Photobucket

Wednesday, January 26, 2011

ADUH SALIH !

BAB SATU

            Aku merenung sel yang dibuat daripada besi di hadapan aku. Keluasannya aku kira lebih luas lubang kubur daripada sel aku ditempatkan. Hanya aku seorang yang ditahan di dalam lokap ini. Aku tidak pernah membayangkan aku akan berada di sini. Di dalam lokap. Siapa yang pernah membayangkan dirinya berada di dalam lokap adalah orang yang paling tidak siuman. Bahasa halusnya kurang waras. Tapi aku masih waras. Paling-paling aku berfantasi pun aku berada dalam mahkamah. Bukan apa isteri kedua aku sering meminta cerai tapi selepas menceraikannya, tidak pula Mahkamah Syariah memanggil aku untuk pengesahan lafaz cerai.
            Tapi hari ini aku ditahan di dalam lokap atas tuduhan membunuh. Bukan sebarang tuduhan. Tuduhan yang boleh membawa aku menyusul Mira di alam barzah. Kenapa suspek ialah aku? Kalau pun aku orang terakhir yang keluar bersama Mira, takkanlah pula aku tergamak membunuh orang yang pernah aku cintai. Mustahil aku membunuh Mira. Tapi bukti-bukti yang pihak polis ada menuduh aku adalah suspek utama kes bunuh seorang pelakon dan model terkenal. Nourell Adeline Shameera. Siapa tidak kenal dia. Tapi aku berbangga kerana aku adalah orang yang paling mengenali dan memahami Mira. Hasil yang aku dapat ialah aku berada di sini.
                        Kes aku bukanlah melibatkan kesalahan yang diperuntukkan oleh Angkatan Tentera Malaysia. Aku dituduh membunuh orang awam. Kes aku akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Aku cuba mencari peguam yang handal di Malaysia. Siapa lagi kalau bukan bekas bapa mertua aku. Tapi malangnya aku sudah bercerai dengan anaknya. Apa lagi harapan yang tinggal untuk aku menyambung nyawa di bumi Tuhan ini?
Hanya aku seorang saja yang tahu aku bukan pembunuh. Semasa siasatan dijalankan, Pegawai Penyiasat boleh bertanya siapakah alibi aku. Manalah ada orang yang nampak aku di tempat lain kerana aku berada di tempat kejadian. Siapa percaya aku bukan pembunuh? Surat khabar New Straits Times memaparkan aku adalah suspek utama di muka hadapan. Aku masih ingat dengan jelas tajuk berita yang sempat aku lihat sebelum dibawa ke lokap ini pagi tadi.
            A Model Was Brutally Murdered. A Suspect With Leftenant Colonel Position Was Arrested.
(Seorang model dibunuh kejam. Suspek berpangkat Leftenan Kolonel ditahan)
            Tanpa bayaran wajah kacak aku menghiasi muka depan semua akhbar tempatan hari ini. Hari ini semua warganegara Malaysia mengenali nama dan wajah aku. Leftenan Kolonel Muhammad Salihuddin adalah suspek utama dalam pembunuhan kejam seorang model berusia 27 tahun. Aku tahu dengan jelas hukuman yang menanti aku. Sekiranya disabitkan bersalah aku akan digantung sampai mati. Nampaknya kes aku akan mendapat liputan meluas seperti kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan 3 rakannya baru-baru ini.
Perlukah bekas isteri aku menyempurnakan jenazah seorang suami yang mati ditali gantung dengan penuh kehormatan? Kalau kawan-kawan aku yang terkorban semasa membawa Nuri atau pesawat pejuang seperti HAWK atau MIG yang terhempas dikebumikan dengan penuh kehormatan, apakah nasib aku nanti? Kalaulah aku tahu kesudahan nasib aku begini, biarlah aku mati semasa membawa pesawat PC-7 dulu. Diana, di manakah dikau?
            Dari jauh kedengaran hentakan kaki. Aku memandang ke luar sel. Aku menunggu kelibat manusia yang sedang menghampiri sel. Datuk Samsuddin Mohamed? Betulkah apa yang sedang aku lihat? Aku menggosok mata berulang kali. Tiba-tiba aku rasa mahu menangis. Sudahlah aku mempersiakan hidup anaknya, sanggup dia mengunjungi aku. Aku bersalam penuh hormat. Aku rasa aku tidak layak mencium tangannya pun. Berdasarkan perbualan dengan bekas bapa mertua aku, nyatalah dia tidak tahu aku dan anaknya sudah bercerai. Katanya lagi, bekas isteri aku baru semalam melahirkan baby baru di rumahnya. Bila masa pula Diana mengandung? Patutlah Mahkamah Rendah Syariah belum memanggil aku melafazkan talak terhadap Diana kerana ketika kami bercerai dulu dia sedang mengandung. Perkara yang satu itu tiada dalam pemikiran aku pun.  Mengapakah banyak kejadian yang tidak aku duga menimpa aku satu persatu? Adakah ini balasan Tuhan yang masih sayangkan aku?
            “Kenapa jadi begini?”
            Soalan peguam terkenal seperti Datuk Samsuddin Mohamed berbaur kesal. Hal itu ditunjukkan pada riak wajahnya yang mendung.
            “Entahlah, Pa! Sebenarnya saya pun tak sangka ia akan berakhir begini.”
            “Maksudnya Salih yang bunuh model tu?”
            “Sumpah, Pa. Saya tak pernah siang ikan pun. Ayam pun saya tak pernah sembelih. Inikan pula nak bunuh orang.”
            “Papa tahu. Tapi semasa kejadian itu berlaku, Diana sedang sakit hendak bersalin. Sepatutnya Salih ada di sisi Diana. Papa kesal Salih.”
            “Pa, Salih mengaku, saya bukan suami yang baik.”
            “Kenapa sampai begitu sekali?”
            Aku perlu berterus terang. Kita tidak boleh menyembunyikan fakta dengan peguam. Biarlah Datuk Samsuddin tahu kebenarannya hari ini.
            “Pa, biarlah Salih buat pengakuan di sini. Salih nak bawa Mira jumpa Papa. Dia anak kandung Papa.”
            “Jadi orang yang Encik Mohinder nak temukan dengan Papa ialah model yang mati kena bunuh tu?”
            “Ya, Pa!”
            “Macam mana Salih boleh kenal model tu?”
            “Panjang ceritanya, Pa!”
            “Pendekkan!”
            “Dia…model itu….emmm…maksud Salih…Mira isteri pertama Salih!”
            Gegaran di dada aku semakin kencang.
            “Maksud Salih?”
            “Diana isteri kedua Salih!”
            Nah, meletup juga isi dadaku hari ini.
            “Salih, kamu waraskah? Kedua-dua anak Papa, isteri kamu? Atau keadaan dalam lokap ini membuat kamu merasa tertekan langsung kamu mereka-reka cerita?
            “Pa, saya juru terbang TUDM. Perkara paling penting hendak menjadi juru terbang ialah pantas membuat keputusan dalam situasi yang mencemaskan. Saya membuat keputusan memberitahu kebenaran kepada Papa sebaik terlihat kelibat Papa tadi.”
            “Jadi…siapa yang bunuh Mira?
            “Pa, dia bunuh diri.”
            “Bunuh diri?”
            “Kenapa?”
            “Salih tak pasti.”
            “Sudahlah Salih. Berehatlah. Esok Papa datang lagi. Papa tak dapat terima apa yang Salih katakan tadi.”
            Aku rasa seperti bermimpi. Benarkah aku terlalu berani meluahkan kenyataan kepada Datuk Samsuddin sedangkan aku tahu natijahnya nanti adalah malapetaka buat aku. Apa kata Diana? Apa kata bekas ibu mertua aku? Apa kata keluarga aku? Namun jika aku tidak berterus terang sekarang, aku akan mengalami masalah paling rumit semasa perbicaraan nanti. Apabila berdepan dengan hukuman mati, tiada apa yang berlegar diminda aku kecuali mati. Ya, maut boleh datang tiba-tiba sahaja. Sebelum ini aku tidak pernah berfikir tentang kematian. Hari ini baru aku terfikir tentangnya. Oleh itu aku perlu minta maaf dengan orang-orang di sekeliling aku.
            Aku perlu menerima hakikat. Aku kini bukan lagi seorang anggota tentera. Aku juga bukan lagi juru terbang yang hebat. Aku merasakan aku hebat kerana jumlah jam penerbangan aku melebihi 5 ribu jam. Mana ada pilot TUDM yang mempunyai jumlah jam penerbangan sebanyak aku. Oleh itu, aku sentiasa merasakan diri aku hebat walaupun juru terbang jet pejuang lebih bijak dan tangkas tindakan mereka semasa mengendalikan pesawat. Kalau kita sentiasa merasakan orang lain lebih hebat daripada kita maka kita tidak akan ke mana. Biarlah aku mendabik dada daripada berjalan merunduk bumi.
Jawatan dan pangkat aku digantung sehingga selesai perbicaraan. Andainya aku dibuktikan bersalah, hukuman mati menanti aku. Seandainya aku dibuktikan tidak bersalah, aku akan mendapat semula jawatan dan pangkat aku. Tetapi adakah kehidupan aku selepas perbicaraan nanti akan sama dengan kehidupan aku kelmarin? Sesungguhnya takdir kita hari ini adalah kesan perbuatan kita hari semalam.
Dari jauh kedengaran hentakan kaki yang kuat. Aku mula berpeluh. Pegawai Penyiasat kes aku, ASP Mohamad Sulhan mengarahkan anggotanya memanggil aku ke bilik gelap sekali lagi. Tidak sanggup aku hendak masuk ke dalam bilik itu lagi. Namun aku perlu akur dengan prosedur di balai polis. Jawatan dan pangkat aku ditinggalkan di dalam Pangkalan Udara Labuan.
            “Assalamualaikum, Tuan!”
            “Duduk.” Tanpa menjawab salam aku, ASP itu mengarahkan aku duduk.
            “Berapa lama awak berkhidmat dengan TUDM?”
            “16 tahun.”
            “Berapa lama awak telah berkahwin.”
            “3 tahun lebih.”
            “Berapa lama awak kenal mangsa?”
            “Hubungan kami on-off.”
            “Berapa lama?” Kali ini suara ASP itu makin kuat.
            “4 tahun.”
            “Jadi awak kenal mangsa sebelum awak kenal isteri awak.”
            Aku mengangguk. Malas aku bercerita sebenarnya aku sudah bercerai dengan Diana.
            “Isteri awak tahu hubungan awak dengan mangsa.”
            Aku menggeleng.
            “Jadi awak ada motif untuk membunuh mangsa.”
            “Tuan, berapa kali saya cakap. Saya cuma hendak menolong mangsa.”
            “Kenapa susah sangat awak nak mengaku? Awak memang ada motif kerana mangsa sedang mengandung dan awak tidak mahu isteri awak tahu awak ada hubungan dengan wanita lain.”
            Hipotesis ASP Mohamad Sulhan membuat aku tersentak. Bagaimana mereka tahu Mira sedang mengandung? Mira sendiri memberitahu aku dia sudah menjalani pembedahan hesterektomi. Bagaimana wanita yang tiada rahim boleh mengandung? Aku mula dilanda prasangka. Lama aku terdiam. Kali ini aku sukar menelah apa sebenarnya yang berlaku. Biarlah aku mengambil pendekatan mendiamkan diri. Aku sudah tidak mampu berfikir lagi.
            “Saya tak akan jawab soalan Tuan lagi. Apa-apa hal saya akan berbincang dengan peguam saya. Tuan boleh tanya apa saja dengan peguam saya.”
            Beberapa kali didesak, aku tetap tidak mahu menjawab apa-apa lagi soalan sehingga membangkitkan kemarahan berganda dalam diri ASP Mohamad Sulhan.
            “Awak ingat pangkat awak tu besar sangat! Awak ingat pengaruh orang tua awak kuat sangat? Kita tengok keputusan ujian DNA ke atas janin mangsa milik siapa.” ASP Mohamad Sulhan berkata sambil memuncungkan bibirnya ke arah aku. Aku terkejut. Mira mengandung? Kalau mengandung tentulah anak aku. Tapi bolehkah orang yang tiada rahim mengandung? Mira menulis nota bunuh diri kerana dia kecewa tidak dapat memberikan zuriat untuk aku. Kalau dia boleh mengandung, kenapa dia bunuh diri pula? Pening kepala aku.
            Keheningan malam nan dingin mengimbau semula suka duka perjalanan hidup aku sebagai seorang pegawai anggota tentera dan juru terbang pesawat C130. Di dalam sel yang sempit ini aku membuka semula kotak memori. Wajah-wajah yang aku sayang menari-nari di sudut sanubari. Diana! Ampunkan Abang!

           


















No comments:

Post a Comment