Wednesday, December 3, 2014

Pesta Pulau Pinang

CIKGUNIE BERSAMA SUAMI


ANAK-ANAK CIKGUNIE DI TAPAK PESTA P.PINANG








Saban tahun bermula 25 November sehingga 30 Disember Kerajaan Pulau Pinang akan menganjurkan Pesta Pulau Pinang. Tapak Pesta Pulau Pinang diadakan di Sungai Nibong, Bayan Lepas berhampiran stesen bas. Bayaran masuk ke tapak pesta ialah RM 3.00 bagi orang dewasa dan RM 2.00 bagi kanak-kanak. Bayaran bagi setiap jenis permainan pula mengikut token.
Apa yang menariknya ialah terdapat pelbagai jenis permainan ekstreme dan jualan gudang semua jenis barangan dengan harga murah. Namun apa yang tidak menarik ialah tempat meletak kenderaan tidak mencukupi. Pengunjung terpaksa meletak kenderaan di bahu jalan hadapan tapak pesta. Namun semua itu mengundang padah apabila pihak polis mengeluarkan saman terhadap pemilik kenderaan yang meletakkan kereta di bahu jalan. Malam semalam Cikgunie pun menerima nasib yang sama apabila mendapat durat saman yang dikeluarkan oleh PDRM. Salah siapa?

Wednesday, November 26, 2014

TRANSISI SEORANG REMAJA

Tiada apa yang menggembirakan hati seseorang pelajar selain daripada kebebasan. Bebas dalam erti kata menamatkan usia remaja dari alam persekolahan dan melangkah keluar dari dewan peperiksaan selepas menduduki penilaian dan pentaksiran yang bernama SIJIL PELAJARAN MALAYSIA. Setelah bertungkus lumus belajar selama 13 tahun di bangku sekolah bagi murid aluran sains seperti puteri tunggal Cikgunie, hari ini merupakan hari merdeka buat mereka. Kertas Biologi 3 pada petang semalam adalah kertas terakhir yang mereka duduki. Doa Cikgunie semoga semua 455839 calon SPM 2014 akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun ini.

Monday, November 24, 2014

SELAMAT BERCUTI

Sesi persekolahan 2014 telah berakhir pada 20 November 2014 bagi negeri yang sesi persekolahannya Ahad hingga Khamis dan 21 November 2014 bagi sesi persekolahan Isnin hingga Jumaat. Cikgunie mengucapkan Selamat Bercuti kepada semua guru dan murid sesi tahun 2014. Bagi anak-anak dan calon SPM 2014 yang masih berhempas pulas menjawab soalan peperiksaan yang masih berbaki Cikgunie doakan teruskan usaha kalian.

Sunday, November 2, 2014

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM 2014

Seramai lebih 455000 atau hampir 1/2 juta calon sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah swasta termasuk aliran agama akan menduduki peperiksaan SPM 2014 yang akan bermula esok. Daripada seramai 455000 calon SPM itu termasuklah anak sulung Cikgunie, Putri Dayang Nur Afifah binti Mohd Tarmizi. Putri sulung Cikgunie menggalas harapan yang terlalu berat untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM ini. Hal ini demikian, SPM merupakan sijil yang akan menentukan hala tuju seseorang murid apabila melangkah keluar dari alam persekolahan selama 13 tahun termasuk pra-sekolah. Oleh itu debaran, resah, gelisah dan pelbagai rasa lagi sedang dialami oleh semua calon termasuk anak Cikgunie dan murid-murid sekolah Cikgunie yang akan menduduki peperiksaan SPM pada esok hari. Doa dan harapan Cikgunie kepada semua calon SPM 2014 termasuk anak Cikgunie, murid Cikgunie dan pembaca blog Cikgunie akan dapat menjawab dengan tenang, khusyuk dan fokus dengan tajuk yang bakal keluar pada esok hari. Membaca banyak bahan bacaan tidak rugi. Tidak membaca apa-apa sangatlah rugi. Semasa ucapan Cikgunie dengan calon SPM sekolah Cikgunie pada tengahari tadi ialah jaga kesihatan mental, emosi dan fizikal pada setiap masa kerana jawapan yang bernas akan lahir daripada pemikiran yang cerdas. Pemikiran yang cerdas lahir daripada kesihatan yang baik. Kesihatan yang baik diperoleh melalui pemakanan yang sihat dan tidur yang cukup. Oleh itu persediaan mental sangat penting pada masa-masa terakhir persediaan menghadapi peperiksaan awam yang besar seperti SPM ini. Selain itu, sediakan peralatan menulis yang mencukupi, mintalah maaf zahir dan batin daripada ibu bapa calon sekalian, dan ringan-ringankan bibir berzikir seperti, bertasbih, bertahmid dan bertakbir dalam perjalanan ke Dewan Peperiksaan. Setelah berusaha tidak salah meminta doa kepada Allah SWT agar dipermudahkan urusan menduduki peperiksaan. Semoga usaha kita semua diberkati dan dilimpahi rahmat Allah SWT. Akhir kata daripada Cikgunie, Selamat Menjawab Semua Soalan Peperiksaan SPM dengan baik dan Semoga Mendapat Keputusan yang Cemerlang dalam SPM 2014. 

Wajib Baca Contoh Karangan SPM 2014

Langkah-langkah yang dapat dilaksanakan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda.

Semangat patriotisme ialah semangat cinta akan negara. Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat  Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak menyatakan bahawa semangat patriotisme perlu dipupuk dalam diri generasi muda di negara ini supaya rakyat di negara lain dapat menghormati dan memandang mulia kepada kita. Tambah beliau lagi, semangat patriotisme hendaklah diterapkan dalam diri generasi muda kita kerana budaya ini sudah menjadi sebahagian negara.Terutamanya ,ibu bapa perlu menerapkan semangat patriotisme dalam diri anak-anak untuk menjadikan mereka sebagai generasi muda yang cemerlang dan dibanggakan oleh negara kerana keperibadian generasi kini akan mencerminkan keperibadian negara ini. Banyak langkah  yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak untuk memupuk semangat patriotisme dalam diri generasi masa kini.

            Antara langkah yang boleh dilakukan untuk memupuk semangat patriotisme dalam diri generasi muda ialah bermula dari ibu bapa. Misalnya, ibu bapa perlu sering bercerita tentang tokoh-tokoh pejuang tanah air kepada anak-anak. Secara tidak langsung semangat patriotik dapat diterapkan semasa anak-anak masih kecil lagi. Ibu bapa haruslah bercerita atau membacakan cerita tentang perjuangan tokoh-tokoh terkenal seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Tok Kenali,Datuk Bahaman dan banyak lagi pejuang tanah air. Ibu bapa perlu mendedahkan jasa-jasa pejuang tanah air dengan memberitahu mereka betapa sukarnya berjuang untuk membebaskan diri daripada belenggu penjajahan. Selain itu, menceritakan peristiwa orang-orang terdahulu hidup semasa zaman penjajahan. Apabila bercerita ibu bapa perlu menekankan betapa pentingnya semangat patriotisme dalam diri kita. Hal ini dapat dilihat apabila orang terdahulu mengharungi pahit maung dan bertapa sukarnya untuk mendapatkan makanan, hidup dalam kesusahan dan kesengsaraan serta sentiasa dizalimi oleh penjajah. Mereka akan dapat membandingkan keadaan hidup dalam pascamerdeka.

            Selain itu, pihak sekolah perlu mengadakan lawatan ke tempat bersejarah untuk pelajar-pelajar sekolah supaya menjadi generasi yang mempunyai semangat patriotisme. Terdapat banyak tempat bersejarah di negara kita untuk dikunjungi. Tempat-tempat tersebut merupakan monument yang perlu dipelihara supaya generasi kini akan dapat melihat sendiri dan merasai kesan yang amat mendalam. Sebagai contoh tempat bersejarah yang boleh dilawati ialah Kota A’ Famosa di Melaka. Sambil melawat ke tempat bersejarah, guru yang mengetuai lawatan tersebut perlu menceritakan tentang kejatuhan Melaka lalu Portugis membina Kota A’ Famosa. Pelajar-pelajar akan dapat melihat kesan peristiwa tanah air dan dapat menerapkan semangat cinta akan negara.pemerhatian mereka terhadap kesan-kesan peninggalan sejarah akan melahirkan semangat juang untuk menpertahankan negara daripada ancaman musuh. Contohnya, kunjungan ke tempat bersejarah yang lain seperti Bandar Hilir Melaka yang akan mengingatkan mereka kepada sejarah hitam negara ketika dijajah oleh Portugis, Belanda dan Inggeris.

            Tambahan lagi, generasi kini perlu menyertai program yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Contohnya remaja kini perlu menyertai Program Latihan Khidmat Negara. Program ini dipernuhi dengan aktiviti yang memupuk semangat patriotik seperti kawad kaki dan latihan berkumpulan. Program ini juga merupakan gabungan latihan ketenteraan dan memupuk semangat patriotik  kepada mereka ke arah cinta akan negara. Pelatih-pelatih akan dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti tanggungjawab, kerjasama dan hormat-menghormati. Pelatih akan bercampur gaul dengan pelatih lain yang berbilang kaum, budaya dan agama yang berbeza. Hal ini akan dapat memupuk semangat perpaduan yang merupakan elemen yang penting dalam semangat patriotik seperti pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Di samping itu, program ini akan dapat melahirkan generasi yang mengetahui hal kenegaraan yang berkaitan dengan kerajaan dan kedaulatan negara.

            Seterusnya, ibu bapa perlu sering membawa anak-anak menyambut hari kemerdekaan. Ibu bapa dan anak-anak perlu melihat atau menyertai sambutan di kawasan setempat atau ibu bapa mengajak anak-anak menyaksikan kemeriahan kemerdekaan di televisyen. Hai ini demikian akan dapat menjadi medium yang sangat berkesan untuk menyermai rasa cinta akan negara dalam sanubari meraka. Di samping menyaksikan kemeriahan kemerdekaan akan dapat mengimbas kembali nostalgia dan memori sewaktu negara dijajah melalu nukilan puisi-puisi, sketsa, novel-novel kemerdekaan terbit di hati meraka semangat biar patah tulang, jangan putih mata. Ibu bapa juga perlu menerangkan kepada anak-anak nikmat menjadi anak pascamerdeka dan bersyukur kerana diberikan keamanan dan kedamaian.

            Konklusinya, memupuk semangat patriotisme perlu dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian dapat melahirkan generasi yang mempunyai rasa cinta akan negara dan menjadi individu yang berguna kepada bangsa dan juga negara. Peranan semua pihak sangat penting untuk menerapkan semangat patriotik dalam diri generasi muda. Contoh yang baik akan diikuti oleh orang ramai. Bak kata pepatah bagaimana acuannya, begitulah kuihnya.   



PERANAN IBU BAPA MEMUPUK SEMANGAT CINTA AKAN NEGARA (SEMANGAT PATRIOTIK) DALAM KALANGAN ANAK-ANAK

Pada era pascaperindustrian dan globalisasi yang serba mencabar akal dan minda, Malaysia telah menjadi sebuah negara yang sedang membangun di mata dunia selepas kemerdekaan yang disambut pada tanggal 31 Ogos 1957.  Kini, Malaysia duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara gergasi di pentas antarabangsa.  Bertitik tolak daripada itu, semangat cinta akan negara perlu ada dalam diri setiap masyarakat bagi menghargai jasa tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang bertungkus lumus dalam mempertahankan negara yang berdaulat ini.  Oleh itu, keluarga perlu memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memupuk semangat cinta akan negara dalam diri anak-anak mereka.
             
Pada realiti, memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu perlu mengambil inisiatif utama dengan membawa anak-anak mereka ke tempat bersejarah seperti muzium.  Di Malaysia, terdapat sebuah muzium iaitu Muzium Negara yang mempunyai pelbagai khazanah orang pada zaman dahulu, pakaian istana, keris-keris yang digunakan oleh tokoh terdahulu untuk menentang penjajah luar.  Anak-anak bukan sahaja dapat mengenali tokoh-tokoh terdahulu malah menerapkan semangat keberanian perwira-perwira negara yang mengamalkan peribahasa biar putih tulang, jangan putih mata dalam mempertahankan negara suatu ketika dulu.  Salah satu tempat bersejarah yang tersohor ialah Melaka yang lebih dikenali sebagai Negeri Bersejarah. Di Melaka, ibu bapa boleh menunjukkan tempat atau bangunan yang dibina oleh negara luar yang pernah menjajah negara kita seperti bangunan Stadhyus.  Oleh itu, bolehlah kita akui bahawa semangat cinta akan negara dapat disemai melalui lawatan ke tempat-tempat bersejarah yang banyak terdapat di Malaysia.
             
Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, langkah yang seterusnya ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak.  Berdasarkan peribahasa, bagaimana acuan begitulah kuihnya, ibu bapa perlu menjadi ikon kepada anak-anak dalam menerapkan semangat cinta akan negara.  Dalam konteks ini, ibu bapa tidak sewajarnya menunjukkan etika yang bertentangan dengan semangat patriotisme itu sendiri.  Kita boleh ambil contoh perlakuan yang pernah menjadi isu suatu ketika dahulu iaitu seorang warga Malaysia yang mempersendakan lagu Negaraku malah ada yang berani memijak bendera Jalur Gemilang.  Ibu bapa perlu menunjukkan semangat  cinta akan negara melalui kibaran Jalur Gemilang dengan bangga untuk diteladani oleh anak-anak.  Secara tidak langsung, perbuatan ini akan menjadi ikutan kerana mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.  Dengan cara ini juga, anak-anak akan sedar betapa pentingnya semangat patriotisme ini.  Tambahan pula, ibu bapa boleh bercerita tentang perjuangan tokoh-tokoh tanah air yang berjuang hingga titisan darah yang terakhir demi mempertahankan negara yang tercinta daripada ancaman penjajah.  Tegasnya, peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya perlu dijadikan azimat oleh ibu bapa untuk melentur anak-anak mereka menjadi seorang yang mempunyai semangat patriotisme sejak kecil lagi.
              
Selain itu, pada masa ini ramai ibu bapa yang membimbing anak-anak mereka dalam menguasai subjek Sejarah.  Bagi segelintir pelajar, subjek Sejarah amat sukar dikuasai kerana banyak fakta yang perlu dihafal dan diingati.  Tambahan pula,   mereka tidak pernah merasai keperitan tokoh-tokoh terdahulu yang bermati-matian memperjuangkan tanah air yang bertuah ini.  Oleh itu, ibu bapa tidak boleh memberi tekanan kepada anak-anak dengan memaksa dan memarahi mereka jika gagal dalam subjek sejarah.  Hal ini kerana, anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang perlu mencorakkannya dengan menerapkan semangat cinta akan negara.  Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa perlu menyokong anak-anak mereka agar mereka tidak berasa tertekan malah semangat bersemangat dalam mempelajari subjek Sejarah.  Selain itu, ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas tuisyen untuk menguasai subjek Sejarah demi meningkatkan prestasi anak dalam subjek tersebut.  Rentetan itu, penguasaan dalam subjek ini akan membibitkan rasa cinta terhadap subjek Sejarah seterusnya melahirkan kecintaan terhadap negara.
                       
Sebagai menggulung segala yang telah diperkataan di atas, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memupuk masyarakat yang mempunyai semangat cinta akan tanah air.  Pepohon pokok tidak akan berliuk lintuk jikalau tiada angin yang meniupnya. Oleh itu, ibu bapa bertanggungjawab memupuk semangat cinta akan negara dalam diri anak-anak.  Sebenarnya, anak-anak merupakan tonggak utama dalam menjayakan visi kudsi Wawasan 2020 pada masa hadapan.  Kita mengakui hakikat bahawa uslub ini perlu dilakukan dan boleh dimulakan dengan langkah-langkah yang telah disarankan di atas.  Dengan berbuat demikian, anak-anak dapat memupuk malah menguatkan semangat cinta akan tanah air dalam diri mereka.  Nescaya, semangat patriotisme yang telah sebati dalam diri anak-anak akan dapat melahirkan generasi muda yang mantap jati diri.



Soalan Ramalan Karangan SPM 2014

Sebagai seorang pelajar yang bertanggungjawab jelaskan peranan  anda dalam memupuk budaya penyayang di sekolah.

Sejak tiga dekad belakangan ini, sering didengari kenyataan yang menyebut, bahawa orang Melayu sebagai bangsa Asia yang sangat tinggi nilai hormat dan bersopan santun. Malah nilai itulah yang telah mengangkat imej Malaysia untuk dikenali di seantero alam. Namun, selepas dilanda pelbagai arus perubahan dan ancaman globalisasi yang semakin pantas, nilai-nilai murni itu semakin memupus dalam budaya dan tradisi masyarakat Melayu. Kini dalam pola masyarakat majmuk, masyarakat Malaysia kelihatan komplek. Tiada lagi nilai sopan santun dan hilang budaya hormat dan berkasih sayang. Hukum sesiapa yang kuat dia menang, yang cepat dia dapat, dan yang megah dia gagah sedikit demi sedikit membentuk pola baru imej bangsa Malaysia pada abad milenium ini. Oleh itu, sebagai anak muda saya perlu menghayati semula nilai-nilai murni masyarakat agar budaya hormat dapat dinobatkan semula.

Isi-isi penting :

Isi 1 : saya perlu menjadi pelajar yang proaktif dalam mengamalkan akhlak yang terpuji – mempamerkan sikap dan tingkah laku yang baik – tutur kata  penuh dengan sopan-santun  - disenangi rakan dan para guru

Isi 2 : menjadi pelajar yang mudah didekati – ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya - sikap hati kuman sama dicecah dan hati gajah sama dilapah - senang berkawan, cepat mesra, peramah dan menghormati rakan – menjadi pelajar yang luhur budi bahasa serta patuh kerpada perintah Tuhan

Isi 3 : mengamalkan prinsip dan identiti diri/jati diri – mempunyai prinsip dalam hidup. - bertindak dengan rasional dan matang -  menolak ajakan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan masa depan - tidak mudah terikut-ikut dengan perangai buruk rakan – tegas dan berani kerana benar

Isi 4 : belajar secara istiqamah – menjadi pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik,  –mempunyai jadual belajar yang terancang dan sistematik -  mengikuti proses pembelajaran dengan penuh minat dan teliti -  ikhlas membantu rakan untuk sama-sama berjaya dalam akademik

Isi 5 : penglibatan dalam aktiviti kokurikulum – kokurikulum mampu melahirkan modal insan yang unggul dan cemerlang - proses bergaul dengan rakan-rakan secara sihat – menyumbang kejayaan kepada sekolah – mengangkat imej sekolah agar tersohor di persada negara

Kesimpulan : Hidup pokok berbuah, hidup manusia berjasa ialah ungkapan peribahasa yang mendorong seseorang itu agar beriltizam untuk menyumbangkan khidmat dan jasa. Budaya penyayang seandainya dipupuk dan dibaja boleh memberi natijah kepada lahirnya masyarakat yang bertanggungjawab dan prihatin. Oleh hal yang demikian, saya sangat teruja untuk berada di tengah-tengah khalayak bagi meuar-uarkan idea yang baik ini agar terbentuk juga masyarakat yang berbudaya, beretika serta penyayang. Sesungguhnya, masyarakat penyayang lahir daripada nilai-nilai luhur yang dipupuk dalam sesebuah keluarga. Keluarga harmoni, masyarakat penyayang dan negara sejahtera adalah impian setiap pemimpin. Bersamalah kita sederap menghayun langkah memupuk budaya penyayang agar cita-cita pemimpin kita akan menjelma menjadi realiti menjelang 2020.

Peranan ibu bapa dalam melahirkan anak yang seimbang daripada segi rohaniah dan jasmaniah

Galakan, dorongan dan nasihat serta tunjuk ajar daripada ibu bapa penting dalam melahirkan anak yang seimbang daripada segi rohaniah dan jasmaniah.

Bincangkan.

Anak merupakan satu anugerah Tuhan kepada mana-mana ibu bapa pun. Kemunculan anak dalam kehidupan berkeluarga dianggap pemberi penyeri atau sumber inspirasi pula. Keadaan ini menyebabkan ibu bapa perlu memberikan perhatian dan penekanan terhadap usaha mendidik anak juga. Oleh itu, ibu bapa memang berperanan penting dalam mendidik anak mereka.

Kepentingan peranan ibu bapa ketara kerana merekalah orang yang paling rapat dengan anak mereka. Semua tindakan dan kelakuan ibu bapa akan menjadi ikutan anak mereka kerana anak menjadikan ibu bapa contoh teladan mereka pula. Kegagalan ibu bapa untuk memaparkan teladan yang baik boleh mempengaruhi sikap anak mereka pula nanti. Pendek kata, kerapatan ibu bapa dengan anaklah yang menjadikan peranan mendidik itu penting dilaksanakan dengan baik.

Selain itu, ibu bapa menjadi tempat meluahkan masalah buat anak-anak. Setiap masalah yang berlaku dalam kehidupan anak pasti akan dirujuk kepada ibu bapa untuk mendapat panduan menyelesaikannya dan kegagalan untuk berinteraksi dengan ibu bapa ketika inilah yang menyebabkan anak-anak terganggu kelakuannya. Ibu bapa yang mahir ialah ibu bapa yang sedar keadaan ini lalu memberikan pelbagai nasihat dan kata perangsang yang membantu anak mereka untuk mengharungi zaman keremajaan mereka dengan baik. Justeru, ibu bapa penting kerana merekalah tempat anak-anak mendapatkan panduan ketika dibelenggu pelbagai masalah hidup.

Tambahan pula, ibu bapa boleh menjadi individu yang memberikan kasih sayang kepada anak mereka terutama ketika anak mereka melakukan kesilapan. Ibu bapa yang bijak mendidik akan memaafkan kesalahan anak mereka walaupun diri mereka berasa kecewa kerana sedar anak mereka perlu diberi peluang kali kedua. Tindakan memaafkan kesalahan anak dengan bijak dan penuh kasih sayang ini akan membentuk anak menjadi insan yang lebih baik sikapnya. Maka, ibu bapa penting kerana merekalah tempat kasih sayang bermula dalam hidup remaja itu.

Namun begitu, peranan pihak sekolah terutama guru juga penting dalam kehidupan remaja. Pihak guru perlulah mendidik generasi muda ini dengan penuh tanggung jawab kerana masa remaja banyak juga dihabiskan di sekolah. Semua nasihat dan dorongan yang diberikan oleh pihak guru pasti meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa pelajar itu lalu membentuk peribadi yang mulia pula. Jadi, pihak sekolah juga memikul tugas mendidik generasi muda ini bersama-sama ibu bapa.

Malah, pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam pembentukan akhlak anak-anak mereka. Remaja yang berakhlak mulia pasti memiliki rakan yang serupa juga akhlaknya. Kegagalan memilih rakan yang baik akan menyebabkan seseorang remaja itu terjebak ke kancah negatif  yang lebih buruk pada masa hadapan. Oleh itu, anak juga hendaklah bijak memilih rakan supaya mereka tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak bermanfaat pula.

Kesimpulannya, ibu bapa memang berperanan penting dalam didikan anak kerana mereka umpama lilin yang membakar diri sendiri untuk memastikan kehidupan anak berjalan lancar. Kerjasama anak juga penting supaya semua masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan lebih mudah dan pantas. Anak merupakan satu tugas yang diamanahkan oleh Tuhan kepada kita semua. Peribahasa “melentur buluh biarlah daripada rebungnya” membuktikan betapa didikan ibu bapa ketika anak itu masih kecil amat penting lagi bermakna untuk masa depan mereka kelak.

Huraikan peranan ibu bapa dalam menentukan kejayaan /kecemelangan anak anak.


Pada zaman pasca modenisasi ini, kecemerlangan pelajar sudah menjadi impian dan harapan bagi setiap ibu bapa. Ibu bapa mana yang tidak berbangga, sekiranya nama anak mereka tersenarai sebagai pelajar cemerlang di sesebuah sekolah. Kejayaan mereka merupakan tonggak kemajuan negara. Pelajar yang cemerlang merupakan aset negara yang bernilai. Jika tiada mereka, pastinya akan mencetuskan kemunduran negara. Kecemerlangan seseorang acap kali dikaitkan dengan peranan ibu bapa. Pastinya pepatah anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang perlu mencorakkannya tidak menjadi sesuatu yang asing bagi kita. Sememangnya kajian membuktikan peranan ibu bapa amat penting dalam menentukan kejayaan anak-anak.
Tidak dapat dinafikan, didikan yang asuhan yang berterusan sejak  buaian merupakan langkah yang berkesan untuk membentuk peribadi mulia seseorang anak. Asuhan yang ditakrifkan sebagai belaian dan kasih sayang haruslah diterapkan sejak usia bayi lagi. Pepatah Melayu ada menyatakan, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pepatah ini amat sesuai untuk diamalkan oleh ibu bapa dalam mencorak kehidupan anak-anak. Penerapan nilai-nilai murni pula dapat melahirkan anak-anak yang terpuji tingkah lakunya.
Selain itu, ibu bapa sewajarnya menjadi pendorong untuk anak-anak mencapai kejayaan. Seandainya mereka mengalami kegagalan dalam pelajaran, ibu bapa tidak boleh cepat melatah dengan memarahi anak-anak mereka. Sebaliknya, ibu bapa wajar membisikkan kata-kata semangat untuk mereka. Seorang cendekiawan ulung pernah mengatakan, jika seseorang itu dilahirkan untuk gagal, dia tidak akan keluar daripada buaiannya untuk melihat dunia, justeru ibu bapa mestilah berusaha memberi keyakinan diri kepada anak-anak. Tambahan pula, gagal sekali bukan bererti gagal selamanya.
Di samping itu, ibu bapa perlulah sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak. Lebih-lebih lagi doa seseorang ibu bapa itu doa yang dimakbulkan.Dengan berbekalkan doa ibu bapa, anak-ana akan lebih kuat menghadapi cabaran hidup. Mereka tidak akan mudah berputus asa apabila mengetahui adanya sikap ambil berat yang tidak putus-putus daripada ibu bapa. Semestinya anak-anak akan dapat melakar kejayaan ke puncak menara gading dengan keazaman yang diserapkan oleh ibu bapa.
Di samping itu, Ibu bapa perlulah memberikan sedikit kebebasan kepada anak-anak. Ibu bapa tidak sepatutnya terlalu mengongkong hidup anak-anak mereka. Ibu bapa perlu sedar bahawa anak-anak yang hidup pada zaman serba moden ini berbeza dengan anak-anak zaman dahulu. Mungkin mereka kerap didedahkan dengan keseronokan hidup tanpa kongkongan memandangkan teknologi kini sudah semakin meningkat. Namun begitu, kebebasan yang diberikan bukan bermaksud  ibu bapa boleh mengambil sikap lepas tangan sahaja. Anak-anak tetap perlu diawasi. Sebagai contoh, ibu bapa mestilah mengetahui teman rapat anak-anak agar jika sesuatu terjadi kelak, akan ada sesiapa untuk dirujuk.
Seterusnya, Ibu bapa haruslah mengambil tahu tentang prestasi anak-anak di sekolah. Setiap kali selepas peperiksaan, Ibu bapa sepatutnya bertanyakan keputusan peperiksaan mereka. Ibu bapa juga haruslah mengetahui sikap anak-anak terhadap guru. Jangan sampai mereka bersikap kurang ajar terhadap guru. Hal ini berlaku demikian kerana, sekali hati guru tercalar, segala ilmu yang dicurahkannya mungkin tidak dihalalkan. Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang pernah mencoretkan serangkap pantun yang mengisahkan pelajar yang gagal kerana tidak menghormati guru.
Memburu di padang datar,
Dapat rusa berbelang di kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Intihanya, peranan ibu bapa dalam menentukan kecemerlangan anak-anak amat penting. Berkat asuhan dan didikan ibu bapa, pasti akan lahir pelajar cemerlang berakhlak terpuji. Aset negara seperti Datuk Nicole Ann David, Datuk Lee Chong Wei yang kini pemain nombor satu negara pastinya berkat pengasuhan dan didikan ibu bapa. Ibu bapa sememangnya insan yang paling banyak mengerah keringat demi membesarkan anak-anak. Tanpa ibu bapa, pastinya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak tidak akan cekap mentadbirkan negara. Cendekiawan ulung seperti Tan Sri Zetty Aziz juga tidak akan berjaya tanpa peranan cemerlang  ibu bapanya. Konklusinya, terbuktilah bahawa ibu bapa sememangnya memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan anak-anak. 

Peranan Ibu Bapa memastikan Kecemerlangan Anak-anak
Anak ibarat kain putih , ibu bapalah yang insan yang bertanggungjawab mencorakkannya. Jika merah, merahlah ia, jika biru, birulah ia. Corak yang dihasilkan itu bakal menentukan siapakah anak-anak pada masa hadapan, Ibu bapa sentiasa mengharapkan dan mendambakan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna serta berbakti terhadap orang tua. Demi mencapai keinginan tersebut ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan hasrat hati mereka itu terlaksana dengan jayanya. Mereka tega menghabiskan masa dan tenaga bahkan wang ringgit demi melihat anak-anak mereka berjaya. Kebanyakan ibu bapa menyayangi anak mereka dengan setelusnya, umpama menatang minyak yang penuh. Namun, dengan mencurhkan kasih sayang semata-amata tidak mungkin akan dapat menjadikan anak-anak seorang insan yang berbakti, justeru usaha-usaha lain harus ditimbal balik dan diambil kira.

Memetik kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar “seribu mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegegalapan namun, cahaya keimanan pasti dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar diambil oleh ibu bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan dan memberikan didikan agama yang sempurna. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud; “ suruh dan perintahlah anak-anakmu mendirikan solat sedari umurnya tujuh tahun”. Solat merupakan perkara terpenting yang perlu dipantau oleh ibu bapa. Solat dapat mendidik anak-anak untuk sentiasa melakukan perkara baik dan menjauhi perkara mungkar. Apabila anak-anak telah diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti menghormati oarng tua dan berbudi pekerti luhur, sudah pasti segala apa yang diangan-angankan oleh ibu bapa akan menjadi realiti. Insan yang berguna ialah insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, segala apa yang dirancang pasti menjadi nyata.

Seterusnya usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan melihat anak-anak mereka berjaya itu tercapai adalah dengan bermain “tarik tali’ dengan anak-anak. Dalam usaha mendidik anak-anak ibu bapa perlu mengamalkan toleransi, perasaan kasih sayang dan bertegas dalam bicara perlu menjadi tunjang utama. Ibu bapa tidak perlu memanjakan anak-anak sehingga mereka merasakan bahawa diri seperti anak emas dalam keluarga, ibu bapa boleh menuruti rengekkan dan permintaan anak-anak. Namun, mereka harus berpada-pada, Sedikit penegasan perlu diberikan. Hal ini bertujuan mengelakkan anak-anak menjadi manja dan besar kepala. Menghukum apabila anak-anak melakukan kesalahan tidak bererti ibu bapa membanci, tetapi hal ini merupakan tanda ibu bapa menyayangianak-anak. Apabila perasaan kasih sayang dan bertegas sudah menjadi sama rata, maka tidak akan wujud sebarang kekangan. Anak-anak akan sentiasa mengawal tingkah laku dan peradaban mereka. Malah, mereka pasti akan melakukan yang terbaik demi membahagiakan diri sendiri dan ibu bapa yang tercinta. “Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Perpeganglah kepada peribahasa tersebut, nescaya kesudahan yang baik akan menjadi milik kita.

“Lampu Alladdin tidak akan bersinar dengan sendiri tetapi Alladdin akan mengosoknya terlebih dahulu”. Begitulah kata-kata azimat yang ditinta oleh Alex Osborn. Hasrat ibu bapa untuk menyaksikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna tidak akan berhasil jika ibu bapa sahaja yang bertungkus lumus menggembleng tenaga. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu memberi sedikit penekanan terhadap kepentingn pendidikan dalan sanubari anak-anak. Ibu bapa perlu mengasuh anak-anak untuk memahami dan mendalami ilmu. Anak-anak pula perlulah berusaha untuk mencapai keinginan tersebut. Anak-anak umpama jentera yang memerlukan minyak pelincir bagi menlancarkan pergerakannya. Apabila minyak pelincir sudah dituang, maka akan lencarlah pergerakannya. Sehubungan dengan itu, kedua-dua belah pihak perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masnig bagi memastikan kelangsungan perjalanan hidup mereka.

Tun Dr Mahathir pernah berkata, “banyak masalah di dunia ini berpunca daripada sikap manusia yang tidak pernah berusaha memahami antara satu sama lain dan berbincang untuk melepaskan diri daripada sebarang musibah”. Oleh yang demikian langkah drastik yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna ialah dengan menyelami hati dan keinginan anak-anak. “Umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak”, ibu bapa perlu sebaik-baiknya mengetahui rasa hati anak-anak. Cara sebegini akan dapat menghindari anak-anak daripada berasa tertekan. Tertekan dalam konteks ini bermaksud bahawa anak-anak akan berasa dalam dilema sama ada menurut kemahuan diri dan menghancurkan harapan ibu bapa atau menurut kemahuan ibu bapa dan merobek hati sendiri. Kebanyakan ibu bapa mengharapkan anak-anak berusaha untuk mencapai mimpi mereka tanpa memikirkan kemampuan sebenar anak-anak. Anak-anak akan memberontak akibat desakan yang bertubi-tubi daripada ibu bapa. Nah, apabila situasi ini berlaku, lain yang diharap lain yang menjadi, bak kata pepatah, yang dikejar tidak dapat yang diikendong berciciran. Oleh itu, ibu bapa perlu memikirkan sedalam-dalamnya atas segala tindakan yang akan diambil. Setiap insan memiliki paradigma dan pandangan yang berbeza dalam menentukan hala tuju hidup mereka. Dato Dr Fadzillah Kamsah, ada menyebut “usah direnung ke langit hingga terlupakan bumi, sedangkan langit tidak mungkin digapai, sedangkan bumi sedia di tapak kaki”.

Selanjutnya ibu bapa haruslah memberikan sedikit ruang kepada anak-anak untuk melakukan apa yang mereka hajati, asalkan tidak menyipang dan tersasar jauh ke lembah kehancuran. Dalam memastkan anak-anak berhsil menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak boleh terlalu mengongkong anak-anak. Tiada paksaan dalam menuntut ilmu. Jika anak-anak tidak mampu meneruskannya, ibu bapa tidak boleh terus memaksa. Sebaliknya dorongan dan kata-kata semangat perlu diberi untuk menaikkan semula semangat membara anak-anak. Ahli Falsafah Pascal mengungkapkan “kalau kita berusaha mencapai keinginan, mulakan dengan kata-kata yang lembut kerana kata-kata yang lembut umpama air yang menyirami tanah yang tandus”. Desakan dan paksaan akan menjatuhkan anak-anak. Sebaliknya dorongan dan nasihat akan mendorong anak-anak untuk berjaya kerana “anak umpama bunga-bunga yang tumbuh di taman, yang menjadi tanah dan baja ialah ibu bapa”. Justeru mulakan dengan kelembutan dalam memastikan kejayaan menjadi hak hakiki dan azali anak-anak.

Intihanya, sudah terang lagi bersuluh, usaha untuk memastikan anak-anak mereka supaya menjadi insan berguna bukanlah mudah. Professor Beetcher pernah berkata, “anak-anak ibarat simen basah, sesiapa yang jatuh ke atasnya pasti memberi kesan”. Justeru, ibu bapa perlu berhati-hati mengambil sebarang tindakan dalam usaha melahirkan model insan yang cemerlang. Usaha yang sewajarnya perlu diambil dan segala emosi yang membungkam jauh dalam sanubari perlu ditolak ke tepi. Kepentingan setiap individu perlu diambil kira dan dipertimbangkan. Akhir kalam, pendayong sudah di tangan, perahu sudah di air, segala tindakan wajar sudah terpampang hanya yang tinggal adalah usaha untuk melaksanakannya. Jauhkan emosi untuk meningkatkan prestasi,


(Ramalan) Tajuk Wajib Baca Karangan Bahagian B SPM 2014

CARA-CARA  MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN

            Dalam mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia menyaksikan iktisad (ekonomi)negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namun begitu,  isu memupuk semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam kalangan marhaen(golongan bawahan) di Malaysia.  Dewasa ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari semakin terpinggir. Maasyarakat pada hari ini lebih mementingkan diri sendiri dan membudayakan hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dari segi konsepnya semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk oleh setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum demi negara yang tercinta. Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua yang perlu kita amalkan.Menurut Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling kita sama ada di depan, belakang, kiri , atau pun kanan dan merupakan orang pertama yang membantu kita ketika kita berada dalam kesusahan. Hal ini boleh dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi daripada cahaya matahari. Oleh itu, langkah yang signifikan harus diambil bagi menerapkan semangat kejiranan kepada semua lapisan masyarakat.

            Cara yang afdal untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana ibu bapa merupakan guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa menunjukkan teladan  yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sekiranya ibu bapa menunjukkan suri teladan yang buruk kepada anak-anak maka mereka akan menjadi anak-anak yang jahat malah lebih teruk lagi.  Hal ini boleh dianologikan seperti anak burung yang baru belajar terbang daripada ibunya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengunjungi atau menziarahi jiran tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu, ibu bapa haruslah tidak sombong dengan jiran dan sering bertegur-sapa agar dapat memupuk semangat kejiranan. Kesannya, semangat kejiranan dapat dipupuk antara jiran dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa sekali gus dapat mewujudkan masyrakat yang harmoni. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk oleh ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke  arah kemajuan  negara pada masa akan datang. Tegasnya, contoh teladan yang terbaik daripada ibu bapa mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan anak-anak.

                Memetik wasitah nirmala seterusnya, minhaj (cara) untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat setempat di Malaysia ialah program rukun tetangga  di kawasan perumahan mesti dihidupkan semula. Hal ini kerana program rukun tetangga berfungsi sebagai perisai untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari.  Anggotanya membabitkan semua pihak tanpa mengira kaum kerana masing-masing bertanggungjawab menjaga keselamatan kendiri dan keluarga. Sebagai contohnya, anggota rukun tetangga akan bergilir-gilir bertugas meronda kawasan tanpa mengira usia, agama dan status. Secara ghalibnya (lazimnya), senario ini akan mewujudkan  jalinan hubungan yang mesra bagai isi dengan kuku sekali gus memupuk semangat kejiranan yang hakiki (sebenar). Menurut Tun Dr. Mahathir, jiran yang muafakat akan membentuk masyarakat yang harmoni. Oleh itu, kita perlu mengaktifkan program rukun tetangga bagi melahirkan semangat kejiranan yang utuh dan bersatu padu. 

            Meninjau dari skop yang lain, langkah yang seterusnya adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong.  Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong adalah seperti  membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Selepas mengenali hati budi antara satu sama lain barulah benih-benih kasih sayang. Melalui cara ini, masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan di samping dapat menerapkan pelbagai nilai murni. Tun Dr. Mahathir, Mantan Perdana Menteri pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kawasan kediaman juga akan menjadi bersih dan terpelihara daripada penyakit demam denggi. Jelaslah bahawa aktiviti gotong-royong dapat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

            Jika dilihat dari perspektif yang lain, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanyakan khabar dan bercerita tentang pengalaman masing-masing dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain ibarat kata bidalan, “serumpun seperti serai, seikat seperti sirih”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran program “Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Pendek kata, majlis rumah terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

            Lontaran idea yang seterusnya ialah kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawaberat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Dengan ini, kita dapat meringankan penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Izharlah bahawa amalan ziarah-menziarahi mampu menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita.

            Sebagai menggulung segala lontaran idea yang telah dinyatakan, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat beberapa cara yang dapat dipraktikkan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal.  Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Oleh itu, kita perlu memupuk semangat kejiranan  bermula daripada sekarang.  Cogan kata “Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Golongan remaja seharusnya menyuburkan semangat kejiranan kerana mereka merupakan pemimpin yang akan mewarnai corak pemerintahan pada masa hadapan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan usaha ini pada bahu satu pihak kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk menghidupkan semangat kejiranan di negara kita. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai perpaduan yang utuh dan kukuh.


(Ramalan) Tajuk Wajib Baca Karangan SPM 2014

Soalan:
Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan.


Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat".Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.


Sementelahan itu juga, kita  harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.


Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.


(Ramalan) Tajuk Wajib Baca Karangan SPM 2014

Assalamualaikum WBT. Salam 1 Malaysia dan Salam Perpaduan. Terlebih dahulu Cikgunie ingin mengucapkan selamat mengulangkaji pelajaran terutama Kertas Bahasa Melayu akan akan bermula pada jam 8.10 pagi 3 November 2014, iaitu kira-kira 15 jam daripada sekarang. Berikut ialah contoh-contoh tajuk karangan berserta contoh jawapan untuk dibaca oleh para calon SPM 2014 sekalian.

Kebanyakan sekolah mengadakan Kedai Koperasi. Apakah faedah/Peranan yang boleh diperoleh daripada kedai koperasi itu?

           Koperasi merupakan salah satu jenis perniagaan. Koperasi juga merupakan sebuah syarikat usahasama yang terdiri daripada beberapa individu yang memegang saham di dalam syarikat tersebut. Koperasi sekolah ditubuhkan untuk memberikan kemudahan kepada murid-murid mempelajari selok-belok perniagaan. Sejak dua tiga dekad belakangan ini kita dapat menyaksikan peranan koperasi kepada warga sekolah. Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menggalakkan penubuhan koperasi dalam kawasan sekolah. Koperasi Sekolah merupakan perniagaan yang dibangunkan oleh pihak sekolah yang terdiri daripada guru dan murid. Oleh itu, terdapat beberapa faedah yang mewarnai fokus perbincangan demi kebaikan bersama.

            Umum mengetahui bahawa koperasi memberi faedah kepada warga sekolah kerana koperasi membantu memudahkan murid memperoleh barangan keperluan sekolah. Malah, harga yang dikenakan lebih murah dan berpatutan daripada harga di pasaran. Secara logiknya, murid-murid hanya membuang masa sahaja jika mereka pergi ke pasar raya semata-mata  hendak membeli sebatang pen. Dengan penubuhan koperasi di sekolahi, secara tidak langsung pelajar tidak akan membuang masa dan tidak akan membazir wang dengan mengunjungi pasar raya atau kedai serbaneka semata-mata untuk membeli peralatan sekolah. Tidak tumbuh tidak melata, tidak sungguh orang tidak mengata. Justeru, penubuhan koperasi di sekolah-sekolah banyak membantu murid-murid dan guru-guru sekolah membeli peralatan menulis tanpa membuang masa dan tenaga.

            Selain itu, kita dapat menyaksikan betapa banyak kebaikan dapat diperoleh melalui penubuhan koperasi seperti pengalaman baru untuk murid dalam perniagaan. Secara tidak langsung, penglibatan murid dalam koperasi adalah merupakan proses pembelajaran di luar bilik darjah. Perkara yang dipelajari di dalam kelas seperti subjek prinsip akaun dan matematik dapat dipraktikkan ketika murid-murid mencari pengalaman berniaga daripada penglibatan mereka dalam koperasi.sebagai contoh, murid-murid dalam beklajar cara menguruskan Akaun Tunai, membuat Kunci Kira-kira dan Timbang Duga apabila menutup akaun bagi setiap tahun.  Pengalaman tersebut juga membantu memudahkan murid-murid yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan dan menjadikan bidang tersebut  sebagai kerjaya pada masa hadapan bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh koperasi sekolah dapat membantu memberi pengalaman berniaga kepada murid-murid sekolah.

            Seterusnya, penubuhan koperasi juga memberi faedah untuk menjana pendapatan sekolah dengan membantu menambah sumber kewangan sekolah. Keuntungan diperoleh pihak koperasi berpunca daripada pembelian barangan koperasi oleh murid-murid, guru-guru dan warga sekolah. Oleh hal yang demikian, sebahagian keuntungan akan diberi kepada pihak sekolah supaya kewangan sekolah meningkat memandangkan koperasi merupakan kepunyaan sekolah. Di samping itu, kebanyakan koperasi juga dengan ikhlas memberi sumbangan untuk sekolah demi kemudahan murid-murid dan guru-guru. Misalnya, kemudahan bersolat di surau setiap sekolah dan menambah prasarana sesebuah sekolah merupakan sumbangan ikhlas daripada koperasi sekolah tersebut. Oleh itu, pendapatan dan keuntungan sesebuah koperasi dapat membantu meringankan beban sekolah dalam menyediakan kemudahan untuk guru dan para pelajarnya.

            Realitinya, tidak dapat dinafikan bahawa penubuhan koperasi membawa  semangat muhibah dalam kalangan guru dan murid. Buktinya, penglibatan murid-murid memudahkan guru-guru untuk menguruskan koperasi. Jika tiada kesepakatan, pengurusan koperasi tidak akan berjalan dengan lancar. Di samping itu, murid-murid juga dapat menimba ilmu daripada guru. Sebagai contoh, ilmu mengenai selok-belok perniagaan berkoperasi. Hubungan silaturahim antara guru dan murid juga akan terjalin dengan baiknya. Kerjasama mereka dalam pengurusan koperasi diibaratkan seperti aur dengan tebing. Justeru, pengurusan koperasi dapat mewujudkan jalinan dan jaringan antara pengurusan sekolah dengan pembekal barangan koperasi di sekolah.

                Intihanya, penubuhan koperasi oleh pihak sekolah yang telah lama berkembang di Malaysia seperti cendawan tumbuh selepas hujan memberi banyak faedah kepada warga sekolah termasuk guru dan murid. Dengan demikian, semua warga sekolah perlulah bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kebaikan yang diperoleh akan berterusan serta menambah baik tahap koperasi kepada yang lebih tinggi. Sekiranya semua pihak bekerjasama, nescaya impak positif penubuhan koperasi akan berkekalan dalam jangka masa yang lama. Jelaslah, peranan warga sekolah menaik taraf koperasi adalah sama penting dengan peranan koperasi terhadap warga sekolah.