Wednesday, August 27, 2014

Kemalangan Jalan Raya

Malang tidak berbau. Setiap hari berlaku kemalangan jalan raya. Tengahari semalam 26/8/2014 berlaku kemalangan jalan raya di kilometer 20 Jalan Kuala Nerang - Alor Setar. Kemalangan berlaku apabila pemandu kereta waja berusia 70-an membuat pusingan U tanpa menyedari sebuah kereta Proton Kelisa mengekorinya dari belakang. Kereta Kelisa itu dipandu oleh seorang guru yang berusia 59 tahun. Guru tersebut tidak sempat mengelak lalu merempuh pintu sebelah kiri kereta Waja tersebut di laluan motosikal. Murid yang melalui lorong motosikal tidak sempat mengelak dan melanggar kedua-dua buah kereta tersebut. Kemalangan pun berlaku.

Tuesday, August 26, 2014

Tahniah Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek

Alhamdulillah. Akhirnya ada Menteri yang berani bersuara. Hidup mesti diteruskan walaupun berlaku tragedi MH17. Memori Chow Kit Road 2.0 tetap diteruskan walaupun Negara kehilangan pesawat MH17 pada 17/7/2014. Kita mesti meneruskan kehidupan seperti biasa kerana yang pergi tidak akan kembali. Ajal, maut, jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Siapa kita untuk menidakkan takdir Tuhan. Ingatlah setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Reda, tawakkal dan pasrah adalah sebaik-baik tindakan.

Sunday, August 24, 2014

Cinta Dunia dan Takut Mati

"Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka." Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dan hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'Wahan'," seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu, ya Rasulullah?" Nabi menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati." HR Abu Daud. 

NILAI KEMATIAN PENUMPANG MH17


Dalam kejadian pada 17/7/2014 yang lalu, Pesawat Malaysia Airlines MH 17 Boeing 777-200 dikemudi oleh Kapten Wan Amran Bin Wan Hussin, Kapten Choo Jin Leong Eugene bersama 13 anak kapal diketuai oleh Ketua Pramugara Mohd Ghafar Bin Abu Bakar yang dibantu oleh Muhamad Firdaus Bin Abdul Rahim, Ahmad Hakimi Bin Hanafi, Dora Shahila Bin Kassim, Azrina Binti Yakob, Lee Hui Pin, Mastura Binti Mustapa, Chong Yee Pheng, Shaikh Mohd Noor Bin Mahmood, Sanjid Singh Sandhu, Hamfazlin Sham, Nur Shazana binti Mohamed Salleh dan Angeline Premila Rajandaran. Malangnya pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur itu telah ditembak jatuh dan terhempas di Timur Ukraine dalam wilayah Donetsk. Seramai 298 orang penumpang termasuk anak kapal terbunuh dalam nahas yang ‘disengajakan’ itu.

 
Kematian tidak dapat dielakkan dalam hidup seseorang manusia. Setiap orang daripada kita akan merasai mati. Cuma cara dan masa kematian sahaja yang tidak sama. Ada orang mati kerana terlibat dalam nahas jalan raya, ada yang mati kerana sakit kronik seperti barah, serangan jantung atau kencing manis, ada juga yang mati kerana dibunuh, lemas, bunuh diri dan sebagainya. Setiap orang yang mati pula ada yang beritanya dipaparkan di dada akhbar, ada yang disampaikan melaui laman sosial dan ada yang kematiannya tidak diketahui oleh orang langsung. Kematian itu kadang kala disensasikan dan kadangkala tidak mendapat liputan media pun kerana bergantung kepada siapa yang mati itu. Jika orang yang mati itu orang kenamaan atau selebriti maka ia akan mendapat liputan yang meluas. Tetapi jika orang yang mati itu warga tua, mat rempit, pendatang asing atau orang kampung yang tiada kepentingan, kematian mereka dianggap satu lumrah. Jika murid sekolah, warga guru atau anak-anak guru yang meninggal kerana kecuaian, kematian mereka akan juga disensasikan dan seluruh negara akan tahu. Begitu juga dengan kematian para penumpang MH17 yang terhempas pada 17/7/2014 yang lalu. Seluruh dunia bersedih dan semua rakyat Malaysia meratapi tragedi tersebut. Tahun ini juga dianggap tahun dukacita kerana Malaysia baru sahaja kehilangan pesawat MH370 pada Mac 2014 yang lalu. Kita memang bersedih tetapi ajal dan maut tiada siapa yang dapat menghalang.

 
Persoalannya, perlukah negara berkabung, meratapi dan berulang-ulang mendapat pengiktirafan atau yang berlebihan daripada kerajaan? Pampasan diterima waris ratusan ribu ringgit, penghormatan dan perkabungan yang diisytiharkan oleh kerajaan dianggap keterlaluan. Adakah mereka para pejuang yang syahid kerana mempertahankan kedaulatan negara? Atau adakah mereka barisan hadapan negara yang bermatian memperjuangkan kemerdekaan negara kita sehingga penghormatan yang diberikan kepada mereka melampai penghormatan yang diberikan kepada anggota polis dan tentera yang berjuang di Lahad Datu pada Mac 2013? Kematian para pejuang di Lahad Datu itu sangat mengerikan. Ada yang mayatnya ditoreh, dikelar dan dikerat oleh puak Suluk. Sedangkan para penumpang dan krew MH17 ditembak jatuh oleh siapa pun kita belum kenal pasti lagi kerana belum ada pihak yang mengaku. Rundingan yang dibuat oleh PM kita dengan Alexander Bodorai ketua puak pemisah Ukraine telah membenarkan 282 mayat yang ditemui dibawa ke Amsterdam Belanda sebelum diterbangkan ke negara asal penumpang pesawat berkenaan. Dalam kes ini, PM adalah orang yang layak diberi penghormatan kerana Barrack Obama pun belum tentu dapat berunding dengan puak pemisah di Ukraine.

 
Semua pihak telah dan redha dengan tragedi tersebut. Mati itu pasti dan semua orang akan merasai mati. Setiap yang hidup akan mati juga suatu hari nanti. Tidak salah kita memberi penghormatan kepada mereka kerana mereka tidak bersalah tetapi memberi pengiktirafan dan penghormatan yang melampau akan mengguris hati banyak pihak terutama pihak pejuang negara yang tidak pernah seorang pun mengiktiraf mereka sedemikan rupa. Cikgunie tidak menghalang orang yang hendak berkabung dan bersedih tetapi janganlah sampai kita menganggap para penumpang yang terbunuh dalam nahas MH17 ini dianggap syahid dan mati kerana memperjuangkan kedaulatan negara. Tepuk dada tanya diri betulkah apa yang sedang kita lakukan ini kerana penghormatan hanya diberikan kepada orang yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Adakah negara-negara lain yang rakyatnya terbunuh dalam nahas MH17 juga memberi penghormatan seperti apa yang kita buat sekarang?
 
Semoga semua penumpang dan anak kapal MH17 beragama Islam yang terbunuh dalam nahas pada 17/7/2014 ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
 
 

Thursday, August 21, 2014

Muhammad Aqil Arfan Bin Adnan

Damailah Engkau Di Sana Kerana Tempatmu Adalah Dalam Syurga Allah

 
Rutin sekolah hari Rabu bersamaan 20 Ogos 2014 di SMK Kuala Nerang seperti biasa. Semua guru dan staf serta murid-murid belajar seperti biasa. Ustaz Adnan ditegur oleh seorang guru Sains kerana keretanya tidak masuk parking dengan betul. Selepas itu  Ustaz Adnan pun masuk semula ke dalam kereta untuk membetulkan parking keretanya. Pada hari itu dia membawa kereta Nissan Almeera. Pada waktu Zohor pula selepas habis kelas, Ustaz Adnan masuk semula ke dalam kereta dan membawa kereta ke surau kerana beliau akan mengimamkan Jemaah solat pada hari tersebut. Kemudian Ustaz Adnan meneruskan tazkirah tentang pentingnya menjaga adab dan disiplin untuk murid-murid sekolah SMK Kuala Nerang sehingga jam 2.30 petang. Cikgunie berselisih dengan  beliau di pejabat merasa hairan kerana dia belum pulang. Rupanya dia menunggu isterinya habis kursus pada jam 4.00 petang. Cikgunie sempat berbincang selama 15 minit tentang pembangunan sahsiah murid-murid dengan Ustaz Adnan. Kemudian beliau berlalu ke kantin. Selepas makan dan ketika hendak masuk ke dalam keretanya baharulah beliau ternampak anaknya di bawah tempat duduk belakang kereta. Ketika itu Muhammad Aqil Arfan yang berusia 4 tahun sudah tidak sedarkan diri. Darah banyak yang mengalir keluar dari hidungnya. Sebagai seorang bapa, bagaimanakah perasaan Ustaz Adnan ketika itu? Cikgunie nampak ketabahan seorang bapa menghadapi ujian seperti itu sangat kuat. Beliau membawa anaknya ke Hospital Kuala Nerang tetapi anaknya telah disahkan meninggal dunia. Ajal seseorang anak Adam sudah ditentukan sejak kita dilahirkan. Oleh itu, tabah menghadapi dugaan dan redha dengan setiap ujian yang menimpa kita adalah sebaik-baik tindakan. Untukmu Muhammad Aqil Arfan, damailah engkau di sana.

Wednesday, August 20, 2014

Surat Cinta

Pertama kali Cikgunie terima surat cinta...huhuhu




Soalan Ramalan Kertas 2 B.Melayu 2014

TATABAHASA
Soalan 3 (b)

Jenis-jenis Ayat
AYAT PENYATA
AYAT TANYA
AYAT SERUAN
AYAT PERINTAH (Suruhan, Larangan dan Permintaan)

Binaan Ayat
Setiap ayat terdiri daripada SUBJEK di pangkal ayat  DAN PREDIKAT di belakang ayat.
Setiap SUBJEK terdiri daripada Kata Nama dan PREDIKAT boleh terdiri daripada Kata Nama, Kata Adjektif, Kata Kerja dan Kata Sendi Nama.
Contoh
Abu / sedang makan kerepek pisang di kantin sekolah.
(SUBJEK - Abu)
(PREDIKAT - sedang makan kerepek pisang di kantin sekolah.)

Pola Ayat
FRASA NAMA + FRASA NAMA (FN+FN)
FRASA NAMA + FRASA ADJEKTIF (FN+FA)
FRASA NAMA + FRASA KERJA (FN+FK)
FRASA NAMA + FRASA SENDI NAMA (FN+FSN)

Contoh
Nama saya + Rusni binti Ahmad. (FN + FN)
Anak sulung saya + sangat cemerlang dalam aktiviti kokurikulum. (FN + FA)
Kucing itu + sedang mengejar seekor tikus di halaman rumah. (FN + FK)
Pesawat MAS yang membawa jenazah rakyat Malaysia+ dari Amsterdam akan tiba di KLIA pada 22 Ogos 2014. (FN + FSN)

Tuesday, August 19, 2014

SABAR

Maksud sabar ialah menahan diri daripada amarah kerana sesuatu musibah menimpa kita seperti panggilan telefon tidak berjawab, mesej tidak dibalas atau whatsapp tidak dikomen. Fikir yang positif kerana mungkin kawan kita sedang solat atau sedang mesyuarat atau sebagainya. Sabar dan jangan marah kawan-kawan kita....hehehe

Wednesday, August 13, 2014

Jangan Bertangguh, Jangan Menunggu

Masa berlalu bagaikan angin yang bertiup. Tidak nampak tetapi tetap terasa dinginnya menyapa seluruh tubuh. Sesekali sejuknya mencengkam hingga ke tulang sum sum. Masa memang tidak menunggu apalagi mempedulikan kelewatan kita, walaupun kita menyedari kehadirannya.
 
Untuk memulakan sesuatu sebenarnya tidak ada istilah terlewat. Kita selalu mendengar ungkapan jangan tunggu hingga hari esok. Juga ungkapan Masa Itu Emas dan Masa Ibarat Mata Pedang Yang Memancung Leher. Kalau mahu, kita boleh mengubah diri kita sekarang. Kita tidak perlu ternanti-nanti atau mencari masa yang sesuai sehingga bertahun-tahun lamanya untuk mengubah diri. Sebenarnya setiap masa dan setiap saat ialah masa yang sesuai untuk kita mengubah prinsip hidup atau mengubah cara hidup kita yang salah atau yang tersasar sebelum ini.
 
Selagi kita mengamalkan sikap suka bertangguh atau suka menunggu, selagi itulah kita tidak dapat menyelesaikan masalah dan mengubah diri menjadi apa yang sepatutnya kita jadi dan bukan menjadi apa yang tidak kita ingini. Kita harus berpesan kepada diri dan menetapkan dalam hati bahawa biarlah keadaan hari ini lebih baik daripada hari semalam dan keadaan hari esok lebih baik daripada hari-hari yang berlalu.
 
Sesungguhnya kita tidak akan berubah sekiranya kita hanya tunggu dan lihat takdir kita tanpa berbuat apa-apa. Apabila sedar masa tidak menunggu kita dan tidak ada tangan lain yang boleh mengubah nasib kita, kita perlu mengorak langkah walaupun perlahan tetapi biarlah teratur dan tersusun agar kita dapat mendaki puncak kejayaan seperti orang lain. Jika kita masih menunggu dengan pelbagai alasan, kita tetap akan menjadi penunggu sampai bila-bila. Hasilnya kita tidak akan mendapat apa-apa pun.
 
Manusia yang berubah ialah orang yang berani membuat keputusan. Biarlah keputusan itu tidak memihak kepada kita tetapi dengan keputusan yang ada kita dapat berubah. Tiada manusia yang sempurna kerana setiap kejadian Allah Taala saling berkait antara satu sama lain. Gunakan masa yang ada untuk berfikir sebelum membuat keputusan. Walaupun pahit dan perit kita perlu menerima hakikat bahawa dunia tidak akan kiamat dengan keputusan yang kita buat. Selagi kita bertangguh untuk membuat keputusan selagi itu masalah tidak selesai. Masalah yang tidak selesai akan melewatkan kita untuk mengorak langkah ke hadapan. Sekali kita terlewat peluang untuk mengecap nikmat kejayaan dan kebahagiaan juga mungkin lewat daripada orang lain.
 
"Dan hari-hari kejayaan itu dikurniakan kepada umat manusia dengan bergiliran." (Surah Ali'Imran : 140)
 
Fikirkan dan renungkan.
P/S : Sekadar luahan Cikgunie di bulan Syawal ini.

Tuesday, August 12, 2014

Boikot McDonalds

GARA-GARA SEKEPING GAMBAR
Gambar ini Cikgunie rakam semasa cuti sekolah bulan Jun 2014. Gara-gara lokasinya di dalam restoran McDonalds, Cikgunie dikecam hebat oleh group Whatsapp Cikgunie semalam. Semuanya bermula apabila Cikgunie mengubah gambar profile whatsapp Cikgunie dengan memuatkan gambar bersama suami Cikgunie. Kesannya sampai hari ini Cikgunie tak berani buka whatsapp kerana lebih 100 komen mengecam Cikgunie menyokong Israhell...

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menjaga sensitiviti masyarakat sebelum menulis atau memuat naik gambar dalam laman sosial. Contoh paling dekat ialah Cikgunie. Isu di sini ialah rakyat seluruh dunia sedang memboikot syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan Israel. Jadi, kita perlu buat sesuatu sebagai tanda protes yang kita tidak sukakan cara Israel membunuh kanak-kanak dan wanita di Gaza. 

Ini yang mampu Cikgunie dan Warga SMK KUALA NERANG BUAT...

Sunday, August 10, 2014

Marah, Benci dan Dendam

Perasaan ialah anugerah Allah kepada kita. Ekspreasi diri kita dizahirkan melalui perasaan. Kadang kala kita gembira. Ada kalanya kita berduka. Kadang kala kita marah. Ada ketikanya kita rindu. Pada masa yang lain kita terlalu penyayang. Ada masanya kita terlalu membenci. Itulah namanya sebuah perasaan. Bervariasi dan penuh kepelbagaian.

Setiap manusia pasti akan mempunyai perasaan marah. Kenapa? Kerana permintaannya tidak dipenuhi. Kesannya? Perasaan marah akan melahirkan rasa benci. Apabila benci menguasai diri akan timbul perasaan dendam di hati. Namun jika kita dapat mengenang kembali kebaikan seseorang perasaan marah, benci dan dendam tidak akan wujud dalam diri kita. Perasaan benci akan melahirkan dendam kesumat sehingga kita tidak nampak langsung kebaikan seseorang terhadap kita sehingga kita tergamak membuang semua nombor telefon, semua akaun facebook atau whatsapps dan semua pemberian kita terhadap seseorang.
 
 Ingatlah, jika berlaku perselisihan faham, selesaikanlah secara baik kerana perasaan marah dan benci tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya mewujudkan permusuhan. Apabila berlakunya permusuhan maka ia akan bertukar menjadi dendam. Biasanya dendam tidak akan berakhir. Fikirkan dan renungkan sejenak. Buanglah perasaan dendam kerana ia akan memberi kesan dalam kehidupan kita. Bermaafanlah selagi mampu dan bersahabatlah dengan seseorang hingga ke hujung nyawa. Jika kita ikhlas dalam bersahabat, perasaan marah, benci dan dendam akan hilang seperti air sungai yang mengalir di celahan batu di pergunungan. Sejuk dan mendamaikan. Hilang marah, lahirlah perasaan saying. Hilang benci lahirlah perasaan rindu. Hilang dendam terlerailah sebuah perasaan yang sukar dimengertikan.

Soalan Peperiksaan B. Melayu SPM (U) Julai 2014

                                              Bahagian B
                                                                        [100 markah]
                                                      [Masa dicadangkan : 1 jam 30 minit]

Pilih satu daripada soalan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.

1  Penduduk di tempat tinggal anda telah mengadakan majlis sambutan hari keluarga.
    Ceritakan penglibatan anda dalam menjayakan majlis tersebut.
 
2  Penjagaan terhadap warga tua sepatutnya diberikan keutamaan oleh ahli keluarga.
    Berikan hujah-hujah anda untuk menyokong pernyataan di atas.
 
3  Perkembangan pelbagai bidang industry di Negara kita seperti industry automotif,  
    perbankan da pelancongan telah membuka banyak peluang kepada rakyat.
    Ulas pernyataan di atas.
 
4  Perubahan cuaca dunia yang tidak menentu perlu diberikan perhatian.
    Jelaskan usaha-usaha yang dapat dilakukan pada peringkat antarabangsa untuk
    menangani perkara tersebut.
 
5  Negara kita yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, kaya dengan pelbagai
    budaya  seperti makanan, pakaian, tarian dan alatan muzik.
    Bincangkan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan untuk memastikan generasi
    muda dapat mengamalkan, menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya ini.

Soalan Peperiksaan B. Melayu SPM (U) Julai 2014

BAHAGIAN A

Lihat gambar di bawah dengan teliti.
Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah menjaga keselamatan kanak-kanak. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Mengawasi anak-anak di tempat awam

Sentiasa berada dalam kumpulan

Mempelajari ilmu mempertahankan diri
 

KEMBALI KEPADA FITRAH

Majlis Rumah Terbuka dan Kenduri Kahwin
Menu Cikgunie Di Rumah Terbuka Ahli Parlimen Padang Terap
Aidil Fitri bermaksud kembali kepada fitrah. Menjelang bulan Syawal, semua umat manusia yang beragama Islam akan kembali kepada fitrah selepas sebulan berpuasa. Majlis Rumah Terbuka dan Kenduri kahwin memenuhi calendar Cikgunie sepanjang bulan Ogos 2014. Puasa Sunat Enam belum lagi bermula. Setiap hari dipenuhi jemputan Rumah Terbuka dan kenduri kahwin. Baru dua minggu beraya, badan dah naik 3 kilo...
YB Parlimen Padang Terap Dato' Seri Mahdzir Khalid


 Bersama Puan Seri

Tanda Kita Menyayangi Seseorang

APABILA KITA GAGAL MEMBENCI ORANG YANG KITA SAYANGI, ITU ADALAH TANDA KITA SANGAT MENCINTAINYA.

Best Friend Forever


Monday, August 4, 2014

CERITA TELEFON BIMBIT

Alkisah sebuah ceritera di bulan Syawal di hari pertama persekolahan. Oleh kerana negeri Kedah bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu, maka hari persekolahan bermula pada 3 Ogos 2014. Cikgunie sangat sibuk dengan urusan sekolah dan berulang-alik ke hospital.
 
Selepas waktu persekolahan, Cikgunie bergegas ke hospital untuk mencuci luka akibat pemebedahan kecil bisul di lutut Cikgunie. Selesai buat "dressing", Cikgunie bergegas ke Pejabat Pos Kuala Nerang untuk menghantar borang permohonan ke Putrajaya. Oleh kerana Pejabat Pos ditutup pada jam 5.00 petang dan pada masa Cikgunie sampai jam menunjukkan angka 4.45 petang, Cikgunie kelam kabut menguruskan pembelian sampul pos ekspres untuk mengepos surat. Cikgunie terlupa langsung tentang tangan Cikgunie yang memegang telefon bimbit semasa masuk ke Pejabat Pos.
 
Selesai urusan di Pejabat Pos, Cikgunie pun pulang ke rumah dengan penuh kepenatan. Cikgunie tidak teringat langsung pasal telefon bimbit sehinggalah pada jam 10.15 malam, Cikgunie hendak set alarm dalam telefon bimbit. Pada ketika itulah baru Cikgunie teringat telefon bimbit Cikgunie. Puas mencari barulah Cikgunie teringat, tempat terakhir Cikgunie menggunakan telefon bimbit ialah di Pejabat Pos. Sebenarnya Cikgunie mempunyai sebuah lagi telefon bimbit tetapi tidak dapat buat panggilan keluar kerana suami Cikgunie belum bayar bil yang tertunggak.
 
Pada masa itu Cikgunie hanya mampu berdoa agar ada orang yang tolong ambil dan simpan telefon bimbit Cikgunie. Cikgunie juga berharap agar suami Cikgunie akan menghubungi Cikgunie melalui telefon bimbit itu. Namun sampai jam 12 tengah malam, tiada sesiapa pun menghubungi telefon Cikgunie yang satu lagi. Walaupun telefon bimbit itu bukan telefon pintar tetapi di dalamnya mengandungi semua nombor kawan-kawan dan pejabat-pejabat rasmi yang selalu Cikgunie hubungi. Akhirnya dengan penuh harapan Cikgunie terlelap juga.
 
Arakian tatkala ayam berkokok di subuh nan sunyi, Cikgunie terkejut telefon bimbit Cikgunie yang hanya selalu dihubungi oleh suami Cikgunie berbunyi dan nombor yang membuat panggilan ialah nombor telefon bimbit Cikgunie yang hilang! Astagfirullahal'azim!
 
"Hello! Boleh bercakap dengan Puan Rusni?"
"Ya. Saya bercakap!"
"Saya Farid Wajdy dari Taman Pelangi....bla...bla...."
"Alhamdulillah. Dari mana dapat nombor saya yang ini?"
"Maaf Puan. Saya call banyak nombor dari telefon bimbit Puan tapi tak ada yang jawab. Banyak juga yang saya hantar SMS tapi tak ada yang jawab juga. Pagi ni saya terima panggilan dari nombor 013XXXXXXX minta call balik. Katanya dia guna telefo kawan nak cakap dengan Ibu. Lepas tu baru saya tau orang itu ialah anak Puan Rusni yang belajar di Sekolah Menengah Agama WP Labuan." Barulah Encik Farid tahu bahawa di Labuan cepat cerah berbanding Semenanjung.
Hatta, pagi-pagi buta pada hari ini, seorang hamba Allah yang baik budi dan cantik pekerti telah dating menunggu Cikgunie di pagar sekolah semata-mata untuk memulangkan telefon bimbit Cikgunie.
 
Alhamdulillah! Syukur kepada Allah!
Allah masih sayangkan Cikgunie.
Mulai hari ini Cikgunie semakin yakin, sekiranya barang itu milik Cikgunie biarlah hilang berkali-kali ia tetap akan pulang ke pangkuan Cikgunie.
Kepada kawan-kawan yang masih bersahabat dan tidak lagi bersahabat dengan Cikgunie tetapi telah dihubungi oleh panggilan dan SMS daripada telefon Cikgunie sejak petang semalam hingga tengah malam tadi, Cikgunie minta maaf bagi pihak Encik Farid. Dia cuma ingin mencari tuan punya telefon bimbit 013XXXXXXX iaitu nombor Cikgunie sendiri.
 
Ingatan untuk kawan-kawan dan pembaca blog Cikgunie, jangan sesekali meletakkan nama samaran orang tersayang atau pasangan kita dengan nama yang pelik-pelik kerana jika telefon kita hilang, sukar orang yang menjumpainya untuk menghubungi kita.
Contoh Cikgunie sendiri. Nombor telefon suami Cikgunie letak My Love. Nombor anak sulung letak nama My Heart. Nombor anak kedua My Dear dan lain-lain lagi. Letaklah nama Suamiku atau Anakku untuk insan-insan yang berada di sisi kita.
 
Paling penting jangan kunci telefon bimbit kita dengan menggunakan password yang bukan-bukan. Rezeki Cikgunie tetap ada kerana Cikgunie tidak gunakan sebarang kata laluan untuk telefon bimbit Cikgunie. Jadi Encik Farid yang menjumpainya dapat membuka telefon bimbit Cikgunie dan berusaha mencarinya. Alhamdulillah! Terima kasih Encik Farid.

Sunday, August 3, 2014

Selagi Ada Rindu





Pertemuan adalah anugerah

Perpisahan adalah hukuman

Selagi ada ombak dan lautan

Selagi ada mentari dan bulan

Selagi ada rindu di hati

Selagi itu cintaku bersemi.....


Kenangan Raya 2014

Apabila Gambar Bercerita





Friday, August 1, 2014

Salam Buat Baby Comel

Tidak pernah aku menduga
Tidak pernah aku menyangka
Bertemu wajah yang sering menghiasi mimpi-mimpiku
Di taman astakona ini

Dengan penuh kerinduan
Baby Comel aku tatap sepuasnya
Ada riak kurang senang
Ada tanda duka di balik wajahnya
Bersama buih-buih kerinduan
Aku hulurkan jemariku
Mengusap wajah kesayanganku
Pantas jemariku ditepis
Aku mendongak
Seraut wajah secantik bidadari
Memeluk Baby Comel kesayanganku
Lalu membawa bersamanya
Membelah langit ke tujuh
Baby Comel makin menghilang

Aku menjerit memanggil-manggil
Nama Baby Comel
Kembalilah sayang ke pangkuanku
Hingga lelah nafasku
Namun bayangan Baby Comel
Telah ghaib
Di balik awan

Silau sinar mentari di ufuk timur
Menyedarkan aku
Berakhirnya pertemuan di hujung mimpi
Terpaku aku merenung seraut wajah
Di bingkai mimpi semalam
Aku sadari kini
Baby Comel bukan milikku
Berkurun lama Baby Comel telah pergi
Meninggalkan aku di sini
Selamat Sejahtera Baby Comel
Semoga bahagia di sana......

Ilusirasa : roussenie 01082014