Photobucket

Wednesday, January 12, 2011

BAHASA MELAYU KERTAS 2

Rumusan [30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah -langkah meningkatkan taraf hidup orang kurang upaya dan kekangan yang dihadapi dalam melaksanakannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sejak negara kita merdeka, semua golongan istimewa atau yang sering dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) turut terlibat memberi sumbangan dalam pembangunan negara. OKU merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat yang mempunyai perasaan, kebolehan, keterampilan, bakat dan kepintaran dalam pelbagai bidang seperti manusia normal yang lain. Kehadiran golongan OKU dalam masyarakat sewajarnya dihargai dan diberi keutamaan.
Kerajaan akan menubuhkan pusat pemulihan dalam komuniti bagi OKU dalamRMK-9 dengan lebih banyak. Pusat pemulihan itu akan dibangunkan sebagai pusat khidmat setempat bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih komprehensif bagi OKU. Antara perkhidmatan yang disediakan oleh pusat pemulihan tersebut ialah pemeriksaan dan pengesanan ketidakupayaan, khidmat rujukan, penyebaran maklumat mengenai OKU, serta perkhidmatan sokongan. Akta OKU pula digubal untuk meningkatkan dan melindungi hak OKU supaya mereka hidup bermaruah dan mempunyai harga diri. Akta ini memberi hak kepada mereka untuk diterima oleh masyarakat, meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan vokasional, pekerjaan, persekitaran bebas daripada halangan serta akses kepada teknologi maklumat (ICT). Selain itu, program mengintegrasikan OKU dalam masyarakat bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang normal terus dipergiat. Badan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula bergerak aktif untuk membela golongan kurang upaya ini.
Dalam sektor awam, di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10/1988, satu peratus peluang pekerjaan diperuntukkan kepada OKU. Sehingga kini, pelbagai jenis pekerjaan telah dijawat oleh golongan istimewa ini daripada peringkat kumpulan sokongan sehinggalah peringkat profesional dan pakar dalam bidang akademik mengikut pengkhususan masing-masing. Golongan OKU juga mempunyai potensi dalam pembangunan negara. Sektor awam dan swasta disarankan agar menyediakan lebih banyak latihan kepada mereka serta membuka peluang agar mereka menceburi bidang keusahawanan. Dengan ini, kemampuan mereka untuk bermandiri akan lebih terserlah kerana tidak bergantung kepada peluang pekerjaan yang disediakan oleh pihak lain.Selama ini pun, golongan OKU menyertai bidang keusahawanan kerana minat dan tiada pekerjaan lain yang dapat dilakukan. Mereka juga memiliki kemahiran vokasional yang diperoleh semasa menjalani latihan di pusat-pusat latihan. Golongan OKU ini tidak mengharapkan simpati daripada orang lain, tetapi lebih mengharapkan peluang agar mereka dapat hidup berdikari.
Untuk melahirkan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran sejajar dengan keperluan semasa, penekanan terhadap bidang pendidikan dan latihan kemahiran terus diberi keutamaan oleh pihak berkuasa. Oleh itu, peluang diberikan kepada semua pihak tanpa mengira sebarang perbezaan dan selaras dengandasar kerajaan untuk memberi hak yang sama kepada semua individu.

                    (Dipetik dan diubahsuaikan daripada
                  “SumbanganOrang Kurang Upaya Kepada Negara
                  Oleh Haji Samat Buang, Dewan Siswa Ogos 2006)
                                             

No comments:

Post a Comment