Photobucket

Monday, April 4, 2011

UJIAN KEHIDUPAN....

Setiap benda yang kita lakukan di dunia ini akan dinilai oleh orang yang melihat kita setiap hari. Begitu juga dengan perbuatan yang kita lakukan di dunia ini akan dihitung oleh "Khaliq" kita. Apa yang ingin Cikgunie sentuh di dalam perbincangan ini ialah penilaian orang terhadap diri kita. Kita tidak boleh menyekat persepsi orang terhadap kita sama ada positif atau negatif. Penerimaan orang terhadap cara dan tingkah laku kita adalah berbeza-beza. Orang yang sukakan kita akan menilai diri kita daripada aspek positif manakala orang yang tidak suka akan kita, mereka akan melihat kita dari pandangan yang negatif. Kita sama sekali tidak boleh memaksa orang menyukai atau membenci kita. Itu adalah pandangan masing-masing.
Apa yang ingin Cikgunie kongsikan dengan pembaca sekalian adalah pandangan dan penilaian orang terhadap Cikgunie. Sebagai insan yang bergelar manusia, Cikgunie tidak terlepas daripada ujian yang diturunkan oleh "Khaliq" terhadap Cikgunie. Ujian kehidupan yang menimpa Cikgunie ialah apabila orang yang tidak suka akan Cikgunie telah menabur fitnah kepada Cikgunie kononnya Cikgunie telah merampas peluangnya untuk naik pangkat. Cikgunie selalu berpesan kepada diri Cikgunie dan kawan-kawan Cikgunie bahawa rezeki kita adalah pemberian Allah Taala kepada hamba-hamba yang selalu meminta kepadaNya. Apabila kita tidak mendapat sesuatu yang kita inginkan, sepatutnya kita bermuhasabah mengapa kita tidak mendapat kehendak kita. Janganlah sesekali kita membabitkan orang lain dan menuduh orang mensabotaj kita. Lihatlah kekurangan yang ada dalam diri kita dan nilailah diri kita mengikut penilaian orang lain. InsyaAllah, jika kita ikhlas, kita akan dapat apa yang kita hajati. Ingatlah, untuk memetik bintang, kita perlukan galah yang panjang tetapi untuk memetik jari kita tidak perlukan apa-apa.
Semua ujian dalam kehidupan adalah untuk mematangkan kita menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang. Kita perlu tabah menghadapi liku-liku kehidupan agar mendapat ganjaran yang tiada ternilai pada masa akan datang. Redha adalah ubat paling mujarab ketika menghadapi ujian kehidupan kerana kita akan tenang dan dapat memperbaiki kelemahan diri.
Ku akui kelemahan diri...
Ku insafi kejahilan ini...
Terimalah...
Terimalah....
Terimalah...
Taubatku ini...
Fikirlah, apabila melakukan kesilapan, taubat adalah sebaik-baik perbuatan kerana sesat di hujung jalan, kita akan balik ke pangkal jalan. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Oleh itu, kita perbaikilah kelemahan kita kerana membetulkan perkara yang betul adalah sukar. Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa. 
UJIAN + REDHA = KETENANGAN 

No comments:

Post a Comment