CARA-CARA
MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN
Dalam
mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia menyaksikan iktisad (ekonomi)negara
membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang
semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama
hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namun
begitu, isu memupuk semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam
kalangan marhaen(golongan bawahan) di
Malaysia. Dewasa ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat
kita semakin hari semakin terpinggir. Maasyarakat pada hari ini lebih
mementingkan diri sendiri dan membudayakan hidup bagai enau dalam
belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dari segi konsepnya
semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk
oleh setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama
dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum demi negara yang tercinta.
Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda
ataupun tua yang perlu kita amalkan.Menurut Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah jiran
merupakan orang yang tinggal di sekeliling kita sama ada di depan, belakang,
kiri , atau pun kanan dan merupakan orang pertama yang membantu kita ketika
kita berada dalam kesusahan. Hal ini boleh dianalogikan seperti awan yang
melindungi bumi daripada cahaya matahari. Oleh itu, langkah yang signifikan harus
diambil bagi menerapkan semangat kejiranan kepada semua lapisan masyarakat.
Cara
yang afdal untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa perlu
menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana ibu bapa merupakan
guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa menunjukkan
teladan yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi
teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Sekiranya ibu bapa menunjukkan suri teladan yang buruk kepada anak-anak maka
mereka akan menjadi anak-anak yang jahat malah lebih teruk lagi. Hal
ini boleh dianologikan seperti anak burung yang baru belajar terbang daripada
ibunya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengunjungi atau menziarahi jiran
tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu,
ibu bapa haruslah tidak sombong dengan jiran dan sering bertegur-sapa agar
dapat memupuk semangat kejiranan. Kesannya, semangat kejiranan dapat dipupuk
antara jiran dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa sekali gus dapat mewujudkan
masyrakat yang harmoni. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk
oleh ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan
bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke arah kemajuan negara
pada masa akan datang. Tegasnya, contoh teladan yang terbaik daripada ibu bapa
mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan anak-anak.
Memetik
wasitah nirmala seterusnya, minhaj (cara) untuk
memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat setempat di Malaysia ialah program
rukun tetangga di kawasan perumahan mesti dihidupkan semula. Hal ini
kerana program rukun tetangga berfungsi sebagai perisai untuk mengawal
keselamatan kawasan perumahan
terutama pada malam hari. Anggotanya membabitkan semua pihak tanpa
mengira kaum kerana masing-masing bertanggungjawab menjaga keselamatan kendiri
dan keluarga. Sebagai contohnya, anggota rukun tetangga akan bergilir-gilir
bertugas meronda kawasan tanpa mengira usia, agama dan status. Secara ghalibnya (lazimnya),
senario ini akan mewujudkan jalinan hubungan yang mesra bagai
isi dengan kuku sekali gus memupuk semangat kejiranan yang
hakiki (sebenar). Menurut Tun Dr. Mahathir, jiran
yang muafakat akan membentuk masyarakat yang harmoni. Oleh itu, kita perlu mengaktifkan
program rukun tetangga bagi melahirkan semangat kejiranan yang utuh dan bersatu
padu.
Meninjau
dari skop yang lain, langkah yang seterusnya adalah dengan mengadakan
aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran
dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan
dilakukan. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong
adalah seperti membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan
untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka
akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus
membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat.
Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak
kenal maka tak cinta. Selepas mengenali hati budi antara satu sama lain
barulah benih-benih kasih sayang. Melalui cara ini, masyarakat yang penyayang
dapat dilahirkan di samping dapat menerapkan pelbagai nilai murni. Tun
Dr. Mahathir, Mantan Perdana Menteri pernah menegaskan bahawa dengan
melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan
pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kawasan kediaman
juga akan menjadi bersih dan terpelihara daripada penyakit demam denggi.
Jelaslah bahawa aktiviti gotong-royong dapat memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat.
Jika
dilihat dari perspektif yang lain, kita juga hendaklah mengadakan
majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini
dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam
kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanyakan
khabar dan bercerita tentang pengalaman masing-masing dengan lebih dekat.
Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat
berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang
disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya
Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis
rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Maka, dengan adanya
pengimplimentasian program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap
sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan
sayang-menyayangi antara satu sama lain ibarat kata bidalan, “serumpun
seperti serai, seikat seperti sirih”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian
dari Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran
program “Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang
kukuh di sembilan buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Pendek
kata, majlis rumah terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk
semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Lontaran idea yang seterusnya ialah kita mestilah menyemarakkan budaya
kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk
dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan
menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan
kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung
ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital
kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada
mengatakan bahawaberat mata memandang berat lagi bahu memikulnya,
namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha
kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai
semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan
keperitan yang dialami oleh jiran kita. Dengan ini, kita dapat meringankan
penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Izharlah bahawa amalan
ziarah-menziarahi mampu menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat kita.
Sebagai
menggulung segala lontaran idea yang telah dinyatakan, dapatlah disimpulkan
bahawa terdapat beberapa cara yang dapat dipraktikkan untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan
diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin
menebal. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan
seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara kerana bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh. Oleh itu, kita perlu memupuk semangat
kejiranan bermula daripada sekarang. Cogan kata “Jiran
Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita
sehari-hari. Golongan remaja seharusnya menyuburkan semangat kejiranan
kerana mereka merupakan pemimpin yang akan mewarnai corak pemerintahan pada
masa hadapan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan usaha ini pada
bahu satu pihak kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi.
Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi ibarat berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing untuk menghidupkan semangat kejiranan di
negara kita. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia,
sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu
kenal-mengenali”. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang
mempunyai perpaduan yang utuh dan kukuh.
No comments:
Post a Comment