Sunday, January 30, 2011

LATIH TUBI TATABAHASA

Soalan3: Pengetahuan dan KemahiranTatabahasa
[30 markah]

Jawab semua soalan.

(a)          Tuliskan satu ayat bagi tiap-tiap pasangan kata di bawah  supaya jelas menunjukkan anda faham akan maksudnya. Anda tidak boleh menambah imbuhan, menukar imbuhan, menggunakan perkataan sebagai peribahasa dan nama khas.

(i)            Merawat         -  melawat
(ii)          Memangkah -   melangkah
(iii)         Mengetam     -   mengepam
(iv)         Mengecat      -  mengecap
Contoh jawapan
1.    Kami mengecat bangunan sekolah beramai-ramai.
2.    Saya bersyukur dapat mengecap nikmat kejayaan dalam hidup ini.
   [6 markah]

(b)          Tukar ayat pasif di bawah kepada ayat aktif tanpa mengubah maksud asalnya.

(i)            Beberapa daerah di Sabah akan dimajukan sebagai kawasan pertanian oleh kerajaan negeri.
(ii)          Daun-daun kering itu sedang disapu oleh beberapa orang pekerja Perbadanan Labuan.
(iii)         Kolokium Peradaban Timur Laut anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada minggu depan akan kami sertai.
(iv)         Secara gotong royong kawasan tanah perkuburan itu dipagar oleh kami.
Contoh jawapan:
Kami memagar kawasan tanah perkuburan itu secara gotong-royong.
  [6 markah]

(c )       Dalam ayat-ayat di bawah terdapat satu  kesalahan ejaan dan satu kesalahan  imbuhan. Kenal pasti kesalahan-kesalahan tersebut dan betulkannya. Anda tidak perlu menyalin ayat-ayat itu semula.

(i)            Surat-surat khabar bersusun oleh ayah dengan rapi dalam setor.
(ii)          Unsur-unsur anti virus dalam madu telah terbukti dapat menyembuhi beberapa jenis penyakit.
(iii)         Aktiviti gotong-royong dapat mempereratkan hubungan antara kaum di Negara kita melalui pengamalan nilai kerja sama.
(iv)         Buku yang setebal itu habis saya baca dalam tempuh beberapa hari saja.
Contoh jawapan:
Buku yang tebal itu habis saya baca dalam tempoh beberapa hari saja.               [6 markah]

(d)       Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu  dan betulkannya. Anda tidak perlu menyalin ayat-ayat itu semula.

(i)            Dalam usaha menghasilkan perpaduan kaum di Negara ini, kita mestilah saling bantu-membantu.
(ii)          Penduduk meminta daripada pihak yang berkenaan supaya mengambil langkah perlu un tuk memastikan terhentinya bekalan elektrik tidak berulang.
(iii)         Pihak jJabatan Alam Sekitar (JAS) telah memerintahkan amaran keras pada para pengusaha lading bahawa mereka aakan didakwa jika melakukan pembakaran terbuka.
(iv)         Amalan dan selera hidup sihat memainkan peranan penting dalam mencorakkan masyarakat yang maju dan bebas dari serangan penyakit.
Contoh jawapan(iv):
Amalan dan cara hidup sihat merupakan faktor penting dalam mewujudkan masyarakat yang maju dan bebas daripada serangan penyakit.[6markah]

(e)       Lengkapkan tempat kosong dengan simpulan bahasa yang paling sesuai.

(i)            Ameera sangat disayangi oleh kedua ibu bapanya kerana dia merupakan ___________________ dalam keluarganya.
(ii)          Setiap ibu bapa perlu memberi _______________ kepada anak-anak mereka agar anak-anak mereka menjadi orang berguna.
(iii)         Amri menerima keputusan itu dengan ______________ kerana dia akur dengan keputusan hakim.
Contoh jawapan:
(iv)         Ali tidak pandai bermain bola sepak kerana dia kaki bangku.  [6 markah]






DOKTOR YANG PERNAH MERAWAT CIKGUNIE

KOLONEL DR. MOHD RAZIN BIN KAMARUZZAMAN

Thursday, January 27, 2011

Soalan BM Kertas 2 SPM 2011 (ramalan cikgunie)

............................................Soalan 1 : Rumusan
...................................................30 markah ]

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang langkah-langkah kerajaan meringankan beban rakyat dan kesan-kesan pemulihan ekonomi kepada rakyat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

............Usaha membasmi kemiskinan tegar menjadi agenda utama kerajaan menjelang 2010. Bagi meringankan beban rakyat, usaha diambil dengan memperuntukkan RM214 juta bagi pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk tujuan pembasmian kemiskinan. Langkah ini juga akan memastikan agenda masyarakat penyayang terus diamalkan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

............Kerajaan telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi pertama bagi meringankan beban rakyat khusus untuk meningkatkan pemilikan rumah oleh rakyat. Bagi merangsang sektor perumahan, kerajaan mencadangkan supaya pembeli diberi pelepasan cukai atas faedah pinjaman. Kerajaan juga telah membantu rakyat dengan menambah baik infrastruktur awam. Dalam hal ini, kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta untuk menambah baik infrastruktur yang rosak serta menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian, menyelenggara dan membaik pulih pelbagai kemudahan dan prasarana awam. Bon Simpanan Kerajaan telah diterbitkan untuk menjanakan pendapatan rakyat. Bon ini bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk memperoleh pendapatan tambahan. Bon ini dibuka kepada setiap rakyat berusia 21 tahun ke atas dengan nilai minimum pelaburan sebanyak RM1,000.

............Selain itu, kerajaan telah menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar seperti bekalan elektrik dan air terutama di Sabah dan Sarawak. Usaha ini diharap dapat meningkatkan ekonomi rakyat melalui pengambilan kontraktor kecil dan pekerja tempatan di kawasan luar bandar. Kerajaan juga memperkenalkan pelbagai program dan projek untuk meningkatkan ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak seperti pembesaran Lapangan Terbang Sibu, Sarawak dan Projek Sistem Penghantaran Elektrik Kota Kinabalu, Sabah. Program mikrokredit tanpa cagaran disediakan oleh pelbagai pihak seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, AgroBank dan TEKUN untuk membantu peniaga kecil di bandar dan luar bandar.

Kaedah lain yang dilaksanakan adalah dengan memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik seperti warga emas, golongan kurang upaya dan ibu tunggal. Bantuan yang diberikan adalah seperti program jaringan keselamatan sosial, bantuan kewangan dan bilangan tenaga kerja, meningkatkan kemudahan pusat penjagaan warga tua, memantapkan pengurusan rumah perlindungan wanita dan menambahkan kemudahan pusat asuhan kanak-kanak. Bagi mengurangkan tanggungan orang ramai, kerajaan mengambil langkah pengecualian cukai yang diberikan atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan. Langkah ini diambil bertujuan untuk menjaga kebajikan pekerja yang diberhentikan. Di samping itu, kerajaan menggalakkan pihak bank untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan.

............Kesimpulannya, usaha yang dirangka oleh kerajaan dapat dilaksanakan secara komprehensif dan menyeluruh untuk menghindarkan ekonomi negara terjerumus dalam kancah kemelesetan. Justeru, rakyat tidak perlu lagi menanggung beban akibat kemelesetan ekonomi sekiranya landasan kukuh yang telah disediakan oleh kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak yang terlibat.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana ‚‛Pakej RM60b Perkukuh Ekonomi Negara Hadapi Kegawatan Global’,Berita Harian, 11 Mac 2009)

............................................Soalan 2 : Pemahaman
.....................................................[ 35 markah ]

..........................................Soalan 2 (a) : Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)         Apakah maksud rangkai kata membasmi kemiskinan tegar?
  [2 markah]

(ii)        Bagaimanakah peruntukan tambahan yang disediakan oleh kerajaan 
dibelanjakan? [3 markah]                                                       

(iii)       Nyatakan empat cara rakyat dapat menangani krisis ekonomi 
negara. [4 markah]
                                                              ...........................................


Soalan  2 (b) : Petikan Prosa Moden

Baca petikan drama di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

IMAM              :  Begini, Umi! Kami datang ni ada hajat sebenarnya.
MAK UMI       :  Berhajat benar nampak gaya datangnya ni! Jangan besar 
                        sampai tak terpeluk, berat sampai tak terjinjit udah le!
SIAK               : Tidak besar dan tidak juga berat, tapi sangat penting. 
MAK UMI       :  Penting? Untuk kamu atau untuk aku? Tak reti aku dengan
                        teka-teki imam.
IMAM              : Untuk orang muda kampong ni! Dan ini bukan teka-teki, Umi.
                        Ini soal masa depan anak muda kita.
SIAK               : Kamu jangan marah atau syak wasangka buruk pulak pada
                        kami ni, Umi. Ini tanggungjawab kami sebenarnya.
MAK UMI       : Usahlah berlapis berkias lagi, Siak! Aku ni dah tua, bukan
                       Macam dua puluh tahun dulu! Cuba katakana apa ceritanya?
                        Apa halnya yang menghantar kamu ke mari ni?
IMAM              :Tuk Wali masih mengajar silat lagi, Umi?
MAK UMI       : Mengajar? Kenapa?
SIAK               : Mengajar silat untuk orang muda, memang elok, Umi!
MAK UMI       :  Ada ke yang tak eloknya?
SIAK               : Yang tak eloknya yang dah tua macam kita ni pun masih
                         bersilat juga di gelanggang. Bersepak terajang, kadangkala tu
                         sampai bergumpal-gumpal. Tak manis ditengok orang.
MAK UMI       :   Maksud Imam, Tuk Wali? Dia dijemput main silat di majlis
                         kahwin tu salah? Mazhab baru ke ni?

(Dipetik daripada drama ‘Gelanggang Tuk Wali ’oleh Ismail Kassan dalam
antologi Harga Remaja,,Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i)         Apakah tujuan kedatangan Imam dan Siak ke rumah Tuk Wali?
 [3 markah]


(ii)        Pada pendapat anda, bagaimanakah percanggahan pendapat 

            antara Mak Umi dan Siak  dapat diselesaikan?                            [3 markah]

(iii)       Huraikan satu perwatakan Mak Umi daripada petikan dan satu 

             perwatakan lain daripada keseluruhan drama?                     [4 markah]


.....................................Soalan 2 (c) :  Petikan Prosa Tradisional

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Hatta seketika lagi maka keluarlah peri dari tasik itu. Maka berombak-ombaklah airnya. Maka dilihat oleh Inderaputera peri itu datang kepadanya. Maka ia pun tidurlah. Maka peri itu pun datanglah menghampiri akan Inderaputera. Maka Inderaputera pun ingat. Maka baharu hendak ditindihnya itu, maka Inderaputera pun melompat seraya menangkap rambut peri itu.
Maka berkata Inderaputera, “Sekarang ini matilah engkau hai celaka.”
Maka peri itu pun berkata, “Hai orang muda, lepaskanlah rambutku ini, apa kehendakmu akan kuberikan kepadamu!”
Maka kata Inderaputera, “Sungguhkah engkau hendak memberi barang kehendakku ini?”
Maka sahut peri itu, “Sungguhlah hamba beri.”
Maka kata Inderaputera, “Apa yang hendak engkau berikan kepadaku ini?”
Maka berkatalah peri itu, “Ada suatu geliga, Mayan Bedi namanya. Jikalau Tuanku mau kuberikan. Adapun gunanya jikalau hendak mengeluarkan angin dan ombak atau kilat atau petir halilintar citalah namaku dan tambangkan geliga itu, nescaya barang kehendak tuan jadilah.” Maka Inderaputera pun melepaskan rambut peri itu.

(Dipetik daripada ‛Dua Geliga Hikmat’,
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)



(i)         Berikan maksud rangkai kata citalah namaku dan tambangkan
 geliga itu .[2 markah]

(ii)        Mengapakah Inderaputera menangkap peri itu?     [3 markah]

(iii)       Pada pendapat anda, wajarkah peri menurut permintaan
            Inderaputera? Berikan alasan anda.  [3 markah]                                                                                                                                                                     


............................................Soalan 2(d) :  Puisi Tradisional

Baca syair di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.



                            SYAIR SITI SAINAH

Setengahnya perempuan terlalu janggalnya,
Roma di muka pula dicukurnya,
Seperti taji berandam di kening,
Kemudian memakai dengan selengkapnya.

Mengagak mengilai terlalu suka,
Melihat laki-laki ditampakkan muka,
Supaya laki-laki boleh menyangka,
Ianya elok tiada terhingga.

Setengah perempuan sangat pesolek,
Berhias berdandan berpakai molek,
Di dalam cermin muka ditelek,
Kanan dan kiri dibelek-belek.

Meskipun tiada berapa eloknya,
Ada yang setengah kembang hidungnya,
Serta pula kepik batanganya,
Seperti buaya besar mulutnya.

Setengah perempuan perangainya cela,
Habis dipenuhi rambut kepala,
Rambut yang sikit disipuntnya pula,
Memakai cemara berjela-jela.

Terkadang muka dibubuh pupuri,
Kaki dan tangan, lengan dan jari,
Jadilah rupanya putih berseri,
Pekerjaan tipu sangat digemari.

Setengah perempuan yang makan diangkat,
Memakai  gelang bertingkat-tingkat,
Memandang laki-laki matanya lekat,
Dengan jantan suka berdekat.

Kaki dan tangan dinaikkan pula,
Pura-pura dikatakan ubat segala,
Hakikatnya diketahui Allah Taala,
Supaya laki-laki berhati gila.

Berlindunglah kita kepada Allah,
Daripada perbuatan yang amat salah,
Mudah-mudahan dilepaskanlah,
Jangan menjadi betina sempolah.

Setengahnya suka bermain judi,
Inilah perangai banyak terjadi,
Habislah tergadai intan serudi,
Kerana perangai sudah membadi.

Laki-laki perempuan bertindih lutut,
Banyaklah kelakuan yang tidak patut,
Sembahyang ibadat sudahlah bantut,
Kerana syaitan duduk di buntut.

(Dipetik daripada Abu Hassan Syam (Penyelenggara)
Puisi-puisi Raja Ali Haji, 1993 Dewan Bahasa dan Pustaka)




(i)         Nyatakan keburukan perempuan yang mempamerkan kecantikannya.
  [3 markah]

(ii)        Sebagai pelajar, bagaimanakah caranya kita mengatasi masalah sosial yang semakin serius di negara kita    [3 markah]

(iii)       Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam syair tersebut.  
 [3 markah]



...................Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
...................................................30 markah ]

Jawab semua soalan.

(a)       Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa
anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i)         perilaku
(ii)        prabayar
(iii)       poliklinik
(iv)       pancaindera
(v)        prokerajaan
(vi)       pascamerdeka
.................... [6 markah]

(b)       Tulis semula cakap ajuk di bawah ini dalam bentuk cakap pindah dengan
            mengekalkan maksud asalnya.


Cikgu Ani  :     Kenapa awak tak datang latihan bola jaring petang semalam?
Sara          :      Saya... minta maaf cikgu. Saya ada hal penting di rumah.

Cikgu Ani  :     Patutnya awak beritahu saya lebih awal. Taklah saya tertunggu- tunggu awak.
Sara          :     Err...erm...saya betul-betul dalam kecemasan!
Cikgu Ani  :     Sebenarnya apa yang berlaku, Sara?
Sara           :     Mak saya tiba-tiba jatuh sakit dan terpaksa dibawa ke hospital.
 [6 markah]


(c)        Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu
kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i)         Darah merah manusia mengandungi pigmen hemoglobin iaitu molekul
            protin yang besar dan amat penting dalam penghidupan.

(ii)        Kitar semula dapat menjimatkan kegunaan sumber semulajadi di
            samping menjamin kebersihan alam sekitar.

(iii)       Sastrawan mendapat kepuasan dan keseronokkan jika buah fikiran
 mereka dihargai oleh masyarakat.      [[6markah ]


(d)       Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau
istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i)         Novel itu mempamerkan tema permasalahan sosial di dalam kalangan
            remaja di ibu kota.

(ii)        Guru menyapa perlakuan pelajarnya yang agak kurang sopan bila
            bercakap dengan orang yang lebih tua.

(iii)       Bersesuaian dengan kedudukan kampung kami di kawasan lapangan
padi, semua para petani mengusahakan sawah yang diwarisi turun-temurun. [6 markah]                                                                         .

(e)       Baca ayat yang mengandungi peribahasa di bawah dengan teliti, kemudian
kemukakan peribahasa lain yang setara maksudnya dengan peribahasa tersebut.


(i)            Pasangan pengantin yang sedang bersanding itu kelihatan seperti 
cincin dengan permata kerana kedua-duanya sama cantik dan sama padan.

(ii)          Sikap Liza yang melupakan jasa ibu angkatnya Marina, tidak ubah seperti 
ulat lupa akan daun kerana dia sanggup mengikut ibu kandungnya berpindah ke luar negara.

(iii)         Walaupun Tan Sri Johan telah dilantik menjadi Pengerusi Syarikat Daya 
Maju yang terkenal di Asia Tenggara, beliau masih mengamalkan sikap 
rendah diri dan senang bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. .[6 markah]


........... .Soalan 4 (a) : Novel
...........................[15 markah ]
Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

(i)            Kabus Di Perbukitan karya Mohamad Kholid bin Hamzah
(ii)          Melunas Rindu karya Hartini Hamzah


(a)       Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua
     peristiwa yang menunjukkan nilai ketabahan.  [7 markah]

(b)       Watak sampingan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan plot sesebuah novel.

Huraikan dua perwatakan bagi satu watak sampingan dalam 

           dua buah novel yang anda pelajari. .[8 markah]


.............................................












Wednesday, January 26, 2011

ADUH SALIH !

BAB SATU

            Aku merenung sel yang dibuat daripada besi di hadapan aku. Keluasannya aku kira lebih luas lubang kubur daripada sel aku ditempatkan. Hanya aku seorang yang ditahan di dalam lokap ini. Aku tidak pernah membayangkan aku akan berada di sini. Di dalam lokap. Siapa yang pernah membayangkan dirinya berada di dalam lokap adalah orang yang paling tidak siuman. Bahasa halusnya kurang waras. Tapi aku masih waras. Paling-paling aku berfantasi pun aku berada dalam mahkamah. Bukan apa isteri kedua aku sering meminta cerai tapi selepas menceraikannya, tidak pula Mahkamah Syariah memanggil aku untuk pengesahan lafaz cerai.
            Tapi hari ini aku ditahan di dalam lokap atas tuduhan membunuh. Bukan sebarang tuduhan. Tuduhan yang boleh membawa aku menyusul Mira di alam barzah. Kenapa suspek ialah aku? Kalau pun aku orang terakhir yang keluar bersama Mira, takkanlah pula aku tergamak membunuh orang yang pernah aku cintai. Mustahil aku membunuh Mira. Tapi bukti-bukti yang pihak polis ada menuduh aku adalah suspek utama kes bunuh seorang pelakon dan model terkenal. Nourell Adeline Shameera. Siapa tidak kenal dia. Tapi aku berbangga kerana aku adalah orang yang paling mengenali dan memahami Mira. Hasil yang aku dapat ialah aku berada di sini.
                        Kes aku bukanlah melibatkan kesalahan yang diperuntukkan oleh Angkatan Tentera Malaysia. Aku dituduh membunuh orang awam. Kes aku akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Aku cuba mencari peguam yang handal di Malaysia. Siapa lagi kalau bukan bekas bapa mertua aku. Tapi malangnya aku sudah bercerai dengan anaknya. Apa lagi harapan yang tinggal untuk aku menyambung nyawa di bumi Tuhan ini?
Hanya aku seorang saja yang tahu aku bukan pembunuh. Semasa siasatan dijalankan, Pegawai Penyiasat boleh bertanya siapakah alibi aku. Manalah ada orang yang nampak aku di tempat lain kerana aku berada di tempat kejadian. Siapa percaya aku bukan pembunuh? Surat khabar New Straits Times memaparkan aku adalah suspek utama di muka hadapan. Aku masih ingat dengan jelas tajuk berita yang sempat aku lihat sebelum dibawa ke lokap ini pagi tadi.
            A Model Was Brutally Murdered. A Suspect With Leftenant Colonel Position Was Arrested.
(Seorang model dibunuh kejam. Suspek berpangkat Leftenan Kolonel ditahan)
            Tanpa bayaran wajah kacak aku menghiasi muka depan semua akhbar tempatan hari ini. Hari ini semua warganegara Malaysia mengenali nama dan wajah aku. Leftenan Kolonel Muhammad Salihuddin adalah suspek utama dalam pembunuhan kejam seorang model berusia 27 tahun. Aku tahu dengan jelas hukuman yang menanti aku. Sekiranya disabitkan bersalah aku akan digantung sampai mati. Nampaknya kes aku akan mendapat liputan meluas seperti kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan 3 rakannya baru-baru ini.
Perlukah bekas isteri aku menyempurnakan jenazah seorang suami yang mati ditali gantung dengan penuh kehormatan? Kalau kawan-kawan aku yang terkorban semasa membawa Nuri atau pesawat pejuang seperti HAWK atau MIG yang terhempas dikebumikan dengan penuh kehormatan, apakah nasib aku nanti? Kalaulah aku tahu kesudahan nasib aku begini, biarlah aku mati semasa membawa pesawat PC-7 dulu. Diana, di manakah dikau?
            Dari jauh kedengaran hentakan kaki. Aku memandang ke luar sel. Aku menunggu kelibat manusia yang sedang menghampiri sel. Datuk Samsuddin Mohamed? Betulkah apa yang sedang aku lihat? Aku menggosok mata berulang kali. Tiba-tiba aku rasa mahu menangis. Sudahlah aku mempersiakan hidup anaknya, sanggup dia mengunjungi aku. Aku bersalam penuh hormat. Aku rasa aku tidak layak mencium tangannya pun. Berdasarkan perbualan dengan bekas bapa mertua aku, nyatalah dia tidak tahu aku dan anaknya sudah bercerai. Katanya lagi, bekas isteri aku baru semalam melahirkan baby baru di rumahnya. Bila masa pula Diana mengandung? Patutlah Mahkamah Rendah Syariah belum memanggil aku melafazkan talak terhadap Diana kerana ketika kami bercerai dulu dia sedang mengandung. Perkara yang satu itu tiada dalam pemikiran aku pun.  Mengapakah banyak kejadian yang tidak aku duga menimpa aku satu persatu? Adakah ini balasan Tuhan yang masih sayangkan aku?
            “Kenapa jadi begini?”
            Soalan peguam terkenal seperti Datuk Samsuddin Mohamed berbaur kesal. Hal itu ditunjukkan pada riak wajahnya yang mendung.
            “Entahlah, Pa! Sebenarnya saya pun tak sangka ia akan berakhir begini.”
            “Maksudnya Salih yang bunuh model tu?”
            “Sumpah, Pa. Saya tak pernah siang ikan pun. Ayam pun saya tak pernah sembelih. Inikan pula nak bunuh orang.”
            “Papa tahu. Tapi semasa kejadian itu berlaku, Diana sedang sakit hendak bersalin. Sepatutnya Salih ada di sisi Diana. Papa kesal Salih.”
            “Pa, Salih mengaku, saya bukan suami yang baik.”
            “Kenapa sampai begitu sekali?”
            Aku perlu berterus terang. Kita tidak boleh menyembunyikan fakta dengan peguam. Biarlah Datuk Samsuddin tahu kebenarannya hari ini.
            “Pa, biarlah Salih buat pengakuan di sini. Salih nak bawa Mira jumpa Papa. Dia anak kandung Papa.”
            “Jadi orang yang Encik Mohinder nak temukan dengan Papa ialah model yang mati kena bunuh tu?”
            “Ya, Pa!”
            “Macam mana Salih boleh kenal model tu?”
            “Panjang ceritanya, Pa!”
            “Pendekkan!”
            “Dia…model itu….emmm…maksud Salih…Mira isteri pertama Salih!”
            Gegaran di dada aku semakin kencang.
            “Maksud Salih?”
            “Diana isteri kedua Salih!”
            Nah, meletup juga isi dadaku hari ini.
            “Salih, kamu waraskah? Kedua-dua anak Papa, isteri kamu? Atau keadaan dalam lokap ini membuat kamu merasa tertekan langsung kamu mereka-reka cerita?
            “Pa, saya juru terbang TUDM. Perkara paling penting hendak menjadi juru terbang ialah pantas membuat keputusan dalam situasi yang mencemaskan. Saya membuat keputusan memberitahu kebenaran kepada Papa sebaik terlihat kelibat Papa tadi.”
            “Jadi…siapa yang bunuh Mira?
            “Pa, dia bunuh diri.”
            “Bunuh diri?”
            “Kenapa?”
            “Salih tak pasti.”
            “Sudahlah Salih. Berehatlah. Esok Papa datang lagi. Papa tak dapat terima apa yang Salih katakan tadi.”
            Aku rasa seperti bermimpi. Benarkah aku terlalu berani meluahkan kenyataan kepada Datuk Samsuddin sedangkan aku tahu natijahnya nanti adalah malapetaka buat aku. Apa kata Diana? Apa kata bekas ibu mertua aku? Apa kata keluarga aku? Namun jika aku tidak berterus terang sekarang, aku akan mengalami masalah paling rumit semasa perbicaraan nanti. Apabila berdepan dengan hukuman mati, tiada apa yang berlegar diminda aku kecuali mati. Ya, maut boleh datang tiba-tiba sahaja. Sebelum ini aku tidak pernah berfikir tentang kematian. Hari ini baru aku terfikir tentangnya. Oleh itu aku perlu minta maaf dengan orang-orang di sekeliling aku.
            Aku perlu menerima hakikat. Aku kini bukan lagi seorang anggota tentera. Aku juga bukan lagi juru terbang yang hebat. Aku merasakan aku hebat kerana jumlah jam penerbangan aku melebihi 5 ribu jam. Mana ada pilot TUDM yang mempunyai jumlah jam penerbangan sebanyak aku. Oleh itu, aku sentiasa merasakan diri aku hebat walaupun juru terbang jet pejuang lebih bijak dan tangkas tindakan mereka semasa mengendalikan pesawat. Kalau kita sentiasa merasakan orang lain lebih hebat daripada kita maka kita tidak akan ke mana. Biarlah aku mendabik dada daripada berjalan merunduk bumi.
Jawatan dan pangkat aku digantung sehingga selesai perbicaraan. Andainya aku dibuktikan bersalah, hukuman mati menanti aku. Seandainya aku dibuktikan tidak bersalah, aku akan mendapat semula jawatan dan pangkat aku. Tetapi adakah kehidupan aku selepas perbicaraan nanti akan sama dengan kehidupan aku kelmarin? Sesungguhnya takdir kita hari ini adalah kesan perbuatan kita hari semalam.
Dari jauh kedengaran hentakan kaki yang kuat. Aku mula berpeluh. Pegawai Penyiasat kes aku, ASP Mohamad Sulhan mengarahkan anggotanya memanggil aku ke bilik gelap sekali lagi. Tidak sanggup aku hendak masuk ke dalam bilik itu lagi. Namun aku perlu akur dengan prosedur di balai polis. Jawatan dan pangkat aku ditinggalkan di dalam Pangkalan Udara Labuan.
            “Assalamualaikum, Tuan!”
            “Duduk.” Tanpa menjawab salam aku, ASP itu mengarahkan aku duduk.
            “Berapa lama awak berkhidmat dengan TUDM?”
            “16 tahun.”
            “Berapa lama awak telah berkahwin.”
            “3 tahun lebih.”
            “Berapa lama awak kenal mangsa?”
            “Hubungan kami on-off.”
            “Berapa lama?” Kali ini suara ASP itu makin kuat.
            “4 tahun.”
            “Jadi awak kenal mangsa sebelum awak kenal isteri awak.”
            Aku mengangguk. Malas aku bercerita sebenarnya aku sudah bercerai dengan Diana.
            “Isteri awak tahu hubungan awak dengan mangsa.”
            Aku menggeleng.
            “Jadi awak ada motif untuk membunuh mangsa.”
            “Tuan, berapa kali saya cakap. Saya cuma hendak menolong mangsa.”
            “Kenapa susah sangat awak nak mengaku? Awak memang ada motif kerana mangsa sedang mengandung dan awak tidak mahu isteri awak tahu awak ada hubungan dengan wanita lain.”
            Hipotesis ASP Mohamad Sulhan membuat aku tersentak. Bagaimana mereka tahu Mira sedang mengandung? Mira sendiri memberitahu aku dia sudah menjalani pembedahan hesterektomi. Bagaimana wanita yang tiada rahim boleh mengandung? Aku mula dilanda prasangka. Lama aku terdiam. Kali ini aku sukar menelah apa sebenarnya yang berlaku. Biarlah aku mengambil pendekatan mendiamkan diri. Aku sudah tidak mampu berfikir lagi.
            “Saya tak akan jawab soalan Tuan lagi. Apa-apa hal saya akan berbincang dengan peguam saya. Tuan boleh tanya apa saja dengan peguam saya.”
            Beberapa kali didesak, aku tetap tidak mahu menjawab apa-apa lagi soalan sehingga membangkitkan kemarahan berganda dalam diri ASP Mohamad Sulhan.
            “Awak ingat pangkat awak tu besar sangat! Awak ingat pengaruh orang tua awak kuat sangat? Kita tengok keputusan ujian DNA ke atas janin mangsa milik siapa.” ASP Mohamad Sulhan berkata sambil memuncungkan bibirnya ke arah aku. Aku terkejut. Mira mengandung? Kalau mengandung tentulah anak aku. Tapi bolehkah orang yang tiada rahim mengandung? Mira menulis nota bunuh diri kerana dia kecewa tidak dapat memberikan zuriat untuk aku. Kalau dia boleh mengandung, kenapa dia bunuh diri pula? Pening kepala aku.
            Keheningan malam nan dingin mengimbau semula suka duka perjalanan hidup aku sebagai seorang pegawai anggota tentera dan juru terbang pesawat C130. Di dalam sel yang sempit ini aku membuka semula kotak memori. Wajah-wajah yang aku sayang menari-nari di sudut sanubari. Diana! Ampunkan Abang!