Siapa pun kita, siapa pun anda, siapa pun mereka, di mana pun kita, apa pun gelaran kita, semuanya adalah sama. Kita adalah seorang insan yang diciptakan Allah Taala yang mempunyai jiwa, sukma dan kalbu untuk menzahirkan perasaan sama ada marah, kecewa, gembira atau suka. Setiap insan bernaung di bawah payung ikatan kekeluargaan yang di huni oleh pasangan ibu dan bapa. Setiap ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik dan membentuk sahsiah dan keperibadian anak-anak mereka. Ibu bapa adalah 'role model' atau suri teladan bagi anak-anak yang sedang membesar. Setiap perlakuan ibu bapa akan diperhati dan dinilai oleh anak-anak. Justeru, melentur buluh biarlah daripada rebungnya kerana ibu bapa adalah penentu kepada generasi pelapis anak-anak mereka. Janganlah sampai ibu bapa dilabelkan seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya sendiri berjalan siring. Murnikanlah jiwa masing-masing kerana bapa borek anak rintik. Biarlah ibu bapa menjadi seperti ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi kepada anak-anak mereka. Hal ini adalah kerana, jika baik perangai atau kelakuan ibu bapa, maka begitulah juga sikap anak-anak mereka. Oleh itu, setiap ibu bapa berperanan mendidik dan membimbing anak-anak mereka menjadi insan yang cemerlang dalam bidang akademik dan sahsiah. Kemenjadian anak-anak adalah lambang keberhasilan didikan ibu bapa mereka. Tetapi kita perlu ingat, dalam setandan kelapa, bukan semua buahnya baik. Apabila anak-anak tidak menjadi seperti yang diimpikan, selidiklah masalah anak-anak kita. Kemudian berilah nasihat dan berilah tunjuk ajar yang berguna kepada mereka. Setiap anak-anak mempunyai kemahiran dan fiil yang berbeza. Selamilah hati dan perasaan mereka. Biarkan anak-anak damai dan tenteram berada di bawah naungan ibu bapa mereka kerana siapa pun anak-anak kita, mereka adalah seorang insan yang inginkan perhatian.
No comments:
Post a Comment