Monday, July 28, 2014

Salam Idul Fitri



SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI BUAT SEMUA PEMBACA BLOG CIKGUNIE. AMPUNKAN SALAH SILAP CIKGUNIE SEPANJANG BERBICARA DI SINI. YANG BAIK DATANG DARIPADA ALLAH DAN YANG BURUK DATANG DARIPADA CIKGUNIE SENDIRI.

Sunday, July 27, 2014

MH 2363 dan MH 1208

Alhamdulillah.
Anak-anak selamat sampai ke kampung jam 2.00 petang semalam. Pesawat selamat mendarat walaupun cuaca kurang baik terutama dari Labuan ke KLIA ( MH 2363 ) dan dari KLIA KE ALOR SETAR ( MH 1208 ) juga cuaca kurang baik. Jadi, siapa kata pesawat MAS tidak selamat?
Terima kasih MH 1208 dan MH 2363.




CONTOH KARANGAN DIMENSI 5 (PERIBAHASA)


Peribahasa banyak mendidik masyarakat dengan nilai-nilai positif.
 
Berdasarkan beberapa contoh peribahasa, jelaskan nilai-nilai positif dalam peribahasa yang dapat dijadikan pengajaran dan pedoman dalam kehidupan kita.

 

KAU PERGI JUA

Gambar Arwah Semasa Tadika
Akhirnya anak murid kesayangan Cikgunie yang koma selama seminggu pergi jua mengadap Ilahi jam 9 malam tadi bersamaan 28 Ramadan. Semoga roh Muhammad Qayyim bin Mohd Yusri ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Thursday, July 24, 2014

Mengisi Waktu Di Akhir Ramadan

Selain mencari malam Lailatul Qadar, malam-malam terakhir sebelum Syawal menjelang, suri rumah sepenuh dan separa masa seperti Cikgunie akan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Setiap tahun baju raya Cikgunie beli sebulan lebih awal supaya tidak kelam kabut kerana Cikgunie pentingkan tema dan warna. Namun persiapan paling perlu dibuat ialah memastikan kemeriahan sambutan Aidil Fitri.
Baru gubah sepokok bunga

Antaranya ialah menghias rumah, membuat biskut raya dan memasang lampu di sekeliling rumah untuk memeriahkan sambutan hari raya. Sehingga petang ini, Cikgunie telah membuat 6 jenis biskut. Cikgunie perlu menghabiskan bahan- bahan untuk membuat biskut raya pada petang ini hingga malam esok.
Biskut Cikgunie (yang sedap tinggal separuh balang)

Alhamdulillah pada tahun ini Cikgunie lebih rajin daripada tahun-tahun sebelumnya. Semua biskut raya buat sendiri dengan bantuan dua orang anak lelaki. Kuih tradisional pula Cikgunie tempah kerana Cikgunie tidak pandai hendak membuatnya. 
Semua label bahan dan jenis biskut dibuat oleh Si Bongsu


Wednesday, July 23, 2014

Kesan dan Akibat Kemalangan Jalan Raya



PANDUAN PENGURUSAN TUNTUTAN INSURANS KES MURID MENINGGAL AKIBAT KEMALANGAN

Untuk maklumat para ibu bapa dan waris atau penjaga, sekiranya anak-anak yang masih bersekolah meninggal dunia akibat kemalangan atau kematian biasa, mereka boleh menuntut insurans daripada Skim Perlindungan Takaful. Bagi kematian akibat kemalangan waris boleh menuntut sebanyak RM5000 dan bagi kematian biasa waris boleh menuntut RM1000. Tuntutan boleh dibuat melalui sekolah murid terbabit. Beberapa dokumen yang diperlukan ialah;
 
1. Sijil Kematian murid berkenaan
 
2. Kad pengenalan waris
 
3. Laporan polis (untuk kes kemalangan)
 
4. Permit Perkuburan.
 

Terima Balasan Allah

Cikgunie hairan kenapa Cikgunie suka menyakitkan hati kawan yang sangat baik dengan Cikgunie. Pagi tadi Cikgunie hantar emel kepada beliau semata- mata hendak mengutuk beliau yang baru saja menjalani pembedahan lutut. Cikgunie tak berniat hendak menyakitkan hati beliau walaupun Cikgunie suka tengok kawan Cikgunie yang seorang itu sakit hati.

Alkisahnya malam tadi Cikgunie perasan rasa sengal-sengal di lutut tetapi Cikgunie tidak menghiraukannya. Rupanya lutut Cikgunie macam bengkak sikit dan sekeliling bengkak tu merah. Selepas sejam  Cikgunie tulis emel kepada kawan Cikgunie, lutut Cikgunie terasa berdenyut. Cikgunie tanya kerani pejabat dan tunjukkan lutut Cikgunie, dia kata bengkak itu ialah bisul. 

Pada masa sekarang Cikgunie sukar hendak berjalan. Rupanya di bulan Ramadan ini jangan sesekali kita menyakitkan hati kawan-kawan walaupun niat untuk bergurau. Hasilnya Cikgunie kena sakit bisul kat lutut. Subhanallah.

Tuesday, July 22, 2014

Daripada Allah Kita Datang Kepada Allah Kita Kembali

Innalillahirojiun.....
Salam takziah untuk murid SMK KUALA NERANG yang meninggal dunia akibat kemalangan jam 9.00 malam tadi. Al-Fatihah untuk arwah Muhammad Hanif bin Roslan dari Tingkatan 5 SS 3. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Monday, July 21, 2014

MENGHARAP REDHA ALLAH

Kadang-kadang air mataku
Tidak sejernih air di kali
 
Kadang-kadang senyumanku
Tidak semanis bidadari mimpi
 
Kadang-kadang bicaraku
Tidak selembut sutera Itali
 
Kadang-kadang hatiku
Tidak seputih melati
 
Seorang hamba selayaknya begitu
 
Langit tidak selalu biru
Begitu juga hidupku
 
Jalan tidak selalu lurus
Begitu juga langkahku
 
Awan gemawan tidak selalu putih
Begitu juga perasaanku
 
Kadangkala ria
Kadangkala duka
Kadangkala nestapa
Kadangkala bahagia
 
Ya Allah
Kepada-Mu aku berserah
Rezeki, ajal, maut, jodoh dan pertemuan
Adalah ketentuan-Mu
Berlalunya Ramadan
Pasrah aku mengharap redha-Mu

ilusirasa : roussenie21072014

Ketawa Penawar Duka

Terima kasih teman.

myhem@sutera: PROSEDUR GANTUNG DAN BUANG SEKOLAH

myhem@sutera: PROSEDUR GANTUNG DAN BUANG SEKOLAH: PROSEDUR GANTUNG DAN BUANG SEKOLAH MENGIKUT PERATURAN 4 DAN 8 PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN ( DISIPLIN SEKOLAH ) 1959 1. Tujuan 1.1 Tu...

Sunday, July 20, 2014

PERINGATAN KEPADA IBU BAPA

Kemalangan boleh berlaku bila-bila masa dan di mana sahaja. Biasanya kemalangan yang berlaku membabitkan motosikal dan lazimnya motosikal ditunggang oleh remaja yang masih bersekolah. Semasa dalam perjalanan balik dari sekolah tadi Cikgunie menyaksikan kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan sebuah motosikal di sebuah persimpangan lampu isyarat. 

Motosikal dinaiki oleh dua orang murid sekolah di mana penunggang murid Tingkatan 5 manakala pembonceng murid Tingkatan 3 telah melanggar lampu isyarat lalu bertembung dengan sebuah kereta yang keluar simpang. Penunggang memakai topi keledar dan pembonceng hanya menumpang kawannya dan sudah pastilah tidak memakai topi keledar. 

Semasa kejadian pembonceng terpelanting dan terjatuh dalam keadaan tertiarap manakala penunggang dihempap motosikal. Keadaan penunggang selepas dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kuala Nerang baru sedarkan diri manakala keadaan pembonceng masih kritikal dan telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Sebagai peringatan kepada ibu bapa, kita mestilah sentiasa memantau anak-anak pergi dan balik dari sekolah. Pastikan mereka mempunyai lesen memandu dan sentiasa menasihati anak-anak kita mematuhi undang-undang jalan raya. Ingatlah, anak-anak kita tidak ramai. Jangan pula kita mengurangkan bilangan mereka dengan membiarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen dan tanpa memakai topi keledar. Nyawa hak Allah. Sentiasalah kita mensyukuri nikmat Allah yang satu ini.

FAKTA MH 17

Pertama sekali sebelum menulis tentang sebuah lagi tragedi yang menimpa pesawat MAS, Cikgunie ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak MAS kerana sebelum kemunculan AirAsia, Cikgunie berulang alik dari Labuan ke Kuala Lumpur seterusnya Alor Setar dengan menggunakan pesawat MAS sejak 1996 hingga 2002. 

Selepas kemunculan AirAsia barulah Cikgunie menggunakatan pengangkutan tambang murah itu untuk bercuti sehingga 2006. Mulai 2007 hingga sekarang sekurang-kurangnya setahun 3 kali Cikgunie menggunakan pesawat MAS. Setiap bulan pula Cikgunie akan menaiki pesawat MAS WINGS untuk ke Kota Kinabalu atau pun ke Kuching dan Miri. Jadi, sumbangan MAS dalam hidup Cikgunie sejak bergelar isteri sangat banyak. Selain bercuti, Cikgunie dapat menziarahi keluarga dengan jasa MAS. 

Oleh itu, tragedi yang menimpa MH17 sangat menyentap perasaan Cikgunie. Bayangkan 298 penumpang dan anak kapal yang berada pada ketinggian 38 ribu kaki menghadapi saat-saat terakhir dalam hidup mereka dengan jeritan dan tangisan sebelum pesawat terhempas ke bumi. Cikgunie pernah dimaklumkan oleh salah seorang pramugari bertugas beberapa tahun lepas dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur. Kata pramugari tersebut, tempat paling selamat dalam pesawat ialah bahagian ekor pesawat. Tetapi melihat visual bangkai pesawat MH17, tiada bahagian yang selamat dalam sesebuah pesawat yang ditembak sebelum jatuh terhempas. Hal ini demikian kerana juru terbang tidak dapat berbuat apa-apa apabila enjin pesawat ditembak. 

Amat malang sekali pesawat MH17 berada di tempat yang salah pada waktu yang salah. Tambah mengharukan semua barangan berharga milik penumpang dalam pesawat MH17 telah hilang diambil pihak tidak bertanggungjawab. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga semua waris mangsa nahas pesawat termasuk pihak kerajaan tidak dapat memasuki kawasan nahas kerana ia berada di dalam zon perang akibat pemberontakan puak pemisah yang pro Rusia dengan kerajaan Ukraine.

Sebenarnya semua yang berlaku adalah takdir Allah SWT dan kita perlu menerimanya dengan penuh redha kerana musibah yang berlaku di bulan Ramadan ini pasti mempunyai hikmah di sebaliknya. Al-Fatihah untuk semua mangsa yang beragama Islam.

Berikut ialah fakta ringkas mengenai MH17.
1. MH17 PERTAMA KALI DITERBANGKAN PADA 17/7/1997
2. MH17 MENYAMBUT ULANGTAHUN KE 17 PADA 17/7/2014
3. MH17 DITEMBAK JATUH DI SEMPADAN UKRAINE PADA 17/7/2014
4. MH17 DITEMBAK DENGAN SA 17 MISSILE

Kenapa dengan angka 17?
Hanya Dia Yang Maha Mengetahui.

Thursday, July 17, 2014

KEMPEN ANTI DENGGI DI SEKOLAH

Klinik Kesihatan: Penyakit berjangkit demam denggi: Demam denggi adalah disebabkan oleh virus denggi. Ia merebak melalui gigitan nyamuk aedes. Dianggarkan terdapat lebih 100 juta kes denggi di...

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN


"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara"

Wednesday, July 16, 2014

CERITA KOLESTROL

Cikgunie baru terlepas dari hukuman. Alhamdulillah. Syukur kepada Tuhan. Sejak 2-3 bulan belakangan ini Cikgunie dilanda kebimbangan yang melampau kerana ujian darah segera yang Cikgunie ambil di sebuah Poliklinik menunjukkan kandungan kolestrol Cikgunie melebihi 8.0 mol. Macam-macam usaha yang Cikgunie buat untuk mengurangkan kolestrol kerana Cikgunie bukan spesies suka makan ubat. Akhirnya atas nasihat adik Cikgunie, minggu lepas Cikgunie pergi ke hospital dan membuat pemeriksaan kesihatan penuh. Semalam Cikgunie menerima keputusan hasil pemeriksaan kesihatan. Alhamdulillah. Semuanya baik-baik belaka termasuk kandungan kolestrol dalam darah. Masih di bawah paras berjaga-jaga. Benarlah, ketenangan fikiran bermula daripada kesihatan yang baik. Jadi di sini Cikgunie ingin kongsikan beberapa fakta tentang kolestrol.
 
FAKTA KOLESTROL

Kolestrol ialah bahan berlemak (lipid) yang merupakan sebahagian daripada membran sel luar dalam badan haiwan. Ia juga ditemui dalam saluran darah manusia. Dua sumber utama kolestrol dalam darah diperoleh daripada pemakanan dan pengeluaran hati. kolestrol pemakanan datang daripada daging, ayam, ikan dan produk tenusu. Selepas makan kolestrol diserap oleh usus ke dalam saluran darah dan diselaputi oleh protein. Kolestrol diselaputi oleh protein ini dipanggil chyomicron.
Hati mampu menyingkirkan kolestrol daripada peredaran darah dan juga menghasilkan kolestrol serta merembeskan kolestrol ke dalam peredaran darah. Selepas makan, hati mengeluarkan chyomicron daripada peredaran darah. Di antara waktu makan, hati menghasilkan dan merembeskan kolestrol kembali dalam peredaran darah.
Kolestrol tidak boleh larut dalam darah kecuali jika ia bergabung dengan protein khas yang dipanggil lipoprotein. Kolestrol yang dirembeskan oleh hati ke dalam darah boleh bergabung dengan lipoprotein ketumpatan amat rendah (VLDL) atau lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL). Kolestrol LDL yang terhasil daripada metabolisme kolestrol VLDL dalam aliran darah, dikenali sebagai kolestrol “jahat” manakala kolestrol HDL dikenali sebagai kolestrol baik.
 
Tanda-tanda kolestrol tinggi dalam darah ialah terdapat bintil atau ketulan kecil berwarna lebih gelap daripada kulit muka di bawah kelopak mata dan di atas kelopak mata. Oleh itu, sentiasalah memeriksa sebarang perubahan ke atas wajah atau fizikal kita. Ingatlah kesihatan adalah harta kita yang paling bernilai.

MITOS KOLESTROL

1. Tidak semua daging mempunyai kolestrol kerana daging kambing tidak mempunyai kolestrol.
 
2. Tidak semua tanda bintil-bintil seperti ketulan daging berwarna hitam atau coklat di pipi dan leher  adalah tanda kolestrol tinggi.
 
3. Tidak semua orang gemuk mempunyai kolestrol tinggi dan tidak semua orang kurus tidak mempunyai kolestrol tinggi.

Ulangkaji Rumusan Karangan


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara menggalakkan amalan berjimat cermat dan masalah ibu bapa menguruskan kewangan keluarga. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Amalan berjimat cermat merupakan amalan yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuh nya oleh masyarakat apatah lagi dengan kenaikan harga barangan belakangan ini. Kebanyakan masyarakat Malaysia boros dalam berbelanja terutama menjelang musim perayaan. Bagi mengelakkan sikap tidak berhemah masyarakat Malaysia semasa berbelanja, beberapa langkah perlu diambil untuk menanam sikap berjimat cermat semasa berbelanja. Amalan menabung wajar diterapkan dalam jiwa anak-anak bagi memberi pendedahan seawal usia 6 tahun. Pepatah Melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya hendaklah menjadi asas penting untuk membentuk amalan berjimat cermat dalam kalangan anak-anak. Sebenarnya amalan berjimat cermat banyak bergantung kepada peranan dan sikap ibu bapa dalam mendisiplinkan anak-anak mereka.

Ibu bapa yang prihatin haruslah menyediakan belanjawan kewangan keluarga untuk mengawal perbelanjaan.  Malah ibu bapa perlu merancang kewangan untuk masa hadapan anak-anak mereka. Bagi keluarga yang suka makan di luar kerana kesibukan bekerja perlu mengurangkan tabiat tersebut. Memasak sendiri dan makan bersama keluarga di rumah dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga seterusnya dalam menanam sikap berjimat cermat. Seterusnya, membawa bekalan dari rumah ke pejabat atau ke sekolah dapat menjimatkan perbelanjaan anak-anak. Wang lebihan boleh disimpan dalam akaun kecemasan dan boleh digunakan apabila diperlukan.

Selain itu berkongsi kenderaan juga dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga. Masyarakat juga boleh menaiki pengangkutan awam untuk ke tempat kerja dan menggalakkan anak-anak menaiki bas ke sekolah. Selain menjimatkan kos, ia juga dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.  Apabila di rumah, ibu bapa perlu mendidik anak-anak agar menjimatkan penggunaan air, elektrik dan penyaman udara. Anak-anak juga perlu dilatih agar menutup semua peralatan elektrik yang tidak digunakan. Ketika membeli-belah pula anak-anak perlu diingatkan agar membuat senarai barang yang hendak dibeli terlebih dahulu. Kemudian barulah mereka membuat perbandingan harga barangan tersebut sebelum membelinya. Dalam situasi ekonomi yang merosot ini kita tidak perlu berkira tentang jenama sesuatu barangan yang hendak dibeli.

Jelaslah kepada kita bahawa amalan berjimat dapat melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunya kewangan yang mencukupi. Mahatma Gandhi berkata “berfikirlah untuk hari esok tapi bertindaklah hari ini.” Oleh itu semua pihak perlu memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa.

(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana “Generasi Muda Perlu Diterap Cara Berhemat Urus Kewangan.” Oleh Jamiah Shukri, Berita Harian 23 Mac 2010)

 

Tuesday, July 15, 2014

SELAMAT MENYAMBUT HARI NUZUL QURAN

Nabi Muhammad SAW menerima wahyu melalui Jibrail as pada malam 17 Ramadan. Rasulullah SAW berguru dengan Jibrail as. Semoga kita semua mendapat keberkatan sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini.

10 KELEBIHAN PUASA


Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;

"Puasa adalah perisai. Jika kalian berpuasa, jangan bercakap kotor dan bersikap tidak ramah. Jika ada yang mengajak bertengkar atau mencaci kalian, katakanlah: “Saya sedang berpuasa.” Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya! Bau mulut orang yang berpuasa lebih baik daripada wangi minyak kasturi. Kerana dia telah meninggalkan makan, minum dan nafsu syahwatnya demi mengharap reda Allah. Puasa itu untuk-Ku. Dan Aku yang akan member balasannya. Ketahuilah, satu kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kebaikan. (HR. Bukhari dan Muslim)

Para ulama berpendapat bahawa terdapat 10 kelebihan puasa berbanding ibadat yang lain.

Pertama :  Berbanding ibadat lain, tidak ada sifat riak dalam ibadat puasa seperti sabda Rasulullah SAW “Tidak ada riak dalam puasa.”

Kedua :  Allah SWT berfirman, “Aku akan memberikan balasan kepada orang yang berpuasa.” Maksudnya hanya Allah yang mengetahui kadar pahala untuk orang yang berpuasa. Sementara ibadat yang lain seperti solat dapat diketahui ganjaran pahalanya.

Ketiga : Allah SWT berfirman yang bermaksud “Puasa adalah untuk-Ku.” Maksudnya ibadat puasa adalah ibadat yang paling dicintai Allah. Rasulullah juga pernah bersabda: “Wajib bagimu berpuasa, sungguh, ibadat puasa itu tidak ada bandingannya.

Keempat : Nilai-nilai yang terdapat dalam ibadat puasa sesuai dengan salah satu sifat allah, iaitu tidak makan dan minum. Allah adalah Zat yang memberi makan dan minum tetapi Dia tidak makan dan minum.

Kelima : Al-Khattabi berpendapat “Puasa merupakan ibadat yang dilakukan hanya untuk Allah SWT, tidak ada sedikit pun bahagian untuk hamba-Nya.” Maksudnya orang yang melakukan ibadat puasa tidak akan mendapat sedikitpun bahagian dari ibadat yang dilakukannya itu, berbeza dengan ibadat lainnya.contohnya jika melangerjakan iabadat haji, seseorang ituakan mendapat gelaran Haji atau Hajjah.

Keenam : Ibadat puasa tidak pernah dijadikan sebagai wujud penyembahan kepada Zat selain Allah tidak seperti solat, sedekah dan tawaf.

Ketujuh : Pahala ibadat seseorang akan digunakan untuk menutupi perbuatan maksiat yang pernah dilakukannya kecuali pahala ibadat puasa.

Ibnu Unaiyah meriwayatkan; “Pada Hari Kiamat nanti, Allah pasti akan menghitung amalan setiap hambaNya. Lalu Allah akan menampal semua perbuatan maksiat mereka dengan amal soleh yang pernah mereka lakukan, hingga amal soleh mereka habis, dan yang tinggal hanya amal ibadat puasanya. Setelah itu Allah menanggung perbuatan-perbuatan dosa yang masih tinggal dan memasukkan mereka ke syurga dengan ibadat puasa yang telah mereka lakukan itu.

Kelapan : Ibadat puasa merupakan ibadat yang tidak nampak dan tidak terlihat. Kita tidak Nampak dan tidak mengetahui sesiapa yang berpuasa termasuk malaikat pencatat amal tidak dapat mencatitnya. Kebanyakan manusia tidak mengetahui orang yang sedang berpuasa seperti kita dapat melihat orang yang sedang melakukan solat atau mengerjakan haji dan umrah.

Kesembilan : Puasa adalah penghapus dosa. Dalam sebuah hadis riwayat Huzaifah, Rasulullah SAW bersabda : “Dosa seseorang akibat sikapnya terhadap keluarga, harta dan jirannya dapat dapat dihapus oleh ibadat solat, puasa dan sedekah.”

Kesepuluh : Allah SWT menyediakan satu pintu khusus di dalam syurga bagi orang-orang yang berpuasa, yang diberi nama “ar-Rayyan.”

Rasulullah SAW bersabda :

Sungguh di syurga terdapat satu pintu yang diberi nama ar-Rayyan. Pada hari kiamat nanti setiap orang yang berpuasa akan masuk syurga melalui pintu tersebut. Tidak ada orang lain yang dapat masuk ke dalamnya selain mereka. Pada saat itu ada suara yang bertanya, “Di manakah orang-orang yang berpuasa?” Mereka pun bangun, lalu masuk ke syurga melalui pintu yang telah Allah janjikan itu. Setelah mereka masuk, pintu itu ditutup kembali, sehingga tidak ada seorang pun yang dapat masuk ke dalamnya.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).

Rasullah SAW juga bersabda :

Orang-orang yang berpuasa dengan peuh keimanan dan harapan, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, marilah kita semua perbanyakkan amalan dan ibadat di bulan Ramadan ini untuk mendapat keberkatan dalam ibadah puasa kita. Janji Allah itu pasti. Setiap manusia tidak lepas daripada melakukan kesilapan, kekhilafan dan dosa-dosa dalam hidup mereka. Selalin solat fardhu dan solat sunat, puasa dapat membersihkan dosa-dosa kita. Ingatlah, kita tidak banyak pahala, jadi janganlah menambah dosa dengan tidak berpuasa. Sesungguhnya, ibadah puasa banyak kelebihannya. Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam.

 

 

Monday, July 14, 2014

Contoh Karangan Bahagian A : Kepentingan Amalan Berjimat Cermat


            Kenaikan harga barang belakangan ini semakin membebankan kehidupan rakyat. Isu ini semakin mendapat tempat dan menjadi polemik di dada-dada akhbar. Keadaan ini  diumpamakan seperti sudah jatuh ditimpa tangga kerana penguna bukan sahaja berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia, malah terpaksa menghadapi kenaikan harga barangan. Tambahan pula kejatuhan harga getah telah menjejaskan pendapatan penoreh getah di seluruh negara. Oleh itu, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan melancarkan kempen berjimat cermat yang sudah semestinya banyak memberikan manfaat kepada negara secara umumnya dan kebaikan kepada rakyat secara khususnya.

            Kepentingan yang paling jelas dengan mengamalkan amalan berjimat ialah kita boleh menggunakan wang yang kita simpan sebagai persiapan ketika berada dalam kesusahan. Sebenarnya,kita tidak dapat menduga perkara yang akan berlaku pada masa akan datang. Justeru, konsep sediakan payung sebelum hujan sewajarnya kita sematkan dalam diri  sebagai persiapan awal untuk kegunaan pada masa akan datang. Jangan sesekali kita mengamalkan falsafah di sebalik peribahasa mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan kerana  hal seperti ini ini akan menyusahkan hidup kita pada kemudian hari. Oleh itu, jelaslah dengan amalan berjimat cermat kita dapat menggunakan wang yang disimpan pada waktu kecemasan untuk perbelanjaan pada masa kesusahan.

           Amalan berjimat cermat boleh dilakukan semasa kita merancang untuk berbelanja pada setiap bulan. Pengguna yang bijak akan membandingkan harga barangan sebelum membelinya. Pengguna  yang mengamalkan amalan berjimat cermat akan merancang dan membuat perbandingan harga dengan barangan yang hendak dibeli. Dengan kebijaksanaan ketika berbelanja pengguna dapat mengelakkan diri daripada tertipu oleh peniaga yang tidak berhati perut . Hal ini secara tidak langsung melahirkan pengguna yang berbelanja dengan berpandukan konsep mengukur baju di badan sendiri.

            Seterusnya, amalan berjimat cermat dapat mengelakkan diri kita daripada amalan membazir. Berbelanja secara berlebihan akan menyebabkan seseorang membeli barangan atau produk yang tidak perlu dalam kehidupan sehari-hari. Kesannya,barangan yang dibeli akan dibuang atau hanya disimpan di dalam almari tanpa digunakan. Lebih jelas, misalnya kebanyakan anggota masyarakat gemar membeli makanan yang banyak ketika berbelanja di pasar malam atau di bazar Ramadan. Nafsu yang besar ketika berbelanja itu akhirnya menyebabkan makanan yang di beli secara berlebihan itu dibuang begitu sahaja.

            Intihanya, semua pihak harus ganding bahu untuk melaksanakan amalan berjimat cermat dalam kalangan masyarakat di negara ini. Hal ini penting bagi mewujudkan kesedaran secara total baik dalam kalangan rakyat mahupun kepada pengusaha syarikat dan pemimpin negara. Akhirulkalam , pengguna yang berhemat dapat menjamin ekonomi keluarga dan sudah tentunya memberikan impak yang positif kepada ekonomi negara. Sesungguhnya bersederhana dalam segala hal dapat menjamin kesejahteraan dunia dan akhirat.

KEPUTUSAN SEBENAR PIALA DUNIA JERMAN 1-0 ARGENTINA

Sesungguhnya bola itu bulat.

Sunday, July 13, 2014

Keputusan Piala Dunia 2014 Argentina Menang 2-1 Ke Atas Jerman

Sanggup beli jersi Argentina untuk anak bongsu Cikgunie




















Anak Bongsu Tunggu Waktu Berbuka di KFC
Cikgunie ramalkan Argentina menang 2-1 dengan Jerman dalam perlawanan Akhir Piala Dunia 2014....

Persiapan Menyambut Aidil Fitri 2014

Pejam celik pejam celik kita sudah menghampiri pertengahan Ramadan. Setiap kali menjelang kedatangan Aidil Fitri para ibu terutamanya suri rumah sepenuh dan separuh masa pasti sibuk memikirkan persiapan dan menyediakan kelengkapan menyambut hari raya termasuk Cikgunie.

Cuti dua hari minggu ini Cikgunie manfaatkan sepenuhnya untuk memastikan kelengkapan hidangan hari raya berada dalam keadaan boleh digunakan. Berbanding tahun sebelumnya, tahun ini Cikgunie menyambut dalam keadaan serba sederhana. Maksudnya Cikgunie tidak akan membazir dan menggunakan kelengkapan raya tahun lepas kerana membazir amalan syaitan.

Kita perlu berubah tetapi biarlah perlahan-lahan. Lagipun pada tahun ini Cikgunie menyambut raya di rumah sendiri, di kampung sendiri dan di negeri kelahiran sendiri. Gelaran AR (Anak Rantau) telah Cikgunie tanggalkan. Walaupun rumah kampung tetapi Cikgunie bersyukur kerana itu sahajalah kemampuan Cikgunie. Selamat menghias rumah dan selamat berbuka puasa....

Keputusan Brazil vs Belanda 3-0

Act of God. Takdir Tuhan. Brazil tewas 3-0 kepada Belanda dalam perlawanan menentukan tempat ketiga pagi tadi. Tahniah Belanda. Takziah Brazil.

Melestarikan Hubungan Dengan Allah

Semasa menulis perenggan ini, Cikgunie teringatkan secebis kisah Cikgunie yang berlaku akhir-akhir ini. Pada waktu itu kayuhan roda kehidupan Cikgunie berada di bawah dan hampir tumbang. Turun naik roda kehidupan dalam hidup kita disebabkan oleh sikap kita juga. Pada ketika itulah Cikgunie diilhamkan Allah S.W.T untuk menyelongkar isi al-Quran. Sebelum itu al-Quran bukan Cikgunie tak pernah baca tetapi tidaklah serius sangat untuk mendalami isinya atau paling tidak pun membaca terjemahannya.

Justeru, benarlah apa yang dikatakan bahawa al-Quran adalah mukjizat. Al-Quran mampu dibaca dan hati kita akan menjadi rindu untuk terus membacanya walaupun kita tidak memahaminya. Kita akan terus membaca dan membaca berkali-kali walaupun kita tidak memahami apa yang sedang kita baca. Manisnya membaca al-Quran ialah kita akan mendapat pahala walaupun kita tidak memahami apa yang kita baca.

Apa yang ingin Cikgunie kongsi di sini ialah Allah memberikan ujian kepada kita TTETAPI kita harus ingat Allah juga menyediakan ganjaran kepada hamba-Nya yang lulus cemerlang. Sebenarnya kita adalah hamba-hamba pilihan Allah yang dipilih untuk menyertai pertandingan melalui ujian kehidupan bagi merebut hadiah dan ganjaran yang ditawarkan Allah. Hayatilah terjemahan ayat ini.
" Berlumbalah kamu mendapatkan ampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Itulah kurniaan Allah yang diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar. ( Al-Hadid 57:21)"

Sesungguhnya dunia ini adalah medan ujian. Oleh itu semua umat manusia akan terus diuji dengan segala macam bentuk ujian seperti kewangan, perceraian, anak-anak, hubungan sesama manusia, dan lain-lain lagi. Oleh itu, kita perlu berusaha mencapai kesempurnaan iman untuk melepasi setiap ujian yang melanda kita. Bukanlah sukar untuk mendapatkan iman yang sempurna.

"Ada tiga perkara yang sesiapa dapat mengumpulkan ketiga-tiga hal itu dalam dirinya, maka dia dapat mengumpulkan keimanan secara sempurna. Iaitu memperlakukan orang lain sebagaimana engkau suka diperlakukan oleh orang lain, memberi salam terhadap setiap orang (yang dikenali mahupun yang tidak dikenali), dan mengeluarkan infak di jalan Allah, meskipun hanya sedikit." (Riwayat Bukhari)

Syarat utama untuk menghadapi setiap ujian Allah ialah kita hendaklah sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Jangan sesekali mengeluh apa yang kita kurang. Terlalu banyak mengeluh boleh menjadikan seseorang itu kufur nikmat. Allah telah berjanji kepada kepada orang-orang yang bersyukur sebagaimana firman-Nya yang bermaksud;

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memaklumkan "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka pasti azab-Ku sangat berat." ( Ibrahim 14:7)

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berdoa agar dapat melepasi ujian yang diturunkan Allah kepada kita. Tanpa doa, kita tidak akan mendapat apa yang kita inginkan. Setiap orang daripada kita tidak mahu berterusan ditimpa ujian yang berat dalam hidup kita. Seyogia berdoa adalah ubat paling mustajab untuk menghadapi ujian dalam hidup kita. Apabila berjaya melepasi ujian, kita akan menerima ganjaran seperti yang dijanjikan Allah. Ujian paling besar ialah mengawal nafsu. Justeru, sentiasalah berdoa agar kita terhindar daripada ujian sebegitu.

Dalam  sahih Muslim terdapat riwayat daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;
Allah SWT turun ke langit dunia pada setiap malam ketika berlalu sepertiga malam pertama. Maka Dia berkata: "Aku adalah Sang Raja. Aku adalah Sang Raja, siapa sahaja yang memohon kepadaKu, maka Aku akan mengabulkannya. Sesiapa sahaja yang meminda kepadaKu, maka Aku akan memberinya, Siapa sahaja yang memohon ampunan kepadaKu, maka Aku akan mengampuninya." Dia tetap seperti itu sehingga muncul cahaya fajar.



Wednesday, July 9, 2014

KEPUTUSAN PIALA DUNIA BRAZIL VS JERMAN 7-1

Cikgunie bukanlah peminat tegar bolasepak tetapi bila ada depan mata tengok sajalah. Maklumlah pasukan hebat dunia seperti Brazil dan Jerman memang mengundang selera Cikgunie nak tengok. Seperti peminat bolasepak yang lain, terkedu Cikgunie tengok Piala Dunia yang meriah dengan gol-gol yang cantik lagi menawan..hehehe


Seperti tidak percaya tetapi itulah yang berlaku di Estadio Mineiro di Belo Horizonte apabila tuan rumah dan Juara Piala Dunia lima kali, Brazil dimalukan dengan dibelasah teruk oleh Jerman dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2014 awal pagi tadi. 

KeLemahan  pertahanan Brazil menyebabkan 30 minit pertama, pintu gol mereka dibolosi bukan sekali tetapi lima jaringan pantas Jerman yang menyebabkan ribuan penyokong Brazil yang memeriahkan stadium terkedu malah ada juga yang menangis seakan tidak percaya dengan apa yang berlaku.Thomas Muller memulakan pesta jaringan apabila tandukannya daripada satu sepakan sudut menewaskan penjaga gol Brazil, Julio Cesar. 

Penyerang veteran, Miroslav Klose kemudian menambah pesta derita Brazil apabila menyumbat gol kedua Jerman pada minit ke 23. Dua jaringan pemain tengah, Toni Kroos pada minit 24 dan 26 meletakkan Jerman selesa di hadapan sebelum pemain Real Madrid, Sami Khedira menambahkan jaringan kepada lima dan separuh masa pertama tamat dengan Jerman mendahului Brazil dengan 5-0. Masuk babak kedua, Brazil memperkemaskan jentera serangan namun masih gagal mencari gol yang dicari sebaliknya Klose pula dibawa keluar dan digantikan dengan  Andre Schurrle. Selepas 10 minit dimasukkan, Schurrle meledak dengan jaringan keenam Jerman sebelum menutup malam duka Brazil dengan jaringan ketujuhnya pada minit ke 79.







Jom Melawat Dusun

ADIK LELAKI CIKGUNIE DAN FAMILI

SEBAHAGIAN BUAH YANG DIPETIK SENDIRI

NAK MAKAN DURIAN DATANG SENDIRI...HEHE

Warga Kuala Nerang Hebat

Pengalaman Cikgunie berpuasa dan menjalani ibadah terawih pada bulan Ramadhan di rantau orang bermula seawal usia Cikgunie 20 tahun. Bersahur dan berbuka di Kolej Mahsuri (KOlej 4) UPM sangat-sangat melucukan. Sayur timun dan masak asam ikan cencaru. Bazar Ramadan di Taman seri Serdang, seri Kembangan dan Bangi adalah destinasi kami mencari juadah yang selera dengan anak tekak untuk berbuka. Banyak juadah tidak terkira. Biasanya ayam percik menjadi pilihan utama. Namun akalu kita membeli 5 biji kuih, peniaga tidak pernah melebihkan kuih sebagai sedekah kepada pembeli. 

Selepas itu, sebelum memasuki era pekerjaan pada awal usia 24 Cikgunie menjalani latihan praktikal di Slim River telah mengubah selera Cikgunie hingga ke hari ini. Masak tempoyak ikan patin sangat popular di Perak. Sejak itu teman serumah mengajar Cikgunie ilmu memasak ikan patin. Setiap kali singgah di Bazar Ramadan, pasti tidak lupa Cikgunie membeli tempoyak atau masak tempoyak ikan patin. namun peniaga tidak pernah melebihkan kuantiti ikan pati yang Cikgunie beli.

Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, Cikgu ni ditempatkan di SMK Tapah, Perak pada bulan Jun 1993. Bermulalah kehidupan Cikgunie dengan budaya dan amalan pemakanan mengikut citarasa orang Perak. Keadaan di tapah pun sama. Peniaga tidak pernah melebihkan kuih yang dibeli kepada pembeli sebagai sedekah. Selepas berkahwin (suami Cikgunie orang Perak) lagilah menu utama ialah ikan patin masak tempoyak. Cikgunie mengikut suami bertukar ke Labuan pada 1996 dan suasana di bazar Ramadan Labuan tidak sama dengan di Semenanjung. Selera dan citarasa orang Labuan tidak masuk dengan tekak Cikgunie. Sejak itu Cikgunie bel;ajar buat sendiri menu yang akan Cikgunie hidangkan untuk keluarga.

Pada 2002, Cikgunie berpindah ikut suami balik ke Perak tapi di Seri Iskandar. Keadaan di bazar Ramadan pada tahun-tahun 2002-2006 di Seri Iskandar sangat daif. Tiada banyak pilihan dan status Seri Iskandar ketika itu tidak ubah seperti pekan mati. Cikgunie terpaksa ke Batu Gajah atau Bota atau Parit untuk mencari juadah berbuka. Namun sikap semua peniaga di bazar Ramadan tetap sama. Tiada istilah sedekah untuk pembeli.

Kini selepas hampir 25 tahun mengembara di rantau orang demi mengikut orang tersayang, Cikgunie kembali ke tempat asal di Kuala Nerang. Cikgunie merasai suasana terawih dan berbuka puasa di tempat kelahiran sendiri. Apa yang ingin Cikgunie kongsi bersama pembaca ialah keadaan di pekan Kuala Nerang semasa bulan Ramadan. Pada bulan penuh keberkatan ini, bank-bank berlumba-lumba memberi zakat kepada murid-murid miskin di sekolah Cikgunie. NGO dan tokoh korporat dan orang perseorangan berebut-rebut memberi zakat pakaian, duit, telekung dan al-Quran kepada sekolah-sekolah. Begitu juga para guru. Lupakan pasal sedekah oleh tokoh korporat. 

Apa yang menyebabkan Cikgunie rasa terpanggil ialah sikap peniaga di Kuala Nerang pada bulan Ramadan ini. Peiaga-peniaga di bazar Ramadan tidak lokek memberi sebiji atau tiga empat biji kuih sebagai sedekah kepeda pembeli tanpa mengira status mereka. Sikap peniaga di pekan sehari pada hari Sabtu dan Selalu juga sangat menakjubkan. Apabila membeli ikan, peiaga itu memberi 7 kilo ikan untuk dibuat moreh. Peniaga itu tak kenal Cikgunie dan Cikgunie pun tak kenal peiaga itu. Tetapi peniaga itu memilih Cikgunie untuk memanjangkan sedekahnya kepada orang lain. Hebatnya warga Kuala Nerang. walaupun tak kaya tetapi mereka rajin bersedekah. Alhamdulillah. Syukur kerana Cikgunie dilahirkan sebagai warga Kuala Nerang.

Sunday, July 6, 2014

DOA PELAJAR

Ibnu Abbas R.A meriwayatkan:

" Peliharalah Allah, kamu akan mendapati-Nya di hadapanmu. Apabila kamu meminta sesuatu, mintalah daripada Allah dan apabila kamu meminta pertolongan maka mintalah daripada Allah dan ketahuilah sesungguhnya jika seluruh umat berkumpul untuk memberi kebaikan kepadamu dengan sesuatu, mereka tidak dapat memberi manfaat apa-apa pun melainkan dengan apa yang ditulis (ditetapkan) oleh Allah untukmu dan sekiranya mereka berkumpul untuk memudaratkanmu dengan sesuatu apa pun, mereka tidak dapat memudaratkanmu melainkan dengan apa yang ditulis oleh Allah."

CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG

"Kebijaksanaan adalah tongkat yang hilang bagi seorang Mukmin. Dia harus mengambilnya daripada sesiapa saja yang didengarinya dan tidak kira daripada sumber manapun datangnya". (Hadis riwayat Ibn Haban).

Thursday, July 3, 2014

Oh Ibu, Oh Bapa !


Profesion perguruan merupakan badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk melahirkan generasi masa hadapan yang  canggih sebagai jentera penggerak negara. Tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana generasi masa hadapan yang hendak dilahirkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan semata-matanya, tetapi perlu juga diseimbangkan dengan nilai sosial yang baik dalam segi moral dan etika yang murni.

Malangnya ketika kita bersungguh-sungguh menyahut cabaran masa kini untuk merealisasikan aspirasi negara, timbul pula bantahan ibu bapa terhadap hukuman guru-guru ke atas pelajar dan berita berkenaan dengan ibu bapa atau pelajar menyerang atau mencederakan guru. Maka timbullah persoalan sama ada patutkah institusi pendidikan khususnya guru-guru sekolah terlibat dalam soal mendisiplinkan pelajar dan apakah kaedah yang patut dilaksanakan bagi menjatuhkan hukuman disiplin terhadap pelajar?

Apabila  membicarakan masalah guru memukul pelajar, banyak tafsiran yang berbeza mengenai guru yang jahat. Kalau seorang murid sekolah rendah, pasti katanya guru yang jahat akan memberi latihan atau kerja rumah yang banyak. Jelas di sini keikhlasan guru yang memberi latihan atau kerja rumah utuk meningkatkan kemahiran murid, disalah tafsirkan sebagai jahat. Tetapi mereka lupa, bahawa guru itu lebih banyak menghabiskan masanya untuk menyemak latihan atau kerja rumah murid-muridnya. Dalam hal ini, ibu bapa yang kurang faham akan beranggapan guru memberi kerja rumah yang banyak sebagai mendera anak mereka.

Murid-murid sekolah menengah, pasti mengatakan guru yang jahat akan selalu menghalang atau mengawal mereka dari segi kesalahan. Sekali lagi keikhlasan guru yang cuba mendisiplinkan mereka disalah tafsirkan sebagai jahat. Tetapi mereka lupa, bahawa guru melakukan semua itu cuma untuk kebaikan mereka juga. Bagi sesetengah pihak ibu bapa yang sibuk dengan pekerjaan, pasti mereka kurang bersama anak-anak dalam kehidupan seharian. Mereka pasti tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh anak mereka. Apabila guru cuba memperbetulkan tingkah laku anak murid mereka, ibu bapa akan cepat melenting. Mereka beranggapan bahawa guru itu mendera anak mereka sahaja.

Ibu bapa seharusnya sedar, naluri seseorang kanak-kanak dan remaja sememangnya nakal dan setiasa mempunyai perasaan yang suka memberontak. Proses mendisiplin pula amat rumit dan berhadapan dengan pemberontakan jiwa anak-anak. Proses mendisiplinkan di tahap remaja atau buluh lebih menyukarkan dan sebab itu ibu bapa mengelak utnuk mendisiplinkan anak mereka sama ada melalui perang psikologi mahupun rotan. Mereka takut untuk berhadapan dengan sikap pemberontakan anak-anak mereka ini. Ibu bapa bimbang anak-anak mereka akan lari dari rumah atau melakukan perbuatan yang negatif seperti menagih dadah dan sebagainya.

Institusi sekolah yang bersedia memainkan peranan itu, menggariskan beberapa garis panduan dan disiplin yang semata-mata mahu mendidik dan mengawal tingkah laku pelajar yang pada peringkat usia sebegini mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dan persekitaran.
Alangkah baiknya pihak ibu bapa pula menghormati dan berterima kasih kepada para guru dan pihak sekolah kerana secara tidak langsung mengambil alih tugas mereka bagi mendisiplinkan dan memberi ilmu pengetahuan kepada anak-anak mereka. Semua tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada guru untuk mendisiplinkan murid-murid, dengan niat untuk membentuk dan mendidik mereka supaya menjadi ahli masyarakat yang berguna suatu hari nanti.

Jika diamati, pelajar hari ini yang terdiri daripada remaja sering dibabitkan dengan pelbagai jenayah dan salah laku. Pergaduhan dan gengsterisme, merokok, menagih dadah, seks bebas, memusnahkan harta benda awam (vandalisme), merompak dan ada yang mengupah orang untuk memukul guru. Perlakuan sebegini tidak disedari oleh ibu bapa kerana kejadian tidak berlaku di hadapan mata mereka. Mereka akan cepat marah sekiranya anak mereka menunjukkan lebam dan mengadu dipukul guru. Lazimnya, mereka terlupa untuk bertanya mengapa anak mereka dipukul.

Pengalaman Cikgunie pada hari ini menunjukkan betapa ibu bapa hanya menyedari kesalahan guru merotan dan mendenda anak-anak mereka dan bukannya kesalahan anak-anak mereka. Murid yang ponteng kelas, datang lewat, merokok, tidak berpuasa dan tidak menyiapkan kerja rumah adalah sebahagian daripada kesalahan murid-murid di sekolah.

Pada petang yang mulia di bulan Ramadan ini Cikgunie diserang oleh sepasang suami isteri yang merupakan waris kepada murid di sekolah Cikgunie. Kesalahan murid tersebut ialah DENGAN SENGAJA MASUK KE KAWASAN SEKOLAH PADA JAM 8.20 PAGI iaitu selepas semua murid habis baca Yaasin. Sebagai dendaan kepada mereka Cikgunie mengambil kunci motosikal mereka dan menyerahkan kepada mereka sejam selepas pelajar lain pulang. Jam 2.30 petang ibu bapa murid tersebut datang ke pejabat dan tanpa usul periksa terus memaki hamun Cikgunie yang kononnya tidak bertimbang rasa mendenda anak mereka sedemikan rupa. Alasannya naluri keibuan ibu tersebut menyatakan sesuatu yang buruk berlaku kepada anak mereka semasa dalam perjalanan pulang dari sekolah. Itu memang bagus tetapi kerisauan yang berlebihan boleh memudaratkan mereka.

Sambil tersenyum Cikgunie mempelawa pasangan tersebut masuk ke bilik Cikgunie. Suasana penghawa dingin yang sejuk serta data-data yang Cikgunie tunjukkan sebagai evidens kepada mereka telah menyebabkan si ibu menangis sambil memeluk Cikgunie. Ungkapan maaf bertubi-tubi keluar dari bibir ibu tersebut terhadap Cikgunie. Cikgunie tak buat apa-apa pun cuma menunjukkan rekod salah laku anak mereka serta gambar-gambar yang Cikgunie rakamkan sejak Februari hingga semalam. Tidak lebih dan tidak kurang pun. Kesalahan Cikgunie ialah tidak memaklumkan ibu bapa yang anaknya didenda balik lewat. Itu sahaja dan Cikgunie pun meminta maaf daripada ibu tersebut.

Akhirnya barulah si ibu mengaku yang anaknya selalu pulang awal dan dia tahu anaknya ponteng kelas masa akhir kerana tidak mahu solat di sekolah. Ibu tersebut juga mengaku anaknya tidak pernah buat kerja sekolah di rumah. Ibu tersebut juga mengaku anaknya selalu keluar rumah sebelum jam 7.00 pagi dan jarak antara rumahnya dengan sekolah tidak sampai 10 kilometer. Jadi, di mana anaknya sebelum jam 8.00 pagi? Hanya guru-guru disiplin dan guru yang bertugas sahaja tahu di mana remaja seperti itu berada. Akan tetapi jika diambil tindakan, semua itu menjadi kesalahan pula. Jika demikan, apakah aspirasi kerajaan untuk melahirkan insan berminda kelas pertama dapat direalisasikan pada 2020 nanti? Tepuk dada tanya selera kerana di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Pokok tidak akan bergoyang kalau tidak ada angin kerana pokok pangkalnya terletak pada hati. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Oleh itu, tanyalah hati di manakah letaknya keimanan kita.


Ramadan dan Juadah Berbuka

Setiap kali tibanya bulan Ramadan, suri rumah, para isteri, dan kaum ibu pasti pening memikirkan juadah untuk berbuka puasa. Bagi orang kampung seperti Cikgunie, masalah juadah berbuka puasa bukan isu utama. Hal ini demikian kerana, bulan puasa tahun ini jatuh pada musim buah-buahan. Jadi, apa kata kita semua para ibu dan kaum wanita menukar selera dengan menghidangkan buah-buahan tempatan sebagai juadah berbuka dan sebagai pemanis mulut. Cikgunie dah cuba semalam. Memang hebat buka puasa makan durian yang baru gugur dari pokok.


Tuesday, July 1, 2014

Segalanya Hanya Azam

AZAM bukan sekadar deretan huruf atau perkataan tetapi AZAM membawa erti semangat untuk mengubah dan berubah. Dalam kehidupan sebenar manusia, AZAM sangat diperlukan kerana kekuatan dan semangat yang sebenar terletak pada hati. Bagi merealisasikan segala cita-cita dan impian, kuatkan AZAM dan tanamkan AZAM dalam diri untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap aspek kehidupan kita. AZAM dan iltizam serta tekad amat diperlukan untuk membolehkan seseorang individu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain. Tanpa AZAM seseorang individu tidak mungkin dapat mengecap nikmat kemanisan ketika mencapai kejayaan.  Tanpa AZAM dan semangat juang yang tinggi juga semua impian dan harapan tidak akan dapat dicapai. Oleh itu, semaikan harapan dan fokuskan perhatian kepada setiap pekerjaan dan sematkan AZAM dalam jiwa yang membara untuk menggapai impian yang melangit. Kemudian pasrahlah kepada Tuhan Pencipta sekalian alam kerana sebagai hamba-Nya kita hanya mampu berdoa selepas kita berusaha. Hanya AZAM mampu mengubah perjalanan kehidupan kita.

PERIBAHASA HARI INI

Terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik





Maksudnya

Sebelum mengeluarkan perkataan hendaklah berhati-hati, kalau sudah terlanjur tidak dapat ditarik balik.