Thursday, April 28, 2011

MENCARI KEBAHAGIAAN....


Kebahagiaan adalah matlamat hidup seseorang namun mencari kebahagiaan adalah perjalanan yang paling menyeronokkan dan menguji kesabaran. Hidup tanpa cabaran ibarat sepohon pokok mati yang tunggulnya tidak reput-reput. Mencacatkan pemandangan dan mata yang memandang. Hidup yang penuh cabaran ibarat sepohon pokok mati yang mereput dan tumbuh tunas yang baru, kemudian membesar dan mati dan sentiasa ada tunas yang baru bagi mengganti induk yang sudah mati. Itulah kehidupan yang penuh cabaran. Usaha mencapai kebahagiaan dalam kehidupan ialah mengharungi rintangan dan cabaran dalam kehidupan di sepanjang hayat kita. Jadi, kebahagiaan sangat sinonim dengan pertemuan yang diakhiri dengan perpisahan. Namanya Kebahagiaan Dalam Perpisahan....Renung-renungkan.

Wednesday, April 27, 2011

SELAMAT HARI ULANGTAHUN PERKAHWINAN.....

 Yang ke 15 Tahun Buat Cikgunie .....
SEKALUNG KASIH SEUNTAI SAYANG

Suamiku...
Tiada kata seindah bahasa 
Dapat kususun menjadi madah
Tiada nada sebaik tuturmu
Saat lidah kita bertingkah
Tiada gambar secantik budimu
Dapat kuukir menjadi bingkai
Tiada bicara selembut bayu
Menyapa nurani menikam kalbu...

Suamiku... 
Bicaramu
Sentuhanmu
Renunganmu
Membuat hati ini tenang
Beradu di bawah payung mahligai
Istana cinta yang telah kau bina
Hantaran usia perkahwinan kita....

Suamiku....
Sesungguhnya
Hati ini pernah tersadung
Dek terlalu asyik memandang bintang di langit
Jiwa ini pernah meronta kesakitan
Tatkala terkena panahan rasa
Cinta ini pernah terhumban
Ke dalam jurang yang terjal
Kasih ini pernah terbahagi
Saat tersesat dalam pencarian
Sayang ini pernah retak seribu
Tika kealpaan menyapa kalbu....

Suamiku...
Sesungguhnya
Dirimu SATU dalam SERIBU
Tiada dua tiada tiga
Aku benar-benar diulit bahagia
Hidup bersamamu
Aku benar-benar bersyukur
Menjadi kekasih awal dan akhirmu
CINTAMU
KASIHMU
SAYANGMU
Sesuci Cinta Muhammad kepada Khadijah
Sebening Kasih Muhammad kepada Aisyah
Selautan Sayang Muhammad kepada Fatimah
Bahagianya 
Seorang isteri seperti aku
Menghiasi kamar hatimu
Mendiami mahligai kasih sayangmu
Semoga Cinta kita
Mekar mewangi sepanjang hayat.
ilusirasa : roussenie a.r
27 APRIL 2011



Monday, April 25, 2011

Disiplin Pelajar Bermula Dari Rumah

Siapa pun kita, siapa pun anda, siapa pun mereka, di mana pun kita, apa pun gelaran kita, semuanya adalah sama. Kita adalah seorang insan yang diciptakan Allah Taala yang mempunyai jiwa, sukma dan kalbu untuk menzahirkan perasaan sama ada marah, kecewa, gembira atau suka. Setiap insan bernaung di bawah payung ikatan kekeluargaan yang di huni oleh pasangan ibu dan bapa. Setiap ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik dan membentuk sahsiah dan keperibadian anak-anak mereka. Ibu bapa adalah 'role model' atau suri teladan bagi anak-anak yang sedang membesar. Setiap perlakuan ibu bapa akan diperhati dan dinilai oleh anak-anak. Justeru, melentur buluh biarlah daripada rebungnya kerana ibu bapa adalah penentu kepada generasi pelapis anak-anak mereka. Janganlah sampai ibu bapa dilabelkan seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya sendiri berjalan siring. Murnikanlah jiwa masing-masing kerana bapa borek anak rintik. Biarlah ibu bapa menjadi seperti ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi kepada anak-anak mereka. Hal ini adalah kerana, jika baik perangai atau kelakuan ibu bapa, maka begitulah juga sikap anak-anak mereka. Oleh itu, setiap ibu bapa berperanan mendidik dan membimbing anak-anak mereka menjadi insan yang cemerlang dalam bidang akademik dan sahsiah. Kemenjadian anak-anak adalah lambang keberhasilan didikan ibu bapa mereka. Tetapi kita perlu ingat, dalam setandan kelapa, bukan semua buahnya baik. Apabila anak-anak tidak menjadi seperti yang diimpikan, selidiklah masalah anak-anak kita. Kemudian berilah nasihat dan berilah tunjuk ajar yang berguna kepada mereka. Setiap anak-anak mempunyai kemahiran dan fiil yang berbeza. Selamilah hati dan perasaan mereka. Biarkan anak-anak damai dan tenteram berada di bawah naungan ibu bapa mereka kerana siapa pun anak-anak kita, mereka adalah seorang insan yang inginkan perhatian.

Sunday, April 24, 2011

CARA-CARA MENJANA PENDAPATAN...

BAGAIMANA?????
Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika kita ingin menjana pendapatan tetap atau pendapatan sampingan, fikirkan apakah yang ingin kita lakukan. Paling penting biarlah ia sesuai dengan kemahiran dan bakat yang kita miliki. Sekiranya kita minat memasak, fikirkan kaedah untuk menjana pendapatan melalui masakan kita. Contoh paling mudah, kita suka masak masakan kampung. Hari-hari kita masak benda yang sama sehingga kita mahir. Jadi tunggu apa lagi. Mulakan perniagaan anda sekarang. Ingatlah bahawa langkah beribu batu bermula dengan langkah yang pertama. Mulakan perniagaan anda hari ini seperti Cikgunie......

Thursday, April 21, 2011

Wednesday, April 13, 2011

Bagaimana, mengapa dan kenapa??????

Bagaimana?
Mengapa?
Kenapa?
Soalan demi soalan menerpa ke segenap ceruk saraf. Selebrum, serebrum dan modular oblangata seperti gagal berfungsi. Semuanya kerana dia. Dia yang menjadi tetamu rindu pada setiap musim kenangan. Melata dan bertebaran mencari garis penamat namun belum pernah ketemu. Akhirnya aku menangis. Tangisan pengubat jiwa. Air mata penawar duka.







Tuesday, April 5, 2011

Perbezaan perkataan "baharu" dengan "baru"

"baru" bermaksud belum lama lagi
 Contoh ayat : Dia baru sampai
"baharu" bermaksud belum buruk lagi.
Contoh ayat : Ali memakai baju baharu setiap kali menghadiri mesyuarat.

Monday, April 4, 2011

UJIAN KEHIDUPAN....

Setiap benda yang kita lakukan di dunia ini akan dinilai oleh orang yang melihat kita setiap hari. Begitu juga dengan perbuatan yang kita lakukan di dunia ini akan dihitung oleh "Khaliq" kita. Apa yang ingin Cikgunie sentuh di dalam perbincangan ini ialah penilaian orang terhadap diri kita. Kita tidak boleh menyekat persepsi orang terhadap kita sama ada positif atau negatif. Penerimaan orang terhadap cara dan tingkah laku kita adalah berbeza-beza. Orang yang sukakan kita akan menilai diri kita daripada aspek positif manakala orang yang tidak suka akan kita, mereka akan melihat kita dari pandangan yang negatif. Kita sama sekali tidak boleh memaksa orang menyukai atau membenci kita. Itu adalah pandangan masing-masing.
Apa yang ingin Cikgunie kongsikan dengan pembaca sekalian adalah pandangan dan penilaian orang terhadap Cikgunie. Sebagai insan yang bergelar manusia, Cikgunie tidak terlepas daripada ujian yang diturunkan oleh "Khaliq" terhadap Cikgunie. Ujian kehidupan yang menimpa Cikgunie ialah apabila orang yang tidak suka akan Cikgunie telah menabur fitnah kepada Cikgunie kononnya Cikgunie telah merampas peluangnya untuk naik pangkat. Cikgunie selalu berpesan kepada diri Cikgunie dan kawan-kawan Cikgunie bahawa rezeki kita adalah pemberian Allah Taala kepada hamba-hamba yang selalu meminta kepadaNya. Apabila kita tidak mendapat sesuatu yang kita inginkan, sepatutnya kita bermuhasabah mengapa kita tidak mendapat kehendak kita. Janganlah sesekali kita membabitkan orang lain dan menuduh orang mensabotaj kita. Lihatlah kekurangan yang ada dalam diri kita dan nilailah diri kita mengikut penilaian orang lain. InsyaAllah, jika kita ikhlas, kita akan dapat apa yang kita hajati. Ingatlah, untuk memetik bintang, kita perlukan galah yang panjang tetapi untuk memetik jari kita tidak perlukan apa-apa.
Semua ujian dalam kehidupan adalah untuk mematangkan kita menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang. Kita perlu tabah menghadapi liku-liku kehidupan agar mendapat ganjaran yang tiada ternilai pada masa akan datang. Redha adalah ubat paling mujarab ketika menghadapi ujian kehidupan kerana kita akan tenang dan dapat memperbaiki kelemahan diri.
Ku akui kelemahan diri...
Ku insafi kejahilan ini...
Terimalah...
Terimalah....
Terimalah...
Taubatku ini...
Fikirlah, apabila melakukan kesilapan, taubat adalah sebaik-baik perbuatan kerana sesat di hujung jalan, kita akan balik ke pangkal jalan. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Oleh itu, kita perbaikilah kelemahan kita kerana membetulkan perkara yang betul adalah sukar. Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa. 
UJIAN + REDHA = KETENANGAN