Tuesday, December 31, 2013

OH, SEKOLAH MENENGAH SAINS LABUAN!!!!!!!

Kenapa perlu ada sistem peperiksaan?
Kenapa perlu ada kedudukan dalam kelas dan kedudukan dalam tingkatan untuk murid-murid Menengah Atas kalau murid-murid akan duduk dalam kelas yang sama walaupun kedudukan dalam tingkatan adalah sangat baik? 

Contohnya anak Cikgunie yang masih berada dalam kelas yang sama walaupun dalam ranking sekolah di tangga 40. Sekurang-kurangnya anak Cikgunie ditempatkan di kelas kedua terbaik dan bukannya di kelas paling akhir. Kalau hendak meletakkan anak Cikgunie di kelas paling akhir, biarlah dia berada di ranking ke 80 atau ke 100. Jadi, apa gunanya peperiksaan akhir tahun????

Adakah kerana guru penyelaras tingkatan "copy paste" nama murid atau ada sistem yang tersembunyi? 
Sebagai ibu bapa Cikgunie sangat kecewa. Awal tahun ini Cikgunie sudah memaklumkan kepada pentadbir kenapa dengan keputusan yang agak bagus, anak Cikgunie ditempatkan di kelas paling akhir? 
Jawapan pentadbir tersebut ialah supaya seimbang antara pelajar yang dapat 4A dalam PMR dengan pelajar yang cemerlang. Mengikut pentadbir itu, pada tahun 2014 baru mereka akan screaming murid-murid ikut pencapaian dalam peperiksaan. 
Namun, inikah yang dikatakan screaming murid-murid jika murid yang pandai dan sederhana dikumpulkan di dalam satu kelas? Patutlah SM Sains Labuan tidak dapat bersaing dengan sekolah-sekolah berasrama penuh yang lain. Kenyataan ini pedas? Tepuk dada tanya selera kerana sebagai ibu bapa, kita mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak kita kerana SPM ialah penentu masa hadapan seseorang. SPM bukan penilaian seperti PMR bahkan ia adalah peperiksaan dan Sijil akan dikeluarkan untuk diguna pakai dalam semua permohonan mendapatkan pekerjaan atau penempatan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam.

(NOTA : JAM 4 PETANG TADI CIKGUNIE SUDAH MINTA PENJELASAN DARIPADA PIHAK SM SAINS LABUAN DAN MEREKA MEMBERITAHU KELAS DIKEKALKAN SEPERTI TAHUN LEPAS. WALAU BAGAIMANAPUN, ADA BEBERAPA ORANG MURID YANG MOHON TUKAR KELAS. CIKGUNIE JUGA ADA MEMOHON UNTUK MENUKARKAN KELAS ANAK CIKGUNIE. INSYA ALLAH AKAN DIPERTIMBANGKAN)

Cikgunie menulis bukan untuk mengaibkan sesiapa tetapi untuk menegur kesilapan yang mungkin tidak disedari pihak pentadbir dan bukan juga untuk menyalahkan sesiapa. Lagipun Cikgunie menegur sebagai ibu bapa murid dan bukannya atas tiket guru. 

Lazimnya, sebagai guru, banyak pantang larang yang boleh, tidak boleh, patut dan tidak patut dilakukan. Habis, guru bukan manusiakah yang tidak boleh mengkritik, tidak boleh buat silap dan sebagainya? Jadi, jika sebagai guru kita buat silap, perlu ada pihak untuk menegur dengan ikhlas dan bukan mengata di belakang. Jika tidak, sampai kiamat pun pihak yang buat silap tidak tahu apa kesalahan dan kesilapan yang telah mereka lakukan. Tetapi janganlah sampai menyampaikan berita yang tidak dipastikan kesahihannya seperti apa yang sampai kepada Cikgunie dari warga SM Sains sendiri petang tadi.

Cikgunie tidak marah malah berterima kasih kerana ada pihak yang mempersoalkan tindakan Cikgunie. Apa yang ingin Cikgunie jelaskan, khabar angin itu tidak benar sama sekali. Tetapi kerana ada pihak yang sudi bertanya untuk mendapatkan kepastian, Cikgunie menafikan kerana tidak mungkin Cikgunie begitu hebat seperti didakwa....

Khabarnya, kononnya, Cikgunie menangis lepas kena marah dengan pengetua, lari ke airport dan ambil penerbangan ke putrajaya pada jam 6 petang. Selepas itu suami Cikgunie pergi ambil kereta yang Cikgunie tinggalkan di airport jam 7 malam. 

Kalau cikgu-cikgu SM Sains hebat, mereka boleh analisis berita itu dengan berfikir secara logik. Pertama, adakah penerbangan dari Labuan ke KLIA jam 6 petang? Kedua, dapatkah kita menaiki kapal terbang tanpa menempah tiket terlebih dahulu? Ketiga, bagaimana Cikgunie boleh turun di putrajaya malam-malam buta? 

Sedangkan apa yang berlaku ialah Cikgunie ada taklimat di jabatan sehingga jam 5 petang pada hari tersebut. Esoknya ada kursus di KK. Oleh itu, Cikgunie kena bertolak ke KK pada petang itu juga. Penerbangan Cikgunie sepatutnya jam 7.30 malam tetapi kerana cuaca buruk, flight ditunda pada jam 9.30 malam. Cikgunie tak pergi sendiri ke air port tetapi dihantar oleh suami Cikgunie. Selepas balik dari KK, barulah Cikgunie pergi ke KL. Jadi, moral of the story, analisis terlebih dahulu apa-apa khabar angin yang kita terima sebelum menyampaikan kepada orang lain. Setiap orang melakukan kesilapan, jadi terimalah teguran dengan hati terbuka....


KEPENTINGAN MASA

Waktu ialah penasihat yang paling bijaksana. (Pericles)

Istilah tidak ada masa bukan merupakan alasan yang jujur kerana pada dasarnya kita semua memiliki masa 24 jam setiap hari. Yang perlu ditingkatkan ialah membahagikan masa dengan lebih cermat. (George Downing)

Seandainya saya punya waktu sebanyak lapan jam untuk menebang pokok, akan saya habiskan enam jam untuk mengasah kapak saya. (Abraham Lincoln)

Masa depan dibeli oleh masa sekarang. (Samuel Johnson)

Setiap jam dalam umur manusia itu ada gunanya. Justeru, masa yang sudah ditentukan bagi jam ini tidak akan didapati lagi pada jam yang lain seumur hidup kita. (WJ Brown)


Masa akan berubah dan masa akan menentukan segalanya. (Rusni Ahmad)

SELAMAT DATANG 2014

Selamat Tinggal 2013

2013 yang pahit
2013 yang suram
2013 yang malang
2013 yang kelam
2013 yang tidak gembira
2013 yang tidak ceria
2013 meninggalkan kesan sepanjang hayat

Januari 2013
bunga-bunga cinta menghiasi taman hati
Februari 2013
bunga-bunga sengketa mula meracuni
Mac 2013
benih-benih cinta semakin layu
April 2013
baja-baja keinsafan mula menjelma
Mei 2013
benih-benih cinta mula bertunas
Jun 2013
buih-buih kemaafan memunculkan diri
Julai 2013
kemaafan dendam yang terindah
Ogos 2013
Syawal yang syahdu memadam api sengketa
September 2013
mengayam hari-hari mendatang dengan harapan
Oktober 2013
bunga-bunga cinta mula bersemi
November 2013
kelopak cinta mekar dan mewangi
Disember 2013
kelopak cinta terkulai gugur ke bumi
Berakhirnya riwayat 2013

Selamat datang 2014
2014 yang comel
2014 yang manja
2014 yang ‘cute’
2014 yang indah
2014 yang manis

Datanglah segera
Mendamaikan jiwa yang lara
Mengubat hati yang sepi
Menyembuh luka yang parah
Membalut parut semalam
2014 penuh harapan
Semoga ada sirna di dadamu
Menerangi hidup yang suram

2014,
Sayangilah daku selamanya
Rinduilah aku selalu
Temanilah aku sentiasa
Cintailah aku seadanya
Kerna
Aku menaruh harapan setinggi gunung
Terhadapmu.

Cetusan nurani : roussenie ar 31122013



PERIBAHASA TERAKHIR 2013

Pepatah Melayu

Enggang sama enggang, pipit sama pipit, baru boleh terbang bersama

Maksudnya

Hubungan, ikatan atau jodoh yang sama taraf dan kedudukannya.

Contoh Ayat 1


Hubungan Puan Rusni dengan sahabatnya tidak kekal lama kerana mereka tidak sama pangkat dan kedudukan bak kata pepatah, enggang sama enggang, pipit sama pipit, baru boleh terbang bersama.

Contoh Ayat 2

Perkahwinan Puan Rusni dan suaminya Encik Mohd Tarmizi kekal hingga ke hari ini kerana mereka sama taraf bak kata pepatah, enggang sama enggang, pipit sama pipit, baru boleh terbang bersama.

Dalam Kenangan

Srikandi 

Siapakah srikandi yang tewas dalam perjuangan?
Siapakah srikandi yang gugur di medan pertempuran?
Siapakah srikandi yang gagal mara melawan musuh?
Siapakah srikandi yang rebah sebelum melangkah?

Tanpa senjata
Dia tewas
Tanpa muslihat
Dia kecundang
Tanpa kata-kata
Dia bisu
Hakikatnya
Perang  rindu
Di medan kasih sayang
Bukan pertempuran biasa

Kuntuman kasih berkecai dibedil peluru dusta
Darah amarah memercik membasahi segenap perasaan
Hati terpancung disiat-siat prasangka
Jiwa  parah dibelasah belati nista
Taufan benci bermaharajalela
Menggempur kubu egoistik
Srikandi cinta pun terkorban
Tanpa sempat mengucap kalimah
Aku cinta padamu.....

Ilusirasa : Roussenie AR 31122013


Monday, December 30, 2013

Terima Kasih Sahabat,,,,,

Kiriman Puan Salawati Zainol Othman
YA ALLAH,
WANITA YANG MEMBACA SMS INI IALAH SEORANG IBU YANG CANTIK, KUAT. SABAR DAN SAYA MENYAYANGINYA.
YA, ALLAH,
KAU TINGKATKANLAH KEHIDUPANNYA DENGAN REZEKI YANG BERKAT, KAU RAHMATILAH SETIAP LANGKAHNYA DALAM MENCARI REZEKI UNTUK KELUARGANYA. KAU BERSIHKANLAH HATINYA, KAU KUATKANLAH IMANNYA, KAU PELIHARAKANLAH DIA DARI FITNAH YANG MEMBINASAKANNYA.
SEMOGA BELIAU TABAH DALAM MENGHADAPI APA JUA CABARAN DAN CUBAAN DALAM KEHIDUPAN INI.
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU. 
AMIN YA RABBAL ALAMIN.

Kiriman Puan Intan Salwati Hj. Omar Mokhtar
YA ALLAH,
ANDAI ORANG YANG KUSAYANGI INI INI RESAH, KAU TENANGKANLAH HATINYA DENGAN TEDUHAN MAKRIFAT-MU
ANDAI DIRINYA TERANCAM, LINDUNGI JASADNYA DENGAN KEBENARAN-MU
ANDAI TUBUHNYA KEDINGINAN, KAU SELIMUTILAH DIRINYA DENGAN KEHANGATAN KASIH SAYANG-MU
ANDAI DIRINYA MERINDUI, KAU RINDUILAH JIWANYA SAAT BERTEMU DENGAN-MU,,,,
KADANG-KADANG ALLAH PATAHKAN HATI KITA UNTUK SELAMATKAN JIWA KITA....
DIA PATAHKAN HATI KITA UNTUK MEMBUAT KITA BERSEMANGAT....
DIA MEMBERI KITA SAKIT SUPAYA KITA MENJADI KUAT...
DIA MEMBERI KITA KEGAGALAN SUPAYA KITA SENTIASA MERENDAH DIRI....
DIA MEMBERI DUGAAN SUPAYA KITA BOLEH BELAJAR MENGHARGAI SEGALA NIKMAT YANG DIBERINYA SELAMA INI....
SYUKURILAH PEMBERIAN DARI ALLAH SWT.
SEMOGA DIRIMU SENTIASA TABAH DENGAN SEGALA UJIAN YANG MENDATANG,,,,
INSYA ALLAH SUNGGUH BENAR PERENCANAAN ALLAH SANGAT INDAH JIKA DILIHAT DENGAN MATA HATI...
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU!!!!




Tiga maut, dua cedera dirempuh - Semasa - Sinar Harian

Tiga maut, dua cedera dirempuh - Semasa - Sinar Harian

Tiga maut, dua cedera dirempuh - Semasa - Sinar Harian

Kemalangan yang menyayat hati ini berlaku betul-betul di hadapan tanah Cikgunie yang bakal Cikgunie dirikan rumah kedai 5 pintu yang dijangka dimulakan Januari 2014. 
Buat masa sekarang kerja-kerja meratakan tanah sedang giat dijalankan kerana jalan raya utama dari Kuala Nerang ke Jitra (KM8) memisahkan tanah Cikgunie menjadi dua bahagian, iaitu kiri dan kanan jalan raya. 
Di kanan jalan raya dari Kuala Nerang ke Jitra, di tanam pokok getah (sekarang proses menebang dan membuang pokok-pokok getah untuk mendirikan rumah kedai 5 pintu) manakala di kiri jalan raya pula ditanam pisang embun dan pisang emas seluas 2 ekar.
Ini gambar yang pernah Cikgunie rakam pada 30 November 2013 yang lalu di lokasi kejadian...














Lokasi Kejadian Selepas Kemalangan.....


Tiga maut, dua cedera dirempuh - Semasa - Sinar Harian

Friday, December 27, 2013

KEPENTINGAN BAHASA KEBANGSAAN

India mempunyai beratus-ratus bahasa tetapi bahasa rasmi India ialah Bahasa Hindi. Namun bahasa Tamil merupakan bahasa kedua paling banyak dituturkan di India Selatan. Bayangkan seorang India dari Utara (Hindi) bertemu dengan seorang India dari Selatan (Tamil) berkomunikasi.
Filem ini mengisahkan walaupun 2 orang yang berlainaan bahasa bertemu tetapi dapat memahami dengan bantuan bahasa cinta...hehehe
Cinta pun ada bahasa....

Bahasa Hindi (हिन्दी hindī) ialah bahasa kebangsaan India. Bahasa Indo-Eropah ini merupakan sebahagian daripada kontinum dialek untuk famili bahasa Indo-Arya dan ditutur khususnya di India UtaraTengah, dan Barat. Penggunaan bahasa Hindi tertumpu kepada kawasan-kawasan berikut, PanjābīSindhīGujarātī di barat dan barat laut; Marāthī di selatan; Orīyā di tenggara; Bengālī di timur; dan Nepālī di utara.
Melihatkan kepopularan bahasa Hindi, Perkhidmatan Dunia BBC memulakan Berita dalam bahasa Hindi pada tahun 1940.
Asal-usul perkataan "Hindi" mungkin merupakan perkataan bahasa Sanskrit Sindhu (सिन्धु). Orang Zoroaster yang pernah menjadi jiran India menyebut "Sindhu" sebagai "Hindu" dalam bahasa Avesta mereka, sebagai rujukan kepada orang yang tinggal berdekatan atau di seberang Sungai Sindhu River, maka tempat tinggal mereka digelar "Hindustan". Perkataan Sanskrit Sindhu dalam bentuk bahasa Avestanya Hindu (bagi orang India), Hind (bagi negara India) dan Hindi (bagi bahasa India) diturunkan kepada bahasa-bahasa Iran moden seperti bahasa Farsi dan Pahlavi.

 (sumber wikipedia bahasa melayu)

TAUBAT SEORANG HAMBA

Kuakui kelemahan diri
Kuinsafi kejahilan ini....



PAGI JUMAAT YANG SYAHDU

Apabila Kebenaran Menjelma,,,,,

Syukur Alhamdulillah. Akhirnya kebenaran terserlah. Terbukti bahawa tohmahan dan tuduhan yang tidak berasas terhadap diriku hanyalah palsu belaka. Aku memanjatkan rasa kesyukuran kepadaMu Ya Allah. Panggilan Puan Jijah Mohamad Suhai di pagi Jumaat yang barakah ini telah merungkai segalanya. Tahun 2013 adalah tahun kesedihan dan tahun paling malang buat diriku. Akhirnya Allah makbulkan jua doa-doaku lewat solat-solatku selama ini. Membawa beban fitnah selama hampir setahun ibarat memikul gunung di kedua-dua belah pundakku. Logikkah aku yang tidak pernah percaya perkara khurafat atau bomoh-bomoh atau sebarang ilmu hitam dituduh mengamalkan ilmu hitam dan sihir? Hebat sangatkah ilmu yang aku miliki hingga mempunyai ilmu seumpama itu? Aku dituduh mengenakan sihir kepada ketua jabatan atau pengetua aku. Aku juga dituduh mengenakan ilmu hitam kepada paderi di tempat aku bertugas. Aku dituduh mengenakan ilmu hitam kepada mantan pengetua aku. Begitu juga dengan beberapa orang guru di tempat aku bertugas. 

Walaupun tiada bukti, tetapi berdasarkan penyakit misteri yamg mereka alami dan setelah mereka berubat dengan bomoh-bomoh, maka mereka mengatakan bahawa orang yang menyihir mereka ialah aku. Tidak semua orang percaya tetapi ramai yang percaya. Sindiran dan kata-kata sinis sering kedengaran di mana sahaja aku berada. Akhirnya aku memencilkan diri. Aku hanya menghadiri mesyuarat dan kursus yang betul-betul perlu sahaja. Aku kehilangan kawan baik kerana kawan-kawan dan orang-orang di sekeliling mula meragui aku. Aku tidak mahu mempertahankan diriku. Aku tahu berani kerana benar. Aku tahu Allah Maha Mengetahui. 

Akhirnya, setelah aku gagal mengawal keadaan dan aku terlalu kecewa dengan apa yang berlaku,  aku mengambil keputusan berpindah dari daerah ini. Aku sanggup berpisah beribu batu dengan insan-insan yang aku sayangi asalkan aku tidak mengalami tekanan yang berterusan. Bumi Tuhan ini luas. Aku percaya rezeki ada di mana-mana.

Andainya benar aku mempunyai dan mengamalkan ilmu hitam, aku boleh buat orang yang aku suka menyukai diriku. Aku boleh buat orang yang benci aku menyukai diriku. Aku juga boleh buat orang yang aku sayang menyayangi diriku. Tetapi aku tidak memiliki keistimewaan luar biasa itu. Malangnya tiada siapapun yang percaya kecuali jiran-jiran dan suamiku sahaja. 

Meniti hari-hari yang berlalu pada tahun 2013 ibarat menyeberangi lautan api. Aku tiada siapa-siapa pun untuk meluah perasaan. Hanya suami aku menjadi pendengar setia. Kawan baik aku juga memutuskan silaturahim dengan aku. Aku tiada siapa-siapa pun. Akhirnya suami aku menyarankan agar aku berpindah dari daerah ini. Permohonan aku mendapat perhatian pihak negeri kelahiranku. 

Namun takdir Tuhan tiada siapa tahu. Dalam suasana kekecewaan hendak membawa hati yang sangat kecewa, Puan Jijah kawan baik aku suatu ketika dahulu menghubungi aku. Walaupun dia antara insan yang tidak percaya aku mengamalkan ilmu sihir tetapi beliau juga terpengaruh dengan dakwaan aku mengenakan ilmu hitam kepada pengetua aku. Sungguh aku tidak tahu tujuan dia menghubungi aku di pagi yang mulia ini...27 Disember 2013...Namun aku terkedu saat dia berbicara....

“Nie, aku faham perasaanmu. Aku juga mengetahui bahawa dirimu menjadi mangsa keadaan. Aku minta maaf banyak-banyak. Aku tahu terlalu sukar bagimu melalui situasi sepanjang tahun ini. Tapi aku benar-benar salute dengan dirimu. Tanpa bantuan sesiapa, kau berusaha menyembunyikan segala kesakitan yang kau alami. Kau buat setakat yang kau mampu. Mentalmu begitu kuat. Aku tidak pernah jumpa orang sepertimu. Kalau aku, sudah lama aku gila dan masuk wad gila. Sekarang baru aku sedar bahawa menjaga hati dan perasaan kawan-kawan sangat penting dalam menjaga hubungan sesama manusia. Kalau kau tak kisah, kami menjemput kau untuk meraikan perpindahan kau ke semenanjung.  Aku nak ajak Adnan sekali. Kami tahu kau tidak bersalah.....”

Aku tersentap dengan ayat-ayat Puan Jijah di pagi yang hening ini.
Namun aku menolak dengan ikhlas.

“Puan. Jijah, cukuplah saya menjaga hubungan saya dengan suami saya, keluarga saya dan ipar duai saya. Saya dah lupa siapakah nama-nama yang Puan. Jijah sebutkan kerana saya rasa saya tak mempunyai kawan-kawan seperti itu. Saya memang tak baik. Mulut saya tiada insurans. Saya tegur apa yang saya rasa tak betul. Saya jenis out spoken. Sebab itu semua orang melabelkan saya ada ilmu hitam. Black magic. Biarlah saya dengan kehidupan saya. Saya ada atau tiada di sini tiada orang yang perasankan saya. Ya, saya mengaku, saya tiada siapa-siapa pun untuk mendengar luahan hati dan perasaan saya. Saya tiada siapa-siapa pun untuk membantu saya di kala saya kesusahan. Yang saya ada ialah Puan Hajah Siti Zahara. Dialah kakak saya, emak saya dan segala-galanya bagi saya....”

Puan Jijah tetap merayu,,,,

“Nie, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Aku sedar sekarang......”
Namun sebelum sempat Puan Jijah meneruskan ayat-ayatnya,,,,

“Puan Jijah, maafkan saya. Saya ada hal. Lain kali kalau ada masa saya call Puan Jijah. Assalamualaikum.”


Apa yang ingin aku sampaikan di sini, kadang kala kita kehilangan kawan-kawan kerana fitnah yang dilemparkan terhadap kita. Kadang kala kita kehilangan kawan kerana kita terlalu “out spoken” menegur tanpa berlapik. Kadang kala kita kehilangan kawan kerana kita meluahkan kebenaran. Sebenarnya walau apa pun alasannya, kawan sejati tetap akan menerima dan memaafkan kesilapan dan kesalahan kita kerana tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Aku tetap mendoakan kesejahteraan kawan-kawanku walau apa pun yang telah mereka lakukan terhadapku. Aku juga pernah melakukan kesilapan. Laut mana yang tidak bergelora, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Semoga Puan Jijah yang rakan-rakan sejawatan aku di daerah ini sentiasa sihat sejahtera dan maju dalam bidang masing-masing. Aku pergi bukan kerana mengalah, tetapi aku pergi demi hidup yang lebih sempurna.

Thursday, December 26, 2013

PERTANIAN ITU PERNIAGAAN


Buah-buahan tempatan seperti durian, manggis, langsat, rambutan, pisang dan sebagainya menjadi pilihan orang ramai. Buah-buahan tempatan terutamanya yang tidak bermusim senang didapati. Buah-buahan bukan sahaja dijual di tepi-tepi jalan, tetapi juga terdapat di pasar-pasar raya.

             
Walau bagaimanapun, buah-buahan import menjadi saingan kepada buah-buahan tempatan ini. Namun, kerajaan berusaha untuk memajukan industri buah-buahan tempatan kerana bidang ini turut menyumbang pendapatan kepada negara.

Kerajaan berusaha membuka ladang-ladang atau kebun-kebun baru untuk ditanami dengan buah-buahan tempatan. Di samping itu, pelbagai pihak terbabit sering membuat penyelidikan untuk mendapatkan baka baru supaya buah-buahan yang dihasilkan bermutu tinggi dan berjaya menembusi pasaran luar.

Dari segi pasaran, FAMA berusaha dengan gigih untuk menjaga kepentingan pengusaha buah-buahan tempatan. Kesukaran menjual buah-buahan, terutama pada musim kemuncak mendatangkan masalah besar kepada pekebun. Kerajaan juga melancarkan kempen untuk memastikan buah-buahan tempatan tidak terpinggir. Di samping itu,setiap tahun diadakan pesta buah-buahan tempatan supaya buah-buahan tempatan mendapat perhatian dan tempat yang sewajarnya.

Kerajaan juga menggalakkan para pekebun mengusahakan tanah terbiar dengan menanam buah-buahan tempatan. Bidang ini berpotensi tinggi dan akan mendatangkan pulangan yang lumayan.

Namun, bidang pertanian seperti penanaman getah, kelapa sawit, kopi, koko, kelapa dan lain-lain turut menyumbang kepada pendapatan negara. Oleh itu, kerajaan telah memberi bantuan kepada pekebun-pekebun kecil seperti Cikgunie. Alhamdulillah, rezeki tetap ada bagi orang-orang yang rajin berusaha.

                                                                                           

PERSIAPAN ASRAMA ANAK-ANAK SEBELUM BUKA SEKOLAH 2014

KEPERLUAN ASRAMA ANAK LELAKI



KEPERLUAN ASRAMA 
ANAK PEREMPUAN






KITAB-KITAB UNTUK MURID TINGKATAN 1 DI SEKOLAH AGAMA WILAYAH PERSEKUTUAN

Kitab-kitab yang perlu dibaca, dihafal dan dihayati oleh anak Cikgunie yang bakal menjejakkan kaki ke Tingkatan 1 di Sek. Men. MAIWP.....










Surah Al-Mulk Untuk Tenangkan Hati

PERCUBAAN PERTAMA BUAT VIDEO SENDIRI, RAKAM SENDIRI, SUARA SENDIRI.....
BANYAK KELEMAHAN YANG PERLU DIPERBAIKI DAN DIBETULKAN....
USAHA LAGI KERANA DI MANA ADA KEMAHUAN DI SITU ADA JALAN.
video

Tuesday, December 24, 2013

ALIRAN TINGKATAN 4

Cikgunie mengucapkan tahniah kepada adik-adik yang baru mendapat keputusan PMR. Walau berapa A atau walau tiada A langsung dalam keputusan yang diperoleh, Cikgunie mengucapkan tahniah kerana adik-adik tetap akan melanjutkan pelajaran ke tingkatan 4. Semua sekolah menawarkan beberapa aliran untuk adik-adik pilih berdasarkan keputusan PMR adik-adik. 
Antara kursus yang boleh adik-adik pilih ialah;


Mata Pelajaran Wajib
Bahasa Melayu
Bahasa Inggeris / GCE O Level English
Pendidikan Islam - Untuk pelajar beragama Islam
Pendidikan Moral - Untuk pelajar bukan Islam
Sejarah
Mathematics / Matematik
Science / Sains - Untuk Aliran Sastera, Perdagangan dan Kesenian sahaja.

SUBJEK TAMBAHAN
Aliran Sains Tulen
Additional Mathematics / Matematik Tambahan
Physics / Fizik
Chemistry / Kimia
Biology / Biologi
English for Science and Technology

Aliran Sains Tulen Agama
Additional Mathematics / Matematik Tambahan
Physics / Fizik
Chemistry / Kimia
Biology / Biologi
English for Science and Technology
Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah
Pendidikan Syariah Islamiah
Tasawwur Islam (Gambaran Islam)
Bahasa Arab Tinggi

Aliran Sains Kemanusiaan
Additional Maths / Matematik tambahan
Physics / Fizik
Chemistry / Kimia
Biology / Biologi
English for Science and Technology
Prinsip Perakaunan
Ekonomi Asas
Perdagangan
Geografi

Aliran Iktisas
Additional Mathematics / Matematik Tambahan
Science / Sains
Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah
Pendidikan Syariah Islamiah
Tasawwur Islam (Gambaran Islam)
Prinsip Perakaunan
Ekonomi Asas
Perdagangan
Bahasa Arab Tinggi

Aliran Perdagangan
Additional Mathematics / Matematik Tambahan
Additional Science / Sains Tambahan
Prinsip Perakaunan
Ekonomi Asas
Perdagangan

Aliran Kesusasteraan dan Kesenian
Additional Science / Sains Tambahan
Geografi
Kesusasteraan Melayu
Literature in English
Kesusasteraan Cina
Kesusasteraan Tamil
Pendidikan Seni Visual
Ekonomi Rumah Tangga
Pendidikan Muzik

Mata Pelajaran Tambahan
Bahasa Cina
Bahasa Tamil
Bahasa Arab Komunikasi
Bahasa Punjabi
Bahasa Perancis
Bahasa Iban
Pengetahuan Sains Sukan
Sains Pertanian
Mata pelajaran Teknikal
Reka Cipta
Teknologi Maklumat