Photobucket

Thursday, January 27, 2011

Soalan BM Kertas 2 SPM 2011 (ramalan cikgunie)

............................................Soalan 1 : Rumusan
...................................................30 markah ]

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang langkah-langkah kerajaan meringankan beban rakyat dan kesan-kesan pemulihan ekonomi kepada rakyat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

............Usaha membasmi kemiskinan tegar menjadi agenda utama kerajaan menjelang 2010. Bagi meringankan beban rakyat, usaha diambil dengan memperuntukkan RM214 juta bagi pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk tujuan pembasmian kemiskinan. Langkah ini juga akan memastikan agenda masyarakat penyayang terus diamalkan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

............Kerajaan telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi pertama bagi meringankan beban rakyat khusus untuk meningkatkan pemilikan rumah oleh rakyat. Bagi merangsang sektor perumahan, kerajaan mencadangkan supaya pembeli diberi pelepasan cukai atas faedah pinjaman. Kerajaan juga telah membantu rakyat dengan menambah baik infrastruktur awam. Dalam hal ini, kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta untuk menambah baik infrastruktur yang rosak serta menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian, menyelenggara dan membaik pulih pelbagai kemudahan dan prasarana awam. Bon Simpanan Kerajaan telah diterbitkan untuk menjanakan pendapatan rakyat. Bon ini bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk memperoleh pendapatan tambahan. Bon ini dibuka kepada setiap rakyat berusia 21 tahun ke atas dengan nilai minimum pelaburan sebanyak RM1,000.

............Selain itu, kerajaan telah menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar seperti bekalan elektrik dan air terutama di Sabah dan Sarawak. Usaha ini diharap dapat meningkatkan ekonomi rakyat melalui pengambilan kontraktor kecil dan pekerja tempatan di kawasan luar bandar. Kerajaan juga memperkenalkan pelbagai program dan projek untuk meningkatkan ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak seperti pembesaran Lapangan Terbang Sibu, Sarawak dan Projek Sistem Penghantaran Elektrik Kota Kinabalu, Sabah. Program mikrokredit tanpa cagaran disediakan oleh pelbagai pihak seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, AgroBank dan TEKUN untuk membantu peniaga kecil di bandar dan luar bandar.

Kaedah lain yang dilaksanakan adalah dengan memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik seperti warga emas, golongan kurang upaya dan ibu tunggal. Bantuan yang diberikan adalah seperti program jaringan keselamatan sosial, bantuan kewangan dan bilangan tenaga kerja, meningkatkan kemudahan pusat penjagaan warga tua, memantapkan pengurusan rumah perlindungan wanita dan menambahkan kemudahan pusat asuhan kanak-kanak. Bagi mengurangkan tanggungan orang ramai, kerajaan mengambil langkah pengecualian cukai yang diberikan atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan. Langkah ini diambil bertujuan untuk menjaga kebajikan pekerja yang diberhentikan. Di samping itu, kerajaan menggalakkan pihak bank untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan.

............Kesimpulannya, usaha yang dirangka oleh kerajaan dapat dilaksanakan secara komprehensif dan menyeluruh untuk menghindarkan ekonomi negara terjerumus dalam kancah kemelesetan. Justeru, rakyat tidak perlu lagi menanggung beban akibat kemelesetan ekonomi sekiranya landasan kukuh yang telah disediakan oleh kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak yang terlibat.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana ‚‛Pakej RM60b Perkukuh Ekonomi Negara Hadapi Kegawatan Global’,Berita Harian, 11 Mac 2009)

............................................Soalan 2 : Pemahaman
.....................................................[ 35 markah ]

..........................................Soalan 2 (a) : Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)         Apakah maksud rangkai kata membasmi kemiskinan tegar?
  [2 markah]

(ii)        Bagaimanakah peruntukan tambahan yang disediakan oleh kerajaan 
dibelanjakan? [3 markah]                                                       

(iii)       Nyatakan empat cara rakyat dapat menangani krisis ekonomi 
negara. [4 markah]
                                                              ...........................................


Soalan  2 (b) : Petikan Prosa Moden

Baca petikan drama di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

IMAM              :  Begini, Umi! Kami datang ni ada hajat sebenarnya.
MAK UMI       :  Berhajat benar nampak gaya datangnya ni! Jangan besar 
                        sampai tak terpeluk, berat sampai tak terjinjit udah le!
SIAK               : Tidak besar dan tidak juga berat, tapi sangat penting. 
MAK UMI       :  Penting? Untuk kamu atau untuk aku? Tak reti aku dengan
                        teka-teki imam.
IMAM              : Untuk orang muda kampong ni! Dan ini bukan teka-teki, Umi.
                        Ini soal masa depan anak muda kita.
SIAK               : Kamu jangan marah atau syak wasangka buruk pulak pada
                        kami ni, Umi. Ini tanggungjawab kami sebenarnya.
MAK UMI       : Usahlah berlapis berkias lagi, Siak! Aku ni dah tua, bukan
                       Macam dua puluh tahun dulu! Cuba katakana apa ceritanya?
                        Apa halnya yang menghantar kamu ke mari ni?
IMAM              :Tuk Wali masih mengajar silat lagi, Umi?
MAK UMI       : Mengajar? Kenapa?
SIAK               : Mengajar silat untuk orang muda, memang elok, Umi!
MAK UMI       :  Ada ke yang tak eloknya?
SIAK               : Yang tak eloknya yang dah tua macam kita ni pun masih
                         bersilat juga di gelanggang. Bersepak terajang, kadangkala tu
                         sampai bergumpal-gumpal. Tak manis ditengok orang.
MAK UMI       :   Maksud Imam, Tuk Wali? Dia dijemput main silat di majlis
                         kahwin tu salah? Mazhab baru ke ni?

(Dipetik daripada drama ‘Gelanggang Tuk Wali ’oleh Ismail Kassan dalam
antologi Harga Remaja,,Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i)         Apakah tujuan kedatangan Imam dan Siak ke rumah Tuk Wali?
 [3 markah]


(ii)        Pada pendapat anda, bagaimanakah percanggahan pendapat 

            antara Mak Umi dan Siak  dapat diselesaikan?                            [3 markah]

(iii)       Huraikan satu perwatakan Mak Umi daripada petikan dan satu 

             perwatakan lain daripada keseluruhan drama?                     [4 markah]


.....................................Soalan 2 (c) :  Petikan Prosa Tradisional

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Hatta seketika lagi maka keluarlah peri dari tasik itu. Maka berombak-ombaklah airnya. Maka dilihat oleh Inderaputera peri itu datang kepadanya. Maka ia pun tidurlah. Maka peri itu pun datanglah menghampiri akan Inderaputera. Maka Inderaputera pun ingat. Maka baharu hendak ditindihnya itu, maka Inderaputera pun melompat seraya menangkap rambut peri itu.
Maka berkata Inderaputera, “Sekarang ini matilah engkau hai celaka.”
Maka peri itu pun berkata, “Hai orang muda, lepaskanlah rambutku ini, apa kehendakmu akan kuberikan kepadamu!”
Maka kata Inderaputera, “Sungguhkah engkau hendak memberi barang kehendakku ini?”
Maka sahut peri itu, “Sungguhlah hamba beri.”
Maka kata Inderaputera, “Apa yang hendak engkau berikan kepadaku ini?”
Maka berkatalah peri itu, “Ada suatu geliga, Mayan Bedi namanya. Jikalau Tuanku mau kuberikan. Adapun gunanya jikalau hendak mengeluarkan angin dan ombak atau kilat atau petir halilintar citalah namaku dan tambangkan geliga itu, nescaya barang kehendak tuan jadilah.” Maka Inderaputera pun melepaskan rambut peri itu.

(Dipetik daripada ‛Dua Geliga Hikmat’,
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)



(i)         Berikan maksud rangkai kata citalah namaku dan tambangkan
 geliga itu .[2 markah]

(ii)        Mengapakah Inderaputera menangkap peri itu?     [3 markah]

(iii)       Pada pendapat anda, wajarkah peri menurut permintaan
            Inderaputera? Berikan alasan anda.  [3 markah]                                                                                                                                                                     


............................................Soalan 2(d) :  Puisi Tradisional

Baca syair di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.



                            SYAIR SITI SAINAH

Setengahnya perempuan terlalu janggalnya,
Roma di muka pula dicukurnya,
Seperti taji berandam di kening,
Kemudian memakai dengan selengkapnya.

Mengagak mengilai terlalu suka,
Melihat laki-laki ditampakkan muka,
Supaya laki-laki boleh menyangka,
Ianya elok tiada terhingga.

Setengah perempuan sangat pesolek,
Berhias berdandan berpakai molek,
Di dalam cermin muka ditelek,
Kanan dan kiri dibelek-belek.

Meskipun tiada berapa eloknya,
Ada yang setengah kembang hidungnya,
Serta pula kepik batanganya,
Seperti buaya besar mulutnya.

Setengah perempuan perangainya cela,
Habis dipenuhi rambut kepala,
Rambut yang sikit disipuntnya pula,
Memakai cemara berjela-jela.

Terkadang muka dibubuh pupuri,
Kaki dan tangan, lengan dan jari,
Jadilah rupanya putih berseri,
Pekerjaan tipu sangat digemari.

Setengah perempuan yang makan diangkat,
Memakai  gelang bertingkat-tingkat,
Memandang laki-laki matanya lekat,
Dengan jantan suka berdekat.

Kaki dan tangan dinaikkan pula,
Pura-pura dikatakan ubat segala,
Hakikatnya diketahui Allah Taala,
Supaya laki-laki berhati gila.

Berlindunglah kita kepada Allah,
Daripada perbuatan yang amat salah,
Mudah-mudahan dilepaskanlah,
Jangan menjadi betina sempolah.

Setengahnya suka bermain judi,
Inilah perangai banyak terjadi,
Habislah tergadai intan serudi,
Kerana perangai sudah membadi.

Laki-laki perempuan bertindih lutut,
Banyaklah kelakuan yang tidak patut,
Sembahyang ibadat sudahlah bantut,
Kerana syaitan duduk di buntut.

(Dipetik daripada Abu Hassan Syam (Penyelenggara)
Puisi-puisi Raja Ali Haji, 1993 Dewan Bahasa dan Pustaka)




(i)         Nyatakan keburukan perempuan yang mempamerkan kecantikannya.
  [3 markah]

(ii)        Sebagai pelajar, bagaimanakah caranya kita mengatasi masalah sosial yang semakin serius di negara kita    [3 markah]

(iii)       Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam syair tersebut.  
 [3 markah]



...................Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
...................................................30 markah ]

Jawab semua soalan.

(a)       Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa
anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i)         perilaku
(ii)        prabayar
(iii)       poliklinik
(iv)       pancaindera
(v)        prokerajaan
(vi)       pascamerdeka
.................... [6 markah]

(b)       Tulis semula cakap ajuk di bawah ini dalam bentuk cakap pindah dengan
            mengekalkan maksud asalnya.


Cikgu Ani  :     Kenapa awak tak datang latihan bola jaring petang semalam?
Sara          :      Saya... minta maaf cikgu. Saya ada hal penting di rumah.

Cikgu Ani  :     Patutnya awak beritahu saya lebih awal. Taklah saya tertunggu- tunggu awak.
Sara          :     Err...erm...saya betul-betul dalam kecemasan!
Cikgu Ani  :     Sebenarnya apa yang berlaku, Sara?
Sara           :     Mak saya tiba-tiba jatuh sakit dan terpaksa dibawa ke hospital.
 [6 markah]


(c)        Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu
kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i)         Darah merah manusia mengandungi pigmen hemoglobin iaitu molekul
            protin yang besar dan amat penting dalam penghidupan.

(ii)        Kitar semula dapat menjimatkan kegunaan sumber semulajadi di
            samping menjamin kebersihan alam sekitar.

(iii)       Sastrawan mendapat kepuasan dan keseronokkan jika buah fikiran
 mereka dihargai oleh masyarakat.      [[6markah ]


(d)       Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau
istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i)         Novel itu mempamerkan tema permasalahan sosial di dalam kalangan
            remaja di ibu kota.

(ii)        Guru menyapa perlakuan pelajarnya yang agak kurang sopan bila
            bercakap dengan orang yang lebih tua.

(iii)       Bersesuaian dengan kedudukan kampung kami di kawasan lapangan
padi, semua para petani mengusahakan sawah yang diwarisi turun-temurun. [6 markah]                                                                         .

(e)       Baca ayat yang mengandungi peribahasa di bawah dengan teliti, kemudian
kemukakan peribahasa lain yang setara maksudnya dengan peribahasa tersebut.


(i)            Pasangan pengantin yang sedang bersanding itu kelihatan seperti 
cincin dengan permata kerana kedua-duanya sama cantik dan sama padan.

(ii)          Sikap Liza yang melupakan jasa ibu angkatnya Marina, tidak ubah seperti 
ulat lupa akan daun kerana dia sanggup mengikut ibu kandungnya berpindah ke luar negara.

(iii)         Walaupun Tan Sri Johan telah dilantik menjadi Pengerusi Syarikat Daya 
Maju yang terkenal di Asia Tenggara, beliau masih mengamalkan sikap 
rendah diri dan senang bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. .[6 markah]


........... .Soalan 4 (a) : Novel
...........................[15 markah ]
Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

(i)            Kabus Di Perbukitan karya Mohamad Kholid bin Hamzah
(ii)          Melunas Rindu karya Hartini Hamzah


(a)       Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua
     peristiwa yang menunjukkan nilai ketabahan.  [7 markah]

(b)       Watak sampingan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan plot sesebuah novel.

Huraikan dua perwatakan bagi satu watak sampingan dalam 

           dua buah novel yang anda pelajari. .[8 markah]


.............................................












No comments:

Post a Comment