pihak kerjaan, sangat sukar membentuk tulang yang semakin keras dan buluh yang sudah membengkok. Bukan menuding jari menyalahkan sesiapa, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah dan peribadi anak-anak. Oleh itu, usaha semua pihak dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam jiwa anak-anak agar generasi masa hadapan akan mempunyai kesantunan budi dan kesopanan raga mencapai Wawasan 2020.

 



Sunday, November 3, 2013

Semoga Berjaya Kepada Calon SPM 2013

Esok 4 November. 
Lusa 5 November. 
Tulat 6 November.
6 November tarikh keramat untuk calon SPM 2013.
Kertas B.Melayu 1 dan Kertas B.Melayu 2.
Tips untuk lulus dan cemerlang dalam kertas B.Melayu ialah jawab soalan Karangan Bahagian A melebihi 350 patah perkataan dan tulis jawapan Bahagian B melebihi 500 patah perkataan. Semakin banyak anda menulis, peluang untuk cemerlang semakin tinggi.
Akhir kata, tulislah sepanjang masa 2 jam 15 minit yang diperuntukkan kepada anda kerana MASA ITU EMAS. Selagi pengawas peperiksaan tidak mengarahkan anda berhenti menulis, tulislah hingga ke titisan dakwat yang terakhir. Tiada kejayaan tanpa usaha kerana Usaha tangga kejayaan.

SOALAN RAMALAN KERTAS 1 B.MELAYU SPM

PECUTAN TERAKHIR BAHAGIAN B
Soalan 1.
  • Usaha-usaha melahirkan pelajar yang mempunyai nilai-nilai murni.
  • Usaha-usaha melahirkan pelajar cemerlang.
  • Usaha-usaha mengharumkan nama sekolah.
  • Cara-cara menggunakan laman sosial ke arah kebaikan.
  • Cara-cara memupuk semangat perpaduan.
  • Cara-cara mewujudkan semangat kejiranan.
  • Cara-cara mengamalkan amalan berjimat-cermat.

SOALAN RAMALAN B.MELAYU SPM 2013

Pecutan Terakhir Belajar Teknik Menulis Karangan Bahagian A

Ø Lihat gambar yang diberi dengan teliti.
Ø Baca arahan untuk mengetahui kehendak soalan.
Ø Kalau arahan meminta calon menjawab kepentingan sesuatu tema yang diberikan,
Ø huraikan semua kebaikan tema berdasarkan isi di bawah setiap gambar yang diberikan.
Ø Kalau arahan meminta calon menulis, kesan sesuatu tema,
Ø Huraikan semua akibat tema berdasarkan isi yang diberikan.
Ø Calon wajib menulis 5 perenggan mengikut pembahagian seperti berikut:
Ø Pendahuluan
Ø Isi 1
Ø Isi 2
Ø Isi 3
Ø Penutup dan kesimpulan.
Ø Mulakan pendahuluan tentang tema atau tajuk yang dikemukakan dalam arahan soalan.
Ø Contoh :
KEPENTINGAN MENJAGA TEMPAT BERSEJARAH


Memperkenalkan negara kepada pelancong asing

Keunikan senibina masyarakat Minang

Mengkaji Masyarakat terawal yang mendiami sesuatu tempat

Warisan Dunia UNESCO

KEPENTINGAN MENJAGA TEMPAT BERSEJARAH




Sejarah ialah satu kajian yang  menceritakan satu kitaran jatuh bangunnya seseorang tokoh, masyarakat dan peradaban.  Mengikut definisi yang diberikan oleh Aristotle, Sejarah merupakan satu sistem yang mengira kejadian semulajadi dan tersusun dalam bentuk kronologi. Pada masa yang sama, menurut beliau juga Sejarah adalah peristiwa-peristiwa masa lalu yang mempunyai catatan, rekod-rekod atau bukti-bukti yang kukuh.Tempat bersejarah merupakan warisan sesebuah Negara. Bandaraya Melaka telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO. Hal ini demikian kerana, Bandaraya Melaka merupakan salah sebuah tempat bersejarah yang terkenal di negara kita. Terdapat beberapa tempat bersejarah di negara kita seperti Pasir Salak, Muzium  Lenggong dan Bukit Belanda di Perak, Lembah Bujang di Merbok,  Kedah, Bukit Melawati di Kuala Selangor dan Istana Menanti di Negeri Sembilan. Tempat bersejarah ini sering dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat pada musim cuti sekolah. Oleh itu terdapat beberapa kepentingan tempat bersejarah ini wajar dipelihara.

Antara kepentingan menjaga tempat bersejarah di Negara kita ialah kita dapat memperkenalkan tempat-tempat bersejarah di Negara kita sebagai tempat pelancongan. Pelancongan merupakan satu industry yang berkembang pesat di seluruh dunia. Setiap Negara mempunyai produk pelancongannya yang tersendiri. Salah satu produk pelancongan yang dapat menarik pelancong asing datang melancong ke negara kita ialah tempat bersejarah. Tempat bersejarah dapat menarik minat pelancong dalam dan luar negara untuk mengunjunginya. Hal ini demikian kerana, kita akan tertarik untuk mengetahui apakah tinggalan-tinggalan sejarah yang ditinggalkan oleh masyarakat yang pernah mendiami kawasan tersebut. Mutiara kata ada menyebut, tiada yang lama maka tiada yang baru. Tempat-tempat bersejarah merupakan tarikan pelancong untuk mengunjunginya seperti Kota A’Famosa di Melaka dan Muzium Lenggong di Perak. Di Muzium Lenggong contohnya, kita dapat melihat “Perak Man”, iaitu manusia terawal yang ditemui mendiami Tanah Melayu. Oleh itu, wajarlah tempat bersejarah di negara kita dijaga dan dipulihara untuk menarik lebih ramai pelancong mengunjunginya.

Selain itu, tempat bersejarah wajar dijaga adalah supaya masyarakat dapat mengetahui keunikan senibina masyarakat pada zaman silam. Istana Menanti di Negeri Sembilan misalnya, mempamerkan keunikan senibina yang tiada tolok bandingnya. Pembinaan istana ini menggunakan kayu jati yang tinggi mutunya dan tidak menggunakan sebatang paku pun. Reka bentuk dan sennibina istana ini jelas menggambarkan bahawa telah ada hubungan masyarakat nusantara antara pendudk Tanah Melayu dengan masyarakat Minang di Palembang. Hubungan serumpun masyarakat Melayu pada suatu masa dahulu menunjukkan bahawa tanah Melayu merupakan pusat perdagangan entrepot yang maju di mana Kota Melaka adalah laluan utama yang menghubungkan masyarakat Timur dan Barat. Oleh itu, melalui tempat bersejarah ini, generasi masa kini dapat mengenali budaya dan senibina yang pernah bertapak di Tanah Melayu.


Menurut R. G. Collingwood, Sejarah ialah sejenis bentuk penyelidikan atau suatu penyiasatan tentang perkara-perkara yang telah dilakukan oleh manusia pada masa lampau. Manakala Shefer pula berpendapat bahawa Sejarah adalah peristiwa yang telah lepas dan benar-benar berlaku. Oleh itu, kepentingan menjaga tempat bersejarah adalah untuk menyelidik tentang masyarakat terawal yang mendiami sesuatu kawasan. Hal ini demikian kerana sejarah ialah masa lampau manusia dan persekitarannya  yang disusun secara ilmiah dan lengkap meliputi urutan fakta masa tersebut. Tafsiran dan penjelasan tentang sesuatu monumen yang terdapat di kawasan bersejarah memberi pengertian dan kefahaman tentang apa yang berlaku. Sejarah dalam erti kata lain digunakan untuk mengetahui masa lampau berdasarkan fakta-fakta dan bukti-bukti yang sahih bagi membolehkan manusia memperkayakan pengetahuan supaya waktu sekarang dan akan datang menjadi lebih cerah. Dengan itu akan timbul sikap waspada dalam diri semua kelompok masyarakat kerana melalui pembelajaran Sejarah, ia dapat membentuk sikap tersebut terhadap permasalahan yang dihadapi agar peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa lampau dapat dijadikan pengajaran yang berguna. Justeru, kita dapat mengenali tamadun awal manusia berdasarkan artifak dan monumen yang ditinggalkan di sesebuah kawasan.


Kesimpulannya, tempat bersejarah wajar dijaga kerana kepentingannya tidak dapat dinafikan. Apabila UNESCO mengisytiharkan Bandaraya Melaka sebagai salah satu tapak warisan dunia, ramai pelancong asing dating mengunjungi Negara kita semata-mata untuk melihat sendiri tempat bersejarah tersebut. Selain itu, menjaga dan memulihara tempat bersejarah di Negara kita adalah tanggungjawab semua pihak dan semua warganegara. Melalui sejarah kita belajar mengenali suku kaum dan bangsa yang mula-mula mendiami Negara ini. Melalui sejarah juga kita mengenali asal usul bahasa Melayu. Oleh itu, sama-samalah kita menjaga dan memulihara tempat-tempat bersejarah di Negara kita.