Photobucket

Monday, August 4, 2014

CERITA TELEFON BIMBIT

Alkisah sebuah ceritera di bulan Syawal di hari pertama persekolahan. Oleh kerana negeri Kedah bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu, maka hari persekolahan bermula pada 3 Ogos 2014. Cikgunie sangat sibuk dengan urusan sekolah dan berulang-alik ke hospital.
 
Selepas waktu persekolahan, Cikgunie bergegas ke hospital untuk mencuci luka akibat pemebedahan kecil bisul di lutut Cikgunie. Selesai buat "dressing", Cikgunie bergegas ke Pejabat Pos Kuala Nerang untuk menghantar borang permohonan ke Putrajaya. Oleh kerana Pejabat Pos ditutup pada jam 5.00 petang dan pada masa Cikgunie sampai jam menunjukkan angka 4.45 petang, Cikgunie kelam kabut menguruskan pembelian sampul pos ekspres untuk mengepos surat. Cikgunie terlupa langsung tentang tangan Cikgunie yang memegang telefon bimbit semasa masuk ke Pejabat Pos.
 
Selesai urusan di Pejabat Pos, Cikgunie pun pulang ke rumah dengan penuh kepenatan. Cikgunie tidak teringat langsung pasal telefon bimbit sehinggalah pada jam 10.15 malam, Cikgunie hendak set alarm dalam telefon bimbit. Pada ketika itulah baru Cikgunie teringat telefon bimbit Cikgunie. Puas mencari barulah Cikgunie teringat, tempat terakhir Cikgunie menggunakan telefon bimbit ialah di Pejabat Pos. Sebenarnya Cikgunie mempunyai sebuah lagi telefon bimbit tetapi tidak dapat buat panggilan keluar kerana suami Cikgunie belum bayar bil yang tertunggak.
 
Pada masa itu Cikgunie hanya mampu berdoa agar ada orang yang tolong ambil dan simpan telefon bimbit Cikgunie. Cikgunie juga berharap agar suami Cikgunie akan menghubungi Cikgunie melalui telefon bimbit itu. Namun sampai jam 12 tengah malam, tiada sesiapa pun menghubungi telefon Cikgunie yang satu lagi. Walaupun telefon bimbit itu bukan telefon pintar tetapi di dalamnya mengandungi semua nombor kawan-kawan dan pejabat-pejabat rasmi yang selalu Cikgunie hubungi. Akhirnya dengan penuh harapan Cikgunie terlelap juga.
 
Arakian tatkala ayam berkokok di subuh nan sunyi, Cikgunie terkejut telefon bimbit Cikgunie yang hanya selalu dihubungi oleh suami Cikgunie berbunyi dan nombor yang membuat panggilan ialah nombor telefon bimbit Cikgunie yang hilang! Astagfirullahal'azim!
 
"Hello! Boleh bercakap dengan Puan Rusni?"
"Ya. Saya bercakap!"
"Saya Farid Wajdy dari Taman Pelangi....bla...bla...."
"Alhamdulillah. Dari mana dapat nombor saya yang ini?"
"Maaf Puan. Saya call banyak nombor dari telefon bimbit Puan tapi tak ada yang jawab. Banyak juga yang saya hantar SMS tapi tak ada yang jawab juga. Pagi ni saya terima panggilan dari nombor 013XXXXXXX minta call balik. Katanya dia guna telefo kawan nak cakap dengan Ibu. Lepas tu baru saya tau orang itu ialah anak Puan Rusni yang belajar di Sekolah Menengah Agama WP Labuan." Barulah Encik Farid tahu bahawa di Labuan cepat cerah berbanding Semenanjung.
Hatta, pagi-pagi buta pada hari ini, seorang hamba Allah yang baik budi dan cantik pekerti telah dating menunggu Cikgunie di pagar sekolah semata-mata untuk memulangkan telefon bimbit Cikgunie.
 
Alhamdulillah! Syukur kepada Allah!
Allah masih sayangkan Cikgunie.
Mulai hari ini Cikgunie semakin yakin, sekiranya barang itu milik Cikgunie biarlah hilang berkali-kali ia tetap akan pulang ke pangkuan Cikgunie.
Kepada kawan-kawan yang masih bersahabat dan tidak lagi bersahabat dengan Cikgunie tetapi telah dihubungi oleh panggilan dan SMS daripada telefon Cikgunie sejak petang semalam hingga tengah malam tadi, Cikgunie minta maaf bagi pihak Encik Farid. Dia cuma ingin mencari tuan punya telefon bimbit 013XXXXXXX iaitu nombor Cikgunie sendiri.
 
Ingatan untuk kawan-kawan dan pembaca blog Cikgunie, jangan sesekali meletakkan nama samaran orang tersayang atau pasangan kita dengan nama yang pelik-pelik kerana jika telefon kita hilang, sukar orang yang menjumpainya untuk menghubungi kita.
Contoh Cikgunie sendiri. Nombor telefon suami Cikgunie letak My Love. Nombor anak sulung letak nama My Heart. Nombor anak kedua My Dear dan lain-lain lagi. Letaklah nama Suamiku atau Anakku untuk insan-insan yang berada di sisi kita.
 
Paling penting jangan kunci telefon bimbit kita dengan menggunakan password yang bukan-bukan. Rezeki Cikgunie tetap ada kerana Cikgunie tidak gunakan sebarang kata laluan untuk telefon bimbit Cikgunie. Jadi Encik Farid yang menjumpainya dapat membuka telefon bimbit Cikgunie dan berusaha mencarinya. Alhamdulillah! Terima kasih Encik Farid.

No comments:

Post a Comment